Thursday, June 1, 2023

Halaman 100 Al-Nisa', 4:135-140

 Perkataan hari ini          

قَسَطَ   Adil dengan tepat

26 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS   


  1. Adil dalam menegakkan hukum dan menjalankan peradilan, memberikan kesaksian dengan benar [135]

  2. Beriman kepada Allah, rasul dan kitab-kitab Samawi [136]

  3. Sifat-sifat orang munafik [137]

  4. Balasan untuk orang munafik [138]

  5. Sikap orang munafik terhadap orang-orang mukmin [139-140]


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi innayah, peluang untuk sama-sama meneruskan pengajian di halaman ke-100.  Ini adalah satu kurniaan dari Allah SWT seperti yang tersebut di dalam Surah Yunus, 10:58. 


قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا۟ هُوَ خَيْرٌۭ مِّمَّا يَجْمَعُونَ


"Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".


Semoga kita semua telah mendapat manfaat daripada ayat-ayat dan perkataan-perkataan yang telah kita pelajari.  Mudah-mudahan kita mendapat syafaat daripada al-Quran yang kita baca dan juga mendapat syafaat Rasulullah SAW yang menyampaikan al-Quran kepada kita. 


Surah al-Fatihah sudah kita ulang 100 kali di dalam program ini selain 17 kali yang kita baca di dalam solat. Jangan jemu kerana ini adalah satu booster (pemangkin) yang melonjakkan semangat kita. Bila kita baca al-Fatihah dengan bacaan dan fahaman yang betul, ia memberi semangat kerana hati kita ada empat lapis:

  1. Sadr - Ini adalah lapisan luar yang ada positif dan negatifnya. Syaitan membisikkan perkara negatif dan malaikat pula membisikkan perkara yang positif.

  2. Qalb - Lapisan kedua ini berbolak balik. Kadang-kadang ok, kadang-kadang tak ok.

  3. Fu'ad - Lapisan ketiga ini mengawal semangat dan perasaan kita. Ada orang menggunakannya untuk bersemangat yang tinggi kepada Allah dan ada juga semangat untuk 'membawang'. Sebab itu Allah peringatkan dalam surah al-Humazah, orang yang suka mengumpat akan dibakar hingga ke fu'ad (afidah) dalam neraka.

  4. Lubb - Ini adalah lapisan yang paling dalam. Hamka sebut sebagai hati nurani. Bila kita membaca al-Quran, sebenarnya kita sedang memasukkan hidayah dan kata-kata baik ke dalam lapisan ini. Kalau selalu membaca al-Quran, ia akan memberi pencerahan kepada lapisan-lapisan lain yang di luarnya. Kita akan jadi orang yang dapat menerima hakikat kehidupan. Boleh beri respon dan kalau tersilap, cepat-cepat minta ampun daripada Allah SWT.



Ayat [4:135]


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ بِٱلْقِسْطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ أَوِ ٱلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَٱللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلْهَوَىٰٓ أَن تَعْدِلُوا۟ وَإِن تَلْوُۥٓا۟ أَوْ تُعْرِضُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا


"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."


Mesej:


  1. Allah menyeru kepada orang-orang yang beriman. Menurut Ibnu Mas'ud, para sahabat akan terus memberi perhatian bila terjumpa ayat yang dimulakan begini. 

  2. Allah menyuruh kita perjuangkan keadilan (ٱلْقِسْطِ) iaitu menjadi saksi yang menerangkan kebenaran kerana Allah. 

  3. Kita tidak boleh cenderung kerana diri sendiri, mak ayah atau saudara mara kita walaupun yang diadili itu adalah orang kaya atau miskin. Allah SWT lebih tahu apa yang lebih penting. 

  4. Setiap nilai dan peraturan dalam al-Quran mestilah dipatuhi kerana kedua-duanya penting. Contoh: Dalam zaman COVID ini, kita mesti ada nilai untuk menjaga kebersihan diri dan ikut peraturan pakai pelitup muka.

  5. Janganlah kita mengikut  ٱلْهَوَىٰٓ kerana ia menyebabkan kita menyimpang daripada keadilan (pilih kasih/pilih bulu). Kalau kita ikut al-Quran kita akan ikut tali yang lurus. Kalau ikut  ٱلْهَوَىٰٓ, tali yang lurus boleh tersimpul-simpul sehingga kita hilang punca. 

  6. Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan samada kita meletakkan fakta yang tidak betul atau tidak mahu menjadi saksi padahal kita ada kebenaran yang mesti disampaikan.

  7. Langit dan bumi ini cantik kerana Allah meletak pada qadar-Nya. Kalau kita hendak pastikan masyarakat kita cantik, tenteram dan aman untuk kita hidupi, maka kita kena perjuangkan keadilan. Kalau kita tidak dapat keadilan daripada Allah, hidup kita akan susah. Begitulah kita kena susun kehidupan ini supaya kehidupan kita dalam keluarga dan masyarakat menjadi cantik. 

  8. Janganlah kita bersikap pilih bulu atau pilih geng kerana ini akan merosakkan negara, negeri dan keluarga kita.



Ayat [4:136]


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَٱلْكِتَٰبِ ٱلَّذِى نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَٱلْكِتَٰبِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ مِن قَبْلُ وَمَن يَكْفُرْ بِٱللَّهِ وَمَلَٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَٰلًۢا بَعِيدًا


"Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."


