PERKATAAN HARI INI
رَادَ / رَوَدَ Berkehendak
148 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Cara melayan isteri dalam Islam, larangan menghalanginya untuk menikah lagi, larangan mengambil sebahagian maharnya dan melayani isteri dengan baik [4:19-21]
- Para kerabat wanita yang menjadi mahram [4:22-23]
Mukadimah
Alhamdulillah kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah al-Nisa' yang memperjuangkan hak dan keadilan wanita dalam keluarga dan masyarakat serta membincangkan tentang pembinaan sebuah keluarga agar semuanya dapat masuk syurga bersama. Kita mestilah berjuang untuk mempromosikan al-Quran seperti pemuda hujung bandar yang dikisahkan dalam surah Yasin. Dia berjuang bersungguh-sungguh menyokong ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi pada masa itu sehingga mati syahid.
Pengajaran daripada al-Fatihah dan surah-surah yang sudah dipelajari hendaklah dibawa ke dalam solat agar kita mendapat kemanisan dan kekhusyukkan dalam solat. Al-Fatihah mengingatkan kita kepada Allah ar-Rahman ar-Rahim, yang penuh kasih sayang.
Dalam surah al-Nisa', Allah mengangkat kedudukan wanita dan kita perlu mengikut Allah dan Nabi SAW yang berjuang untuk menaikkan status wanita dalam masyarakat. Lelaki dan wanita sama sahaja di sisi Allah SWT. Yang mulianya ialah kerana takwa.
Kita adalah umat yang sangat bertuah diberi mukjizat al-Quran yang membenarkan kitab-kitab terdahulu. Pusaka yang kita warisi ini mestilah diikut panduan-panduannya agar dapat menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Daripada halaman-halaman lepas kita telah pelajari:
- Galakkan membuat wasiat (tidak boleh lebih daripada 1/3 harta) dan kewajipan menyelesaikan hutang sebelum faraid.
- Formula pembahagian pusaka mengikut faraid.
- Bahagia dan membanyakkan ahli keluarga ( وَعَاشِرُوهُنَّ ) adalah seruan daripada Allah SWT.
- Mesti bergaul dengan isteri dan ahli keluarga secara baik. Jangan hanya melihat sisi buruk pasangan.
- Dua perkara yang mesti dijaga:
- Faraid yang diperjuangkan oleh Allah.
- Mahar yang diberi, jangan diambil balik.
Ayat [4:20]
وَإِنْ أَرَدتُّمُ ٱسْتِبْدَالَ زَوْجٍۢ مَّكَانَ زَوْجٍۢ وَءَاتَيْتُمْ إِحْدَىٰهُنَّ قِنطَارًۭا فَلَا تَأْخُذُوا۟ مِنْهُ شَيْـًٔا ۚ أَتَأْخُذُونَهُۥ بُهْتَـٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا
"Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?
Pengajaran
- Allah ingatkan kepada para suami, kalau terpaksa berpisah dan kahwin dengan wanita lain, janganlah ambil balik harta/hadiah yang telah diberikan.
- Jangan berbuat zalim ( بُهْتَٰنًا ) dengan memfitnah isteri buat perkara keji bertujuan untuk ambil balik harta/hadiah yang telah diberikan.
- Orang yang berbuat zalim itu berdosa yang nyata.
- Lelaki yang hendak kahwin mesti berusaha betul-betul cari mahar untuk diberi kepada wanita. Bukan sekadar bagi kurma seperti sahabat Nabi SAW kerana situasi kita amat berbeza pada zaman ini.
- Bapa dan bakal bapa mertua mestilah melatih anak lelaki dan bakal menantu dengan pasakkan panduan dari surah al-Nisa' supaya hak anak perempuan terjaga dan anak lelaki terhindar daripada dosa yang nyata.
Ayat [4:21]
وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُۥ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍۢ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَـٰقًا غَلِيظًۭا
"Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?"
Pengajaran
- Allah bertanya "kenapa mahu mengambil balik hadiah yang telah diberi sedangkan suami telah berjanji ( مِّيثَٰقًا ) untuk ambil tanggung jawab menjaga isteri daripada walinya."
- Suami akan dipersoalkan tentang tanggung jawabnya oleh Allah SWT.
