Thursday, May 4, 2023

Halaman 69 : Ali-'Imran, 3:149-153

Rahsia Kalah dalam Perjuangan


PERKATAAN HARI INI    

  

خَسِرَ Rugi

65 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


1. Peringatan agar jangan mengikut ajakan orang-orang kafir [3:149-151]

2. Faktor-faktor kekalahan dan perpecahan kaum muslimin pada Perang Uhud setelah mereka dijanjikan pertolongan [3:152-153]


Mukadimah


Alhamdulillah kita dapat teruskan pengajian di halaman 69 surah ali-'Imran, tentang perjuangan bagaimana berusaha membawa kebenaran.


Ustaz memetik satu perumpamaan yang ditulis di dalam buku Tafsir Allahyarham Tok Guru Nik Aziz. Bismillahhirrahmanirrahim  diumpamakan seperti dua ciri seorang isteri. Ciri pertama, bila minta tolong bawa air, dia bawakan dengan senyum. Bila suami nak pergi 'outstation', dia kata dia akan jaga rumah dan anak. Ciri kedua, bila diminta membuat teh, berkerut mukanya. Siap tanya "Tak boleh ambil sendiri ke?" Bila diberitahu suami nak ke ‘outstation’, dia bertanya " Abang nak ke mana?!" 


Bila dapat isteri dengan ciri pertama, pasti menenangkan dan kita bersyukur. Apatah lagi, Allah Ar-Rahman yang sentiasa menjaga kita. Bukan setakat air yang diberi, malah berbagai-bagai perkara. Allah beri kepada semua orang, bukan sahaja kepada orang yang sembahyang, malah kepada orang yang tak sembahyang juga. 


Satu cara kita nak menghargai Allah Ar-Rahman ialah bersyukur kita dapat tilawah al-Quran kerana al-Quran ialah hadiah daripada Allah SWT untuk kita.


Halaman ini mengandungi rahsia kekalahan, iaitu satu pengajaran untuk dijauhi. Perjuangan tertinggi adalah peperangan. Formula yang sama boleh diaplikasi dalam perjuangan di peringkat keluarga, organisasi, negeri, atau negara.


Ayat [3:149]

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تُطِيعُوا۟ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰٓ أَعْقَـٰبِكُمْ فَتَنقَلِبُوا۟ خَـٰسِرِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi."


Ayat [3:150]

بَلِ ٱللَّهُ مَوْلَىٰكُمْ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ

"(Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah sebaik-baik Penolong.”


Pengajaran Ayat 149-150


1. Allah menyeru orang-orang beriman untuk memberi komentar bagaimana kalahnya perang Uhud. 

2. Mentaati orang kafir adalah formula untuk kalah. Ini adalah kerana orang kafir sentiasa bersungguh-sungguh mengembalikan kita kepada kekufuran.

3. Kufur ialah bila seseorang mengutamakan dunia secara melampau. 

4. Orang kafir mahu kita beramai-beramai rugi ( خَٰسِرِينَ ).  

5. Allah adalah sebaik-baik sumber pertolongan. 

6. Allah adalah teman rapat kita dan Dia akan memberi sebaik-baik perlindungan.


Ayat [3:151]

سَنُلْقِى فِى قُلُوبِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلرُّعْبَ بِمَآ أَشْرَكُوا۟ بِٱللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِۦ سُلْطَـٰنًۭا ۖ وَمَأْوَىٰهُمُ ٱلنَّارُ ۚ وَبِئْسَ مَثْوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

"Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim."


Pengajaran


1. Kita tidak perlu takut untuk berbuat kebaikan kerana Allah sentiasa menjaga orang-orang beriman.

2. Allah membaling tepat  ke dalam hati orang kufur perasaan gerun ( ٱلرُّعْبَ) kerana mereka mensyirikkan Allah. 

3. Hendaklah kita taat kepada Allah kerana Dia telah berikan bermacam-macam kelebihan kepada kita. 

4. Orang-orang yang mensyirikkan Allah akan menjadi pengecut kerana Allah mencampakkan ( سَنُلْقِى ) ke dalam hati mereka perasaan gerun. 

5. Unsur-unsur syirik kepada Allah SWT dalam diri kita akan menyebabkan kita takut untuk berjuang  yang membawa kepada kegagalan.

6. Janganlah kita mudah mengikut perkara-perkara yang tidak dijelaskan (سُلْطَٰنًا) oleh Allah SWT dalam al-Quran.

7. Orang-orang yang kufur adalah zalim kerana tidak buat seperti yang Allah kehendaki. Mereka akan ditempatkan di neraka (مَثْوَى) generasi demi generasi.

