Saturday, June 3, 2023

Halaman 136 : Al-An'am, 6:69-73

PERKATAAN HARI INI


ذَكَرَ  Mengambil peringatan, ingat. 
292 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Berpaling dari majlis yang mencemuh al-Quran dan ancaman azab bagi yang mengikuti majlis itu (69-70)
  2. Keistimewaan beriman kepada Allah SWT dan kehinaan kemusyrikan (71-73)


Mukaddimah

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat meneruskan pengajian di halaman 136 daripada surah al-An'am yang menceritakan tentang ketauhidan kepada Allah SWT. Perjuangan tauhid ini adalah perjuangan yang amat berat tetapi ia adalah untuk membina batu asas kepada para sahabat di zaman Nabi SAW di Mekah. 

Itulah yang juga perlu kita fahami pada tahun ini bahawa surah al-An'am menguatkan asas/foundation kepada setiap individu dalam keluarga dan masyarakat. Kalau asas itu tidak kukuh, maka kesannya bangunan yang akan didirikan itu mudah runtuh, mudah hancur menyebabkan umat Islam menjadi umat yang lemah, yang cepat dibaham oleh badai yang melanda.

Dengan membaca al-Fatihah kita sama-sama mengingatkan untuk menghambakan diri kepada Allah yang Esa, dan hanya pada Allah tempat kita memohon. Ini lah yang diperjuangkan oleh Nabi SAW di Mekah hingga ke Madinah selama 23 tahun. Surah al-An'am memberi asas untuk kita berhujah dengan diri kita, bersama dengan masyarakat betapa pentingnya kita membina asas yang kukuh

Pada halaman lepas, Allah mengingatkan kita untuk tidak duduk dengan mereka yang berbincang perkara yang tidak bermanfaat, yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah dan memperolok-olokkan Nabi SAW. Contoh: Di Perancis, mereka melukis katun yang memperolokkan orang Islam. Sebenarnya mereka hanya mahu mencari pengaruh. Mereka tidak suka dengan kebenaran. Mereka tidak suka kepada orang Islam dan mereka akan mengacau orang Islam. Kita sentiasa kena beringat kerana syaitan akan menjadikan kita lupa dan kita pula yang akan bersama dengan orang yang memperolokkan agama.


Ayat [6:69]


وَمَا عَلَى ٱلَّذِينَ يَتَّقُونَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَىْءٍۢ وَلَـٰكِن ذِكْرَىٰ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.


Pengajaran

  1. Allah memberitahu kita bahawa dosa orang musyrik, tidak akan ditanggung oleh orang bertakwa tetapi wajib untuk kita mengingatkan mereka agar bertakwa. Ideanya ialah, bila ada orang memperolok atau menyebabkan kita jadi marah, kita kena jauhkan daripada mereka. 
  2. Orang bertakwa janganlah rasa terkesan sangat sampai mahu membalas dengan cara yang tidak bijak tetapi pada masa yang sama, wajib untuk menerangkan kepada mereka agar bertakwa. Kalau ada peluang, kita cakap balik dengan orang itu secara peribadi. Bukan menegur di khalayak. Jika cakap di facebook, followers mereka akan turut bersama dan kita akan dikecam sampai terduduk.
  3. Ketika Nabi SAW berada di Mekah, orang Islam tidak ramai lagi. Di dalam majlis, contohnya jangan kita pandai-pandai pula berbuat sesuatu tanpa kebenaran. Jika ada peluang secara peribadi, kena buat peringatan tersebut. Cari masa sesuai. Dalam isu agama, janganlah kita guna public space secara melampau kecuali dengan izin seperti jemputan ceramah.
  4. Hendaklah kita mengambil kira konteks dari masa dan tempat yang sesuai untuk memberi peringatan (ذِكْرَىٰ). 


Ayat [6:70]


وَذَرِ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَهُمْ لَعِبًۭا وَلَهْوًۭا وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِۦٓ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌۢ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِىٌّۭ وَلَا شَفِيعٌۭ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍۢ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَآ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أُبْسِلُوا۟ بِمَا كَسَبُوا۟ ۖ لَهُمْ شَرَابٌۭ مِّنْ حَمِيمٍۢ وَعَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).