- Isteri juga boleh persoalkan tanggung jawab suami terhadapnya.
- Suami yang tidak bertanggung jawab terhadap isteri dan keluarga sebenarnya mempermain-mainkan perjanian dengan Allah terhadap amanah yang telah diberikan oleh wali ketika akad nikah.
- Kursus nikah mesti bincang ayat ini supaya bakal suami sedar tanggung jawab perjanjian nikah amat berat.
- Ayah-ayah yang ada anak perempuan mesti faham peranan memindahkan amanah terhadap anak perempuannya kepada menantu.
- Walaupun perasaan sayang telah berubah, tetapi jangan sekali-kali membenci wanita yang pernah dinikahi sehingga sanggup merampas balik hadiah yang telah diberi, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya.
Ayat [4:22]
وَلَا تَنكِحُوا۟ مَا نَكَحَ ءَابَآؤُكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَمَقْتًۭا وَسَآءَ سَبِيلًا
"Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan)."
Pengajaran
- Ayat ini adalah panduan bahawa tidak boleh menikahi bekas isteri ayah.
- Suami yang ada ramai isteri, mestilah memperkenalkan kepada ahli keluarga lain. Jika tidak, dikhuatiri, ada yang kahwin tanpa diketahui, bersilang-silang dan merosakkan nasab.
- Jangan memilih jalan yang amat buruk dan yang Allah benci. Bila mahu berkahwin, kenalah 'macho' dan jangan takut untuk berjumpa bakal mertua, cakap dan bincang elok-elok.
- Bapa mertua boleh temuduga dan bimbing bakal menantu untuk memastikan nasab keturunan dan agar dia dapat betul-betul berpegang kepada akad nikah (perjanjian yang berat).
Ayat [4:23]
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا
"Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Pengajaran
- Allah memberi panduan terperinci tentang mahram (orang yang haram dinikahi). Semua orang yang beriman mesti ambil berat tentang perkara ini.
- Diharamkan mengahwini:
- Ibu-ibumu. Termasuk saudara perempuan ibu/bapa (ibu saudara) dan ibu susuan.
- Anak-anak perempuan. Termasuk anak-anak saudara.
- Adik-beradik perempuan termasuk adik-beradik susuan.
- Anak tiri daripada isteri yang sedang dinikahi.
- Bekas isteri anak (bekas menantu).
- Adik beradik isteri yang sedang dinikahi.
- Daftarkan ibu susuan agar tidak berlaku keadaan kahwin dengan anak ibu susuan.
- Ayah ibu mesti perkenalkan saudara-mara dan semua ahli keluarga (sekiranya berkahwin lebih daripada satu) supaya tidak berlaku pernikahan yang diharamkan oleh Allah SWT.
- Kesilapan yang lebih besar ialah apabila kita tidak kenal ahli keluarga sehingga berlaku pernikahan yang diharamkan oleh Allah SWT.
- Hal perkahwinan ini mesti jelas kerana ia berkaitan dengan formula harta faraid dan dikhuatiri termakan harta anak yatim.
- Allah Maha Pengampun Maha Penyayang jika hamba-Nya tersilap.
- Surah al-Nisa' amat menjaga hubungan sesama manusia.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Uruskan konflik dalam rumah tangga dengan takwa [4:20]
2. Sedar dan pelihara perjanjian yang berat dalam rumah tangga [4:21]
3. Fahami siapa yang haram dinikahi kerana ia ada kaitan dengan perwarisan harta [4:23]
Lega kerana Allah SWT jelaskan kaedah urus konflik dalam rumah tangga.
Saya jelas untuk urus konflik rumah tangga dengan takwa. Saya mesti pelihara perjanjian semasa akad nikah dan ajarkan kepada ahli keluarga. Saya juga mesti perkenalkan anak cucu kepada saudara mara dan yang terlibat dalam golongan mahram.
Ya Allah, bantu kami untuk urus rumah tangga dengan takwa. Berilah kefahaman dan kesedaran kepada kami supaya kami dapat laksanakan tanggung jawab dalam rumah tangga seperti yang Engkau kehendaki. Jauhi kami daripada kejahilan dan hindari kami daripada berbuat kemungkaran.
Ya Allah ampuni kami, terimalah taubat kami. Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.