8. Kita hanya patut takut kepada Allah Rabbul Jalil sahaja.  Contoh: Takut kepada bos hingga melanggar peraturan Allah bermakna ada syirik dalam diri kita.


 Ayat [3:152]

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ ٱللَّهُ وَعْدَهُۥٓ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَـٰزَعْتُمْ فِى ٱلْأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّنۢ بَعْدِ مَآ أَرَىٰكُم مَّا تُحِبُّونَ ۚ مِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ ۖ وَلَقَدْ عَفَا عَنكُمْ ۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ

"Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.”


Dalam perang Uhud, pusingan pertama orang Islam menang dengan pertolongan Allah yang memberi izin tentera Islam membunuh musuh. Pusingan kedua, mereka berselisih pendapat atas arahan Nabi SAW yang mengarahkan pasukan pemanah di atas bukit untuk melindungi barisan belakang tentera Islam daripada serangan musuh. Rasulullah SAW berpesan berkali-kali agar mereka tidak meninggalkan posisi mereka tanpa sebarang arahan.  Akan tetapi, kumpulan pemanah ‘menderhaka’ (عَصَيْتُم) kepada perintah Nabi SAW apabila mereka bergegas turun untuk mendapatkan ghanimah (harta rampasan perang).


Pengajaran


1. Allah pasti akan menunaikan janji-Nya iaitu Allah pasti akan menolong orang-orang yang beriman. 

2. Tiga faktor yang menyebabkan gagal dalam perjuangan:

a. rasa lemah hati

b. suka bertelagah dan berselisih (تَنَٰزَعْتُمْ)

c. derhaka kerana mengutamakan apa yang dicintai dan bukan apa yang Allah dan Rasul cintai. 

3. Janganlah kita highlight nama orang yang buat salah. Allah menggunakan perkataan  مَّن dan tidak sebut nama sesiapa. Ini kerana Allah tidak mahu mereka saling menyalahkan. 

4. Dalam rumah tangga atau organisasi, sekiranya ada orang buat salah janganlah kita memanggl dengan gelaran yang buruk-buruk. Dalam ayat ini Allah memberi gelaran orang-orang beriman walaupun kalah. Allah tidak menggelar mereka derhaka. 


Ayat [3:153]

إِذْ تُصْعِدُونَ وَلَا تَلْوُۥنَ عَلَىٰٓ أَحَدٍۢ وَٱلرَّسُولُ يَدْعُوكُمْ فِىٓ أُخْرَىٰكُمْ فَأَثَـٰبَكُمْ غَمًّۢا بِغَمٍّۢ لِّكَيْلَا تَحْزَنُوا۟ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا مَآ أَصَـٰبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

"(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.


Selepas menang pada pusingan pertama, tentera Islam nampak harta ghanimah yang ditinggal musuh. Malangnya mereka tidak taat kepada pesanan Rasul. Allah timpakan kesedihan demi kesedihan (غَمًّۢا بِغَمٍّ) kepada mereka. Mereka semakin lemah dan mereka merasa sangat kecewa. Allah tahu apa sahaja yang mereka niatkan sama ada mereka nak turun atau nak bertahan di tempat masing-masing.  


Pengajaran


1. Ingatlah bahawa kemenangan bukan milik kita. 

2. Setiap orang bertanggung jawab melaksanakan tugas masing-masing mengikut peraturan. 

3. Orang yang tidak patuh kepada perintah Allah dan Rasul akan ditimpa kesedihan demi kesedihan.

4. Setiap orang akan diuji dengan cara yang berbeza. Musibah yang berlaku kepada kita, memang Allah dah susunkan khas untuk kita (مَآ أَصَٰبَكُمْ). 

5. Allah timpakan ujian untuk memberi ketenangan (sakinah). 

6. Allah amat tahu apa yang kita lakukan.


RESOLUSI


Ingat !!

1. Yakin bahawa Allah SWT adalah pelindung yang akan jaga kita setiap masa [3:150] 

2. Elakkan syirik agar terhindar rasa takut yang tidak bermanfaat [3:151]

3. Taat ketua selagi ia tidak menyeru kepada kemungkaran kerana ia syarat kejayaan perjuangan [3:152]


Lega kerana Allah SWT beritahu Dia pelindung yang akan jaga saya setiap masa.


Saya jelas untuk elakkan syirik agar terhindar daripada rasa takut. Saya juga mesti taat kepada ketua yang menyeru kepada kebaikan.


Ya Allah, lindungi kami daripada melakukan syirik agar kami terhindar daripada rasa takut untuk berjuang membawa kebenaran. Ya Allah, berikan kami ketua dan pemerintah yang taat kepada perintah-Mu. Izinkan kami untuk menang dalam perjuangan melawan nafsu dan musuh-musuh yang membawa kepada kemungkaran.


Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...