Friday, June 2, 2023

Halaman 116 Al-Ma'idah, 5:46-50

 

PERKATAAN HARI INI 


         

قَفَا  / قَفَوَ   Mengutus dan meneruskan

5 kali disebut di dalam Al Quran





SINOPSIS  

 

1.     Diwajibkan kaum Nasrani menerapkan hukum berdasarkan Injil [46-47]

2.     Menerapkan hukum berdasarkan syariat al-Quran [48-50]





Mukaddimah

 

Kita bersyukur kepada Allah SWT, kerana Allah memberi peluang kita terus belajar daripada halaman 116, Surah al- Ma'idah. Kita memulakan dengan surah al-Fatihah untuk memohon hidayah daripada Allah SWT. Salah satu point penting apabila kita memohon hidayah ialah Allah memberi kepada kita kitab. Dalam halaman ini Allah memberitahu sifat istimewa kitab. 

 

Pada ayat 44 kita telah membincangkan tentang siapa yang tidak mahu ikut peraturan daripada kitab Allah mereka itu kufur. Mereka memilih undang-undang lain daripada undang-undang Allah. Pada ayat 45, kalau mereka telah setuju untuk ikut undang-undang Tuhan tetapi tidak mahu melaksanakannya, mereka itu orang-orang yang zalim. Mereka tidak adil.

 

Ayat [5:46]

 

وَقَفَّيْنَا عَلَىٰٓ ءَاثَـٰرِهِم بِعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ مُصَدِّقًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ ٱلْإِنجِيلَ فِيهِ هُدًۭى وَنُورٌۭ وَمُصَدِّقًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ وَهُدًۭى وَمَوْعِظَةًۭ لِّلْمُتَّقِينَ

 

"Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa."

 

Pengajaran

 

  1. Isa anak Maryam bukanlah terpisah daripada Yahudi atau legasi nabi-nabi sebelum itu seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Yaakob, Nabi Yusuf, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Semua Nabi menyampaikan Tauhid kepada Allah SWT. Nabi Isa juga meneruskan legasi ini.
  2. Allah menekankan perkara ini kepada orang Nasrani kerana mereka merasakan bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan. Bani Israel pula mengatakan mereka tidak menerima Isa kerana baginda dituduh anak luar nikah dan  bukan berkaitan dengan mereka. Padahal Nabi Isa adalah satu susur galur yang sama dengan mereka.
  3. Nabi Muhammad SAW meneruskan perjuangan tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu dan membenarkan kitab-kitab sebelumnya.
  4. Dalam Taurat ada perlembagaan ataupun undang-undang. Injil bukan perlembagaan. Ia meneruskan sahaja. Peranan injil sebagai hidayah dan cahaya seperti Taurat dan ia menjadi petunjuk dan pengajaran kepada orang-orang yang bertakwa.
  5. Ayat ini menceritakan tentang peranan wahyu yang diteruskan risalahnya daripada nabi-nabi terdahulu kepada Nabi Isa a.s. dan diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW.
  6. Kalau kita bertakwa, mementingkan Allah dalam kehidupan, insya Allah kita akan mendapat cahaya, nasihat dan hidayah daripada Allah SWT. Inilah formula orang terdahulu dan formula untuk kita sekarang. Kalau kita minta cahaya dan nasihat daripada Allah, Allah akan hantar orang-orang tertentu untuk memberi nasihat, dan nasihat itu kembali kepada Allah.
  7. Kalau kita nak nasihat orang atau sebagai konsultan, pastikan nasihat itu ada asasnya dalam al-Quran agar kita tidak jadi seperti orang-orang terdahulu.

Ayat [5:47]

 

وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ ٱلْإِنجِيلِ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فِيهِ ۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

 

"Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik."

