Saturday, June 3, 2023

Halaman 122 : Al-Maidah, 5:83-89

PERKATAAN HARI INI

رَسَلَ  Hantar, utus. 
513 kali diulang dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Hubungan orang Yahudi dan Nasrani dengan orang mukmin, permusuhannya serta berimannya pendeta dan rahib [5:83-86]
  2. Boleh makan makanan yang baik [5:87-88]
  3. Sumpah yang tidak disengajakan, dan sumpah yang disengajakan serta kaffarahnya [5:89]


Mukaddimah

Alhamdulillah, hari ini kita sudah masuk Juz 7. Semoga kita akan dapat sampai Juz 30 . Kita usahakan untuk mengambil cahaya dari al-Quran untuk kita buat panduan hidup ini. Diharapkan ia akan menjadi syafaat buat kita bila sampai di sana nanti. Dengan membaca al-Fatihah kita memohon Allah memberi hidayah kepada kita. Jangan bosan untuk meminta hidayah daripada Allah kerana ia adalah hadiah yang amat besar. Kita minta Allah tunjukkan kita jalan yang lurus. Semoga kita istiqomah tilawah al-Quran.


Ayat [5:83]


وَإِذَا سَمِعُوا۟ مَآ أُنزِلَ إِلَى ٱلرَّسُولِ تَرَىٰٓ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا۟ مِنَ ٱلْحَقِّ ۖ يَقُولُونَ رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱكْتُبْنَا مَعَ ٱلشَّـٰهِدِينَ

"Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w)."


Pengajaran

  1. Pendeta dan rahib Kristian yang tidak menyombongkan diri terus beriman apabila mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Contoh dari sirah: Jaafar b Abi Talib salah seorang sahabat, di hantar sebagai duta ke Habsyah. Jaafar membaca Surah Maryam di depan Raja Najasyi yang turut dihadiri oleh rahib dan pendeta Kristian. Mereka  menangis mendengar surah Maryam dibacakan oleh Jaafar. Bila pendeta dan rahib ini terkesan mendengar ayat al-Quran, ini adalah tanda Allah menghargai mereka. Baru dengar surah Maryam sahaja pun mereka sudah keluar air mata, bermakna  mereka memang ikhlas. 
  2. Orang yang mendengar al-Quran hingga mengalir air mata mendapat penghargaan Allah SWT kerana mereka terkesan dengan kebenaran.
  3. Quran dengan rasul adalah amat-amat penting. Perkataan paling tinggi yang kita boleh sampaikan ialah al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh Jaafar b Abi Talib. 
  4. Semoga kita termasuk dalam kalangan orang yang lembut hati dan terkesan dengan kebenaran dari al-Quran serta dapat menyampaikan al-Quran kepada orang lain.


Ayat [5:84]


وَمَا لَنَا لَا نُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَمَا جَآءَنَا مِنَ ٱلْحَقِّ وَنَطْمَعُ أَن يُدْخِلَنَا رَبُّنَا مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلصَّـٰلِحِينَ

"Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh"


Pengajaran

  1. Orang yang ada fitrah kebaikan akan terkesan apabila mendengar al-Quran. 
  2. Sebagai orang yang beriman, apabila mendengar ayat-ayat al-Quran, iman kita akan bertambah dan kita semakin rindu kita untuk bersama-sama orang-orang soleh di dalam syurga. 
  3. Hendaklah kita sampaikan al-Quran kepada kawan-kawan yang belum Islam kerana setiap orang ada fitrah kebaikan. 
  4. Jika kita mendengar ayat Quran dan tidak merasa apa-apa, itu adalah satu petanda tidak baik. Istighfar banyak-banyak, minta ampun daripada Allah SWT.


Ayat [5:85]


فَأَثَـٰبَهُمُ ٱللَّهُ بِمَا قَالُوا۟ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلْمُحْسِنِينَ

"Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan."


Pengajaran

  1. Orang yang mendengar al-Quran dan lembut hati mereka sehingga mengalir air mata, Allah akan beri ganjaran syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal dalamnya.
  2. Orang yang berusaha membuat kebaikan digelar al-Muhsinin. Mereka ini levelnya lebih tinggi daripada orang-orang yang bertakwa. 
  3. Kita kena banyak bercakap dengan kawan-kawan Kristian, dengarkan kepada mereka ayat al-Quran. Mukjizat al-Quran akan memberi kesan kepada hati yang ada fitrah untuk dekat dengan Allah SWT.
  4. Semoga kita termasuk dalam kalangan al-Muhsinin.


Ayat [5:86]


وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ

"Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka."


