Thursday, May 4, 2023

Halaman 72 : Ali-'Imran, 3:166-173


PERKATAAN HARI INI    

  

أَصَابَ  Menimpa, mengenai

77 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


1. Beberapa kesalahan kaum mukminin pada perang Uhud dan beberapa bentuk kejahatan/kesalahan kaum munafik (165-168)

2. Kedudukan syuhada yang berjuang di jalan Allah SWT (169-173)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita bersyukur dapat mengecap keamanan bersama hidayah daripada Alah SWT. 


Pujian kepada Allah adalah sesuatu yang perlu, bukan sekadar 'mujur'. Ucapan Alhamdulillah membezakan kita dengan orang yang bukan Islam. Orang yang ada kelebihan memuji kepada Allah SWT dan tidak mengharapkan pujian daripada manusia. Sempena Hari Malaysia, kita hendak membina Malaysia yang bersyukur agar Allah terus membantu. Allah berikan kepada kita banyak nikmat, maka kita hendaklah ikut peraturan yang Allah telah tetapkan untuk kebaikan kita. Dengan mengucapkan Alhamdulillah, itulah tandanya kita orang yang beradap dengan Allah SWT.



Ayat [3:166]

وَمَآ أَصَـٰبَكُمْ يَوْمَ ٱلْتَقَى ٱلْجَمْعَانِ فَبِإِذْنِ ٱللَّهِ وَلِيَعْلَمَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

"Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera - di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman."


Pengajaran


1. Musibah yang Allah beri kepada setiap orang adalah seperti anak panah yang kena tepat pada sasarannya. 

2. Apa sahaja cabaran yang kita lalui adalah dengan izin Allah untuk melihat siapa di antara kita yang betul-betul beriman. Seperti guru yang memberi ujian kepada pelajar-pelajarnya untuk mengenalpasti prestasi anak-anak muridnya.


Ayat [3:167]

وَلِيَعْلَمَ ٱلَّذِينَ نَافَقُوا۟ ۚ وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ قَـٰتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَوِ ٱدْفَعُوا۟ ۖ قَالُوا۟ لَوْ نَعْلَمُ قِتَالًۭا لَّٱتَّبَعْنَـٰكُمْ ۗ هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَـٰنِ ۚ يَقُولُونَ بِأَفْوَٰهِهِم مَّا لَيْسَ فِى قُلُوبِهِمْ ۗ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يَكْتُمُونَ

"Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka: "Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)". Mereka menjawab: "Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)". Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan."



Pengajaran


1. Orang munafik  bercakap bukan atas dasar iman. Bercakap hanya di mulut tetapi tidak sampai ke hati. Berdalih-dalih bila mahu berbuat sesuatu. 

2. Allah tahu apa yang ada di hati manusia. Allah bongkar perangai orang munafik ini di peperangan Uhud.

3. Bumi Malaysia ini memang kita kena pertahankan dari anasir-anasir luar dan kita mempertahankan mengikut apa yang Pencipta mahu. 


Ayat [3:168]

ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ لِإِخْوَٰنِهِمْ وَقَعَدُوا۟ لَوْ أَطَاعُونَا مَا قُتِلُوا۟ ۗ قُلْ فَٱدْرَءُوا۟ عَنْ أَنفُسِكُمُ ٱلْمَوْتَ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

"Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: "Kalaulah mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh". Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar".


Pengajaran


1. Janganlah kita suka mengungkit-ungkit perkara yang telah berlaku kerana semuanya berlaku dengan izin Allah. Orang Munafik berkata kalau yang syahid itu mengikut cakap mereka, sudah tentu mereka masih hidup. Mereka suka menggunakan 'kalau'

2. Allah menemplak orang yang suka memberi alasan dalam kehidupan.



Ayat [3:169]

وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;"


Ayat [3:170]

فَرِحِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِٱلَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا۟ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

"(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."


