PERKATAAN HARI INI
75 kali disebut dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Ujian orang miskin pada orang kaya (53)
- Antara bentuk kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya (54-55)
- Mencegah debat antara Nabi Muhammad SAW dengan orang musyrik (56-58)
- Kunci mengenai perkara ghaib serta alam semesta ada pada Allah SWT (59)
Mukaddimah
Kita bersyukur kepada Allah SWT pada hari yang berbahagia ini, kita dapat meneruskan perbincangan dan bacaan dari Surah al-An'am yang penuh dengan peringatan untuk mentauhidkan Allah. Surah ini penuh dengan kisah perjuangan Nabi SAW dan sahabat di Mekah. Bacaan al-Fatihah mengingatkan diri kita bahawa hidayah yang kita pohon ialah hidayah bagi orang yang diberi nikmat.
Ayat [6:53] Ayat tentang iman akan menguatkan motivasi kita.
وَكَذَٰلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لِّيَقُولُوٓا۟ أَهَـٰٓؤُلَآءِ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنۢ بَيْنِنَآ ۗ أَلَيْسَ ٱللَّهُ بِأَعْلَمَ بِٱلشَّـٰكِرِينَ
Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): "Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? " (Allah berfirman): "Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?"
Pengajaran
- Surah ini turun pada tahun 11-12 kenabian Nabi SAW. Orang musyrik yang elit memandang rendah kepada orang Islam kerana kebanyakannya adalah daripada golongan miskin.
- Allah ingatkan kepada golongan musyrik dan kepada kita, bahawa orang yang Allah hargai adalah orang-orang yang bersyukur. Kaum Nuh pun sama sikapnya dengan orang musyrik Mekah, memandang rendah pengikut Nabi Nuh kerana mereka terdiri daripada orang miskin.
- Janganlah kita rasa orang yang ada kemewahan itu diberkati dan orang miskin itu tidak berkat.
- Cara kita melihat tauhid ialah makin orang itu bersyukur samada kaya atau miskin, berpengaruh atau tidak, selagi dia bersyukur Allah akan tambah nikmat baginya.
- Allah tahu siapa yang bersyukur. Kita tidak boleh mengukur kesyukuran seseorang itu.
- Allah menghargai orang yang bersyukur. Bukan kaya tanda mulia, bukan miskin tanda hina. Tetapi orang miskin boleh mulia kerana bersyukur, orang kaya boleh terus mulia sampai ke syurga kerana bersyukur.
- Tanda bersyukur diterjemahkan dengan kita menghargai nikmat paling besar iaitu iman.
Ayat [6:54]
وَإِذَا جَآءَكَ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِـَٔايَـٰتِنَا فَقُلْ سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمْ ۖ كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ ٱلرَّحْمَةَ ۖ أَنَّهُۥ مَنْ عَمِلَ مِنكُمْ سُوٓءًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ ثُمَّ تَابَ مِنۢ بَعْدِهِۦ وَأَصْلَحَ فَأَنَّهُۥ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: "Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
Pengajaran
- Allah ajarkan kepada Nabi SAW dan kepada kita untuk memberi salam/penghormatan kepada orang-orang beriman kepada Allah SWT.
- Bila kita beri salam, itu makna kita sedang memberikan rahmah Allah kepada orang berkenaan.
- Hendaklah kita raikan orang yang hendak kembali kepada al-Quran.
- Sesiapa yang pernah buat kejahatan kerana kejahilan ( بِجَهَـٰلَةٍۢ ), apabila dia bertaubat dan memperbaiki amalannya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
- Kejahilan itu bukan sahaja tak tahu. Ia termasuk perasaan dengki, iri hati dan ikut hawa nafsu. Ini berlaku kerana tauhidnya tidak jelas.
- Allah tawarkan pengampunan kepada sesiapa yang pernah buat silap. Semua orang berpeluang untuk kembali kepada Allah. Orang kafir pun kalau kembali kepada Allah, semua dosanya akan diampunkan oleh Allah SWT.
Ayat [6:55]
وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ ٱلْمُجْرِمِينَ
Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.
Pengajaran
- Allah buat kesimpulan ini adalah satu pelajaran penting tentang al-Quran. Allah terangkan tentang tauhid, peluang dan kasih sayangNya kepada seluruh alam.
- Jika kita membaca al-Quran, kita juga penyebar rahmah. Kalau anak kita buat silap kita maafkan. Jelaskan apa yang tak betul untuk memastikan diri kita dan anak kita jelas bahawa Allah itu Maha Penyayang (rahmah).
- Dakwah kepada tauhid perlu dilakukan dengan ilmu.
Ayat [6:56]
قُلْ إِنِّى نُهِيتُ أَنْ أَعْبُدَ ٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ ۚ قُل لَّآ أَتَّبِعُ أَهْوَآءَكُمْ ۙ قَدْ ضَلَلْتُ إِذًۭا وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah". Katakanlah lagi: "Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".
Pengajaran
- Allah banyak mengulang-ulang perkataan قُلْ di dalam surah ini. Kita ulang peringatan Allah kepada diri kita dan juga kepada orang lain.
