Saturday, June 3, 2023

Halaman 140 : Al-An'am, 6:95-101

PERKATAAN HARI INI


فَلَقَ   Menumbuhkan, membelah. 
4 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Kekuasaan Allah SWT yang menakjubkan di alam semesta (95-99)
  2. Sebutan-sebutan yang dinisbahkan kepada Allah SWT (jin, anak dan isteri) (100-101)


Mukaddimah

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pengajian pada halaman 140, surah al-An'am. Berulang kali kita membaca al-Fatihah untuk mengingatkan diri kita bahawa kita adalah hamba kepada Allah SWT. Pada ayat 5, Allah meletakkanإِيَّاكَ  lebih awal berbanding نَعْبُدُ kerana ketauhidan kita kepada Allah SWT lebih penting berbanding kita sebagai hamba. Adab kita memohon, kita dahului dengan mengakui ketauhidan kepada Allah. Kita buat apa yang perlu kita buat sebagai hamba, kemudian kita kata وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan). Kita bukan hanya mohon bila kita di dalam kesusahan.   


Ayat [6:95]


إِنَّ ٱللَّهَ فَالِقُ ٱلْحَبِّ وَٱلنَّوَىٰ ۖ يُخْرِجُ ٱلْحَىَّ مِنَ ٱلْمَيِّتِ وَمُخْرِجُ ٱلْمَيِّتِ مِنَ ٱلْحَىِّ ۚ ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ ۖ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?


Pengajaran

  1. ٱلْحَبِّ adalah butir-butir seperti padi dan jagung yang biji benihnya tersusun.  ٱلنَّوَىٰ adalah biji benih seperti buah kurma dan mangga yang hasil buahnya itu besar.
  2. يُخْرِجُ dalam bentuk kata kerja dan مُخْرِجُ dalam bentuk kata nama. Apa bezanya? Yang pertama itu maknanya masih lagi dalam keadaan bergerak (continuous) sebab  ٱلْحَىَّ (yang hidup) adalah bergerak, berbanding dengan  ٱلْمَيِّتِ  (yang mati) adalah statik.
  3. Allah SWT mengingatkan kita, Dialah yang membelah biji benih yang amat kecil. Dia juga mengeluarkan yang hidup dari yang mati. Allah bawakan kepada kita satu kitaran tentang biji benih ataupun buah. 
  4. Allah suruh kita perhatikan betul-betul kitaran tumbuhan ini sebagai perumpamaan untuk kitaran hidup kita. Hamka memberi contoh buah kelapa. Buah kelapa yang mati, akhirnya boleh menghidupkan pokok. Pokok kelapa yang hidup, boleh mengeluarkan buah kelapa yang kering/mati.
  5. Apa yang berlaku ini bukanlah secara rawak, tetapi kitaran ini dibuat oleh Allah SWT. Contoh lain: Telur yang mati keluar dari ayam yang hidup dan dari telur itu boleh pula keluar ayam. Semua itu bukan kita yang buat formulanya. Semuanya datang daripada Allah SWT.
  6. Apabila kita fikir dan kaji tentang perkara ini, kita akan sedar bahawa semua yang kita nampak sebagai natural itu ada pencipta dan pengurusnya, iaitu Allah SWT. Guru-guru yang mengajar sains hendaklah berperanan membetulkan pemikiran naturalist dengan mengaitkan formula-formula sains kepada Allah SWT.


Ayat [6:96]


فَالِقُ ٱلْإِصْبَاحِ وَجَعَلَ ٱلَّيْلَ سَكَنًۭا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ حُسْبَانًۭا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ

Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.


Pengajaran

  1. فَالِقُ maknanya membelah. Allahlah yang membelah subuh. Dia menjadikan malam sebagai ketenangan, masa untuk berehat. Bila siang tiba, maka bersedialah untuk bekerja keras.
  2. Allah SWT jadikan matahari dan bulan bergerak mengikut peredarannya untuk manusia mengira waktu. 
  3. Hendaklah kita bersyukur kerana Allah memudahkan untuk kita mengira bilangan hari dalam sebulan dan bilangan bulan dalam setahun yang bilangannya tetap, tidak berubah. 
  4. Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Semuanya Allah buat dengan perkiraan yang tepat. 
  5. Hendaklah kita terus belajar formula kehidupan yang Allah tetapkan agar bertambah ketauhidan kita kepada Allah SWT. 


Ayat [6:97] Allah bawakan kepada ciptaanNya yang besar.


وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلنُّجُومَ لِتَهْتَدُوا۟ بِهَا فِى ظُلُمَـٰتِ ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍۢ يَعْلَمُونَ

Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.


Pengajaran

  1. Apakah fungsi bintang? 
    • Untuk menjadi hidayah/petunjuk kepada mereka yang berada dalam kegelapan di darat dan juga di lautan. Dulu tiada waze, mereka bergantung kepada bintang di langit. Sekarang waze juga bergantung kepada signal satelit di angkasaraya. Ilmu berkaitan nujum adalah ilmu falak.
    • Merejam syaitan.
    • Menghias langit.
  2. Allah jelaskan perkara ini untuk kaum yang mahu mengetahui dengan mendalam ( يَعْلَمُونَ ). Kalau kita tidak belajar, kita tahu begitu-begitu sahaja. Bagi yang pakar dalam falak, mereka  tahu secara terperinci tentang bintang-bintang tersebut. Tidak mungkin ia terjadi begitu sahaja atau terbina secara rawak.  Mesti ada penciptanya yang hebat, Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.  


Ayat [6:98]


وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ فَمُسْتَقَرٌّۭ وَمُسْتَوْدَعٌۭ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍۢ يَفْقَهُونَ

Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).


