Saturday, June 3, 2023

Halaman 135 : Al-An'am, 6:60-68

PERKATAAN HARI INI


بَعَثَ  Mengutus, membangunkan.  
67 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS 

  

  1. Kesempurnaan ilmu Allah SWT dan kekuasaan-Nya terhadap hamba (60-62)
  2. Kekuasaan Allah SWT menyelamatkan dari kezaliman (63-64)
  3. Kuasa Allah dalam mengazab orang yang maksiat (65-67)
  4. Jauhkan diri dari orang yang gemar memperolok-olokkan/ mempermainkan al-Quran (6:68)


Mukaddimah

Alhamdulillah, kita bersyukur dapat memulakan minggu ini dengan meneruskan pelajaran kita di surah keenam, Surah al-An'am di halaman 135. Semoga kita terus ceria mendapat hadiah daripada Allah. Makin banyak kita baca al-Quran, ia adalah satu proses untuk kita tilawah, kemudian akan berlaku tazkiah dengan al-Quran. Bila kita tadabbur tazakkur al-Quran ini, pembersihan berlaku dan kita ta'lim (belajar) sesuatu yang baru untuk kita teruskan kehidupan ini dengan cahaya hidayah daripada Allah SWT. 

Pada halaman lepas, Allah menceritakan yang hanya padaNya lah kunci perbendaharaan dan perkara-perkara ghaib.  Allah menegaskan perkara ini untuk menunjukkan bahawa Allah ini amat berkuasa. Allah tahu apa yang di darat dan di lautan. Bukan sekadar jatuhnya daun, biji benih di darat, tetapi basah keringnya pun dicatat. Betapa detailnya pendataan/rekod yang Allah ada berbanding dengan rekod manusia. 

Ada orang rasa tak penting pun daun kering, daun basah, mangga kering, mangga basah. Orang berniaga akan tahu beza rasa dan nilai pasaran mangga basah kering. Yang pastinya, sumber perniagaannya akan dicatat oleh Allah. Kalau sumber tidak halal ia menyebabkan kita ada masalah. Contoh terkini: Isu daging yang bercampur. Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan daging yang suci samada yang basah atau kering perlu sesuatu yang halal, Allah catat dan ia ada implikasi dalam kehidupan kita.


Ayat [6:60]


وَهُوَ ٱلَّذِى يَتَوَفَّىٰكُم بِٱلَّيْلِ وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُم بِٱلنَّهَارِ ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ لِيُقْضَىٰٓ أَجَلٌۭ مُّسَمًّۭى ۖ ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.


Pengajaran

  1. Allah menidurkan kita pada waktu malam dan Dia mengetahui apa yang kita kerjakan waktu siang.
  2. Dalam ayat ini ada perkataan يَتَوَفَّىٰكُم yang digunakan secara 'mudhoriq/present future tense'. Pada tempat lain Allah gunakan 'inni yatawaffika' pada Nabi Isa. Kedua perkataan itu berasal dari perkataan waffa. Dalam kes Nabi Isa, Allah gunakan perkataan dalam bentuk masdar. Memang Allah ambil Nabi Isa lengkap; badannya, kehidupannya, dan kesedarannya. Dalam diri manusia ini menurut Fakhrudin al-Razi, kita ada tiga perkara; badan, kehidupan dan kesedaran kita. Pada waktu kita tidur, yang ditarik adalah kesedaran kita. Kalau kita mati, yang ditarik ialah kehidupan dan kesedaran kita, badan kita tinggal. Nabi Isa, tiga-tiganya diambil. Diambil dalam bentuk yang lengkap. 
  3. Dalam ayat ini Allah ambil satu saja iaitu kesedaran, kemudian Allah pulangkan balik selepas kita bangkit. Pada waktu malam kita diwafatkan itu sebagai satu pengenalan atau preview bahawa sebenarnya kamu diambil kesedaran pun kamu dah tak boleh buat apa dah. Kamu mungkin boleh bermimpi, darah masih mengalir, tapi kesedaran dah tak ada. 
  4. Apa yang berlaku pada waktu siang, Allah mengetahui apa yang kita buat atau apa yang kita cedera ( جَرَحْتُم ). Apa kaitan cedera dengan kamu lakukan? Dalam hidup kita pada waktu siang, bila banyak bergerak, bekerja ada masa sel-sel kita cedera. Kadang-kadang hati kita cedera. 
  5. Malam adalah masa untuk kecederaan itu kembali pulih dengan kita direhatkan. Sebab itu ayat ini Allah mulakan dengan tidur dahulu, sebab ada orang yang tidurnya tidak rehat ataupun dia tidur tapi tidurnya tidak berkualiti untuk dia bangkit bagi menyempurnakan umur yang telah ditetapkan. Ada orang tidur, bangkit, makan, kerja. Itu saja cyclenya. Tapi bagi orang yang umurnya dimanfaatkan dengan tauhid, bila dia bangkit, dia baca doa bangun tidur, dia bersyukur kepada Allah, dia solat, kemudian pergi bekerja, mungkin ada masalah, cabaran dan sebagainya, tapi dia akan kembali kepada Allah, kemudian Allah akan tanya apa yang dia buat. 
  6. Kita bertangungjawab bukan sekadar kerja, tidur, makan yang berulang-ulang begitu sahaja, tapi kita mestilah amat menjaga apa yang kita buat agar semuanya menjadi ibadah.
  7. Hendaklah kita buat persediaan untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat dengan melakukan amal soleh.