Pengajaran Ayat 169-170


1. Allah memberitahu bahawa orang-orang yang syahid tetap hidup di sisi Tuhan, dibantu dan dimuliakan oleh Allah. Mereka sudah dalam perjalanan ke syurga. 

2. Orang yang syahid di jalan Allah bergembira. Perjuangan mereka asasnya ialah iman. Kita ingin isikan negara ini dengan keimanan. 

3. Apabila kita berjuang atau baca Quran, ia mesti diterjemahkan kepada perjuangan tetapi kita tidak menzalimi orang lain.

4. Kita tidak perlu takut untuk berjuang atas dasar iman kerana balasannya ialah syahid. 

5. Orang yang berjuang atas dasar iman tidak akan takut dan tidak bersedih sekiranya terpaksa melalui berbagai ujian dalam kehidupan.


Ayat [3:171]

يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضْلٍۢ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

"Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman."


Pengajaran


1. Allah hargai orang yang berjuang untuk kebaikan seperti belajar tadabbur. 

2. Generasi dahulu berjuang maka generasi hari ini mesti terus berjuang membawa hidayah daripada al-Quran.

3. Allah tidak mensia-siakan setiap usaha dan sokongan yang diberi untuk perjuangan ke jalan-Nya.

4. Berjuanglah atas dasar iman, bukan atas dasar bangsa atau kepentingan diri/organisasi.


Ayat [3:172]

ٱلَّذِينَ ٱسْتَجَابُوا۟ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ مِنۢ بَعْدِ مَآ أَصَابَهُمُ ٱلْقَرْحُ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ مِنْهُمْ وَٱتَّقَوْا۟ أَجْرٌ عَظِيمٌ

"Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar."


Pengajaran


1. Setiap perjuangan pasti ada sakit, disakiti atau tersakiti seperti yang berlaku kepada Nabi SAW dan sahabat-sahabat dalam Uhud.

2. Allah menjanjikan balasan yang amat besar kepada orang-orang yang berjuang kerana taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya


Ayat [3:173]

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدْ جَمَعُوا۟ لَكُمْ فَٱخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ

"Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik Pelindung (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)"


Pengajaran


1. Orang yang berjuang atas dasar iman tidak takut menghadapi apa jua rintangan. 

2. Mereka berani berjuang kerana yakin Allah adalah sebaik-baik Pelindung.

3. Berjuanglah atas dasar iman dengan bersungguh-sungguh dan serahkan segala urusan kemenangan atau tidak kepada Allah.

4. Orang Islam tidak pernah rugi. Sentiasa bersyukur atas ketentuan Allah. Yang pastinya kena taat kepada hidayah Allah. Walupun terluka, dilukai atau melukai, teruskan berjuang.


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Pelihara mulut daripada berkata yang bukan tulus dari hati untuk berjuang (167)

2. Orang yang berjuang serta syahid mendapat kurniaan Allah SWT yang besar (170)

3. Walaupun terluka, teruskan perjuangan (172) 


Lega kerana Allah SWT memberi motivasi untuk terus berjuang.


Saya jelas untuk buat amalan ikhlas untuk mendapat redha Allah semata-mata kerana yakin Allah akan berikan ganjaran yang besar. Saya mesti terus berjuang dalam keluarga, organisasi, masyarakat mengikut kapasiti saya.


Ya Allah, kurniakan kami jiwa yang tenteram dan tenang. Kurniakan kami rahmat-Mu agar ikhlas dalam semua amalan kami. Kurniakan kami semangat juang yang tinggi agar kami dapat memimpin diri, keluarga dan masyarakat untuk taat kepada hidayah-Mu. Ya Allah, tolong kami untuk mengurus hati agar tidak mudah takut dan lemah menghadapi ujian dalam hidup ini. Lindungi kami daripada bisikan nafsu dan syaitan yang melemahkan semangat kami untuk berjuang. Ya Allah matikan kami dalam husnul khatimah dan terima kami sebagai syuhadak walaupun perjuangan kami begitu kecil. 


Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...