Pengajaran

  1. Allah peringatkan kita supaya jauhkan diri daripada orang-orang yang menjadikan ugama sebagai permainan dan hiburan. Contoh: Ada juga orang Islam yang tidak kisah tentang agama. Solat tidak kisah, Quran tidak kisah, nak elakkan riba tidak kisah. Hidup mereka hanya pentingkan pangkat, harta, dan populariti. Nama daftar sebagai Islam tapi tidak kisah amal ibadat. Mereka telah ditipu oleh kehidupan di dunia.
  2. Peranan kita bila dah tinggalkan mereka, kita kena beri peringatan dengan al-Quran (وَذَكِّرْ بِهِۦٓ ). Kalau guna perkataan kita sahaja, orang menyampah. Bila kita dengarkan al-Quran, kalau kena pada orangnya dia akan terkesan walaupun dia bukan Islam atau tidak amalkan Islam. 
  3. Quran ini adalah mukjizat. Allah ajarkan kaedah untuk ingatkan dengan al-Quran. Ini adalah kaedah sehingga Abu Jahal, Aknas bin Shuraib dan Abu Sufyan yang bermusuh dengan Nabi SAW di waktu siang, tetapi waktu malam, mereka nak dengar al-Quran yang Nabi SAW baca, walaupun mereka malu dari diketahui. Al-Quran ini powerful, pastikan kita ambil perhatian dan cari jalan agar diri kita, keluarga kita tidak tertipu dengan dunia ini.
  4. Peringatan: Kalau kita tidak ambil pelajaran dari al-Quran, kita akan diazab dengan mendapat minuman yang mendidih dengan nanah dan amat mengerikan. 
  5. Orang yang bijak adalah orang yang beriman dengan hari akhirat dan membuat persediaan untuk ke sana. Kalau kita bersedia untuk hari akhirat, kita akan susun hidup kita dengan cara yang terbaik. Contoh: Baca Quran dan tenang orangnya. Orang yang tidak membuat persediaan untuk akhirat inilah yang menyebabkan mendapat azab yang amat sengsara kerana kekufuran dengan apa yang Allah beritahu.
  6. Kalau kita bertakwa, kita akan ingat kepada Allah dan ingatkan orang lain. Kalau kita tidak bertakwa, kesannya ialah kita sentiasa buat apa yang tidak dapat pertolongan/syafaat dan perkara yang tidak boleh tebus azab yang Allah berikan kerana kekufuran itu. 
  7. Cara paling selamat ialah berpegang kepada tali Allah. Kalau kita tidak beri perhatian tentang perkara ini, kita akan ada masalah ketika berhujjah. Ada orang kata al-Quran ini tak berkait langsung dengan kehidupan kita, ada orang yang berlebih-lebih sampai mudah melabel dan menghukum orang. 
  8. Semoga kita yang tadabbur al-Quran, kita ambil al-Quran ini, peringatannya adalah untuk diri kita. Kalau nak ingatkan orang lain kita tengok pada sunnah Nabi. Nabi SAW tak pernah panggil orang keldai.
  9. Hendaklah kita sampaikan al-Quran dalam bahasa yang sesuai. Kita harapkan dengan mengikuti program tadabbur akan terbina jiwa masyarakat, dan menjadi semakin rahmah.


Ayat [6:71]


قُلْ أَنَدْعُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُنَا وَلَا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَىٰٓ أَعْقَابِنَا بَعْدَ إِذْ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ كَٱلَّذِى ٱسْتَهْوَتْهُ ٱلشَّيَـٰطِينُ فِى ٱلْأَرْضِ حَيْرَانَ لَهُۥٓ أَصْحَـٰبٌۭ يَدْعُونَهُۥٓ إِلَى ٱلْهُدَى ٱئْتِنَا ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۖ وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: "Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): "Marilah bersama-sama kami. "Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".


Pengajaran

  1. Al-Quran akan memberi hala tuju hidayah untuk mentauhidkan Allah. Jangan tinggalkan al-Quran. Jika kita tinggalkan, ia seolah-olah bermaksud kita minta untuk menjadi bingung.  Kalau di tanah Arab, jika pergi ke padang pasir di waktu malam, kita akan rasa bingung untuk pergi ke kiri atau ke kanan ( حَيْرَانَ).
  2. Ayat ini adalah untuk membina jati diri kita. Jika kita sudah berbuat/berada di jalan kebaikan, jangan berpatah balik. Kalau kita kuatkan dalam diri, hidayah Allahlah yang paling berharga, kesannya kita akan kuat identiti. Walaupun orang cabar kita don't give up, keep it up.


Ayat [6:72]


وَأَنْ أَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّقُوهُ ۚ وَهُوَ ٱلَّذِىٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).