 

Pengajaran:

 

  1. Allah ajar seni untuk berinteraksi dengan orang Kristian dan Yahudi. Jika mereka mengikut kitab Injil atau Taurat, pastikan ikut kitab yang asli seperti yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Isa dan Nabi Musa. Jika tidak, mereka tergolong sebagai orang fasik.
  2. Fasik ialah orang yang derhaka. Dia tidak ikut kepada nilai-nilai yang Allah berikan dalam kehidupan. Orang Kristian percaya Nabi Isa adalah saviour/penyelamat bagi seluruh manusia. Itu bukan nilai yang betul.
  3. Orang derhaka bukannya tidak ada kitab tetapi mereka tidak menghargai nilai dalam kitab. Nilai hanya boleh difahami apabila kita belajar berperingkat-peringkat dan kena diuji kefahaman tentang isi kitab supaya kita boleh beramal dengan tepat.

 

Ayat [5:48]

 

وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ مُصَدِّقًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلْحَقِّ ۚ لِكُلٍّۢ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةًۭ وَمِنْهَاجًۭا ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ وَلَـٰكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِى مَآ ءَاتَىٰكُمْ ۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًۭا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

 

"Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya."

 

Pengajaran:

 

  1. Allah menyatakan Dia turunkan al-Quran dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan kitab-kitab terdahulu.
  2. Kita mesti bersemangat menyampaikan mesej al-Quran kerana al-Quran adalah al-Haq (ٱلْحَقِّ) iaitu:
    • Al-Quran adalah kebenaran yang mutlak.
    • Al-Quran menunjukkan tujuan/purpose dalam hidup kita. Kita adalah hamba yang menuju kepada Allah SWT, ada akhirat dan kita akan kembali kepada Allah. Dalam kitab-kitab bukan Samawi, seperti buku-buku motivasi, tidak ada menyebut pasal akhirat. Hanya kitab agama Samawi (Injil, Taurat dan al-Quran) yang ada menyebut tentang akhirat.
  3. Perkataan مُهَيْمِنًا (melindungi) bermakna al-Quran adalah asas ukuran/benchmark untuk menentukan benar dan tidaknya ayat-ayat yang diturunkan dalam kitab-kitab sebelumnya supaya kita tidak keliru. Dalam al-Quran ada dua penggunan perkataan 'Muhaimin': 1) Nama Allah iaitu Al-Muhaimin, 2) Nama bagi al-Quran iaitu menjaga apa yang ada pada kitab-kitab sebelumnya. Sumber yang paling benar adalah al-Quran. Kalau ada cerita dalam kitab lain, kita kena semak kebenarannnya daripada al-Quran.
  4. Perkataan فَٱحْكُم ada dua makna: 1) berhukum, 2) hikmah. Hendaklah kita ambil hikmah daripada Allah SWT. Kalau kita nak ambil hikmah daripada Allah, kita mestilah berhukum dengan hukum-hukum Allah. Nak jadi bijak, cepat-cepatlah  kita berhukum dengan apa yang Allah turunkan. Jangan ikut hawa nafsu. Kalau mengharap ilmu kita sahaja, tidak ke mana.
  5. Setiap daripada umat ada syariat dan manhaj yang berbeza. Syariat ialah permulaan untuk membawa kepada takwa kepada Allah SWT. Contohnya, puasa ialah syariat yang  membawa kepada takwa. Dengan adanya takwa, kita akan dibantu dan kita bersifat adil. Manhaj adalah jalan agama/metod/kaedah. Nabi SAW menunjukkan kaedah demi kaedah untuk membawa kepada kejayaan dalam kehidupan.
  6. Allah boleh menjadikan kita satu umat tetapi Allah mahu menguji samada kita sanggup berubah untuk menerima syariat yang Allah turunkan, bukannya asabiyah kepada kaum masing-masing. Contoh: Kalau kita biasa baca Quran untuk khatam sahaja, sekarang kita kena ubah supaya baca dengan betul dan faham supaya boleh beramal dengan tepat seperti yang Allah kehendaki.
  7. Berlumba-lumbalah kepada kebaikan. Semua umat dari Nabi Adam sampai Nabi Muhammad SAW akan dikumpulkan. Kalau kita ikut kepada Allah, semua umat adalah pada satu jalan.

 

Ayat [5:49]

 

وَأَنِ ٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ وَٱحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَنۢ بَعْضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَٱعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَـٰسِقُونَ

 

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik."

