Thursday, June 1, 2023

Halaman 101 Al-Nisa', 4:141-147

 Perkataan hari ini          

رَبَصَ  Menunggu, menanti

17 kali disebut di dalam al-Quran.




SINOPSIS   


  1. Talam dua muka (141)

  2. Beberapa sikap orang-orang munafik yang lain dan hukuman mereka (142-143)

  3. Larangan menjalin ketaatan dengan orang-orang kafir (144-147)



Mukaddimah


Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada Allah SWT yang memberi kita innayah bantuan untuk meneruskan pembelajaran pada halaman akhir dalam Juz Kelima. Kita mahu menjemput hidayah, nur daripada Allah agar minggu ini dan hari-hari akan datang dipenuhi dengan cahaya hidayah daripada Allah SWT. Ini adalah fadhol Allah SWT dan harapnya inilah rahmat dan kasih sayang  daripada Allah. Kita sudah melepasi halaman 100, sudah pastinya kita ingin mengucapkan syukur yang benar kepada Allah SWT.


Bacaan al-Fatihah mengingatkan kita ini amat memerlukan hidayah daripada Allah SWT apatah lagi bila kita belajar dalam surah al-Nisa' ini ada satu kumpulan manusia yang tertulis ugamanya sebagai Islam tetapi rupa-rupanya mereka adalah Munafik yang Allah akan berikan balasan yang amat dahsyat .


Sebelum ini kita berbincang tentang ciri orang-orang munafik iaitu orang yang ada virus dalam hatinya. Seawal Surah al-Baqarah lagi Allah telah menceritakan tentang orang yang hati-nya hidup pada ayat 1-5. Orang yang hati-nya mati pada ayat 6-7 dan hati yang sakit pada ayat 8, 9 hingga ayat 20. 


Ayat [4:141]


ٱلَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمْ فَإِن كَانَ لَكُمْ فَتْحٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ قَالُوٓا۟ أَلَمْ نَكُن مَّعَكُمْ وَإِن كَانَ لِلْكَـٰفِرِينَ نَصِيبٌۭ قَالُوٓا۟ أَلَمْ نَسْتَحْوِذْ عَلَيْكُمْ وَنَمْنَعْكُم مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۚ فَٱللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَلَن يَجْعَلَ ٱللَّهُ لِلْكَـٰفِرِينَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا


"(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)". Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman."


Mesej:


  1. Allah SWT mengingatkan kepada kita, orang munafik bersifat talam dua muka. Mereka suka menunggu apa yang berlaku kepada Nabi SAW dan orang-orang beriman pada waktu itu. Begitu juga di zaman ini. Bila dapat berita kemenangan daripada Allah mereka berkata "aku ini bersama kamu."  Bila bersama orang kafir, mereka berkata "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman". 

  2. Orang Munafik suka kawal orang lain ( نَسْتَحْوِذْ ). Jadi, hendaklah kita berhati-hati dengan rakan taulan. Munafik tidak tertulis di kad pengenalan mereka. Lahiriahnya mereka nampak seperti Islam. Namun, jangan pula kita mudah melabel orang. Hanya Allah yang tahu siapa orang Munafik. Mereka akan dihakimi oleh Allah di akhirat.

  3. Allah tidak akan beri peluang kepada orang Munafik dan orang kafir untuk memusnahkan orang beriman. 


Ayat [4:142]


إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَـٰدِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوٓا۟ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُوا۟ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلًۭا


"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)."


Mesej:


  1. Orang Munafik suka bagi mesej tak betul. Allah tidak menyiksa mereka di dunia. Mereka mengatakan mereka membawa misi keamanan, tetapi merekalah yang membawa kepada kerosakan. 

  2. Orang yang hatinya sakit kerana ada virus Munafik, mereka malas hendak solat. Kalau solat pun, tujuannya untuk menunjuk-nunjuk. Orang munafik tidak suka solat Isyak  kerana orang tidak nampak.  Contoh: Ketika solat itu, tujuannya bukan kerana Allah tetapi untuk kepentingan sendiri, seperti mahu mendapatkan undi atau kerana hendakkan jawatan. Bila sudah dapat, tidak lagi pergi berjemaah. Berhati-hatilah supaya kita tidak ada ciri-ciri munafik.


Ayat [4:143]


مُّذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَٰلِكَ لَآ إِلَىٰ هَـٰٓؤُلَآءِ وَلَآ إِلَىٰ هَـٰٓؤُلَآءِ ۚ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ سَبِيلًۭا


"Mereka berkeadaan "muzabzab" (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya."


Mesej:


  1. Janganlah kita jadi seperti orang munafik yang bersifat seperti lalang, tidak ada pendirian ( مُّذَبْذَبِينَ ). 

  2. Orang yang tidak ada pendirian adalah seperti syaitan. Syaitan memang suka kita tidak ada pendirian. 

  3. Allah memberi hidayah kepada semua manusia. Orang yang sesat adalah salah diri mereka sendiri kerana mereka ego dan tidak sedar diri sebagai hamba. Maka Allah biarkan.

  4. Sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, tidak ada jalan keluar bagi mereka. Mereka ingat mereka buat baik, tetapi sebenarnya terperangkap, terpusing-pusing di tempat sama. 