Mesej:


  1. Allah memerintahkan kita supaya semak iman kita kepada al-Quran dan kitab-kita terdahulu. 

  2. Allah ingatkan kita agar jangan ingkar kepada Allah, malaikat, kitab dan rasul kerana orang yang ingkar itu jauh tersesat.

  3. Kadang-kadang kita ini rasa kita sudah beriman (secara zahir) tetapi di dalam kita kena semak lagi apakah kita benar-benar beriman. 

  4. Orang yang kufur dengan Allah, malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul dan hari akhirat, akan dapat dikesan oleh malaikat. Di dunia ini bolehlah lepas, di akhirat tidak akan terlepas. Semua video perbuatan dan amalan kita akan dipaparkan. 

  5. Kita perlu bina sifat adil ini dalam penjawat awam, pemimpin-pemimpin dan semua orang.  Sedarlah bahawa Allah memerhati. Maka hendaklah kita berlaku adil. Rasul memperjuangkan keadilan ini. 

  6. Peraturan adil ini bukan hanya disampaikan dalam al-Quran, tetapi dalam semua kitab terdahulu (Taurat, Zabur dan Injil). 



Ayat [4:137]


إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ثُمَّ كَفَرُوا۟ ثُمَّ ءَامَنُوا۟ ثُمَّ كَفَرُوا۟ ثُمَّ ٱزْدَادُوا۟ كُفْرًا لَّمْ يَكُنِ ٱللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلَا لِيَهْدِيَهُمْ سَبِيلًۢا


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar."


Mesej:


  1. Keadilan adalah satu perjuangan. Orang yang memilih bulu tandanya ia ada masalah iman. 

  2. Orang munafik ini daftar nama sebagai Islam. Namun keimanan-nya bertukar-tukar ikut waktu. Hanya pada waktu tertentu beriman jika ada kepentingan. Di waktu lain mereka kufur. Mereka umpama lalang. Mereka lemas dan semakin lemas kerana kekufuran mereka.

  3. Semangat kita akan semakin rendah disebabkan kita tidak mempercayai kepada apa yang kita imankan. 

  4. Allah tidak akan memberi keampunan dan tidak akan beri hidayah kepada orang munafik. 



Ayat [4:138]


بَشِّرِ ٱلْمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا


"Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;"


Mesej:


  1. Allah perli orang munafik dengan memperingatkan mereka bahawa mereka akan disiksa dengan azab yang pedih.

  2. Dalam masyarakat kita, jangan kita beri kepercayaan kepada orang yang ada sifat Munafik iaitu orang yang tiada integriti.



Ayat [4:139]


ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلْكَٰفِرِينَ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلْعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا


"(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya)."



Mesej:


  1. Jika kita ada pilihan, pilihlah pemimpin beriman. Orang yang benar-benar beriman akan memperjuangkan keadilan dan kebenaran. 

  2. Kemuliaan sebenarnya datang daripada Allah SWT. Ada orang kafir di zaman Nabi SAW dahulu yang menyokong orang Islam kerana hendakkan penyokong. Kita tidak perlu sokongan orang-orang yang tidak menuju kepada keimanan, kebaikan dan keadilan. 

  3. Keadilan bukan untuk orang Islam semata-mata. Kisah Tu'mah menunjukkan Allah suruh kita perjuangkan keadilan tidak mengira ugama atau bangsa. 

  4. Adil itu tanda keimanan dan ia perlu diperjuangkan dalam kehidupan. 



Ayat [4:140]


وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلْكِتَٰبِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا۟ مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا۟ فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦٓ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلْمُنَٰفِقِينَ وَٱلْكَٰفِرِينَ فِى جَهَنَّمَ جَمِيعًا


"Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam."


Mesej:


  1. Allah ingatkan kita agar jauhkan diri daripada menjadi orang Munafik atau mendekati orang Munafik kerana mereka: 

    1. Ingkar pada al-Quran. Ayat Allah jangan dikufuri.

    2. Memperolok-olokkan al-Quran. Jangan kaitkan sifat buruk orang lain dengan ayat-ayat Allah.

  2. Jangan duduk dengan orang munafik. Dosanya sama dengan apa yang mereka lakukan. Mereka memperlekehkan orang yang belajar agama dan hukum Allah.  

  3. Jika ada kekurangan pada orang-orang Islam, hendaklah kita perbaiki, jangan kita rendah-rendahkan.

  4. Allah akan kumpulkan orang Munafik dan orang kafir dalam neraka jahannam kerana semasa di dunia mereka berkumpul untuk memperolok-olokkan ayat-ayat Allah. Mereka adalah orang-orang yang rugi.

  5. Pastikan kita perjuangkan keadilan dan pilih kawan.


RESOLUSI MTQ140


Ingat !!

  1. Bangkit memperjuangkan keadilan [135]

  2. Jauhkan berdolak dalik dalam iman [137-138]

  3. Jangan duduk bersama dengan orang yang memperolokan agama Allah [140]


Lega kerana Allah SWT beri motivasi untuk memperjuangkan keadilan dan ingatkan supaya pilih kawan.


Saya jelas untuk bangkit memperjuangkan keadilan dan menjauhkan diri daripada berdolak-dalik dalam iman. Saya mesti elakkan diri daripada duduk bersama dengan orang yang memperolokkan agama Allah.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam hidup kami. 


Ya Allah, bantu kami untuk memperjuangkan keadilan. Jauhkan kami daripada menjadi orang yang berdolak-dalik dalam iman. Tetapkan hati kami dalam agama-Mu. Pelihara kami daripada berkawan dengan orang Munafik dan orang kafir. 


Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.




Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...