PERKATAAN HARI INI
33 kali disebut dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Sambungan kisah Nabi Ibrahim (82-83)
- Nabi Ibrahim bapa para Nabi, karakteristik risalah mereka dan kewajipan mengikuti jejak mereka (84-90)
Mukaddimah
Alhamdulillah, hari ini kita dapat teruskan pengajian pada halaman 138. Kita akan berkenalan dengan pelbagai nama nabi dan rasul. Hari ini hari yang istimewa. Kita berkenalan dengan tokoh-tokoh, uswatun hasanah, qudwah iaitu role models kita. Jika ada yang kenal Spiderman, Batman dan man man yang lain sebagai penyelamat, rupa-rupanya avengers, penyelamat kita yang sebenar yang diutus oleh Allah dengan risalah yang benar, risalah tauhid, ada disebut di dalam halaman 138 ini.
Ummul Quran yang dibaca, kita memohon hidayah untuk berada di atas jalan yang lurus iaitu jalan orang yang telah diberi nikmat oleh Allah SWT.
Perjuangan Nabi Ibrahim a.s. diteruskan oleh nabi-nabi lain. Sebelum Nabi Ibrahim, terdapat Nabi Nuh yang akan kita temui namanya di halaman ini. Kita meneruskan pengajian di halaman 138 tentang para nabi. Merekalah yang menyambung risalah-risalah tauhid dan mengajak kita menyembah Allah yang Esa dan menjauhkan dari kesyirikkan.
Inilah para nabi yang kita cintai dan kita yakini kebenaran mereka. Mudah-mudahan kita mengikuti ikon yang nama mereka harum sehingga hari ini. Kita namakan anak cucu kita dengan nama-nama mereka. Perjuangan mereka perlu diselusuri.
Ayat [6:82]
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَـٰنَهُم بِظُلْمٍ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Pengajaran
- Di dalam pelajaran yang lepas ada disebutkan tentang dialog Nabi Ibrahim a.s. kepada kaumnya. Nabi Ibrahim a.s. tidak takut dengan tuhan-tuhan yang kaumnya syirikkan tetapi hanya takut kepada Allah. Kaumnya takut pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Contoh: Zaman sekarang ada yang kata jika tidak minta izin bila masuk hutan, kita akan dirasuk. Jika tidak beri makan kepada laut, laut itu akan 'memakan' kita.
- Minggu lepas kita berbincang 'bashir wa nazir.' Dengan 'bashir' (berita gembira) kita semakin beriman, dengan 'nazir' (peringatan) pula kita semakin islah (memperbaiki diri) di dalam kehidupan. Kesannya, kita akan sentiasa menjadi orang yang sentiasa mendapat keamanan.
- Perkataan yang paling sahabat-sahabat di zaman nabi SAW takut ialah ظُلْمٍ (berbuat dosa). Lalu Rasulullah SAW memberi penerangan bahawa ia ada disyarahkan di dalam Surah Luqman, iaitu syirik itu adalah kezaliman yang besar. Konteks ayat ini adalah syirik, bukan orang berdosa ataupun tidak. Jadi kita memahami ‘zulm’ berdasarkan halaman 137 dan ada kaitannya.
- Kita tidak sempurna. Jika silap, kita baiki kesilapan kita. Orang yang tidak mencampurkan iman dan kezaliman syirik, akan mendapat hidayah dan keamanan. Aman itu aman daripada konflik dalaman, tekanan perasaan, konflik nilai, mahupun konflik kekeluargaan. Keluarga, negeri, negara, malah di Facebook pun aman. Bila kita sudah aman, kita akan dapat ilham-ilham baharu dan Allah akan pimpin kita. Hati lebih bersih bila iman dan al-Quran sudah masuk ke dalam hati kita. Orang yang sentiasa mendapat hidayah itulah ‘muhtadun’(مُّهْتَدُونَ).
Ayat [6:83]
وَتِلْكَ حُجَّتُنَآ ءَاتَيْنَـٰهَآ إِبْرَٰهِيمَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ ۚ نَرْفَعُ دَرَجَـٰتٍۢ مَّن نَّشَآءُ ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌۭ
Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
Pengajaran
- Allah menaikkan darjat Nabi Ibrahim a.s. dengan iman. Walaupun orang memandang rendah, Nabi Ibrahim a.s. dicampakkan ke dalam api, dihalau dari rumah oleh ayahnya (Aazar), nampak seperti gelandangan, tetapi sebenarnya beliau dimuliakan sampai termaktub dalam al-Quran.
- Semakin kita beriman, semakin kita mendapat hidayah. Semakin diberi hidayah, Allah akan naikkan darjat kita.
