Friday, June 2, 2023

Halaman 117 Al-Ma'idah, 5:51-57

 

PERKATAAN HARI INI

   

تَوَلَّىٰ  Berpaling

78 kali disebut dalam al-Quran






SINOPSIS  


  1. Menjalin ketaatan (al-Wala') dengan kaum Yahudi dan Nasrani [5:51-53]
  2. Golongan murtad dan permusuhan serta kebencian mereka terhadap kaum muslimin  [54-56]
  3. Pilih pemimpin yang tidak mengejek atau menghina agama [5:57]







Mukaddimah

 

Kita bersyukur pada hari ini kita diberi inayah untuk teruskan tilawah al-Quran. Kita telah belajar banyak daripada al-Quran. Melihat satu demi satu ayat, walaupun secara ringkas, harapnya bermanfaat bagi kita. Semoga kita dapat terus tadabbur bersama ustaz-ustaz lain juga untuk mendalami hidayah daripada Allah SWT.

 

Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana. Dia lah yang mengajar kita segala ilmu. Jika kita bergantung kepada kebijaksanaan Allah, maka kita juga akan menjadi bijaksana, Insya Allah. Jangan bosan membaca al-Fatihah untuk memohon hidayah daripada Allah SWT. Hidayah adalah hadiah. Setiap hari bila kita  mendapat hadiah daripada Allah, tentu kita gembira. Jadi, minta banyak-banyak daripada Allah.

 

Salah satu petanda permintaan kita Allah kabulkan ialah kita ada al-Quran sebagai sumber hidayah dan kita dibenarkan membuka satu demi satu halaman daripada kotak hidayah ini. Teruskan sebar al-Quran kerana tanggungjawab ini bukan hanya pada rasul tetapi bagi kita juga yang beriman kepada rasul. Semoga dengan kita berkongsi ilmu al-Quran, Allah izinkan kita bersama-sama Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti.

 

Pada halaman lepas, Allah mengingatkan kepada kita bahawa hukum jahiliyah atau cara fikir mereka itu bukanlah kaedah yang sepatutnya. Sebenarnya kita kena mengambil panduan daripada Allah SWT. Cara berfikir jahiliah ke belakang. Mereka merasakan hukum dalam al-Quran tidak releven untuk zaman sekarang, tidak kena mengena dengan bisnes, keluarga, COVID19, negeri dan negara. Biarkan urus tertentu di masjid, biarkan pemimpin dengan urusan mereka. Itu cara berfikir kristian yang memisahkan gereja dengan kehidupan sebenar. Yahudi dan Nasrani ada kitab tetapi mereka tidak mahu mengikut malah mendustakan  kitab.

 

Ayat [5:51]

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰٓ أَوْلِيَآءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۢ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُۥ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

 

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim."

 

Pengajaran:


  1. Allah melarang orang beriman mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin paling tinggi untuk melindungi segala perkara urusan dunia kita sampai akhirat. Tidak mengapa kita berkawan dan hidup bersama-sama dengan mereka.
  2. Musuh yang paling besar ialah musuh akidah. Bumi ini milik Tuhan. Jangan bermusuh denganTuhan.
  3. Allah bongkarkan bahawa Yahudi dan Nasrani saling tolong-menolong antara satu sama lain. Walaupun Yahudi menuduh Maryam membuat perkara keji kerana melahirkan anak di luar nikah. Nasrani pula mengatakan Yahudi memang sesat dan perlu dihapuskan. Sesama mereka bermusuh tetapi untuk menentang Islam mereka boleh bersatu.
  4. Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang zalim. Zalim ada kaitan dengan  ظـلم  'zulm - gelap'. Maksudnya bila ada cahaya dapat kemenangan, dapat kitab al-Quran tapi kita masih lagi pilih kepada pemimpin seperti Yahudi dan Nasrani untuk menguruskan kehidupan dunia akhirat, ini adalah orang yang zalim.

 

Ayat [5:52]

 

فَتَرَى ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌۭ يُسَـٰرِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَىٰٓ أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٌۭ ۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن يَأْتِىَ بِٱلْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍۢ مِّنْ عِندِهِۦ فَيُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَآ أَسَرُّوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ نَـٰدِمِينَ

 

"Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: "Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya."

 

Pengajaran

 

  1. Allah beritahu bahawa orang yang ada penyakit dalam hati (Munafik) bersegera mendampingkan diri kepada Yahudi dan Nasrani. Contoh: Ada orang yang jadi tali barut kepada penjajah.
  2. Orang Munafik akan kecewa kerana mereka ini talam dua muka. Kita tidak mahu ini berlaku kepada kita. Hendaklah kita pegang kebenaran kepada keimanan.

Ayat [5:53]

 

وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَهَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ أَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ ۙ إِنَّهُمْ لَمَعَكُمْ ۚ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فَأَصْبَحُوا۟ خَـٰسِرِينَ

 

"Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman berkata: "Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya, bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu?" Telah gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka: orang-orang yang rugi."

 

Pengajaran

 

  1. Orang Munafik mengucap dua kalimah syahadah tetapi mereka menikam daripada belakang.
  2. Janganlah kita suka bersumpah. Habis amal dan kita menjadi orang yang rugi.

Ayat [5:54]

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِۦ فَسَوْفَ يَأْتِى ٱللَّهُ بِقَوْمٍۢ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَآئِمٍۢ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ ٱللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

 

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya."

