Thursday, May 4, 2023

Halaman 70 : Ali-'Imran, 3:154-157


PERKATAAN HARI INI  

    

هَمَّ  Mencemaskan, membimbangkan

9 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


1. Analisis tambahan mengenai kekalahan umat Islam dalam Perang Uhud [3:154-155]

2. Peringatan bagi kaum mukminin agar selalu waspada terhadap perkataan-perkataan  kaum munafik yang mendorong untuk berjihad dan penjelasan keutamaan jihad [3:156-157]


Mukadimah


Alhamdulillah kita dapat menyambung pelajaran di halaman 70 untuk kita terus mendapatkan hidayah daripada surah ali-'Imran. Kita hendak belajar bagaimana Allah memberi motivasi kepada Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda yang dapat juga kita aplikasi dalam perjuangan kita pada hari ini. Semoga kita terus bersemangat berkongsi ilmu agar kita dipimpin oleh Allah SWT. 


Bacaan al-Fatihah mengingatkan kita bahawa Allah itu ar-Rahman, ar-Rahim. Allah Maha  Pemurah Maha Penyayang. 

Semasa duduk di antara dua sujud, salah satu doa yang kita baca ialah 'warhamni'. Perumpamaan yang diberi oleh Tuan Guru Nik Aziz, perkataan 'warhamni' ada perkaitan dengan ar-Rahman. Kita hendakkan Allah kesian kepada kita. Allah yang Maha Penyayang tahu apa yang penting untuk kita. Kita minta Allah berikan rahmat kepada kita. Kalau ada ahli keluarga yang sakit, minta Allah kesian dan berikan sihat. Kalau ada yang tak solat, kita minta Allah kesian dengan membalikkan hatinya untuk solat. Allah memahami apa yang kita mahu pada setiap masa. Jadi kita minta Allah berikan mana yang penting untuk kita.


Ayat [3:154]

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّنۢ بَعْدِ ٱلْغَمِّ أَمَنَةًۭ نُّعَاسًۭا يَغْشَىٰ طَآئِفَةًۭ مِّنكُمْ ۖ وَطَآئِفَةٌۭ قَدْ أَهَمَّتْهُمْ أَنفُسُهُمْ يَظُنُّونَ بِٱللَّهِ غَيْرَ ٱلْحَقِّ ظَنَّ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ۖ يَقُولُونَ هَل لَّنَا مِنَ ٱلْأَمْرِ مِن شَىْءٍۢ ۗ قُلْ إِنَّ ٱلْأَمْرَ كُلَّهُۥ لِلَّهِ ۗ يُخْفُونَ فِىٓ أَنفُسِهِم مَّا لَا يُبْدُونَ لَكَ ۖ يَقُولُونَ لَوْ كَانَ لَنَا مِنَ ٱلْأَمْرِ شَىْءٌۭ مَّا قُتِلْنَا هَـٰهُنَا ۗ قُل لَّوْ كُنتُمْ فِى بُيُوتِكُمْ لَبَرَزَ ٱلَّذِينَ كُتِبَ عَلَيْهِمُ ٱلْقَتْلُ إِلَىٰ مَضَاجِعِهِمْ ۖ وَلِيَبْتَلِىَ ٱللَّهُ مَا فِى صُدُورِكُمْ وَلِيُمَحِّصَ مَا فِى قُلُوبِكُمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

"Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)". Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada."


Pengajaran


1. Ini adalah komentar Allah tentang tentera Islam yang berdukacita atas dukacita tentang kekalahan yang menyebabkan 70 orang syahid. Mereka sangat stres kerana mendengar berita palsu tentang kewafatan Nabi SAW. 

2. Selepas dari itu, Allah memberikan mereka ketenangan, rasa selamat yang segera, melalui rasa mengantuk yang tiba-tiba ( نُّعَاسًا ) yang menyebabkan mereka boleh tidur lena. Di dalam peperangan, tidak akan dapat 'nuas' kecuali bila Allah izinkan.

3. Satu kumpulan lagi, mereka cemas dan bersangka yang tidak betul (  ظَنَّ ٱلْجَٰهِلِيَّةِ ) terhadap Allah. Maka Allah biarkan mereka terus stres. Dalam kehidupan kita sekarang, janganlah kita bersangka buruk kepada Allah. Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang izinkan sesuatu berlaku untuk mendekatkan kita kepada-Nya.

4. Dalam hidup, pasti ada masa kita ada rasa kelam kabut atau stres dan Allah boleh beri 'nuas' ini, dengan izin-Nya. Dapat tidur dalam keadaan kelam kabut, adalah anugerah besar dari Allah.

5. Ayat ini adalah satu solusi yang boleh digunakan oleh doktor psikiatri untuk menangani kes stres, iaitu dengan menidurkan pesakit supaya mereka tenang.

6. Orang beriman mendapat ketenangan dengan pertolongan Allah.

7. Semua urusan adalah urusan Allah SWT. Golongan yang lemah iman menyalahkan Nabi SAW yang menyuruh mereka pergi berperang. Mereka mempertikaikan kekalahan dan banyak mengungkit. Bila menang, mereka mengambil kredit untuk diri mereka sendiri. Begitu juga perjuangan dalam rumah tangga atau organisasi, jangan kita menyalahkan orang lain bila berlaku sesuatu isu. 

