Thursday, May 4, 2023

Halaman 73 : Ali-'Imran, 3:174-180

PERKATAAN HARI INI     

 

قَلَبَ  Berubah, berbolak balik

168 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


1. Balasan bagi yang berjuang dan ancaman menakut-nakutkan daripada syaitan [3:174-175]

2. Allah SWT hilangkan kesedihan dari hati Rasullullah SAW Setelah Perang Uhud, bantahan terhadap kaum kafir dan orang-orang yang kikir serta membezakan antara yang buruk dan yang baik [3:176-180]


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian dalam surah ali-'Imran untuk meneguhkan prinsip al-Haq dalam kehidupan seharian sebagaimana yang ditunjukkan oleh keluarga Imran. Surah al-Baqarah dan Ali-’Imran dikenali sebagai surah Az-Zahrawain, bagi menghiaskan diri kita dengan panduan-panduan daripada Allah SW untuk membina pemimpin yang mempunyai identiti teguh dan berprinsip.


Al-Fatihah mengingatkan tentang panduan daripada Allah SWT, jalan yang lurus, hidayah daripada Allah. Hidayah dan taufik ada perbezaannya. Umpama mudahnya, jika seseorang nak pergi ke TV Al Hijrah, contohnya, kita beritahu dia jalan mana yang perlu diikutinya. Itu adalah hidayah. Kita memberikan pencerahan untuk sampai ke sesuatu tempat. Bila sudah diterangkan tetapi dia masih tidak faham, kita sendiri memandunya ke arah itu. Ini taufik. 


Allah sudah berikan hidayah di dalam al-Quran. Dengan kita tilawah dan mengkaji al-Quran, kita mengharapkan Allah berikan taufiq agar kita dapat beramal dengan hidayah tersebut seperti bersolat pada awal waktu. 


Semoga kita dapat istiqamah menambah ilmu bagi meningkatkan iman dan taqwa. 


Ayat [3:174]

فَٱنقَلَبُوا۟ بِنِعْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضْلٍۢ لَّمْ يَمْسَسْهُمْ سُوٓءٌۭ وَٱتَّبَعُوا۟ رِضْوَٰنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ

"Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar."


Pengajaran


1. Orang yang menyerah diri kepada Allah akan mendapat kurniaan yang besar (فَضْلٍ) dan Allah sentiasa meilndungi mereka daripada keburukan.

2. Orang beriman sentiasa berjuang mengikut keredaan Allah (رِضْوَٰنَ ٱللَّهِ) dengan bersungguh-sungguh dalam keluarga/tempat kerja/masyarakat.

3. Allah boleh memberi kurniaan yang besar kepada orang-orang yang beriman.


Ayat [3:175]

إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَآءَهُۥ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

"Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman."


Pengajaran


1. Janganlah kita takut dan lemah hati untuk berjuang kerana itu adalah perasaan yang timbul akibat bisikan syaitan.

2. Hendaklah kita takut hanya kepada Allah dengan melaksanakan hidayah daripada al-Quran.  

3. Syaitan boleh muncul dalam dua keadaan; samada dalam jin atau syaitan dalam kalangan mamusia. 

4. Kalau kita benar-benar orang beriman, jangan mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan. 

5. Teruskan berjuang untuk mendapat redha Allah.


Ayat [3:176]

وَلَا يَحْزُنكَ ٱلَّذِينَ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْكُفْرِ ۚ إِنَّهُمْ لَن يَضُرُّوا۟ ٱللَّهَ شَيْـًۭٔا ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ أَلَّا يَجْعَلَ لَهُمْ حَظًّۭا فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

"Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar."


Pengajaran


1. Allah memberikan motivasi untuk menguatkan Nabi SAW, begitu juga untuk kita. Dalam menghadapi perjuangan hendaklah kita bersegera memohon bantuan Allah. 

2. Sekiranya ada perkara kebaikan yang hendak dibuat, kita hendaklah bersegera dan bersemangat membuatnya dan pohonlah pertolongan Allah untuk menjayakannya. 

3. Orang kufur bersegera untuk menentang Islam dan perbuatan kufur sehingga sanggup melibatkan ahli keluarga berjuang bersama mereka. 

4. Untuk menguatkan semangat juang dalam membuat kebaikan, hendaklah kita libatkan ahli keluarga untuk berjuang bersama.

5. Sebagai orang yang beriman, janganlah bersedih jika kita gagal. Kuatkan semangat supaya orang kafir tidak dapat menangguk di air keruh akibat kelemahan kita. 

6. Allah akan berikan azab yang besar kepada orang-orang yang kufur.


Ayat [3:177]

إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلْكُفْرَ بِٱلْإِيمَـٰنِ لَن يَضُرُّوا۟ ٱللَّهَ شَيْـًۭٔا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ

"Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya."



Ayat [3:178]

وَلَا يَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّمَا نُمْلِى لَهُمْ خَيْرٌۭ لِّأَنفُسِهِمْ ۚ إِنَّمَا نُمْلِى لَهُمْ لِيَزْدَادُوٓا۟ إِثْمًۭا ۚ وَلَهُمْ عَذَابٌۭ مُّهِينٌۭ

"Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak)."


