Friday, June 2, 2023

Halaman 118 Al-Ma'idah, 5:58-64

 

PERKATAAN HARI INI 


 نَادَى  Menyeru, memanggil dengan kuat atau tegas.

53 kali disebut dalam al-Quran



SINOPSIS  

  1. Kejahatan Yahudi dan musuh Allah terhadap Islam dan muslimin dan balasan Allah SWT terhadap orang yang derhaka [58-60]
  2. Sikap orang beriman dan berilmu terhadap kejahatan yang dilakukan orang Yahudi dan munafik [61-63]
  3. Ucapan buruk yang disampaikan orang Yahudi terhadap Allah SWT [5:64]


Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita bersyukur dapat meneruskan pengajian pada halaman 118. Kita berdoa agar hidayah ini terus mencerahkan kita pada hari ini. Halaman ini adalah amat istimewa sebagai hidayah untuk kita menguruskan kejayaan dan kemenangan dalam hidup kita. Allah SWT membawakan kisah Yahudi dan Nasrani untuk panduan kita bersama.  Al-Quran ini adalah mukjizat, ada perintah, ada larangan, ada ibrah. Kita memohon untuk sama-sama diberi panduan.

 

Kita membaca Surah al-Fatihah untuk memohon hidayah dari Allah.  Sepanjang pengajian kita, berkali-kali Allah sebutkan Yahudi dan Nasrani. Mereka merupakan dua kaum yang diberikan kitab tetapi mereka berpaling dan memperolok-olokkan kitab yang diturunkan oleh Allah SWT. Kita tidak mahu menjadi seperti orang Yahudi yang dimurkai dan Nasrani yang disesatkan. Pada halaman lepas, Allah mengingatkan kita supaya jangan mengambil sebagai pemimpin dalam kehidupan dalam kalangan orang yang memperolokkan Islam. 

 


Ayat [5:58]

 

وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ ٱتَّخَذُوهَا هُزُوًۭا وَلَعِبًۭا ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌۭ لَّا يَعْقِلُونَ

 

"Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang

 

  1. Azan adalah seruan daripada Allah SWT. Ia tidak wajar diperolok-olokkan. Azan adalah syiar untuk kita ingat kepada Allah SWT. Orang yang tertekan, ada penyakit atau cabaran akan merasa tenang bila dapat nikmat mendengar azan.
  2. Orang yang mengejek-ejek azan adalah kaum yang tidak berakal. Jangan ambil ringan seruan daripada Pencipta.
  3. Nabi SAW ajak solat adalah untuk menuju kepada kejayaan kerana solat adalah tempat untuk kita mengadu minta pertolongan daripada Allah SWT.

 

Ayat [5:59]

 

قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ هَلْ تَنقِمُونَ مِنَّآ إِلَّآ أَنْ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلُ وَأَنَّ أَكْثَرَكُمْ فَـٰسِقُونَ

 

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu, dan kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang orang yang fasik".

 

Pengajaran

 

  1. Allah perintahkan kita supaya nyatakan kepada ahli kitab yang kita tidak mengganggu mereka pun. Apa yang kita buat adalah kerana kita beriman kepada Allah dan beriman kepada al-Quran dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya.
  2. Orang yang beriman akan mengamankan orang disekelilingnya termasuk orang yang bukan Islam.
  3. Bila ada iman, kita akan menegur kepada perkara yang tidak benar. Itulah yang tidak disukai oleh orang fasik, iaitu mereka yang derhaka kepada Allah SWT. Mereka tidak suka orang lain ikut peraturan.


Ayat [5:60]


قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّۢ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِ ۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ وَجَعَلَ مِنْهُمُ ٱلْقِرَدَةَ وَٱلْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ شَرٌّۭ مَّكَانًۭا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ

 

"Katakanlah: "Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul".


Pengajaran

  1. Allah memberitahu 4 ciri orang yang mendapat balasan yang lebih teruk daripada orang fasik:
    • Yang dilaknat oleh Allah SWT.
    • Yang dimurkai oleh Allah dan manusia.
    • Dijadikan mereka kera dan khinzir. Pernah berlaku kepada orang Yahudi yang tidak mematuhi peraturan hari Sabtu. Ini adalah kerana mereka suka mencebik (seperti kera) pada Nabi dan suka benda yang buruk-buruk (seperti khinzir), sapu apa saja dirasakan menguntungkan diri mereka seperti rasuah dan perkara yang haram.
  2. Penyembah taghut.
  3. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan lebih sesat dari jalan yang betul.
  4. Perkataan مَّكَانًا itu penting untuk kita beri perhatian iaitu kita kena cari kawan-kawan yang tidak menjemput laknat dan kemurkaan Allah. Contoh: Jangan berkawan dengan orang yang sibuk bekerja hingga tak baca Quran.

 

Ayat [5:61]

 

وَإِذَا جَآءُوكُمْ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَقَد دَّخَلُوا۟ بِٱلْكُفْرِ وَهُمْ قَدْ خَرَجُوا۟ بِهِۦ ۚ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا۟ يَكْتُمُونَ

 

"Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi atau munafik itu) datang kepada kamu, mereka berkata: "Kami telah beriman". Padahal sesungguhnya mereka itu masuk menemui kamu dengan kekufurannya, dan sesungguhnya mereka keluar (dari sisi kamu) dengan kekufurannya juga; dan (hendaklah mereka ingat), Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan."

 

Pengajaran

  1. Orang-orang Yahudi atau Munafik bersifat talam dua muka. Bila berada dengan Nabi mereka kata mereka beriman padahal mereka kufur. Mereka hendakkan manfaat dunia tapi tidak mahu kembali kepada Allah SWT.
  2. Janganlah kita bersifat sepert mereka.
  3. Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan.


