Thursday, May 4, 2023

Halaman 71 : Ali-'Imran, 3:158-165



PERKATAAN HARI INI      


رَحِمَ  Mengasihi, menyanyangi, berkasih sayang

563 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   


1. Jika meninggal, dikembalikan kepada Allah SWT (158)

2. Perlakuan lemah lembut Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat, dengan memaafkan, mengajak bermusyawarah dan janji mendapatkan pertolongan (159-160)

3. Keadilan Nabi Muhammad SAW dalam pembahagian harta rampasan perang dan tugas baginda dalam memperbaiki umat (161-164)

4. Kalah ini dari mana? (165)

Mukadimah


Alhamdulillah, pada hari ini kita masih diberikan kesempatan bernafas, menghirup oksigen yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk mendalami hidayah agar Allah pimpin kita hingga sampai ke syurga.


Surah al-Fatihah yang diulang-ulang baca mengingatkan kita untuk menjadi umat Alhamdulillah. 


Ayat [3:158]

وَلَئِن مُّتُّمْ أَوْ قُتِلْتُمْ لَإِلَى ٱللَّهِ تُحْشَرُونَ

"Demi sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan)."


Ayat 157, Allah mengingatkan yang jika terbunuh di jalan Allah, pasti akan mendapat rahmat dan keampunan dari-Nya. Tentera Islam kalah dalam peperangan Uhud di pusingan kedua kerana tidak mengikut arahan Nabi SAW. 70 orang Islam mati syahid. Nabi amat sedih. Contoh: Di tempat kerja, jika ada staf kita tidak mengikut peraturan yang mengakibatkan berlaku kesilapan sehingga ada yang meninggal. Apakah tindakan yang perlu dibuat?


Ayat [3:159]

فَبِمَا رَحْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ 

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."


Pengajaran Ayat 158-159


1. Allah memberitahu bahawa semua orang yang mati akan kembali kepada-Nya.

2. Ayat 159 mengajar bagaimana kita perlu mensikapi pekerja atau orang lain di bawah tanggung jawab kita. Tanpa rahmat Allah, kita tidak mampu bersikap lembut kepada mereka (لِنتَ لَهُمْ). Contohnya, anak pecahkan gelas mahal dari Korea. Ibu yang tidak lemah lembut, pasti marah berpanjangan. Sampai merotan. Itu bukan contoh ibu yang mendapat rahmat. 

3. Allah ingatkan bahawa orang yang mendapat rahmat-Nya akan bersikap lemah lembut kepada orang lain dalam semua keadaan. 

4. Kalau kita bersikap kasar dan keras hati, orang akan lari (ٱنفَضُّوا۟) daripada kita.

5. Orang yang lembut hatinya akan melakukan empat perkara berikut walaupun orang lain membuat kesalahan:

a. Maafkan kesalahan mereka 

b. Mohon keampunan bagi mereka. Nabi SAW memohon ampun untuk para sahabat di Bukit Ruman.

c. Bermesyuarat dengan mereka

d. Bertawakkal kepada Allah. Allah suka kepada orang yang tawakkal kepada-Nya. 

6. Manusia boleh sahaja berubah dengan doa dan rahmat Allah SWT

7. Mohon rahmat dari Allah, mohon ampun atas kesalahan kita kerana kita juga banyak dosa dan supaya kita mudah pula memaafkan orang. 

8. Allah tahu memang tidak mudah untuk memaafkan orang lain bila disakiti. Sebab itu Allah beritahu yang Dia Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya. 


Ayat [3:160]

إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."


Pengajaran


1. Kalau Allah menolong, tiada siapa yang boleh menghalang. 

2. Kalau Allah tidak menolong, tiada siapa dapat menolong. 

3. Kita tidak mampu untuk mengubah orang lain, tapi Allah ingatkan kita supaya berserah diri dengan berdoa kepada-Nya. 


Ayat [3:161]

وَمَا كَانَ لِنَبِىٍّ أَن يَغُلَّ ۚ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍۢ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

"Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya)."


Pengajaran


1. Allah beritahu kita bahawa Nabi SAW tidak pernah berlaku khianat (يَغُلَّ). Allah melindungi Nabi SAW kerana orang munafik mempersoalkan integriti Nabi SAW dengan mengatakan Baginda SAW menggelapkan harta rampasan perang.  