Pengajaran Ayat 177-178


1. Orang-orang yang membuat kekufuran memudaratkan diri sendiri. 

2. Orang-orang kafir mungkin kaya-raya dan panjang umur. Allah menangguhkan azab bagi mereka untuk mereka menambah lagi dosa. Diberi mereka umur yang panjang tetapi sia-sia. 

3. Perbuatan dosa akan mengakibatkan dosa yang berulang dan dosa yang lebih besar sekiranya kita tidak istighfar dan bertaubat. 

4. Sekiranya kita terlibat dengan kekufuran hendaklah bersegera istighfar dan bertaubat kerana orang-orang kafir akan mendapat azab yang amat pedih daripada Allah SWT. 


Ayat  [3:179]

مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمْ عَلَيْهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلْخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى ٱلْغَيْبِ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجْتَبِى مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُ ۖ فَـَٔامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ ۚ وَإِن تُؤْمِنُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيمٌۭ

"Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar."


Pengajaran


1. Semasa perang Uhud, orang-orang beriman bercampur dengan orang Munafik di bumi Madinah. Orang Munafik buat perangai, lari dari peperangan. 

2. Realiti dalam kehidupan kita sekarang juga begitu. Kita hidup bercampur dengan manusia yang berbagai ragam. Kita tidak dapat membezakan orang munafik atau tidak kerana itu hanya boleh dibuat oleh Nabi SAW yang Allah berikan kelebihan. Itu semua adalah ujian untuk kita.  Umpama menuang beras bercampur batu ke dalam gelas. Batu akan berbunyi bila jatuh dalam gelas. Begitulah orang munafik yang hanya sekadar berbuat bising/mengganggu ketenteraman masyarakat, namun orang yang beriman pasti dapat mengasingkan diri daripada mereka dengan bantuan Allah SWT.

3. Kita mestilah ikut betul-betul hidayah Allah SWT dalam al-Quran dan ikut rapat-rapat apa yang Nabi SAW tunjukkan sebagai contoh kehidupan bermasyarakat yang baik.

4. Allah akan memberikan ganjaran yang besar kepada orang yang beriman dan bertaqwa. 



Ayat [3:180]

وَلَا يَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ هُوَ خَيْرًۭا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّۭ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا۟ بِهِۦ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ

"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?"


Pengajaran


1. Janganlah kita menjadi orang bakhil. Dalam perang Uhud, orang munafik adalah orang yang bakhil. 

2. Di akhirat nanti, harta benda atau apa saja kurniaan Allah yang dikedekutkan itu, akan dikalungkan ke leher mereka. 

3. Janganlah kita terkejar-kejar kumpulkan harta dunia atau apa saja kurniaan Allah kerana semuanya adalah milik Allah dan akan dikembalikan kepadaNya. 

4. Jangan ingatk bahawa orang yang banyak harta atau kelebihan lain itu mendapat kurniaan daripada Allah (فَضْلِهِ). Allah beri kepada siapa sahaja termasuklah Ah Chong, Ahmad dan Mutusamy.

5. Allah memberikan harta dan kurniaan lain sebagai pinjaman sahaja, maka hendaklah kita uruskan kurniaan Allah dengan baik. 

6. Gunakan harta dan kelebihan kita untuk berjuang atas jalan keadilan.

7. Berjaya kita di dunia ini adalah  kerana kurniaan Allah dan bukan kerana kehebatan kita. 

8. Allah akan berikan ganjaran yang besar kepada orang yang terus berani dan bersemangat berjuang menegakkan keadilan dalam masyarakat.

9. Allah amat tahu apa yang kita lakukan.


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Jangan mudah rasa takut dalam berjuang kerana perasaan takut itu hadir daripada syaitan [3:175]

2. Jangan tangguhkan taubat kerana ia lambang kehinaan daripada Allah SWT [3:178]

3. Elakkan bakhil kerana harta itu akan dikalungkan di leher di akhirat nanti [3:180]


Lega kerana Allah SWT memberi motivasi untuk terus berjuang menegakkan keadilan.


Saya jelas untuk berani dan bersemangat berjuang dengan panduan hidayah daripada Allah SWT. Saya mesti segera istighfar dan bertaubat sekiranya terbuat kesilapan dan saya jelas untuk bersikap pemurah dengan apa saja kurniaan Allah SWT kepada saya. 


Ya Allah, kurniakan kami keberanian untuk terus berjuang menegakkan keadilan. Jauhkan kami daripada bisikan syaitan yang menakut-nakutkan kami untuk berjuang. Kurniakan kami semangat juang yang tinggi agar kami dapat memimpin diri, keluarga dan masyarakat untuk taat kepada hidayah-Mu. Tolonglah kami untuk mengurus hati agar tidak mudah takut dan lemah menghadapi ujian dalam hidup ini. 


Ya Allah, lindungi kami daripada bisikan nafsu dan syaitan yang melemahkan semangat kami untuk berjuang dan menjadkan kami orang yang kedekut. Sesungguhnya Ya Allah, Engkaulah sebaik-baik pelindung. Ya Allah matikan kami dalam husnul khatimah dan terima kami sebagai syuhadak walaupun perjuangan kami begitu kecil. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...