 

Pengajaran

 

  1. Murtad bukan hanya yang keluar dari Islam. Lebih daripada itu, ada yang masih Islam tetapi dari segi imannya ia terkeluar daripada standard yang Allah kurniakan.
  2. Allah ingatkan, sesiapa yang murtad, Dia akan gantikan dengan orang yang mempunyai ciri-ciri yang menepati standard Allah
  3. 5 ciri yang perlu kita semak samada kita menepati standard yang Allah kurniakan:
    • Allah mencintai mereka, mereka mencintai-Nya. Allah cinta kita, Allah beri masa lebih kepada kita. Tanda kita cinta kepada Allah, kita bagi masa lebih kepada Allah. Semoga kita yang peruntukkan masa untuk al-Quran ini Allah terima sebagai tanda cinta kita kepada-Nya. Kita tahu bahawa Allah sedang memberi kepada kita.
    • Berlemah lembut ( أَذِلَّةٍ ) terhadap orang beriman. Sanggup digunakan/dimanfaatkan oleh orang-orang beriman.
    • Menunjukkan ketegasan ( أَعِزَّةٍ ) kepada orang-orang yang bermusuh dengan Islam. Kita bertegas kerana akidah. Akhlak dengan sopan santun.
    • Bersungguh-sungguh dalam kebaikan pada jalan Allah. Baca Quran sungguh-sungguh, masak sungguh-sungguh, uruskan kerja sungguh-sungguh. Jangan main-main.
    • Tidak takut cercaan. Orang kutuk pun, asalkan pada kebaikan, kita tidak takut kerana kita diberikan kurniaan ( فَضْلُ ) Allah.
  4. Allah boleh beri kurniaan-Nya kepada sesiapa sahaja. Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui.

 

Ayat [5:55]

 

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَٰكِعُونَ

 

"Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)."

 

Pengajaran

  1. Allah tegaskan bahawa penolong orang-orang beriman hanyalah Allah dan Rasul-Nya.
  2. Iman mesti ada isinya. Orang beriman mendirikan solat dan menunaikan zakat.
  3. Hubungan dengan Allah ialah solat. Hubungan dengan manusia yang wajibnya ialah zakat, yang lebihnya ialah sedekah dan infak. Kalau kita guna banyak masa untuk solat dan guna banyak masa untuk cari duit dan akhirnya kita bagi zakat, itu tandanya kita ini betul-betul cinta kepada Allah SWT. Kena balance juga. Ada orang suka solat tapi tak suka tolong orang. Ada orang suka tolong orang tapi tak suka solat. Yang penting, Allah mencintai kita. Allah spends time, sentiasa bersama dengan kita, 24 jam. Kita sahaja yang selalu lupa. Berdoalah agar jangan kita dibiarkan menguruskan urusan kita sendiri walaupun satu detik tanpa bantuan-Nya.
  4. Tanda kita betul-betul cinta pada Allah, dirikan solat dan berusaha bersungguh-sungguh mencari harta supaya dapat menunaikan zakat. Umat Islam adalah umat yang berusaha untuk dapatkan banyak harta untuk lebih banyak lagi kita membantu kepada masyarakat.

Ayat [5:56]

 

وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فَإِنَّ حِزْبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْغَـٰلِبُونَ

 

"Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang."

 

Pengajaran

 

  1. Sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman sebagai penolong mereka itulah orang yang akan menang. Mereka digelar  حِزْبَ ٱللَّهِ.  Semua orang ada peluang jadi kumpulan حِزْبَ ٱللَّهِ.
  2. Tanda kita bersama dengan Allah ialah kita tilawah al-Quran.
  3. Tanda kita bersama Rasul ialah kita mengikut sunnah baginda.
  4. Tanda kita bersama orang beriman ialah kita mendirikan solat, menunaikan zakat dengan lima ciri yang ada pada ayat 54.


Ayat [5:57]

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَكُمْ هُزُوًۭا وَلَعِبًۭا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَٱلْكُفَّارَ أَوْلِيَآءَ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

 

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman."

 

Pengajaran

 

  1. Allah mengingatkan kita agar janganlah mengambil orang yang suka mempersendakan agama sebagai pemimpin paling tinggi.
  2. Hendaklah kita bertakwa kepada Allah jika kita orang-orang beriman.
  3. Semoga kita jadi Islamic frontliners yang tidak buat lawak pada perkara-perkara agama.


















RESOLUSI

 

Ingat !!


  1. Jangan jadikan sumber kepimpinan dalam kalangan Yahudi dan Nasrani [5:51]
  2. Selalu mengharapkan perlindungan Allah dan orang beriman [5:52]
  3. Menjadi pembela agama dengan sifat tegas dalam berkasih sayang [5:54]

Lega kerana Allah SWT sentiasa cintakan saya sekiranya saya cintakan Allah dan Rasul dan orang-orang beriman.

 

Saya jelas untuk tidak jadikan sumber kepimpinan dalam kalangan Yahudi dan Nasrani. Saya mestilah selalu mengharapkan perlindungan Allah dan orang beriman. Saya jelas untuk menjadi pembela agama dengan sifat tegas dalam berkasih sayang.

 

Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami jadikan sumber kepimpinan dalam kalangan orang Yahudi dan Nasrani dan orang-orang yang ada sifat seperti mereka. Ya Allah, lindungi kami daripada kesesatan dan kebuntuan. Semoga kami menjadi pembela agama dengan sifat tegas dalam berkasih sayang. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


 





















































































































Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...