 

Pengajaran:

 

  1. Allah mengingatkan kita supaya berhukum dengan apa yang Allah turunkan. Taurat, Injil dan al-Quran adalah daripada Tuhan yang sama. Semua kitab-kitab itu membawa kepada tauhid. Bila kita bertauhid, kita tidak akan jadi asobiyah. Asalkan datang daripada Allah yang benar, kita akan beriman.
  2. Jangan ikut hawa nafsu dan berjaga-jaga daripada orang yang cuba untuk menyelewengkan daripada apa yang diturunkan oleh Allah.
  3. Kalau kita enggan menerima hukum-Nya, Allah akan memberi musibah/ujian kerana sebahagian dosa itu.
  4. Kesan dosa akan membuat kita berpaling ( تَوَلَّوْا۟ ). Kita rasa resah gelisah, sukar untuk kembali menyerah kepada Allah SWT. Itulah sebabnya kita kena selalu berdoa dan istighfar. Tragedi daripada dosa ialah kita nak buat dosa lagi selepas itu.
  5. Bila buat dosa, hendaklah kita cepat-cepat istighfar kerana bila kita istighfar, dosa itu tidak akan memberi kesan kepada kita seterusnya. Contohnya sebelum tidur mengumpat, cepat-cepat istighfar. Kesannya kita mungkin lambat bangun, subuh lewat atau tidak khusyuk. Ini adalah kerana dosa ada kaitan dengan hati kita yang akan berpaling.
  6. Allah ingatkan kebanyakan manusia itu fasik/derhaka kepada Allah SWT. Jadilah orang yang sedikit iaitu orang yang tidak derhaka kepada Allah. Kita baca Quran, bila kena tegur kita baiki. Kita tidak mahu menjadi orang yang fasik, yang  mengharapkan syurga tetapi tidak mahu berbuat apa-apa untuk mendapatkannya.

Ayat [5:50]

 

أَفَحُكْمَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْمًۭا لِّقَوْمٍۢ يُوقِنُونَ

 

"Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah."

 

Pengajaran:

 

  1. Perkataan jahiliah bermaksud emosi yang tidak bijak iaitu mengikut perasaan, tidak terkawal dan mengikut hawa nafsu.
  2. Takut kepada Allah akan mengelakkan kita daripada jahiliah. Jahiliah memberi kesan kepada cara kita berfikir dan memberi kesan kepada cara kita membuat keputusan dalam kehidupan seharian. Contoh: Budaya konsumerism adalah satu perkara yang dulu dicanangkan walaupun terlibat dengan riba'. Kita tidak mahu ianya berulang.
  3. Orang yang belajar tinggi pun, jika tidak mengambil hukum daripada Allah, itu belum bijak lagi. Wisdom/kebijaksanaan hanyalah daripada Allah SWT.
  4. Kefahaman jahiliah akan berulang hingga ke zaman sekarang. Contoh: Anak perempuan tidak bawa tuah. Itu adalah akidah jahiliah.
  5. Tiada hukum yang lebih baik berbanding dengan hukum yang bersumber daripada Allah SWT.

















































































































RESOLUSI

 

Ingat !!


1.     Jadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup agar tidak digelar fasik [47]

2.     Bersegera dalam meraih peluang kebaikan [48]

3.     Jauhi cara fikir jahiliyah dengan mendalami perundangan dan nilai al-Quran [50]

 

Lega kerana Allah SWT jadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup agar hidup saya tidak digelar fasik.

 

Saya jelas untuk jadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup agar tidak digelar fasik. Saya mesti bersegera meraih peluang kebaikan dan saya jelas untuk jauhi cara fikir jahiliyah dengan mendalami perundangan dan nilai al-Quran.

 

Ya Allah, jadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup kami agar kami tidak digelar fasik. Ya Allah, kurniakan kami peluang untuk bersegera meraih kebaikan yang banyak. Jauhi kami dari cara berfikir jahiliyah. Ya Allah, bantu kami untuk mendalami perundangan dan nilai al-Quran.

 

Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...