2. Janganlah kita bersikap seperti orang munafik yang suka menuduh atau membuat konspirasi terhadap orang lain. 

3. Menuduh orang yang tidak bersalah adalah satu bentuk pengkhianatan.

4. Orang yang berbuat khianat akan dipersoalkan di akhirat.

5. Setiap orang akan diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang dilakukan.

6. Allah tidak menzalimi sesiapa.


Ayat [3:162]

أَفَمَنِ ٱتَّبَعَ رِضْوَٰنَ ٱللَّهِ كَمَنۢ بَآءَ بِسَخَطٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

"Adakah orang yang menurut keredaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan dari Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."


Pengajaran


1. Tidak sama orang yang mendapat keredaan Allah dengan orang yang mendapat kemurkaan-Nya. 

2. Orang yang mati dalam keadaan yang tidak diredhai Allah akan mendapat balasan neraka Jahanam. 

3. Neraka Jahanam adalah seburuk-buruk tempat kembali.


Ayat [3:163]

هُمْ دَرَجَـٰتٌ عِندَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا يَعْمَلُونَ

"Mereka itu (yang menurut keredaan Allah, dan yang mendapat kemurkaanNya), mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan."


Pengajaran


1. Orang yang berbuat baik, ada tingkatan darjat-darjatnya. Begitu juga dengan orang yang berbuat keburukan. 

2. Allah Maha Melihat segala yang kita kerjakan.

3. Setiap orang akan ada cabaran/ujian tersendiri kerana Allah mahu membersihkan hati dan iman kita.

4. Latih hati untuk tidak mengharapkan manusia. 

5. Allah melihat kita menzalimi sesiapa, Allah tahu dan Dia tidak akan berdiam.


Ayat [3:164]

لَقَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًۭا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍ

"Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."


Pengajaran


1. Allah utuskan Nabi SAW sebagai satu nikmat yang besar kepada kita kerana Baginda SAW mengajar kita al-Quran untuk menyucikan jiwa daripada kesesatan.

2. Al-Quran adalah kurniaan besar yang dapat memberi solusi kepada apa sahaja masalah kita.


Ayat [3:165]

أَوَلَمَّآ أَصَـٰبَتْكُم مُّصِيبَةٌۭ قَدْ أَصَبْتُم مِّثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّىٰ هَـٰذَا ۖ قُلْ هُوَ مِنْ عِندِ أَنفُسِكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

"(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."


Pengajaran


1. Perang Badar menyaksikan ramai orang musyrik terbunuh. Dalam Perang Uhud pula Islam kalah sehingga 70 orang tentera Islam syahid. 

2. Ujian/kegagalan adalah kerana kelemahan diri kita. 

3. Peperangan adalah perjuangan yang besar tetapi kita juga ada perjuangan dalam keluarga, di pejabat, organisasi dan masyarakat.

4. Sahabat dilatih oleh Nabi SAW, tetapi Baginda tetap berlemah lembut bila mereka tersilap.  

5. Ketua/pemimpin mestilah memilih kaedah berlemah lembut untuk menangani sebarang isu.

6. Segala musibah yang berlaku telah disusun oleh Allah tetapi kesilapan kita lah yang menyebabkan sesuatu itu berlaku. Kita bertanggung jawab membaiki kesilapan yang dibuat.

7. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

8. Al-Quran turun untuk orang yang banyak cabaran dan musibah untuk membersihkan mereka dari dosa.


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Jika ada konflik, maafkan, mohon ampun, ajak bermesyuarat diikuti dengan tawakkal [3:159]

2. Elakkan bersikap khianat [3:161]

3. Rebut anugerah Allah dengan mendalami al-Quran [3:164]


Lega kerana Allah SWT beritahu cara menangani konflik.


Saya jelas untuk maafkan, mohon ampun, mesyuarat dan tawakkal bila ada konflik. Saya mesti elakkan bersikap khianat dan mesti rebut anugerah Allah dengan mendalami al-Quran.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. 


Ya Allah, kurniakan kami jiwa yang tenteram dan tenang. Kurniakan kami rahmat-Mu agar kami dapat bersikap lemah lembut dalam menguruskan konflik. Jauhkan kami dari bersikap khianat. Ya Allah, bantu kami untuk mendalami al-Quran dan beramal dengannya sehingga hujung nyawa kami. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...