- Perkataan حَجَّ bermakna berhujah. Ada kaitan dengan haji. Nabi Ibrahim diberikan hujah oleh Allah SWT. Dengan hujah itu Nabi Ibrahim memperkenalkan haji. Orang pergi haji ini hujah bertauhidnya tak boleh kendur, sepatutnya semakin kuat untuk berjuang selepas melihat peninggalan Nabi Ibrahim.
Ayat [6:84]
وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ إِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ كُلًّا هَدَيْنَا ۚ وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ ۖ وَمِن ذُرِّيَّتِهِۦ دَاوُۥدَ وَسُلَيْمَـٰنَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.
Pengajaran
- Dengan perjuangan tauhid, Nabi Ibrahim diberikan hadiah yang amat istimewa. Di usia lanjut, 88 tahun, Nabi Ibrahim diberi hadiah iaitu mendapat zuriat, Ishak. Daripada Ishak, lahirnya Yaakub ayah kepada Nabi Yusuf. Semuanya diberikan hidayah.
- Kemudian, dibawakan tentang Nabi Nuh. Nabi Ibrahim adalah keturunan dari Nabi Nuh, semuanya daripada keturunan yang baik. Zuriat selepas Nabi Ibrahim ialah Daud, Sulaiman, Ayub, Yusuf, Musa dan Harun. Mereka semua adalah avengers (penyelamat). Semuanya ada 18 nama Nabi dalam halaman ini.
- Nabi Daud adalah ayah dan anaknya Nabi Sulaiman diberikan kemahiran menguruskan dunia, raja yang sangat kaya namun tetap bertauhid. Nabi Sulaiman bukan hanya menguruskan manusia dan jin, malah burung dan lain-lain, tetapi beliau tetap bertauhid dan beramal soleh.
- Nabi Ayub pula adalah ketua yang turun jawatan akibat sakit sehingga habis semua keluarganya, namun beliau tetap bertauhid.
- Nabi Yusuf pula bermula sebagai orang bawahan sehingga dilantik menjadi pemerintah. Walau dibaling ke dalam telaga, digoda wanita, dan dimasukkan ke penjara, tetap bertauhid.
- Nabi Musa dan Nabi Harun pula bukan pemerintah, malah penentang pemerintah(Firaun) dan tetap bertauhid.
- Allah memberikan balasan kepada orang yang ihsan. Tak kira pangkat tinggi atau rendah, pemerintah atau tidak, Allah berikan kerana mereka buat yang terbaik, cemerlang bertauhid kepada Allah SWT.
Ayat [6:85]
وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ ۖ كُلٌّۭ مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh.
Pengajaran
- Nabi Zakaria dan anaknya Yahya adalah orang biasa-biasa tetapi soleh di tengah-tengah kaum mereka yang rosak. Nabi Zakaria dan Yahya akhirnya terbunuh di tangan kaum mereka yang sangat teruk pada waktu itu.
- Nabi Isa dan Ilyas meneruskan perjuangan membawa masyarakat kepada tauhid.
Ayat [6:86]
وَإِسْمَـٰعِيلَ وَٱلْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًۭا ۚ وَكُلًّۭا فَضَّلْنَا عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ
Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Ilyasa' dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).
Pengajaran
- Nabi Ismail, Ilyasa', Yunus dan Lut semuanya bina komuniti masing-masing.
- Ada sebahagian dari keturunan mereka yang 'degil' dan lari dari perjuangan dengan kaumnya, seperti kaum Nabi Yunus, namun mereka tetap kembali kepada Allah.
- Kaum Nabi Lut adalah kaum yang bergelumang dengan perlakuan songsang (LGBT).
- Para nabi ini mendapat kurniaan dan diangkat tinggi kerana perjuangan tauhid. Mereka adalah contoh untuk pelbagai latar belakang manusia.
- Surah ini turun di hujung-hujung Nabi SAW berada di Mekah. Ketika di Madinah, orang-orang Madinah terkejut bahawa Nabi SAW tahu asal keturunan mereka. Ini menunjukkan yang baginda SAW adalah nabi yang benar.
Ayat [6:87]
وَمِنْ ءَابَآئِهِمْ وَذُرِّيَّـٰتِهِمْ وَإِخْوَٰنِهِمْ ۖ وَٱجْتَبَيْنَـٰهُمْ وَهَدَيْنَـٰهُمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ
Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
Pengajaran
- Jalan yang lurus ada asasnya. Asasnya itu berasal daripada Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim a.s. dan lain-lain.
Ayat [6:88]
ذَٰلِكَ هُدَى ٱللَّهِ يَهْدِى بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۚ وَلَوْ أَشْرَكُوا۟ لَحَبِطَ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).
Pengajaran
- Perjalanan tauhid telah diperjuangkan oleh para nabi dan rasul dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad SAW, dan kita adalah umat Nabi Muhammad SAW. Perjuangan para nabi dan rasul adalah perjuangan hidayah.