Ayat [5:62]

 

وَتَرَىٰ كَثِيرًۭا مِّنْهُمْ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ وَأَكْلِهِمُ ٱلسُّحْتَ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

 

"Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan."

 

Pengajaran

  1. Orang yang suka melekehkan solat akan memberi kesan psikologi kepada orang itu untuk lakukan 3 perkara:
    • melakukan dosa
    • melakukan permusuhan
    • mudah memakan yang haram
  2. Hati kita ini mesti diasah supaya tidak menjadi seperti orang   Munafik ini.
  3. Allah tegaskan bahawa itu adalah perbuatan yang amat buruk. Contoh: Zaman sekarang perbuatan buruk ini adalah seperti Cyber troopers yang suka untuk membawa kepada permusuhan. Suka bincang untuk buat perkara-perkara dosa. Hendaklah kita membina iman dan menjaga solat agar terjauh daripada tiga amalan ini.





Ayat [5:63]

 

لَوْلَا يَنْهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلْأَحْبَارُ عَن قَوْلِهِمُ ٱلْإِثْمَ وَأَكْلِهِمُ ٱلسُّحْتَ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ

 

"Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendita-pendita mereka melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan."

 

Pengajaran

  1. Ayat ini memberi fokus kepada 2 golongan penting dalam masyarakat Yahudi:
    • Rabbaniyyun - Orang yang selalu memberi ceramah kepada masyarakat Yahudi.
    • Ahbar - Pendeta/orang akademik yang banyak ilmu.
  2. Mereka suka berbincang perkara dosa yang membawa kepada permusuhan dan memakan yang haram. Contoh: Mereka mengatakan riba itu halal bagi orang lain tetapi bukan untuk orang Yahudi. Mereka suka mengenakan orang lain.
  3. Allah mengingatkan kepada ulamak dan orang yang ada ilmu agama agar jangan hanya berdiam diri bila ada orang buat salah. Golongan rabbaniyun dan ahbar kaum Yahudi berdiam diri bila ada orang atasan buat salah. Mereka takut tergugat kedudukan. Mereka juga dibayar oleh orang atasan.
  4. Allah ingatkan sebenarnya tugas orang yang ada ilmu agama adalah amat tinggi iaitu menegur kepada masyarakat yang mungkin bercakap perkara dosa atau berbuat perkara-perkara tidak halal.
  5. Perkataan يَصْنَعُونَ contohnya seperti jurutera yang membuat kilang, mereka faham cara membina sistem untuk memastikan umat tidak terlibat dengan dosa dan perkara haram dalam kalangan pemimpin sampai kepada orang bawah
  6. Penceramah-penceramah agama peranannya adalah menjadi 'engineer' (jurutera) kepada manusia. Mereka bertanggungjawab membina masyarakat yang bersistem. Jika umat masih lagi suka bermusuhan, berbuat dosa, tugas penceramah/ustaz/ustazah adalah untuk menyusun anak-anak murid supaya bersifat kritikal untuk reengineer  masyarakat secara bersistem. 


 

Ayat [5:64]

 

وَقَالَتِ ٱلْيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغْلُولَةٌ ۚ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا۟ بِمَا قَالُوا۟ ۘ بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيْفَ يَشَآءُ ۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًۭا مِّنْهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ طُغْيَـٰنًۭا وَكُفْرًۭا ۚ وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ ٱلْعَدَٰوَةَ وَٱلْبَغْضَآءَ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ كُلَّمَآ أَوْقَدُوا۟ نَارًۭا لِّلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا ٱللَّهُ ۚ وَيَسْعَوْنَ فِى ٱلْأَرْضِ فَسَادًۭا ۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ

 

"Dan orang-orang Yahudi itu berkata: "Tangan Allah terbelenggu (bakhil - kikir)", tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan."

 

Pengajaran

  1. Allah menemplak golongan rabbaniyyun dan ahbar yang ada ilmu tapi untuk simpan sendiri. Mereka tidak membina umat sehingga umat pada waktu itu sanggup mengatakan yang batil kepada Allah.
  2. Orang Yahudi dilaknat oleh Allah SWT kerana mereka mengatakan yang tidak betul mengenai Allah SWT.
  3. Mereka tidak mahu menerima Al-Quran. Ini menjadikan mereka bertambah derhaka dan kufur kepada Allah SWT dan Allah tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat.
  4. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya. Mereka terus menerus melakukan kerosakan di muka bumi.
  5. Nikmat dan kurniaan Allah amat luas kepada hamba-Nya. Allah tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan. 


RESOLUSI

 

Ingat !!


  1. Syiar solat perlu diperkasakan dan jangan direndahkan [ 5:58]
  2. Berhujah dengan jelas, bukan dengan asabiyah [5:59]
  3. Menegur kesalahan dan jangan diam  menbisukan diri, terutama yang berilmu [5:63] 

Lega kerana Allah SWT akan beri nikmat ketenangan kalau saya solat.

 

Saya jelas untuk perkasakan solat. Saya mesti berhujah dengan jelas, bukan asabiyah. Sebagai orang yang berilmu, saya mesti berani menegur kesalahan dan tidak boleh berdiam diri

 

Ya Allah, bantu kami untuk memperkasakan solat. Ya Allah, bimbing kami untuk berhujah dengan jelas, bukan dengan asabiyah. Ya Allah, pimpin kami dengan iman agar kami menjadi umat yang sentiasa menyeru kepada kebaikan dan tidak menuju kepada dosa, permusuhan dan memakan perkara yang tidak halal. Ya Allah, tunjuki kami sistem terbaik untuk membina masyarakat agar kami semua menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.




 

 



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...