Perkataan hari ini
خَافَ / خَوَفَ Takut, bimbang
124 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
Perdamaian suami isteri kerana adanya sikap nusyuz dan berlaku adil di antara para isteri [128-130]
Kepunyaan Allah-lah hakikat milik alam semesta dan kesempurnaan kuasa serta kehendak pahala dunia dan akhirat [131-134]
Mukaddimah
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kita bertemu lagi untuk membincangkan kitab Allah yang menjadi sumber peraturan dan hidayah di dalam kehidupan kita yang penuh cabaran dan ujian. Itu adalah asam garamnya. Bila kita berpandukan kepada hidayah, in sya Allah, kita akan dipimpin di jalan yang lurus, jalan orang yang telah diberi nikmat.
Kita membaca al-Fatihah memohon jalan yang lurus seperti Nabi. Kita mengikut Nabi, bukanlah bermakna Nabi SAW tidak ada masalah. Nabi SAW menghadapi banyak cabaran. Al-Quran memberi panduan kepada baginda bagaimana hendak menguruskan cabaran-cabaran tersebut. Itulah yang membezakan antara orang beriman dengan yang tidak beriman. Ujian hadir pada semua orang.
Pada halaman lepas kita telah bincang isu-isu tentang wanita yang ditanya oleh para sahabat kepada Baginda SAW dan Allah menjawab. Allah mengangkat kedudukan wanita yang dahulu di zaman jahiliah, dianggap second class. Kalau kita kembalikan semua kepada al-Quran, anak perempuan kita akan terbela.
Ayat [4:128]
وَإِنِ ٱمْرَأَةٌ خَافَتْ مِنۢ بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا وَٱلصُّلْحُ خَيْرٌ وَأُحْضِرَتِ ٱلْأَنفُسُ ٱلشُّحَّ وَإِن تُحْسِنُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
"Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan."
Mesej:
Isteri boleh perjuangkan perdamaian sekiranya suami nusyuz (perilaku buruk, kasar) atau إِعْرَاضًا iaitu berpaling (tidak melayani ). Contoh: Suami tidak layan isteri kerana ada orang baru atau rumah lain.
Allah ingatkan manusia memang ada tabiat bakhil dan murah ٱلشُّحَّ. Hendaklah suami isteri bertolak ansur, dahulukan Allah kerana Dia yang lebih tahu. Buat yang terbaik dan cuba baiki kesilapan.
Kalau ada perselisihan suami isteri, usahakan perdamaian. Jika perlu, panggil hakim untuk usaha mendamaikan.
Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan.
Ayat [4:129]
وَلَن تَسْتَطِيعُوٓا۟ أَن تَعْدِلُوا۟ بَيْنَ ٱلنِّسَآءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا۟ كُلَّ ٱلْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَٱلْمُعَلَّقَةِ وَإِن تُصْلِحُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
"Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Mesej:
Perhatian untuk orang yang terlibat dengan poligami! Allah nyatakan bahawa tidak mungkin seorang lelaki berlaku adil di antara isteri-isterinya walaupun dia bersungguh-sungguh hendak berlaku adil.
Suami perlu jaga hatinya supaya tidak melampau dalam menguruskan keadilan. Janganlah cenderung kepada mana-mana isteri sehingga ada yang digantung tak bertali .
Suami hendaklah baiki keadaan (islah) dan jangan zalimi mana-mana isteri.
Suami isteri hendaklah cari titik pertemuan, bukan titik permusuhan. Jika tidak boleh juga, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Daripada sirah Nabi SAW: Saidina Ali pernah teringin nak berkahwin satu lagi. Disuarakan kepada Baginda SAW. Jawapan Baginda SAW "Jika engkau menyakiti Fatimah, ia umpama engkau menyakitiku". Lalu Saidina Ali terus melupakan hasratnya.
Ayat [4:130]
وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ ٱللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِۦ وَكَانَ ٱللَّهُ وَٰسِعًا حَكِيمًا
"Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana."
Mesej:
Sekiranya suami isteri tidak boleh berdamai, boleh berpisah sebagai jalan keluar yang Allah ajarkan.
Perbalahan suami isteri menyebabkan rasa gelap dalam rumahtangga. Jalan keluar dari kegelapan itu adalah dengan berpisah.
Allah akan cukupkan untuk masing-masing kerana Allah Maha Luas limpah kurnianya lagi Maha Bjaksana.
Ayat [4:131]
وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَلَقَدْ وَصَّيْنَا ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَإِن تَكْفُرُوا۟ فَإِنَّ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَكَانَ ٱللَّهُ غَنِيًّا حَمِيدًا
"Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah; dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji"
Mesej:
Allah yang memiliki segalanya. Suami bukan milik isteri, isteri pun bukan milik mutlak suami.
