PERKATAAN HARI INI
275 kali kali disebut dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Allah SWT Maha Pencipta (102)
- Sifat Allah SWT yang tidak dapat dijangkau oleh pandangan (103)
- Bukti-bukti wahyu yang terang, kemampuan Allah SWT untuk menentang musyrik (104-107)
- Larangan mencela patung-patung dan berhala agama lain (108-110)
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita bersyukur Allah SWT mengizinkan kita menghabiskan 7 juzuk sebagai ‘inayah dariNya. (Nota: ‘inayah bermaksud bantuan dan pertolongan Allah bagi hamba-hambaNya yang terpilih)
Semoga kita dapat terus mengulang hidayah daripada Allah ini dengan terus belajar dan menjiwainya dalam kehidupan seharian.
Dalam ayat 101, Allah menyatakan yang Dialah yang mencipta segalanya. Allah SWT menggunakan perkataan بَدِيعُ yang bermakna dari kosong menjadi sesuatu (inovasi). Kita tidak mampu untuk cipta tanpa melihat contoh-contoh. Allah SWT tidak memerlukan contoh untuk mencipta apa-apa pun. Manusia mencipta kapal terbang dengan melihat contoh burung yang dicipta oleh Allah SWT.
Ayat [6:102]
ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمْ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ خَـٰلِقُ كُلِّ شَىْءٍۢ فَٱعْبُدُوهُ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ وَكِيلٌۭ
Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.
Pengajaran
- Allah SWT menciptakan dan tugas kita ialah untuk beribadah dan bertawakkal. Ayat ini lebih kurang sama dengan Surah Ghafir, 40:62. ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمْ خَـٰلِقُ كُلِّ شَىْءٍۢ لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ (Yang bersifat demikian ialah Allah, Tuhan kamu; yang menciptakan tiap-tiap sesuatu (dari tiada kepada ada); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan (daripada menyembahNya)?
- Ayat 102 ini, Allah mengutamakan لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ menafikan kesyirikkan yang dibuat oleh orang-orang musyrik. Mereka sudah lihat kehebatan penciptaan Allah SWT pada tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan sebagainya, tetapi mereka tetap tidak mahu menyembah Allah SWT. Perumpamaan yang diberikan oleh Hamka: Umpama kita, nak pergi ke istana untuk jumpa sultan untuk membantunya. Jumpa pengawal dahulu, pengawal kolam, contohnya. Tiba-tiba kita tidak jadi nak berjumpa sultan, sebaliknya kita mohon pengawal kolam membantu. Ini adalah umpama orang yang mengagungkan berhala/makhluk, bukan mengagungkan Allah. Orang musyrik minta perlindungan daripada makhluk lain yang mereka jumpa. Mereka minta pada pokok, pada laut dan sebagainya. Sepatutnya mereka meminta kepada Pencipta pokok dan laut itu.
- Hendaklah kita tingkatkan tawakkal kepada Allah SWT. Manusia boleh membantu tetapi tidak ada kesan yang besar kecuali dengan izin Allah SWT.
- Kesan melihat tumbuhan, buah dan lain-lain sepatutnya menjadikan kita hamba yang terbaik di sisi Allah SWT.
Ayat [6:103]
لَّا تُدْرِكُهُ ٱلْأَبْصَـٰرُ وَهُوَ يُدْرِكُ ٱلْأَبْصَـٰرَ ۖ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلْخَبِيرُ
Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
Pengajaran
- Ini adalah ayat-ayat yang memberi motivasi agar kita berakhlak dengan akhlak terbaik.
- Kita tidak dapat melihat Allah SWT. Tetapi Allah SWT dapat melihat apa yang kita lihat.
- Allah SWT adalah Amat Halus, Amat Seni dan Amat Mengetahui. Allah mencipta dengan seni. Contoh: jagung yang tersusun indah, kapilari darah kita yang teratur.
- Hendaklah kita berseni dan bersopan santun dalam hidup ini seperti para sahabat yang sangat beradab dalam kehidupan mereka.
Ayat [6:104]
قَدْ جَآءَكُم بَصَآئِرُ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَنْ أَبْصَرَ فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ عَمِىَ فَعَلَيْهَا ۚ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيْكُم بِحَفِيظٍۢ
(Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu".
Pengajaran
- Allah SWT mempelbagaikan bukti-bukti dalam kehidupan kita supaya kita menjadi orang yang berilmu.
- Siapa yang memerhatikan dengan mata hati, 'basirah', manfaatnya adalah kepada dirinya. Sesiapa yang tidak nampak melalui mata hati, mereka itulah yang rugi.
- Bila kita mengajak orang ke arah kebaikan, kita serahkan kepada Allah. Kita peduli tentang mereka tetapi kita tidak bertanggungjawab ke atas keputusan mereka. Kita teruskan memberi peringatan.
Ayat [6:105]
وَكَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ ٱلْـَٔايَـٰتِ وَلِيَقُولُوا۟ دَرَسْتَ وَلِنُبَيِّنَهُۥ لِقَوْمٍۢ يَعْلَمُونَ
Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara, untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu menuduhmu dengan) berkata: "Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang lain) ", dan supaya kami menerangkan (Al-Quran) itu kepada orang-orang yang (mahu) mengetahui.
