PERKATAAN HARI INI
191 kali disebut dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Dialog antara Nabi Ibrahim dengan ayahnya (Aazar) dan sebab beliau meninggalkan kemusyrikan (74-79)
- Dialog antara Nabi Ibrahim dan kaumnya (80-81)
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pengajian dalam surah al-An'am yang memberi pencerahan tentang keimanan dan ketauhidan. Kita mohon Allah pimpin kita dengan hidayah setiap masa.
Membaca al-Quran sepatutnya memberi perubahan dalam cara kita berfikir, akhlak dan hati kita. Al-Quran adalah sumber zikir. Dengan mengingati Allah, jiwa akan tenang. Tenang tidak semestinya tidak ada masalah atau tidak buat silap. Tapi tenang itu bila tahu bahawa Allahlah sebenarnya tempat untuk kita bergantung dan bergabung. Tauhid bukan sekadar di dalam diri tetapi dijelmakan dalam keluarga dan masyarakat.
Ayat [6:74]
وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ لِأَبِيهِ ءَازَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا ءَالِهَةً ۖ إِنِّىٓ أَرَىٰكَ وَقَوْمَكَ فِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata".
Pengajaran
- Pada halaman lepas kita diperkenalkan dengan Allah yang menciptakan pelbagai petala langit dan bumi di dalam ayat 73. Langit yang dapat kita lihat, yang ada bintang dan matahari, adalah langit yang pertama (langit dunia). Pelbagai petala langit lain yang ada kita tidak nampak kecuali apabila diberitahu oleh Allah SWT.
- Syurga adalah seluas pelbagai petala langit dan bumi. Apakah fungsinya? Allah menjadikan segalanya bukan sia-sia. Ada tujuannya dan kebenaran. Insya Allah, dengan rahmat Allah jika kita dapat masuk ke syurga, kita akan lihat bahawa ia jauh lebih luas. Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.
- Di dalam surah al-Baqarah yang banyak menyentuh mengenai kepimpinan, di situ ceritanya banyak mengenai perjuangan menghadapi ujian dan kepimpinan Nabi Ibrahim. Di sini, banyak bercerita mengenai tauhid lalu dibawakan sisi tauhid di dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. Mengapa kisah Nabi Ibrahim kali ini diceritakan di dalam Surah Al-An’am ? Ini kerana audiens yang mendengar di Mekah adalah orang Quraisy Mekah. Kaabah itu legasi Nabi Ibrahim dan mereka (orang musyrik) merasa mulia dengan kaitan mereka dengan Nabi Ibrahim a.s. Tetapi sebenarnya, Nabi Ibrahim tidak mensyirikkan Allah.
- Ayat ini hujah kepada orang Quraisy supaya tidak pentingkan keturunan itu sahaja. Mesti juga ada kualiti dan nilai tauhid di dalam diri.
- Nabi Ibrahim ialah 'awwab' sifatnya, lembut seperti juga Saidina Abu Bakar. Lembut namun tegas pada tempatnya. Nabi Ibrahim menegur ayahnya yang kufur kerana sayang pada ayahnya itu. Bagi seorang anak untuk menegur ayahnya adalah tidak mudah, tetapi demi tauhid Nabi Ibrahim tetap menegur ayahnya.
Ayat [6:75]
وَكَذَٰلِكَ نُرِىٓ إِبْرَٰهِيمَ مَلَكُوتَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ ٱلْمُوقِنِينَ
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.
Pengajaran
- Menurut Asfahani yakin ialah faham yang telah mencapai ketenangan dan hukum yang telah mencapai ketetapan. Yakin ialah keimanan yang tenang. Bagi orang yang yakin, mereka berasa boleh sahaja Allah memberi rezeki pada tahun 2021 setelah diuji pada tahun 2020. Mereka tidak berputus asa.
- Ayat ini adalah poin yang penting. Allah menampakkan kepada Nabi Ibrahim kekuasaan Allah pada langit dan bumi. Nabi Ibrahim menggunakan kemahiran melihat dan berfikirnya, tetapi bertemu juga dengan ilmu daripada Allah SWT. Nabi Ibrahim melalui proses-proses untuk mendapat hidayah, ilmu naqal sehingga mendapat keyakinan.