Janganlah menyelesaikan masalah dengan cara sendiri. Mohon bantuan Allah. Kita perlukan Allah untuk tolong kita uruskan konflik.
Sebagai orang yang bertaqwa hendaklah kita ikut peraturan Allah bila berlaku perceraian.
Jangan bersedih hati bila bercerai kerana kita kena ingat bahawa segalanya milik Allah.
Allah Maha Kaya, Maha Terpuji. Allah boleh berikan kekayaan harta atau kekayaan hati dengan syarat kita kekalkan sifat-sifat terpuji dan terus membina takwa. Walaupun berpisah, kita tidak hina di sisi Allah selagi kita bertakwa.
Ayat [4:132]
وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا
"Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan cukuplah Allah sebagai Pengawal (yang mentadbirkan dan menguasai segala-galanya)"
Mesej:
Allah memujuk lagi orang yang berpisah. Sekali lagi Allah mengingatkan kita bahawa segalanya adalah milik-Nya.
Allah ingatkan, walaupun perlu berpisah, jangan sedih, cukuplah Dia sebagai penjaga kita.
Ayat [4:133]
إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ أَيُّهَا ٱلنَّاسُ وَيَأْتِ بِـَٔاخَرِينَ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ ذَٰلِكَ قَدِيرًا
"Jika Allah menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Ia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu."
Mesej:
Jangan stress sangat dengan apa yang berlaku kerana hidup ini adalah daerah ujian.
Allah boleh musnahkan kita bila-bila masa seperti yang berlaku kepada umat terdahulu, tetapi Allah beri peluang untuk kita melakukan pembaikan.
Suami bukan milik mutlak isteri, isteri pun bukan milik mutlak suami. Allah boleh sahaja menggantikan pasangan kita dengan yang lain. Yang pentingnya kita terus bertakwa kepada-Nya.
Ayat [4:134]
مَّن كَانَ يُرِيدُ ثَوَابَ ٱلدُّنْيَا فَعِندَ ٱللَّهِ ثَوَابُ ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًۢا بَصِيرًا
"Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."
Mesej:
Allah memberi motivasi kepada suami isteri supaya ada mindset 'bina keluarga bukan sekadar untuk dunia, mesti kaitkan hingga sampai akhirat'.
Jika kita inginkan kesempurnaan di dunia, isteri begini, suami begini, memang kita akan kecewa. Manusia memang ada kelemahan dan kekuatan masing-masing.
Ganjaran di akhirat itu adalah lebih besar. Teruskan doa dan usaha yang terbaik.
Allah tahu apa yang kita mahu dan Allah juga mahu melihat usaha-usaha kita untuk mendapatkannya.
Jangan zalim dalam pengurusan keluarga. Doa orang yang dizalimi dimakbulkan Allah seperti yang tersebut di dalam hadis At Thabrani. Daripada Khuzaimah b Tsabit, " Jagalah diri kamu dari doa orang yang teraniaya kerana doanya akan diangkat ke atas awan".
Jangan hanya mengharap pasangan berubah. Baiki diri sendiri. Terus berdoa, pentingkan Allah. Ingatlah antara ayam dengan telur, Allahlah yang lebih penting.
Alam ini cantik, kerana Allah menyusunnya dengan cantik dan adil. Jika kita mahu kehidupan yang cantik, maka susunlah juga ia dengan cantik dan adil. Adil bermaksud, meletakkan sesuatu pada tempatnya.
RESOLUSI MTQ137
Ingat !!
Berkomunikasi dengan baik bersama pasangan [128]
Sering baiki dan kuatkan takwa untuk membina sifat adil dalam keluarga [129]
Jangan ingkar pada Allah kerana kita perlukan Allah, bukan sebaliknya [131]
Lega kerana Allah SWT ajar cara tenangkan hati bila ada konflik rumah tangga.
Saya jelas untuk berkomunkasi dengan baik bersama suami. Saya mesti baiki dan kuatkan takwa untuk membina sifat adil dalam keluarga. Saya juga mesti elakkan ingkar pada Allah kerana saya amat perlukan Allah.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam hidup kami.
Ya Allah, bantu kami untuk berkomunikasi dengan baik dalam keluarga. Tunjukkan kami jalan untuk kuatkan takwa agar kami dapat berlaku adil dalam keluarga. Jauhi kami dari ingkar kepada-Mu. Kami amat memerlukan bantuan dan bimbingan daripada-Mu agar kami berjaya di dunia dan juga di akhirat. Pimpin keluarga kami di jalan yang benar agar kami berjaya masuk syurga sekeluarga.
Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.