  5. Semak diri kita ada tak perangai seperti orang Munafik ini. Kalau ada, tinggalkan. Allah akan pimpin orang yang sentiasa semak diri untuk buang perangai-perangai Munafik dan kafir dalam diri. 


Ayat [4:144]


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلْكَـٰفِرِينَ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۚ أَتُرِيدُونَ أَن تَجْعَلُوا۟ لِلَّهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَـٰنًۭا مُّبِينًا


"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?"


Mesej:


  1. Allah ingatkan kita supaya jangan mengambil orang kafir sebagai pemimpin. Iaitu orang yang sudah diajak kepada Islam tetapi tetap memusuhi orang beriman.

  2. Janganlah kita memilih pemimpin yang pada nama atau kad pengenalannya Islam tetapi tidak betul-betul beriman ( ٱلْمُؤْمِنِينَ ). Contoh: Mereka tidak sokong orang buat baik, atau ambil kesempatan atas orang beriman. 

  3. Janganlah kita sewenang-wenangnya memanggil orang yang tidak Islam sebagai kafir selagi kita tidak berusaha mengajak mereka kepada Islam. Mereka itu disebut jahil. Jika kita telah mengajak mereka, menerangkan kepada mereka tetapi mereka tetap ingkar, itu baru kita kata kafir.

  4. Kalau pilih juga orang kafir sebagai pemimpin, Allah akan menghukum sekiranya kita tidak ada alasan yang jelas nyata.

  5. Hendaklah kita berusaha untuk sampaikan Islam secara hikmah kepada orang yang bukan Islam agar kita tidak dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti.


Ayat [4:145]


إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ فِى ٱلدَّرْكِ ٱلْأَسْفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا


"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka."


Mesej:


  1. Orang Munafik akan ditempatkan pada tingkat paling bawah ( ٱلْأَسْفَلِ  ) dalam neraka. 

  2. Tiada siapa dapat menolong orang yang diazab oleh Allah. Ini adalah kerana semasa di dunia mereka tidak langsung menolong ugama Allah.

  3. Kita tidak mahu menjadi orang munafik dan diazab Allah.



Ayat [4:146]


إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ وَأَصْلَحُوا۟ وَٱعْتَصَمُوا۟ بِٱللَّهِ وَأَخْلَصُوا۟ دِينَهُمْ لِلَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۖ وَسَوْفَ يُؤْتِ ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَجْرًا عَظِيمًۭا


"Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (ugama) Allah, serta mengerjakan ugama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar."


Mesej:


  1. Allah memberikan panduan untuk tidak menjadi munafik: 

    1. Bertaubat

    2. Baiki diri

    3. Berpegang teguh kepada tali Allah iaitu al-Quran

    4. Bersihkan niat berbuat sesuatu hanya  kerana Allah (Ikhlaskan amalan)

  2. Orang yang berbuat 4 perkara di atas akan mendapat pahala yang besar dan ditempatkan bersama-sama orang beriman di dalam syurga.

  3. Bersihkan diri dengan berinteraksi dengan Allah secara peribadi, renung semula ayat-ayat al-Quran, ambil tindakan seperti yang Allah kehendaki, maka kita akan lebih dekat kepada Allah dan dapat berpegang dengan lebih kuat kepada tali Allah.  


Ayat [4:147]


مَّا يَفْعَلُ ٱللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَءَامَنتُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًۭا


"Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)."


Mesej:


  1. Allah tidak akan menyiksa kita sekiranya kita bersyukur dan beriman. 

  2. Kalau kita bersyukur dan beriman, Allah akan kurniakan kita keluarga dan masyarakat yang penyayang dan bahagia.

  3. Kalau tidak bersyukur, kita akan mula bersifat lalang dan menjadi talam dua muka. Contoh: bersyukurlah dengan suami/isteri, dengan anak-anak, dengan staf/bos dan dengan kawan-kawan.

  4. Allah amat menghargai hamba-Nya. Kalau kita bersyukur, Allah lebih-lebih lagi bersyukur dengan kita dan akan tambah nikmatnya. 

  5. Orang munafik sentiasa tidak berpuas hati dengan Allah, walaupun mereka telah diberi-Nya cahaya iman. 

  6. Allah amat mengetahui keadaan hamba-hambanya.



RESOLUSI MTQ141


Ingat !!

  1. Berjaga-jaga dengan orang munafik yang ada virus iman dalam hati (141)

  2. Solat dengan penuh sedar dan bertanggungjawab, bukan malas (142)

  3. Sentiasa bertaubat agar terhindar daripada sifat munafik dalam diri (146)


Lega kerana Allah SWT beri penawar hati yang sakit agar tidak menjadi seperti orang Munafik yang hatinya sakit.


Saya jelas untuk berjaga-jaga dengan orang Munafik. Saya mesti kuatkan diri dengan vaksin solat, bertaubat, baiki diri dan ikhlas dalam amalan agar tidak jadi seperti Munafik.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam hidup kami. 


Ya Allah, jauhi kami daripada sifat-sifat Munafik. Ya Allah, jadikanlah kami orang yang bertaubat, solat, baiki diri dan ikhlas dalam amalan. Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...