Pengajaran

  1. Satu golongan lain dalam kalangan orang Kristian adalah mereka yang kufur serta mendustakan ayat-ayat Allah. Allah beritahu bahawa mereka adalah ahli  neraka. 
  2. Orang-orang beriman bila dingatkan tentang Allah bergetar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat Al Quran, bertambah imannya. 
  3. Hendaklah kita angkat al-Quran di mana-mana sahaja supaya kebaikan dan kebenaran tersebar di merata tempat.


Ayat [5:87]


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحَرِّمُوا۟ طَيِّبَـٰتِ مَآ أَحَلَّ ٱللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."


Pengajaran

  1. Kita diingatkan supaya jangan mengharamkan yang baik yang Allah halalkan. Orang yang lembut hati, ada kalanya boleh jadi melampau sangat dan berlebihan dalam berbuat sesuatu. Itulah yang berlaku dalam agama Kristian.
  2. Ada sahabat di zaman Nabi SAW sampai tidak mahu tidur kerana menurutnya, ia banyak dosa dan mahu bertahajjud sahaja sepanjang malam.  Ada yang tidak mahu kahwin. Sedangkan Nabi SAW makan, tidur, berkahwin sebagaimana manusia lain.
  3. Dalam agama, kita tidak boleh melampau. Bukan tidak boleh ada kereta besar, rumah besar asalkan kita ikut kemampuan, tidak berlebihan dan membazir. 
  4. Telefon, television ada orang yang membuang terus dari kehidupan mereka kerana dikatakan itu semua keduniaan dan bercampur aduk buruk dan baik di dalamnya. Ini tidak tepat. Jika sendiri mahu buat begitu, terpulang tetapi jangan mengharamkan kepada orang lain atau menghukum orang lain.


Ayat [5:88]


وَكُلُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ أَنتُم بِهِۦ مُؤْمِنُونَ

"Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman."


Pengajaran

  1. Allah memerintahkan kita makanlah dari rezeki yang Dia berikan kepada kita iaitu yang halal lagi baik. Tidak semua yang halal itu baik. Contoh: Nasi halal tetapi bila dah basi tidak lagi baik. Gula halal tetapi kalau dimakan berlebihan jadi tidak baik untuk kesihatan.
  2. Allah kurniakan rezeki makanan supaya kita dapat menjaga kesihatan agar dapat beribadah dengan baik.
  3. Bukti keimanan kepada Allah ialah apabila kita dapat menjaga makanan yang halal lagi baik.
  4. Hendaklah kita makan yang halal lagi baik agar dapat menjadi orang yang beriman dan bertakwa.


Ayat [5:89]


لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغْوِ فِىٓ أَيْمَـٰنِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلْأَيْمَـٰنَ ۖ فَكَفَّـٰرَتُهُۥٓ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَـٰكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍۢ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّـٰرَةُ أَيْمَـٰنِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَٱحْفَظُوٓا۟ أَيْمَـٰنَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

"Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur."


Pengajaran

  1. Allah tidak mengambil kira sumpah yang dibuat secara 'main-main' (tidak ada niat).
  2. Jika bersumpah betul-betul dan tidak ditunaikan ( حَلَفْتُمْ ), maka dikenakan kafarah iaitu:
    • memberi makan atau pakaian kepada 10 orang miskin daripada makanan atau pakaian yang biasa diberi pada keluarga (pembayar kifarah), atau
    • merdekakan seorang hamba, atau
    • kalau tidak mampu, hendaklah berpuasa tiga hari
  3. Jangan main-main dengan sumpah. 
  4. Hendaklah kita bersyukur sebab Allah telah terangkan tentang hukum sumpah supaya kita terlepas daripada dihukum di akhirat akibat melanggar sumpah.
  5. Bersyukur kerana ada orang miskin kerana orang yang melanggar sumpah dapat membuat pilihan untuk membayar kafarah. Kalau tidak, kena puasa tiga hari. 


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Selalu menyerah kepada kebenaran apabila didengari [5:83]
  2. Selalu berdoa agar dapat bersama orang soleh [5:83]
  3. Jaga makanan, kerana ia ada kaitan dengan takwa [5:87]

Lega kerana saya akan ada  bpeluang bersama orang soleh sekiranya saya selalu berdoa.

Saya jelas untuk selalu menyerah kepada kebenaran yang saya dengar. Saya mesti selalu berdoa agar dapat bersama orang soleh dan saya jelas untuk jaga makanan kerana ia ada kaitan dengan takwa.

Ya Allah, jadikan kami orang yang selalu menyerah kepada kebenaran yang kami dengar. Ya Allah, tempatkan kami bersama orang soleh. Ya Allah, rezekikan kami dengan makanan yang halal agar kami dapat menjadi orang yang bertakwa.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 170

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...