Ayat [6:61]


وَهُوَ ٱلْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِۦ ۖ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).


Pengajaran

  1. Allah mengulang perkataan yang disebut dalam ayat 18 وَهُوَ ٱلْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِۦ . Allahlah yang amat berkuasa menidurkan kita. Ada orang tak dapat tidur ataupun tak cukup tidur. Bayangkan jika tidak boleh tidur. Pada waktu siang ada orang yang tak dapat bekerja atau dia dibuang kerja. Semua ini, yang berkuasa adalah Allah al-Qahir.
  2. Kita ada malaikat sebagai penjaga (حَفَظَةً). Semua sistem dalam badan kita ini ada malaikat yang menjaganya. Allah beri kita penjaga secara percuma sahaja. Malaikat juga yang akan diarah mencabut nyawa kita.


Ayat [6:62]


ثُمَّ رُدُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ مَوْلَىٰهُمُ ٱلْحَقِّ ۚ أَلَا لَهُ ٱلْحُكْمُ وَهُوَ أَسْرَعُ ٱلْحَـٰسِبِينَ

Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira - Penghitung.


Pengajaran

  1. Hakikat sebenarnya apa yang berlaku dalam hidup kita seharian yang benar-benar melindungi kita 24 jam ialah Allah. Dia yang mengatur malaikat-malaikatNya untuk menjaga tidur, bangun dan kerja buat kita.  مَوْلَىٰ bermakna pelindung yang sebenar-benarnya. 
  2. Kita mesti ingat, hukum dan panduan sebenar-benarnya adalah datang daripada Allah SWT. Allah mengingatkan kita supaya fokus ibadah kita hanyalah untukNya.


Ayat [6:63]


قُلْ مَن يُنَجِّيكُم مِّن ظُلُمَـٰتِ ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ تَدْعُونَهُۥ تَضَرُّعًۭا وَخُفْيَةًۭ لَّئِنْ أَنجَىٰنَا مِنْ هَـٰذِهِۦ لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ

Katakanlah: "Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur".


Pengajaran

  1. Apakah pentingnya perkataan قُلْ yang banyak kali disebut di dalam surah ini?
    • Allah mengajar Nabi Muhammad SAW bagaimana untuk menghadapi orang-orang musyrik yang menentangnya. 
    • Ayat yang datang selepas 'Qul' adalah soalan-soalan yang menyebabkan kita kena berfikir.
  2. Dalam keadaan gelap/menghadapi masalah, Allah ingatkan kita supaya sentiasa menjadi orang yang bersyukur. 
  3. Janganlah kita hanya berdoa apabila menghadapi cabaran di dalam hidup. Hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah dengan merendah diri, secara terbuka dan secara bersembunyi.

 

Ayat [6:64]


قُلِ ٱللَّهُ يُنَجِّيكُم مِّنْهَا وَمِن كُلِّ كَرْبٍۢ ثُمَّ أَنتُمْ تُشْرِكُونَ

Katakanlah: "Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)".


Pengajaran

  1. Setelah Allah menyelamatkan kita dari masalah, jangan pula mensyirikkan Allah dan merasakan ada perkara lain yang lebih penting daripada Allah SWT. Setkan masa untuk tilawah al-Quran supaya kita dapat berinteraksi dengan Allah.
  2. Hendaklah kita sentiasa berdoa dalam keadaan susah dan senang serta menjadi orang yang bersyukur.


Ayat [6: 65]


قُلْ هُوَ ٱلْقَادِرُ عَلَىٰٓ أَن يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًۭا مِّن فَوْقِكُمْ أَوْ مِن تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًۭا وَيُذِيقَ بَعْضَكُم بَأْسَ بَعْضٍ ۗ ٱنظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ

Katakanlah: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain". Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.


