PERKATAAN HARI INI
خَمَرَ Menutup, arak.
7 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Pengharaman khamr (arak), judi, berkorban untuk berhala, dan mengundi nasib dengan panah [5:90-93]
- Berburu dalam keadaan ihram dan hukuman bagi orang yang berburu binatang darat [5:94-95]
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita bersyukur dapat terus sama-sama Baca Faham Amal untuk mencari titik cahaya daripada Allah SWT. Al-Quran adalah hidayah yang amat berharga, bukan hanya untuk orang Islam tetapi untuk seluruh manusia. Kita memohon hidayah dari Allah agar dipimpin dengan cahaya kebenaran. Apabila umat Islam menang, mereka diajar untuk berdialog, mengajak, memberitahu kebenaran kepada seluruh manusia. Allah Amat Penyayang kepada kita.
Semalam kita berbincang tentang keimanan orang Nasrani. Ada di antara mereka yang beriman kepada kebenaran. Kita juga telah bincangkan tentang jangan menghalalkan perkara yang baik dan mengharamkan yang halal.
Ayat [5:90]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌۭ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."
Pengajaran
- Allah mengingatkan orang-orang yang beriman tentang 4 perkara keji:
- ٱلْخَمْرُ bermaksud sesuatu minuman yang memabukkan. Dalam satu kajian menunjukkan 3.5 juta penduduk negara ini meminum arak (11%). Arak menutup akal manusia. Arak boleh merosakkan hubungan sosial apabila pemandu yang mabuk melanggar orang lain.
- ٱلْمَيْسِرُ ialah perjudian. Ingat masa kecik-kecik main mainan tikam-tikam dan dapat hadiah. Itu adalah satu bentuk judi, waktu kecil.
- لْأَنصَابُ ialah berhala atau apa-apa yang disembah kepada berhala.
- لْأَزْلَٰمُ ialah mengundi nasib dengan menggunakan anak panah. Menentukan nasib sendiri. Jika di hari ini, zodiak atau horoscope termasuk di dalam لْأَزْلَٰمُ.
- Hendaklah kita jauhkan diri daripada 4 perkara keji ini kerana ia adalah tabiat syaitan.
- Orang yang menjauhi 4 perkara keji ini akan berjaya.
Ayat [5:91]
إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ ٱلْعَدَٰوَةَ وَٱلْبَغْضَآءَ فِى ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
"Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?"
Pengajaran
- Ini adalah ayat pengharaman arak. Arak adalah lambang kemewahan di zaman jahiliah dan merupakan sumber ekonomi yang besar. Bila turun ayat ini, mereka terus tinggalkan arak. Dalam tafsir Hamka, menyatakan tentang usaha di US yang berbelanja berjuta-juta USD untuk mendidik masyarakat mereka tentang bahaya arak, tetapi gagal. Ini adalah kerana arak dan judi merupakan bisnes besar. Di zaman Rasullullah, ia berjaya dilaksanakan.
- Allah tegaskan bahawa dengan arak dan judi, syaitan berusaha menimbulkan permusuhan dan kebencian dalam kalangan manusia serta mahu memalingkan kita daripada mengingati Allah.
- Kejayaan kempen pengharaman 4 perkara keji ini di zaman Rasulullah SAW ialah kerana iman. Orang beriman akan terus laksanakan perintah kerana taat kepada Allah SWT.
- Kita perlukan keberkatan daripada Allah untuk berjaya. Perkara-perkara keji itu menghalang keberkatan daripada Allah.
- Hendaklah kita kempen untuk haramkan 4 perkara keji dalam negara kita agar keluarga dan negara kita mendapat keberkatan daripada Allah.
- Pengharaman 4 perkara ini adalah ujian jangka masa panjang, sampai bila-bila.
Ayat [5:92]
وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَٱحْذَرُوا۟ فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلْبَلَٰغُ ٱلْمُبِينُ
"Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata."
Pengajaran
- Allah ingatkan kita supaya taat kepada-Nya dan taat kepada Rasul SAW.
- Rasul SAW hanyalah penyampai sahaja. Hidayah adalah milik Allah.
- Hendaklah kita terus menyampai dan mendidik masyarakat kerana kita sayang kepada keluarga dan negara ini. Kita tidak mahu negara ini ada anak yang dilanggar oleh pemabuk atau satu keluarga berpecah kerana judi.
- Orang yang beriman respond kepada perintah Allah dengan cara terbaik kerana asasnya ialah iman. Bila Allah beritahu, kita sentiasa bersedia walaupun berat macam mana pun.
Ayat [5:93]
لَيْسَ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جُنَاحٌۭ فِيمَا طَعِمُوٓا۟ إِذَا مَا ٱتَّقَوا۟ وَّءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ ثُمَّ ٱتَّقَوا۟ وَّءَامَنُوا۟ ثُمَّ ٱتَّقَوا۟ وَّأَحْسَنُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
"Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
Pengajaran
- Allah beritahu bahawa tidak berdosa kalau perbuatan keji itu dilakukan sebelum turun perintah pengharaman. Ayat ini turun di hujung kehidupan Nabi SAW. Ramai sahabat yang pernah minum arak dan telah wafat sebelum turun ayat ini seperti Hamzah b Abu Talib. Sahabat-sahabat lain bimbang tentangnya.
