Saturday, June 3, 2023

Halaman 139 : Al-An'am, 6:91-94

PERKATAAN HARI INI


 قَدَرَ   Menentukan, menetapkan. 
132 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS  

 

  1. Pembuktian kenabian dan penurunan kitab suci kepada para nabi serta fungsi al-Quran (91-92)
  2. Membuat pendustaan atas nama Allah SWT dan hukuman ke atas pelakunya (93-94)


Mukaddimah

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pengajian pada halaman 139 surah al-An'am. Hari ini hari Jumaat yang barakah, semoga Allah berkati apa yang kita baca. Bacalah surah al-Kahfi agar kita dijaga oleh Allah SWT.

Di awal surah al-Kahfi kita membaca, 'Segala pujian bagi Allah yang menurunkan kitab kepada hambanya yang tidak ada bengkok.' 

Bila kita selalu memohon hidayah daripada Allah, selalu membaca al-Quran, kesannya kita tidak akan bengkok dari segi pemikiran dan perasaan kita. Perasaan kita selalu bengkok, kadang-kadang kita rasa malas, bosan, tak puas hati dengan apa yang ada, padahal kita telah diberikan macam-macam. Itu adalah bengkok dalam hati yang akan diluruskan bila kita selalu bersama al-Quran. Tapi syaratnya adalah al-Quran yang sampai kepada hamba. Maksudnya kita mengakui kita ini lemah, kita memerlukan sangat kitab, peraturan, dan bersetuju untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan kita. 


Ayat [6:91]


وَمَا قَدَرُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِۦٓ إِذْ قَالُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَىٰ بَشَرٍۢ مِّن شَىْءٍۢ ۗ قُلْ مَنْ أَنزَلَ ٱلْكِتَـٰبَ ٱلَّذِى جَآءَ بِهِۦ مُوسَىٰ نُورًۭا وَهُدًۭى لِّلنَّاسِ ۖ تَجْعَلُونَهُۥ قَرَاطِيسَ تُبْدُونَهَا وَتُخْفُونَ كَثِيرًۭا ۖ وَعُلِّمْتُم مَّا لَمْ تَعْلَمُوٓا۟ أَنتُمْ وَلَآ ءَابَآؤُكُمْ ۖ قُلِ ٱللَّهُ ۖ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِى خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ

Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya ketika mereka berkata: "Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia". Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): "Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas, sambil kamu perlihatkan (kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya) dan kamu sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu pula diajarkan (dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang tidak diketahui oleh kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?" Katakanlah (kepada mereka): "Allah jualah (yang menurunkannya)", kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.


Pengajaran

  1. Pada halaman lepas kita telah berbincang 18 orang nabi. Orang musyrik Mekah kenal Nabi Ibrahim a.s. Begitu juga Yahudi dan Nasrani. Mereka 'berebut'kan Nabi Ibrahim kerana masing-masing menyatakan Nabi Ibrahim a.s. ada kaitan dengan mereka. 
  2. Mereka mempertikaikan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa wahyu daripada Allah SWT. Memang mencabar untuk beriman bila tiba-tiba ada seseorang datang kata dia mendapat wahyu. Bila Nabi SAW membawa hujah demi hujah, bukti demi bukti, apatah lagi kita ada sejarah. Orang-orang di Mekah nampak sejarah Nabi Ibrahim yang ada wahyu. Jadi tak pelik apabila mereka kata mereka bersama Nabi Ibrahim. 
  3. Tauhid perlukan hujah yang benar. Allah ajarkan kepada Nabi SAW untuk berkata 'Siapakah yang membawa kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa?' Allah yang sama boleh saja turunkan kitab kepada seorang lagi nabi di akhir zaman. 
  4. Orang Yahudi tahu tentang kertas-kertas/lembaran ( قَرَاطِيسَ ) kerana di Mesir telah ada teknologi kertas dan arkitek semasa mereka menjadi hamba membina piramid untuk Firaun. Namun, mereka menyembunyikan sebahagian daripada kandungan Taurat. Mereka tahu wahyu telah diturunkan kepada Nabi Musa dan Allahlah yang mengajar Taurat kepada mereka وَعُلِّمْتُم .
  5. Allah ajarkan supaya tinggalkan orang yang berbincang perkara yang batil tanpa berfikir. Jika tidak, kita juga akan masuk sekali ke dalam golongan ini. 


Ayat [6:92]


وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ مُبَارَكٌۭ مُّصَدِّقُ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَلِتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا ۚ وَٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۖ وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.