- Ini proses yang kita juga perlu lalui,kita belajar pelbagai ilmu dan kita tetap perlu ilmu naqal yang datang daripada al-Quran dengan bertadabbur dan melihat alam. Bila kita yakin, bila kita lihat alam, kita akan nampak kebesaran Allah.
Ayat [6:76]
فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ ٱلَّيْلُ رَءَا كَوْكَبًۭا ۖ قَالَ هَـٰذَا رَبِّى ۖ فَلَمَّآ أَفَلَ قَالَ لَآ أُحِبُّ ٱلْـَٔافِلِينَ
Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".
Pengajaran
- Ini adalah penghujahan daripada Nabi Ibrahim a.s. Bila nampak bintang di waktu malam, baginda 'berkata’(قَالَ) "Apakah ini tuhanku?". Baginda tidak ‘bersangka-sangka’ (dhonna ظَنّ). Bila bintang terbenam, Nabi Ibrahim merasakan pasti ia bukan tuhan.
- Nabi Ibrahim mahu menunjukkan bukti kepada kaumnya. Nabi Ibrahim berhujjah dengan kaumnya. Nabi Ibrahim menyatakan yang jika matahari itu tenggelam, mana mungkin ia tuhan. Inilah proses pencerapan yang ingin Nabi Ibrahim ajar kepada kaumnya.
- Kita menghadapkan diri kita kepada Allah di dalam solat kita, memohon bantuan Allah. Nabi Ibrahim tidak pernah berputus asa dalam berdakwah biarpun banyak cabaran.
Ayat [6:77]
فَلَمَّا رَءَا ٱلْقَمَرَ بَازِغًۭا قَالَ هَـٰذَا رَبِّى ۖ فَلَمَّآ أَفَلَ قَالَ لَئِن لَّمْ يَهْدِنِى رَبِّى لَأَكُونَنَّ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلضَّآلِّينَ
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat"
Pengajaran
- Nabi Ibrahim melihat pula bulan yang terbit. Bulan tenggelam bila cahaya matahari datang.
- Nabi Ibrahim a.s. diberi petunjuk oleh Allah daripada kesesatan.
- Semoga Allah beri petunjuk kepada kita dan jauhi kita daripada kesesatan.
Ayat [6:78]
فَلَمَّا رَءَا ٱلشَّمْسَ بَازِغَةًۭ قَالَ هَـٰذَا رَبِّى هَـٰذَآ أَكْبَرُ ۖ فَلَمَّآ أَفَلَتْ قَالَ يَـٰقَوْمِ إِنِّى بَرِىٓءٌۭ مِّمَّا تُشْرِكُونَ
Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
Pengajaran
- ‘Haza’(هَٰذَا)untuk menunjukkan Nabi Ibrahim a.s. merujuk kepada konsep ketuhanan, bukan kepada objek (matahari).
- Nabi Ibrahim a.s. bukan masuk Islam, keluar dan masuk semula seperti yang dianggap sesetengah orang. Ada orang yang ingin murtad dan kemudian kembali semula kepada Islam. Nabi Ibrahim a.s. berlepas diri dari apa yang kaumnya katakan dan sekutukan.
- Semoga Allah jauhi kita daripada murtad.
Ayat [6:79]
إِنِّى وَجَّهْتُ وَجْهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ حَنِيفًۭا ۖ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".
Pengajaran
- Ayat ini kita baca di dalam doa iftitah.
- فَطَرَ bermaksud Allah ciptakan, kemudian diadun dan dicantikkan. Ia ada kaitan dengan fitrah kita. Kecantikan adalah fitrah dan kecantikan yang terbaik adalah apa yang diciptakan oleh Allah SWT.
- Janganlah kita mengubah ciptaan Allah, seolah-olah kita mempersoalkan fitrah yang telah Allah berikan.
- Fitrah yang paling penting adalah tauhid kepada Allah SWT.
Ayat [6:80]
وَحَآجَّهُۥ قَوْمُهُۥ ۚ قَالَ أَتُحَـٰٓجُّوٓنِّى فِى ٱللَّهِ وَقَدْ هَدَىٰنِ ۚ وَلَآ أَخَافُ مَا تُشْرِكُونَ بِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَشَآءَ رَبِّى شَيْـًۭٔا ۗ وَسِعَ رَبِّى كُلَّ شَىْءٍ عِلْمًا ۗ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ
Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: "Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?
