PERKATAAN HARI INI
31 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Syiar haji sebagai disiplin takwa [5:96-98]
- Tanggungjawab sampaikan dan kongsikan kebenaran bagi mencontohi Rasul SAW [5:99]
- Utamakan kebaikan, jangan beri ruang keburukan walau ia menggoda [5:100]
- Jangan bertanya untuk menyusahkan [5:101-103]
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana kita dapat terus belajar untuk mendalami hidayah Allah pada halaman 124. Kita hendak mengetahui apakah yang Allah sampaikan tentang ujian dan kewajipan. Allah mengingatkan kita bahawa ada banyak perkara yang perlu kita jaga terutamanya dalam menguruskan nikmat dan menguruskan kemenangan dalam hidup kita.
Pada hari Jumaat sunat untuk kita membaca Surah al-Kahfi. Ayat pertama surah al-Kahfi kita puji Allah kerana telah menurunkan kitab kepada kita sebagai sumber peraturan. Untuk menghargai kitab ini, kita perlu menjadi seorang hamba. Hendaklah mengaku kita ini lemah. Kita doakan di akhir zaman ini kita jaga diri kita dengan 10 ayat daripada Surah al-Kahfi.
Surah al-Fatihah mengingatkan kita kepada hidayah. Hidayah ini adalah satu hadiah yang amat bermakna bagi orang-orang yang bertakwa seperti yang tersebut dalam dipermulaan Surah al-Baqarah. Orang bertaqwa merasakan al-Quran sebagai sumber hidayah adalah hadiah yang amat menggembirakan. Kita hidupkan bersama hidayah ini.
Surah al-Ma'idah bermakna hidangan dari langit. Pengikut Nabi Isa (Hawariyyun) yang terdiri daripada 12 orang ketua yang membantunya telah meminta hidangan dari langit. Nabi Muhammad juga ada 12 orang pembantu. Ini menunjukkan kepentingan melatih generasi pelapis untuk meneruskan perjuangan. Pada halaman lepas kita telah berbincang tentang pantang larang semasa dalam ihram.
Ayat [5:96]
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ ٱلْبَحْرِ وَطَعَامُهُۥ مَتَـٰعًۭا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ ۖ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ ٱلْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًۭا ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
"Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan."
Pengajaran
- Allah beritahu bahawa halal bagi orang dalam ihram memburu binatang buruan laut dan memakan makanan laut. Yang diharamkan ialah memburu binatang buruan darat.
- Disiplin ketika haji/umrah adalah penting sebagai latihan supaya kita fokus mengingati Allah sebelum kita didisiplinkan di mahsyar.
Ayat [5:97]
جَعَلَ ٱللَّهُ ٱلْكَعْبَةَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ قِيَـٰمًۭا لِّلنَّاسِ وَٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ وَٱلْهَدْىَ وَٱلْقَلَـٰٓئِدَ ۚ ذَٰلِكَ لِتَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَأَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ
"Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Pengajaran
- Allah SWT jadikan kaabah sebagai sumber untuk mendapatkan kestabilan/ketenangan ( قِيَـٰمًا ) kepada manusia. Ini kerana di sebalik Kaabah itu, ada perjuangan Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s.
- Apabila dapat melihat Kaabah, sepatutnya kita merasa gembira kerana itu adalah hasil perjuangan Nabi SAW yang telah membersihkan Kaabah daripada berhala-berhala Musyrik.
- Beribadah di Kaabah dapat meneguhkan jiwa kerana kita dapat lihat realiti kekuasaan Allah SWT yang menjaga Kaabah hingga ke hari ini.
- Allah menjadikan Kaabah supaya kita mengetahui bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi, dan Allah mengetahui setiap sesuatu. Ikut saja cakap Allah! Kita ini amat kecil, kita seorang hamba. Hendaklah kita merendah diri, terimalah ini sebagai peraturan.
Ayat [5:98]
ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ وَأَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
"Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya)."
Pengajaran
- Allah memperkenalkan diri-Nya kepada kita. Dialah yang memiliki segalanya dan boleh buat apa sahaja tetapi Allah tidak kejam.
- Allah suruh kita buat sahaja perintah dan larangan-Nya sebab Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita.
Ayat [5:99]
مَّا عَلَى ٱلرَّسُولِ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ
"Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan."
Pengajaran
- Tugas Rasul adalah menyampaikan amanah daripada Allah SWT.
- Hendaklah kita juga terus menyampaikan amanah Allah. Buatlah dalam kapasiti masing-masing. Ada yang bercakap, ada yang share program, ada yang menulis dll.
- Janganlah kita jadi seperti Bani Isreal yang tidak mahu menyampaikan risalah Allah sehingga mereka dilaknat oleh Allah SWT.
- Allah sentiasa mengetahui apa yang kita zahirkan dan apa yang kita sembunyikan. Harapnya kita zahirkan perkara-perkara yang betul menurut kepada perjuangan para rasul.
Ayat [5:100]
قُل لَّا يَسْتَوِى ٱلْخَبِيثُ وَٱلطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ ٱلْخَبِيثِ ۚ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya."