8. Allah ingatkan bahawa malaikat maut pasti akan datang, walaupun di mana kita berada, hatta di atas katil pun.

9. Orang yang cemas dan stres ada masalah dengan iman mereka.


Ayat [3:155]

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَلَّوْا۟ مِنكُمْ يَوْمَ ٱلْتَقَى ٱلْجَمْعَانِ إِنَّمَا ٱسْتَزَلَّهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ بِبَعْضِ مَا كَسَبُوا۟ ۖ وَلَقَدْ عَفَا ٱللَّهُ عَنْهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌۭ

"Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun"


Pengajaran


1. Orang yang bersangka buruk kepada Allah mempunyai hati yang bermasaalah. 

2. Syaitan boleh menggelincirkan hati manusia yang ada banyak dosa. Dosa akan merekahkan hati dan menjadikannya  tidak kuat. Syaitan akan mudah masuk untuk menggelincirkannya. 

3. Musibah selepas berbuat dosa, ialah minat untuk buat dosa seterusnya. Kita semakin liat untuk buat kebaikan. Dosa memberi kesan kepada hati yang lemah. 

4. Untuk selesaikan isu ini orang yang berdosa mestilah banyakkan membuat kebaikan (derma, baca Quran, dll) untuk menutup rekahan hati agar syaitan tidak mudah lagi menggelincirkannya.

5. Allah Maha Pengampun Maha Penyantun. Allah mengampunkan dosa 300 orang-orang munafik yang berpatah balik kerana Allah faham mereka lemah. Begitulah sifat baik Allah. 

6. Lemah, berselisih, tidak mengikut arahan nabi dan termakan tipu daya syaitan. Itulah formula kekalahan tentera Islam. 


Ayat [3:156]

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَقَالُوا۟ لِإِخْوَٰنِهِمْ إِذَا ضَرَبُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ أَوْ كَانُوا۟ غُزًّۭى لَّوْ كَانُوا۟ عِندَنَا مَا مَاتُوا۟ وَمَا قُتِلُوا۟ لِيَجْعَلَ ٱللَّهُ ذَٰلِكَ حَسْرَةًۭ فِى قُلُوبِهِمْ ۗ وَٱللَّهُ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): "Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh". (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan."


Pengajaran


1. Allah Yang Maha Penyayang panggil dengan panggilan positif iaitu "Wahai orang-orang beriman" untuk berpesan agar kita jangan jadi seperti orang Munafik. Bila Allah panggil begini, kita kena tanya diri, betulkah kita termasuk dalam golongan orang-orang beriman.  

2. Penggunaan perkataan 'kalau' adalah teknik syaitan untuk merendahkan keimanan kepada qada' dan qadar kita. 

3. Orang munafik suka berkata 'kalau'. Contoh: Kalau tidak pergi, tentu tak mati. Elakkan menggunakan perkataan 'kalau' kerana walau apa pun berlaku, perkara itu telah berlalu kerana itu adalah qadar Allah. Yang penting kita buat yang terbaik menuju ke syurga. Semua orang boleh masuk ke syurga asalkan buat tugas iman.

4. Meninggal dalam memperjuangakan kebenaran adalah berbaloi daripada mati dalam keadaan pengecut dan bersangka buruk kepada Allah.

5. Kita mestilah beringat apa yang kita buat kerana Allah sentiasa melihat segala yang kita lakukan. 


Ayat [3:157]

وَلَئِن قُتِلْتُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَوْ مُتُّمْ لَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَحْمَةٌ خَيْرٌۭ مِّمَّا يَجْمَعُونَ 

"Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa - semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup)."


Pengajaran


1. Keampunan dan rahmat Allah adalah lebih baik daripada menghimpunkan kesenangan hidup. 

2. Allah memberikan keampunan dan rahmat kepada orang yang terbunuh di jalan Allah atas dasar iman. Kerja-kerja di rumah dan waktu bekerja di pejabat juga adalah jihad, tidak semestinya berperang sahaja. 

3. Hendaklah kita berjuang bersungguh-sungguh agar mendapat keampunan dan rahmat Allah. 

4. Bila dapat keampunan, Allah lindungi aib dan kesalahan kita (seperti memakai topeng).


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Memohon kepada Allah SWT agar sentiasa mengurniakan ketenangan dalam jiwa [3:154]

2. Elakkan dosa kerana ia memudahkan syaitan menggelincirkan perjuangan [3:155]

3. Sentiasa mencari keampunan dan rahmat Allah [3:156]


Lega kerana Allah SWT beritahu rahsia untuk ketenangan jiwa.


Saya jelas untuk sentiasa berdoa kepada Allah untuk mendapat ketenangan jiwa. Saya mesti elakkan dosa agar tidak mudah digelincirkan syaitan dan saya mesti sentiasa memohon keampunan dan rahmat Allah supaya berjaya ke syurga.


Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Ya Allah, kurniakan kami jiwa yang tenteram dan tenang. Jauhkan kami dari dosa dan hasutan syaitan. Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. 



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...