Pengajaran

  1. Allah mencipta kita dari Nabi Adam. 
  2. Allah sediakan untuk kita tempat menetap (مُسْتَقَرٌّۭ) dan tempat simpanan (مُسْتَوْدَ). Ahli tafsir berpendapat, yang dimaksudkan dengan 'tempat menetap' ialah tulang sulbi bapa dan 'tempat simpanan' ialah rahim ibu. Ada juga yang berpendapat, 'tempat menetap' ialah di atas bumi waktu manusia masih hidup dan 'tempat simpanan' ialah di dalam kubur waktu manusia telah mati. 
  3. Setiap orang kena tahu perkara ini secara mendalam (يَفْقَهُونَ ). Ada masa kehidupan yang pendek dan ada masa yang panjang. Hendaklah kita buat perancangan jangka panjang sampai akhirat dan perancangan jangka pendek. Sudah akhir tahun 2020, apa nak dicapai tahun 2021?


Ayat [6:99]


وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ نَبَاتَ كُلِّ شَىْءٍۢ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًۭا نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّۭا مُّتَرَاكِبًۭا وَمِنَ ٱلنَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌۭ دَانِيَةٌۭ وَجَنَّـٰتٍۢ مِّنْ أَعْنَابٍۢ وَٱلزَّيْتُونَ وَٱلرُّمَّانَ مُشْتَبِهًۭا وَغَيْرَ مُتَشَـٰبِهٍ ۗ ٱنظُرُوٓا۟ إِلَىٰ ثَمَرِهِۦٓ إِذَآ أَثْمَرَ وَيَنْعِهِۦٓ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكُمْ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ

Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.


Pengajaran

  1. Allah ingatkan kita, Dialah yang menurunkan air dari langit, lalu menumbuhkan segala jenis tanaman.
  2. Allah yang mengeluarkan buah yang tersusun cantik, bermayang-mayang, bertandan-tandan, buah yang bersamaan dan tidak bersamaan. 
  3. Allah suruh kita perhatikan proses pertumbuhan biji benih, ketika buahnya pada waktu berbuah dan menjadi masak. Dari biji benih, tunas, sehinggalah ia masak, akhirnya dipetik atau gugur jatuh ke tanah, Allah juga yang menyusunnya. 
  4. Begitulah manusia. Kita juga akan dipetik dari dunia ini bila sampai masanya. Hendaklah kita buat persediaan sebelum dipetik oleh malaikat. Kita mahu dipetik dalam keadaan memberi manfaat seperti buah mangga yang dipetik. 
  5. Semoga kita dapat ambil pelajaran daripada buah yang dipetik. Kita harap kita adalah orang yang dapat mengeluarkan manfaat bila Allah turunkan hujan wahyu kepada hati kita, akhirnya mekar menghasilkan buah-buahan yang dipetik orang ramai. Bila kita dipetik oleh malaikat, orang masih mendapat manfaat.


Ayat [6:100]


وَجَعَلُوا۟ لِلَّهِ شُرَكَآءَ ٱلْجِنَّ وَخَلَقَهُمْ ۖ وَخَرَقُوا۟ لَهُۥ بَنِينَ وَبَنَـٰتٍۭ بِغَيْرِ عِلْمٍۢ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يَصِفُونَ


Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari apa yang mereka sifatkan!


Pengajaran

  1. Allah ingatkan, janganlah kita jadikan jin sekutu bagiNya, padahal Allahlah yang mencipta jin-jin itu. Zaman sekarang pun masih ada yang meminta pertolongan dari jin, mengasap keris dan minta ilmu kebal. Semua amalan ini mencalar akidah. 
  2. Hendaklah kita ingat bahawa Allahlah yang hebat. Yang lain semuanya lemah. 
  3. Ilmu yang sebenar-benarnya akan menguatkan ketauhidan kita. 


Ayat [6:101]


بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُۥ وَلَدٌۭ وَلَمْ تَكُن لَّهُۥ صَـٰحِبَةٌۭ ۖ وَخَلَقَ كُلَّ شَىْءٍۢ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ

(Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.


Pengajaran

  1. Allah ingatkan kita lagi, Dialah yang menciptakan langit dan bumi. 
  2. Allah ingatkan yang Dia tidak mempunyai isteri dan tidak mempunyai anak.
  3. Allah mencipta segala-galanya, dan Dialah yang Maha Mengetahui segala-galanya.
  4. Semoga kita tidak terjebak dalam kumpulan orang yang berfikir secara tidak simetri.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Perhatikan manfaat tumbuhan dan pertukaran malam dan siang untuk manusia (95-96)
  2. Perhatikan kesan air dari langit kepada tanah dan tumbuhan (99)
  3. Jangan syirikkan Allah SWT dengan jin dan makhluk lain (100)

Lega kerana Allah jadikan tumbuhan, air, siang dan malam untuk manfaat saya.

Saya jelas perhatikan manfaat tumbuhan dan pertukaran malam dan siang untuk diri saya. Saya jelas saya mesti perhatikan kesan air dari langit kepada tanah dan tumbuhan dan kaitkannya dengan diri saya. Saya jelas untuk tidak syirikkan Allah SWT dengan jin dan makhluk lain.

Ya Allah, jadikan kami orang yang dapat memahami manfaat tumbuhan, air dan pertukaran siang dan malam dalam hidup kami. Ya Allah Ya ‘Alim Ya Rashid, ajarkan kami ilmu sains yang dapat meningkatkan ketauhidan kami kepada Mu. Ya Allah, jauhi kami daripada perbuatan syirik.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: My #QuranTime Episod 196

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...