Pengajaran
- Hendaklah kita ambil Allah sebagai sumber hukum. Tidak sama yang buruk dengan yang baik.
- Jika ada orang yang memperlekehkan kita, ingatkan mereka supaya bertaqwa.
- Albab daripada perkataan lubb, ialah orang yang mempunyai hati yang bersih. Boleh melihat denga kaca mata iman. Orang Ulul Albab amat sensitif dengan yang halal dan haram.
- Kalau ada yang tak betul hendaklah kita tegur supaya kita tidak terjangkit perbuatan yang buruk itu. Ibu ayah kena jaga anak-anak. Benda yang tak baik hendaklah kita dindingkan awal-awal. Walaupun ramai yang buat perkara tak baik, janganlah kita terpengaruh. Kalau dibiarkan, hati kita akan menjadi kotor dan kita tak akan dapat menjadi orang yang berjaya.
Ayat [5:101]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْـَٔلُوا۟ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ ٱلْقُرْءَانُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا ٱللَّهُ عَنْهَا ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌۭ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar."
Pengajaran
- Kalau Allah tidak beritahu apa-apa dalam al-Quran, jangan tanya benda yang akan menyusahkan. Ada sahabat bertanya kepada Nabi SAW tentang samada haji itu wajib setiap tahun. Baginda tidak menjawab. Sahabat itu bertanya lagi dan lagi.
- Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun. Allah faham kita ada kepayahan untuk buat sesuatu.
Ayat [5:102]
قَدْ سَأَلَهَا قَوْمٌۭ مِّن قَبْلِكُمْ ثُمَّ أَصْبَحُوا۟ بِهَا كَـٰفِرِينَ
"Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya)."
Pengajaran
- Janganlah kita menjadi seperti Bani Israel yang banyak bertanya tetapi akhirnya menjadi bertambah kufur. Contoh: Ada orang yang bertanya dengan ramai ustaz tentang strategi perniagaan yang ada unsur penipuan yang keuntungan itu digunakan untuk membantu anak yatim. Dia bertanya bukan nak tahu jawapan sebenar tetapi untuk mendengar jawapan yang sesuai dengan pemikirannya sedangkan perkara itu jelas tidak betul.
- Hendaklah kita ingat bahawa bertanya dengan niat untuk melarikan diri daripada ikut peraturan Allah akan merosakkan cara berfikir kita.
Ayat [5:103]
مَا جَعَلَ ٱللَّهُ مِنۢ بَحِيرَةٍۢ وَلَا سَآئِبَةٍۢ وَلَا وَصِيلَةٍۢ وَلَا حَامٍۢ ۙ وَلَـٰكِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ ۖ وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
"Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya."
Pengajaran
- Orang-orang kafir sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah SWT. Allah mengatakan mereka tidak menggunakan akal sedangkan orang ulul albab menggunakan akal.
- Allah menemplak orang-orang kafir yang mensucikan unta dan kibas:
- بَحِيرَةٍ ialah unta betina yang beranak lima kali, anak kelima itu jantan, unta betina itu dibelah telinga dan dilepaskan.
- سَآئِبَةٍ ialah unta betina yang dibiarkan pergi kerana telah dinazarkan.
- وَصِيلَةٍ ialah kibas betina yang beranak kembar, satu jantan, satu betina. Yang jantan itu, وَصِيلَةٍۢ dan diserahkan kepada berhala.
- حَامٍ ialah unta jantan yang tidak boleh diganggu kerana kuat. Boleh membuntingkan unta betina 10 kali.
- Hendaklah kita menggunakan akal untuk mengikut peraturan Allah SWT. Janganlah kita mengada-adakan perkara dusta yang boleh membawa kepada kekufuran.
- Janganlah kita bazirkan kekayaan yang Allah SWT berikan kepada kita. Zaman Nabi SAW, unta adalah simbol kekayaan orang-orang Arab.
RESOLUSI
Ingat !!
- Jaga pemakanan/sumber makanan untuk membina takwa dalam diri [5:96]
- Sampaikan mesej kebaikan bagi mencontohi Rasulullah SAW [5:99]
- Perbanyakkan membuat kebaikan dan jangan beri peluang untuk keburukan bermaharajalela [5:100]
Lega kerana Allah SWT beri peraturan yang tidak menyusahkan saya.
Saya jelas untuk jaga pemakanan dan sumber makanan untuk membina takwa dalam diri. Saya mesti sampaikan mesej kebaikan bagi mencontohi Rasulullah SAW. Saya jelas untuk perbanyakkan membuat kebaikan dan tidak memberi peluang untuk keburukan bermaharajalela.
Ya Allah, rezekikan kami dengan sumber makanan yang halal dan baik agar kami dapat membina takwa dalam diri. Ya Allah, bantu kami untuk sampaikan mesej kebaikan bagi mencontohi Rasululah SAW. Ya Allah, pimpin kami untuk perbanyakkan membuat kebaikan. Janganlah Engkau beri peluang untuk keburukan bermaharajalela.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 172