- Allah memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya. Istilah عِبَادِهِ itu penting kerana ada Nabi Isa a.s. Ini kerana ada sebahagian manusia yang menyatakan Isa sebagai tuhan sedangkan Nabi Isa adalah hamba tuhan seperti nabi-nabi lain, bukan tuhan seperti yang orang Nasrani anggap.
- Orang Yahudi dan Nasrani menyatakan mereka juga ada kaitan dengan Nabi Ibrahim a.s. seperti orang Islam. Tapi sebenarnya, jika seseorang itu mensyirikkan Allah, apa sahaja yang mereka lakukan akan hancur.
- Kita tidak ada kompromi dengan syirik. Kita boleh berbaik dengan mereka, Nasrani dan Yahudi, tetapi tentang balasan dari Allah, serahkan kepada Allah. Tidak boleh kompromi tentang akidah.
Ayat [6:89]
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحُكْمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ۚ فَإِن يَكْفُرْ بِهَا هَـٰٓؤُلَآءِ فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًۭا لَّيْسُوا۟ بِهَا بِكَـٰفِرِينَ
Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya.
Pengajaran
- Ayat ini menempelak orang musyrik Mekah dan juga orang Madinah kerana mereka telah diberi kitab namun kufur.
- Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW di hari ini, juga kena berjuang dengan tauhid dalam kapasiti masing-masing. Ingatkan anak, jangan hanya solat bila mahu peperiksaan sahaja. Ingatkan kawan-kawan di pejabat agar selalu berpegang kepada Allah. Jika kita bergantung kepada manusia, kita akan buntu.
- Muhajirin dan Ansar telah diangkat darjat mereka dan diberikan tugas mulia ini.
- Semoga kita juga terpilih dan berpeluang berjumpa dengan para nabi dan rasul di akhirat nanti.
Ayat [6:90]
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ ۖ فَبِهُدَىٰهُمُ ٱقْتَدِهْ ۗ قُل لَّآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا ۖ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْعَـٰلَمِينَ
Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.
Pengajaran
- Kalau kita betul-betul kenal para rasul yang dinyatakan pada halaman ini, kita akan menjadikan mereka qudwah. Jika kita betul-betul kenal ayah kita, kita tentu rindu dan sayang ayah. Kita menghargai ayah yang mencari nafkah untuk kita. Begitulah jika kita mendapat hidayah dari Allah, kita akan menjadikan nabi-nabi ini sebagai contoh teladan.
- Ayat ini mengingatkan kita untuk mengenali lagi para nabi ini. Mereka mencerahkan umat, masyarakat. Mereka dapat cahaya daripada Allah, mereka bantu masyarakat untuk beriman, membina keamanan di dunia sampai ke akhirat.
- Hendaklah kita jadikan perjuangan mereka yang penuh kesabaran, sebagai pemberi semangat. Mereka berjuang tidak mengharapkan upah. Mereka betul-betul mahu memberi kita peringatan ذِكْرَىٰ لِلْعَٰلَمِينَ . Dalam konteks kita sekarang, ذِكْرَىٰ ini adalah al-Quran.
- Semoga kita dapat teruskan perjuangan nabi-nabi yang tersebut dalam halaman ini. Inilah jalan orang-orang yang diberi nikmat seperti yang kita mohon dalam al-Fatihah.
RESOLUSI
Ingat !!
- Jauhi perkara syirik agar merasa aman/tenang dan sentiasa mendapat petunjuk (82)
- Dapatkan banyak anugerah Allah SWT dengan melaksanakan kebaikan (muhsinin) (84)
- Terus memberi peringatan kerana itu tanda kita mendapat hidayah (90)
Lega kerana Allah akan berikan banyak anugerah apabila saya melaksanakan kebaikan.
Saya jelas untuk jauhi perkara syirik agar merasa aman/tenang dan sentiasa mendapat petunjuk. Saya mesti laksanakan kebaikan agar saya dapat banyak anugerah Allah SWT. Saya juga mesti terus memberi peringatan kerana itu tanda saya mendapat hidayah.
Ya Allah, jauhi kami daripada perkara syirik. Kurniakan kami kehidupan yang aman dan tenang. Ya Allah Ya Nur Ya Hadi, berikan kami cahaya petunjuk ke jalan yang benar seperti jalan-jalan para Nabi dan rasul. Ya Allah, jadikan kami orang yang melaksanakan kebaikan. Anugerahi kami dengan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Ya Allah, bantu kami untuk terus memberi peringatan kepada keluarga dan masyarakat agar kami dapat bina masyarakat yang bertauhid.
Allahumma Rabbana, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: My #QuranTime Episod 192