Pengajaran

  1. Hidayah yang paling betul ialah hidayah daripada Allah. Hidayah daripada manusia ini, kadang-kadang ok, kadang-kadang tidak. 
  2. Apakah tanda-tanda orang yang betul-betul mahukan hidayah? Contoh: Orang yang bekerja, 2-3 tahun itu dia bersemangat, kemudian dia mula pening. Datang kerja pun macam 'zombie'. Atau orang yang cari kerja, bila sudah dapat kerja, dia bertanya "Kenapa banyak sangat kerja ni bos?"
  3. Kita tak mahu bingung dalam hidup ini. Bingung boleh berlaku pada bila-bila masa. Contoh: Rumahtangga selepas 5-10 tahun, boleh menjadi bingung. Apakah tujuan sebenarnya? Dia give-up, putus asa daripada rahmat Allah kerana banyak cabaran. 
  4. Bagaimana nak kuatkan keislaman kita? Dirikan solat dan bertakwa. Solat ini penting, tapi ia mesti membawa kepada takwa. Takwa bermaksud, makin rasa diri kita hamba, makin lagi kita perlukan Allah untuk selesaikan masalah. Contoh:  Ustaz Fazrul menceritakan belajar dengan seorang kawan. Solat dan tahajjud bersama. Bila pergi ke US, kawan itu menjadi atheist. Sekarang dia masih di sana. Bila sampai di US, dunia luas. Syurga dunia. Kita nak syurga dunia sahaja atau syurga sampai ke akhirat?
  5. Kalau seseorang itu sedar dia akan dihimpunkan kepada Allah di akhirat nanti, dia akan semakin buat persediaan untuk ke syurga. Jika solat tidak dikaitkan dengan takwa, kesannya ialah dia nak berjumpa Allah pada waktu solat sahaja, bukan nak berjumpa Allah sampai ke akhirat. Dia tak rasa bahawa apa yang dibuat itu akan ditanyakan di akhirat kelak. Ramai orang hilang pedoman dan jadi bingung kerana tidak ingat yang mereka akan dihimpun dan diberi balasan di akhirat nanti.


Ayat [6:73]


وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ ۖ وَيَوْمَ يَقُولُ كُن فَيَكُونُ ۚ قَوْلُهُ ٱلْحَقُّ ۚ وَلَهُ ٱلْمُلْكُ يَوْمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ ۚ عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ ۚ وَهُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْخَبِيرُ

Dan Dia lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: "Jadilah", lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.


Pengajaran

  1. Allah menegaskan, Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan tujuan yang benar. 
  2. Ada dua kalimah al-Haq dalam ayat ini. Al-Haq ialah kebenaran. Lawannya ialah Batil (tidak ada tujuan). Al-Haq ialah tujuan dalam kehidupan kita. Allah tidak menjadikan apa-apa pun sia-sia. Allah menjadikan langit dan bumi ada tujuannya. 
  3. Bila belajar al-Quran, kita belajar al-Haq. Kita akan jelas tujuan hidup. Kita jelas dalam semua perkara. Tujuan kita bercakap, makan, semuanya jelas. 
  4. Langit dan bumi kita nampak, tetapi tiupan sangkakala kita tidak nampak. Ada juga bahagian langit dan bumi yang kita tidak nampak. Tapi Allah SWT nampak semuanya dengan jelas. Ilmu Allah itu amat luas. Ada yang kita nampak dan ada yang kita tak nampak.
  5. Allah beritahu dengan kebenaran bahawa Dia buat semuanya ada tujuan. Kalau benda di dunia ini pun kita tidak tahu semua, sebaiknya kita bergantung kepada ilmu yang Allah letakkan dalam al-Quran ini. Inilah Allah yang sama yang memiliki hari kiamat. 
  6. Yang Bijaksananya adalah Allah, Yang Mengetahui segala-galanya ke depan, ke belakang adalah Allah. Yang tidak tahu selepas ini nak buat apa adalah kita.


RESOLUSI

Ingat !!

  1. Terus memberi ingatan/pesanan kepada kawan dan ahli keluarga (69)
  2. Elakkan bersama orang yang menjadikan agama sebagai permainan atau senda gurau (70)
  3. Hanya mohon dan fokus pada Allah - jangan tertipu dengan bisikan syaitan (71) 

Lega kerana Allah ingatkan saya supaya tidak tertipu dengan bisikan syaitan dan supaya elakkan daripada orang yang menjadikan agama sebagai permainan dan senda gurau.

Saya jelas untuk terus memberi pesanan/ingatan kepada kawan dan ahli keluarga. Saya mesti elakkan bersama orang yang menjadikan agama sebagai permainan atau senda gurau. Saya jelas, saya mesti hanya mohon dan fokus pada Allah, jangan tertipu dengan bisikan syaitan.

Ya Allah, bimbing kami untuk terus memberi pesanan kepada kawan dan ahli keluarga. Ya Allah, jauhi kami daripada orang yang menjadikan agama sebagai permainan atau senda gurau. Ya Allah, Ya Somad, hanya kepadaMu kami bergantung harapan. Jauhi kami daripada tipu daya dan bisikan syaitan.

Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: My #QuranTime Episod 190

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...