Pengajaran

  1. Sekali lagi ada perkataan قُلْ. Kita kena kuatkan diri kita dahulu sebelum cuba menguatkan orang lain.  
  2. Allah SWT berkuasa menghantar 3 jenis azab; a) Daripada atas seperti ribut, petir, tidak mendapat hidayah, hujan lebat dan juga Covid19, b) Daripada bawah seperti gempa bumi, banjir atau apa-apa cabaran dari bawah kaki, c) Azab yang paling besar ialah berperang, bergaduh sesama sendiri, dan perpecahan sesama manusia. Covid 19 boleh dikatakan azab level satu. Harapnya jangan sampai Allah azab kita dengan level 3 kerana merasakan bahawa kita lebih betul daripada orang lain. Sebenarnya orang yang bertauhid, kasih sayangnya mengajak orang semua kembali kepada Allah SWT.
  3. Allah tukar-tukar tempat (نُصَرِّفُ) berlaku azab, atau tukar-tukar cerita ini dalam al-Quran agar kita memahami hakikat bahawa Allahlah yang Maha Berkuasa. Salah satu tanda Allah kuasa Allah ialah Allah jaga kita. Allah hantar malaikat jaga kita, Allah jaga tidur kita, Allah jaga siang kita. Tetapi kalau seseorang itu, kaum itu merasakan segala perkara yang berlaku adalah normal atau  kerana nature, automatik jadi, bukannya kerana Allah yang berkuasa, maka Allah akan uji salah satu daripada azab tersebut yang kita umat Islam perlu sama-sama ambil perhatian daripada surah al-An'am.


Ayat [6:66]


وَكَذَّبَ بِهِۦ قَوْمُكَ وَهُوَ ٱلْحَقُّ ۚ قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍۢ

Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar. Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)".


Pengajaran

  1. Kita mesti ingat bahawa musibah yang berlaku adalah kerana azab Allah apabila manusia mendustakan kebenaran. Ada orang yang mengatakan Covid19 hanyalah kebetulan, gempa bumi adalah fenomena alam, ataupun perpecahan adalah normal sebab perangai manusia memang begitu. 
  2. Allah mengajar Nabi SAW agar memberitahu mereka bahawa baginda SAW tidak bertanggungjawab atas urusan mereka, baginda hanyalah menyampaikan perintah-perintah Allah kepada mereka. 
  3. Walaupun Nabi tidak menjadi sumber tawakal tetapi baginda tetap berkasih sayang, tetap memanggil umat pada waktu itu untuk kembali kepada Allah SWT. Kalau tidak, manusia akan sentiasa di azab.
  4. Covid19 sebagai satu ujian daripada Allah.  Kita harap Allah angkat balik tapi kita tidak mahu selepas Allah angkat masih lagi ada azab level 3 yang lebih parah iaitu kita saling bergaduh, rasa al-Quran ini bukan sebagai panduan, kita buat penilaian hanya menggunakan akal atau hawa nafsu kita semata-mata. 


Ayat [6:67]


لِّكُلِّ نَبَإٍۢ مُّسْتَقَرٌّۭ ۚ وَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.


Pengajaran

  1. Allah beritahu bahawa setiap perkara besar ( نَبَإٍۢ ) ada waktunya. Allah tak hukum manusia secara tiba-tiba. Allah bagi peluang. Contohnya sekarang Allah bagi Covid19 atau banjir sebagai azab level 1. Itu adalah ujian.
  2. Ujian boleh jadi azab atau boleh jadi peluang untuk kita semakin dekat dengan Allah. Kalau Allah bagi banjir, orang yang kena itu semakin tak solat, itu maknanya azab. Tapi kalau berlaku banjir, orang itu semakin tolong-menolong, makin solat, itu adalah ujian mendekatkan diri kepada Allah. Jadi kita kena berjaga-jaga. Covid19 boleh jadi azab boleh jadi ujian kita lulus. Kita semakin jaga al-Quran, jaga solat, ini ujian untuk kita semakin dekat dengan Allah. Kalau dengan Covid19 kita tak boleh solat berjemaah, di rumah pun tak berjemaah, al-Quran pun diabaikan, kerja pun selalu tuang pasal work from home, itu tandanya ia adalah azab daripada Allah SWT. 


Ayat [6:68]


وَإِذَا رَأَيْتَ ٱلَّذِينَ يَخُوضُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا۟ فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ ٱلذِّكْرَىٰ مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).


Pengajaran

  1. Ini teknik kalau ada orang yang cakap tak bagus atau memperolokkan kebenaran. Allah mengajar kita untuk abaikan mereka ( فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ ) sehingga mereka tukar topik.
  2. Jangan duduk dengan orang-orang yang suka memperolokkan ayat-ayat Allah kerana Allah tak suka kepada orang-orang yang zalim.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Buat persediaan untuk meninggalkan dunia (60)
  2. Bersegera melaksanakan apa yang Allah suruh kerana hisab Allah amat cepat (62)
  3. Jadilah orang yang banyak bersyukur, bukan orang yang syirik (63-64)

Lega kerana Allah ingatkan saya untuk buat persediaan untuk meninggalkan dunia dan bersegera melaksanakan perintahnya.

Saya jelas untuk buat persediaan untuk meninggalkan dunia. Saya mesti melaksanakan apa yang Allah suruh kerana hisab Allah amat cepat. Saya jelas, saya mesti jadi orang yang bersyukur, bukan orang yang syirik.

Ya Allah, bimbing kami untuk buat persediaan untuk meninggalkan dunia. Ya Allah, bantu kami untuk bersegera melaksanakan perintahMu, jauhi kami dari azabMu. Ya Allah, jadikan kami orang yang bersyukur. Jauhi kami daripada menjadi orang yang syirik.

Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 189

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...