- Ingatkan diri kita bahawa aku tidak akan menyembah selain daripada Allah SWT kerana; a) Allah suka orang bersyukur, b) Allah luas rahmatNya, c) Allah Maha Pengampun.
- Kalau kita menyembah kepada selain daripada Allah, dia tidak boleh buat apa-apa.
- Ikut hawa nafsu akan membuat seseorang dalam kegelapan. Dia tidak mendapat hidayah bahawa Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun, Maha Berkuasa.
- Allah menekankan tauhid kepada kita supaya kita, hambaNya tidak binasa.
Ayat [6:57]
قُلْ إِنِّى عَلَىٰ بَيِّنَةٍۢ مِّن رَّبِّى وَكَذَّبْتُم بِهِۦ ۚ مَا عِندِى مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِۦٓ ۚ إِنِ ٱلْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۖ يَقُصُّ ٱلْحَقَّ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلْفَـٰصِلِينَ
Katakanlah: "Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan".
Pengajaran
- Perkataan ضَلْ dan هدي (huda) pada hujung ayat 56. Salah satu ciri orang yang ضَلْ ialah dia mengikut hawa nafsu. Ia ada kaitan dengan sesuatu yang sesat atau gelap dalam kehidupan. Di dalam Surah al-Fatihah, kita memohon jadi orang yang komited kepada hidayah, keluar dari gelap kepada cahaya.
- Orang musyrik melawan Nabi SAW bukan hanya dengan hujah tetapi juga secara fizikal. Umat Islam pada waktu itu membalas dengan hujah sahaja tanpa menggunakan kekerasan.
- Jika ada orang mencabar kita tentang keimanan, jangan dibalas dengan kekerasan. Serahkan kepada Allah kerana hanya Dia jualah yang menetapkan hukum. Allah yang menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan.
Ayat [6:58]
قُل لَّوْ أَنَّ عِندِى مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِۦ لَقُضِىَ ٱلْأَمْرُ بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِٱلظَّـٰلِمِينَ
Katakanlah: "Kalau ada padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta disegerakan kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang berbangkit) antaraku dengan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim".
Pengajaran
- Nabi tiada kuasa untuk menurunkan azab kepada sesiapa.
- Allah Maha Penyayang. Allah bagi peluang kepada sesiapa yang hendak kembali kepadaNya. Abu Suffian masuk Islam selepas peristiwa Fathul Mekah. Hanya Allah mengetahui orang-orang yang zalim.
- Orang Islam tidak lawan semasa mereka ditindas, kemudian Allah beri kemenangan atas kesabaran mereka hingga berjaya mendapatkan semula Mekah.
- Tauhid mengajar kita untuk serahkan hukuman kepada Allah. Tugas kita hanyalah mengajak manusia beriman, sebaik mungkin. Jika mereka degil, banyakkan berdoa kepada Allah.
Ayat [6:59]
وَعِندَهُۥ مَفَاتِحُ ٱلْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَآ إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍۢ فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍۢ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍۢ مُّبِينٍۢ
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.
Pengajaran
- Kalau kita down menghadapi ujian/cabaran dalam hidup, ingat bahawa segala perkara itu ada ilmunya di sisi Allah.
- Kunci-kunci kepada perkara ghaib, ilmunya ada pada Allah. Ini bermakna Allah yang Maha Berkuasa.
- Allah mengetahui apa yang di darat dan di laut. Di darat ada ilmu, di laut juga ada ilmu.
- Setiap perkara yang berlaku di dunia semuanya tertulis di dalam kitab yang terang nyata (di Lauh Mahfuz). Daun yang jatuh melambangkan pertukaran musim di negara yang ada 4 musim. Tidak ada sehelai daun jatuh yang Allah tidak tahu. Bagi sesetengah individu yang berilmu, daun jatuh itu boleh mendatangkan sumber kekayaan seperti menghasilkan biofuel. Bagi orang yang mengambil perhatian, ia memberi kesan kepada ketauhidannya.
- Hendaklah kita perhatikan setiap perkataan dalam al-Quran kerana semuanya ada penjelasan dan perkaitan dengan hidup kita.
RESOLUSI
Ingat !!
- Bersyukur dengan apa yang ada, sama ada miskin atau kaya (53)
- Segera bertaubat apabila membuat kesilapan dan kesalahan/dosa (54)
- Tidak berkompromi dalam hal yang menyentuh bab akidah (56)
Lega kerana Allah mengampunkan dosa-dosa sekiranya saya mohon ampun dan bertaubat.
Saya jelas untuk bersyukur dengan apa yang ada. Saya mesti segera bertaubat apabila membuat kesilapan dan dosa. Saya jelas untuk tidak berkompromi dalam hal yang menyentuh bab akidah.
Allahumma ya Syakur, jadikan kami orang yang bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan. Ya Ghafur, Ya Tawwab, ampunkan dosa-dosa kami, terimalah taubat kami. Ya Somad, bantu kami untuk tidak berkompromi dalam hal yang menyentuh bab akidah.
Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 186