- Allah beritahu satu formula penting tentang keimanan kita. Ada 3 peringkat iman:
- Islam, bermakna kita beriman
- Takwa. Kita akan menegur jika ada kedai menjual arak atau ada kawan bekerja di tempat penjualan arak dengan menasihatinya untuk mencari kerja lain. Kesannya, kita akan menjadi orang yang lebih kuat iman dan takwa.
- Ehsan. Orang yang buat terbaik
- Allah suka orang yang 'muhsin' ٱلْمُحْسِنِينَ iaitu orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Ayat [5:94]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَيَبْلُوَنَّكُمُ ٱللَّهُ بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلصَّيْدِ تَنَالُهُۥٓ أَيْدِيكُمْ وَرِمَاحُكُمْ لِيَعْلَمَ ٱللَّهُ مَن يَخَافُهُۥ بِٱلْغَيْبِ ۚ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ
"Wahai orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa yang takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat orang. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya azab yang tidak terperi sakitnya."
Pengajaran
- Dalam halaman ini 3 kali Allah menyeru orang-orang beriman. Ini menunjukkan bahawa iman amat penting dalam sebuah negara. Bila manusia diajak kepada keimanan, kesannya ialah dia akan membina keharmonian sosial. Bukan manusia sahaja, malah haiwan juga akan aman damai.
- Allah memberi ujian jangka masa pendek iaitu tidak boleh memburu semasa dalam ihram. Asbabun Nuzul: Nabi SAW dan sahabat ditahan di Hudaibiyah dan tidak dibenarkan masuk ke Mekah untuk buat umrah dan mereka sudahpun dalam ihram ketika itu. Binatang-binatang ada disekeliling mereka, jinak-jinak sedangkan orang di dalam ihram tidak boleh membunuh binatang.
- Kenapa tidak boleh berburu waktu dalam ihram? Jawapannya, kerana itu adalah perintah Allah. Orang beriman akan ikut saja perintah Allah
- Orang yang takut kepada Allah tidak akan melanggar perintah-Nya walaupun dalam keadaan tidak dilihat oleh orang lain.
- Siapa yang melanggar perintah Allah akan mendapat azab yang pedih.
Ayat [5:95]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقْتُلُوا۟ ٱلصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌۭ ۚ وَمَن قَتَلَهُۥ مِنكُم مُّتَعَمِّدًۭا فَجَزَآءٌۭ مِّثْلُ مَا قَتَلَ مِنَ ٱلنَّعَمِ يَحْكُمُ بِهِۦ ذَوَا عَدْلٍۢ مِّنكُمْ هَدْيًۢا بَـٰلِغَ ٱلْكَعْبَةِ أَوْ كَفَّـٰرَةٌۭ طَعَامُ مَسَـٰكِينَ أَوْ عَدْلُ ذَٰلِكَ صِيَامًۭا لِّيَذُوقَ وَبَالَ أَمْرِهِۦ ۗ عَفَا ٱللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ ٱللَّهُ مِنْهُ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌۭ ذُو ٱنتِقَامٍ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa."
Pengajaran
- Allah ingatkan sekali lagi jangan membunuh bintang buruan semasa dalam ihram. Jika berburu dan membunuh haiwan semasa di dalam ihram, maka dendanya ialah menggantinya dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah.
- Kalau tak mampu ganti kena bayar kaffarah:
- Memberi makan orang miskin, atau
- Berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin
- Allah maafkan perbuatan mereka yang tersilap dan Allah akan menyeksa mereka yang mengulangi perbuatan tersebut.
- Allah Maha Berkuasa dan boleh membalas dengan azab seksa.
RESOLUSI
Ingat !!
- Perjuangkan agar amalan keji 4 serangkai (arak, judi, berhala dan undi nasib) dapat dimusnahkan [5:90]
- Tingkatkan takwa untuk melenyapkan kesilapan lalu [5:93]
- Sedia menerima perintah untuk jangka masa pendek [5:94) atau jangka masa panjang [5:90]
Lega kerana Allah akan lenyapkan kesilapan lalu sekiranya saya tingkatkan takwa.
Saya jelas untuk perjuangkan agar amalan keji arak, judi, berhala dan undi nasib dapat dimusnahkan. Saya mesti berusaha tingkatkan takwa agar Allah lenyapkan kesilapan saya yang lalu. Saya jelas untuk menerima perintah jangka masa pendek atau jangka masa panjang.
Ya Allah, bantu kami untuk perjuangkan agar amalan arak, judi, berhala dan undi nasib dapat dimusnahkan dalam negara kami. Ya Allah tingkatkan takwa kami dan maafkan kesilapan kami yang lalu. Ya Allah berikan kami ilmu yang jelas agar kami bersedia menerima segala perintah Mu.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 171