Pengajaran
- Kaum Nabi Ibrahim a.s. berhujah membantah baginda. Nabi Ibrahim a.s. telah menggunakan akalnya memikirkan tentang matahari, bulan dan bintang. Nabi Ibrahim menyatakan yang Allah telah memberinya petunjuk. Nabi Ibrahim mempersoalkan bulan, bintang dengan menggunakan daya berfikir. Bila proses ini diberikan hidayah daripada wahyu, hasilnya menjadi hebat. Ada orang, profesor yang berpelajaran tinggi tetapi tanpa hidayah, mereka akan berhujah dengan hujah yang mungkin tidak benar.
- Tidakkah kamu mengambil pengajaran?(أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ). Bila diberi ilmu, diberikan hidayah, kita sepatutnya ingat balik fitrah kita sebagai hamba.
- Fitrah hamba ialah mengakui tiada tuhan selain Allah. Dengan al-Quran, dengan diutusnya Nabi Ibrahim a.s., diberikan tazkirah, kita ingat kembali asal usul kita dan tidak takut kepada perkara yang syirik. Allah sudah jaga kita selama ini dan Allah boleh jaga untuk seterusnya. Jangan takut apa yang akan berlaku pada tahun 2021. Allah ada.
Ayat [6:81]
وَكَيْفَ أَخَافُ مَآ أَشْرَكْتُمْ وَلَا تَخَافُونَ أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُم بِٱللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِۦ عَلَيْكُمْ سُلْطَـٰنًۭا ۚ فَأَىُّ ٱلْفَرِيقَيْنِ أَحَقُّ بِٱلْأَمْنِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
"Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?"
Pengajaran
- Kenapa manusia sanggup syirik? Manusia syirik kerana takut. Nabi Ibrahim a.s diluruskan oleh Allah dan selamat dari kesyirikan.
- Nabi Ibrahim a.s bertanya kepada kaumnya apa yang mereka syirikkan, letak berhala untuk meminta perlindungan, itu, ini. Nabi Ibrahim berhujah bagaimana mungkin baginda takut kepada apa yang mereka syirikkan sedangkan mereka tidak takut kepada Allah yang menciptakan segalanya. Mereka sepatutnya takut kepada Allah.
- Manusia memang ada rasa takut, sedih dan bimbang. Tetapi yang Allah gariskan, yang diajar kepada Nabi Ibrahim a.s, dan diajar kepada kita ialah jangan takut kepada benda yang tidak benar, yang tidak ada hujah betul daripada Allah SWT(سُلْطَٰنًا). Takutlah kepada Allah. Bagaimana amalan kita, solat kita, Quran kita yang tak cukup betul-betul. Inilah yang perlu kita takutkan, kerana kita takut kepada Allah. Maka kita kenalah baiki lagi amalan kita. Orang beriman yang meminta pertolongan Allahlah yang selamat. Tidak perlu syirik. Contoh: Ada orang takut hari lahir. Contohnya kalau lahir bulan Januari, takut jadi kasar. Takut mati bila dengar bunyi gagak.
- Isu dalam bertauhid ialah kita perlu mengetahui bahawa keamanan yang sebenar-benarnya adalah orang yang beriman dan meminta perlindungan daripada Allah SWT. Tidak perlu syirik seperti letak dream catcher untuk menarik impian. Kita hanya bergantung kepada Allah yang kita bergantung sepanjang hidup kita.
RESOLUSI
Ingat !!
- Bertanya untuk mendapatkan jawapan yang benar (74)
- Berhujah dengan kejadian alam agar lebih yakin dengan kebenaran (75)
- Sering jaga niat dan arah kiblat dalam kehidupan hanya untuk Allah SWT (79)
Lega kerana Allah galakkan saya bertanya untuk mendapat jawapan yang benar.
Saya jelas untuk bertanya untuk mendapatkan jawapan yang benar. Saya jelas untuk berhujah dengan kejadian alam agar lebih yakin dengan kebenaran. Saya jelas saya mesti sering jaga niat dan arah kiblat dalam kehidupan hanya pada Allah SWT.
Ya Allah, bimbing kami bertanya bagi mendapat jawapan yang benar tentang tauhid. Ya Allah, pimpin kami untuk berhujah dengan kejadian alam agar yakin dengan kebenaran. Ya Allah, tolong kami untuk menjaga niat dan arah kiblat dalam kehidupan hanya kepada Mu.
Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.