Pengajaran

  1. Apabila al-Quran dibacakan, jangan bising, beri perhatian. Orang yang bising itu bukan mendustakan Nabi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Allah. Mereka pandang tak penting, padahal al-Quran mempunyai barakah. Ia membenarkan kitab-kitab terdahulu, memberi peringatan kepada penduduk Mekah dan orang-orang yang tinggal di sekelilingnya.
  2. Janganlah kita main-main dengan al-Quran. Ketika al-Quran dibacakan, hendaklah kita senyap. Jaga adab dengan al-Quran yang datangnya daripada Allah SWT. Semakin banyak kita bersama al-Quran, semakin berkat hidup kita. 
  3. Ummul Qurra (Mekah) menjadi tempat penting berkaitan al-Quran. Allah SWT beri ganjaran yang besar iaitu beratus kali ganda pahalanya di sana kerana barakahnya. Di mana-mana sahaja (مَنْ حَوْلَهَا ) manusia yang baca, faham dan amal al-Quran akan mendapat kebaikan yang banyak. 
  4. Strategi dalam kita menyampaikan kebaikan ialah dengan banyakkan membaca al-Quran. Fokus kepada yang utama dan sekelilingnya. Kita pergi kepada kumpulan-kumpulan strategik. Contoh: Nabi Musa pergi kepada pemimpin pada waktu itu. Nabi SAW fokus menyebarkan al-Quran di Mekah (Ummul Qurra) yang akhirnya berkembang ke seluruh dunia.
  5. Kita bersyukur kerana perjuangan Nabi SAW dengan ayat ini, kaabah dibersihkan daripada berhala dan kita dapat menjaga solat kita sebaik mungkin. Kita tak boleh kompromi dengan solat kerana inilah yang ditekan dalam ayat ini. Bayangkan dahulu, bersolat di Kaabah yang masih ada berhala di sekelilingnya.


Ayat [6:93]


وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ قَالَ أُوحِىَ إِلَىَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَىْءٌۭ وَمَن قَالَ سَأُنزِلُ مِثْلَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ ۗ وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلظَّـٰلِمُونَ فِى غَمَرَٰتِ ٱلْمَوْتِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ بَاسِطُوٓا۟ أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُوٓا۟ أَنفُسَكُمُ ۖ ٱلْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ ٱلْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ غَيْرَ ٱلْحَقِّ وَكُنتُمْ عَنْ ءَايَـٰتِهِۦ تَسْتَكْبِرُونَ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya".


Pengajaran

  1. Bila Nabi SAW menyampaikan al-Quran, kaum Musyrik konon-kononnya boleh membuat ayat-ayat sama baik atau lebih baik dari yang baginda SAW sampaikan.
  2. Allah bawakan transition daripada hidup di dunia ini terus kepada sakratulmaut dan akhirat. Ini adalah untuk menyampaikan keimanan kepada hari akhirat yang diabaikan oleh orang-orang Musyrik Mekah.
  3. Beriman kepada akhirat adalah penting kerana ia menimbulkan tanggungjawab. Kalau orang yang tidak beriman kepada hari akhirat dia tidak kisah nak buat apa pun. Jadi ayah pun tak kisah, kerja macam mana pun tak kisah asal dapat gaji hujung bulan. Dia tak kisah kerana tidak beriman betul-betul kepada hari akhirat. 
  4. Kalau kita beriman kepada hari akhirat kita tahu bahawa sebelum sampai hari akhirat Allah kata, 'Malaikat akan menyentap nyawa mereka, memukul dan menyeksa mereka.' Ini adalah azab yang menghinakan (ٱلْهُونِ عَذَاب) kerana mereka mengatakan sesuatu yang tidak betul dan mereka sombong. Dengan sakratulmaut pun Allah sudah hina, apatah lagi bila sampai kepada azab Allah di hari akhirat. Mencabut plaster dari kulit pun sakit, apatah lagi apabila nyawa di cabut. 


Ayat [6:94]


وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَٰدَىٰ كَمَا خَلَقْنَـٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍۢ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَـٰكُمْ وَرَآءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَـٰٓؤُا۟ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).


Pengajaran

  1. Allah ingatkan bahawa kita akan datang kepada Allah bersendirian (فُرَٰدَىٰ) pada hari kiamat sebagaimana kita datang sendirian waktu lahir. 
  2. Janganlah kita sombong kerana kita datang tanpa apa-apa. Allah yang menyelimutkan ( خَوَّلْنَـٰكُمْ) kita dengan nikmat-nikmatNya. Kita ada rumah, seolah-olah rumah itu menyelimuti kita. Semua itu akan ditinggalkan apabila kita mati. 
  3. Pada masa kita datang kepada Allah, tiada siapa dapat memberi pertolongan, walaupun orang yang biasa menolong kita semasa di dunia. Mereka tidak dapat memberi syafaat. Harta benda semua tidak berguna lagi. Hubungan semua terputus ( تَّقَطَّعَ) kecuali kita bertakwa. 


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Jangan mencerai-ceraikan atau memilih-milih isi kandungan kitab (91)
  2. Selalu baca dan fahami al-Quran untuk mendapatkan keberkahan (92)
  3. Elakkan zalim kerana ia sebab azab besar (93)

Lega kerana Allah akan berikan keberkahan sekiranya saya selalu baca dan fahami al-Quran.

Saya jelas untuk tidak mencerai-ceraikan atau memilih-milih isi kandungan kitab. Saya juga jelas untuk selalu baca dan fahami al-Quran untuk mendapatkan keberkahan. Saya mesti elakkan zalim kerana ia sebab azab besar.

Ya Allah, jauhi kami daripada mencerai-ceraikan atau memilih-milih isi kandungan kitab. Ya Allah, pimpin kami untuk selalu baca dan fahami al-Quran agar kami mendapat keberkahan. Ya Allah, elakkan kami daripada berbuat zalim. Ya Allah, jauhi kami daripada azab di dunia dan azab di akhirat. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: My #QuranTime Episod 193

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...