Pengajaran
- Allah SWT mempelbagaikan ayat-ayatNya kerana Dia ingin menjelaskan kepada kaum yang taklid (ikut membabi buta) kepada ajaran nenek moyang.
- Allah datangkan bukti-bukti supaya kita berfikir. Allah berikan semua itu dengan tanggungjawab.
Ayat [6:106]
ٱتَّبِعْ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ وَأَعْرِضْ عَنِ ٱلْمُشْرِكِينَ
Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.
Pengajaran
- Allah SWT ingatkan kita supaya ikut wahyu yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
- Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT.
- Allah perintah supaya berpaling daripada orang yang mensyirikkanNya.
Ayat [6:107]
وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَآ أَشْرَكُوا۟ ۗ وَمَا جَعَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًۭا ۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍۢ
Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak menjadikan engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau pula bukanlah wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah semata-mata).
Pengajaran
- Peranan Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyampaikan peringatan tetapi tidak perlu jaga mereka. Allah yang menjaga mereka.
- Begitu juga dengan kita. Tugas kita adalah memberi peringatan. Kita beri yang terbaik, jangan biarkan mereka bergantung (tawakkal) kepada kita. Doakan mereka dipimpin oleh Allah SWT agar kita tidak stress.
- Kita sayang tauhid, kita sayang iman. Kita sayang orang lain untuk beriman, tetapi kita kena tahu skop tugas kita. Skop tugas menjaga adalah kepunyaan Allah SWT. Kita hanya menyampaikan apa yang boleh kita sampaikan. Sekiranya selepas kita menyampaikan berulang-kali tetapi mereka tetap menentang, maka serahkan kepada Allah SWT untuk uruskan mereka.
Ayat [6:108]
وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدْوًۢا بِغَيْرِ عِلْمٍۢ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Pengajaran
- Allah ingatkan kita untuk menjaga adab dalam menyampaikan kebenaran. Sahabat-sahabat dahulu pernah berada dalam keadaan musyrik dan kemudian masuk Islam. Mereka tahu apa perkara yang tak berapa betul, maka Allah ingatkan jangan kutuk apa yang disembah oleh orang musyrik. Kesannya orang musyrik pun akan kutuk Allah, kutuk cara orang Islam solat dan macam-macam tanpa ilmu.
- Kutuk bukan kaedah orang yang membawa kebenaran. Jangan kutuk, hina, sakitkan hati atau kecam mereka. Islam adalah agama berasaskan fakta, hujah, kebenaran dan dialog. Nabi Musa cakap dengan Firaun elok-elok tapi Firaun balas dengan ungkitan, kecaman dan ugutan.
- Ini adalah akhlak kita sebagai orang-orang yang mengambil iman dalam hidup. Kita kena jaga emosi kita. Nak protes kepada orang yang melukis karikatur Nabi SAW untuk menghina Baginda boleh dan patut, tetapi jangan sampai membakar gambar berhala mereka.
- Allah SWT hiasi segala apa yang dibuat oleh setiap umat. Tidak semua yang dibuat itu betul. Semua akan kembali kepada Allah dan Dia akan beritahu apa yang status apa yang mereka amalkan. Contoh: Bila mengibar bendera negara kita kerana semangat patriotik, itu bagus. Janganlah pula mengutuk bendera negara lain. Jangan kutuk pakaian agama lain, nanti mereka juga akan mengutuk pakaian kita.
Ayat [6:109]
وَأَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ لَئِن جَآءَتْهُمْ ءَايَةٌۭ لَّيُؤْمِنُنَّ بِهَا ۚ قُلْ إِنَّمَا ٱلْـَٔايَـٰتُ عِندَ ٱللَّهِ ۖ وَمَا يُشْعِرُكُمْ أَنَّهَآ إِذَا جَآءَتْ لَا يُؤْمِنُونَ
Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
Pengajaran
- Jangan amalkan suka bersumpah, kerana ini adalah amalan orang-orang musyrik.
- Buat baik tak perlu menunggu didatangkan ayat-ayat Allah yang lain. Sudah banyak ayat-ayat Allah di sekeliling kita, seperti tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan.
Ayat [6:110]
وَنُقَلِّبُ أَفْـِٔدَتَهُمْ وَأَبْصَـٰرَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا۟ بِهِۦٓ أَوَّلَ مَرَّةٍۢ وَنَذَرُهُمْ فِى طُغْيَـٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ
Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.
Pengajaran
- Jika kita tidak bersenam, badan kita menjadi lemah. Begitulah juga roh kita, perlu senaman. Kalau kita senaman roh iaitu senaman penglihatan kita guna 'abshar', bila lihat alam, lihat jagung dan lain-lain, kita dapat rasa kebesaran Allah SWT.
- Kalau tiada senaman roh, Allah akan terbalikkan perasaan (أَفْـِٔدَتَ) kita, tidak berasa teruja melihat alam, jagung dll.
- Bila kita teruja melihat jagung, mempelam, itu adalah kesan senaman roh yang bagus. Jika tidak, walaupun belajar tinggi, kita tidak akan terkesan dengan petunjuk yang Allah beri di sekeliling kita, tidak merasa semua itu ada Pencipta yang menjadikan.
- Penting guru-guru membawa murid-murid kenal 'ayatillah' dalam semua subjek. Mereka perlu dilatih untuk kaitkan apa yang dipelajari dengan kebesaran Allah SWT. Jika tidak, mereka akan berada dalam keadaan sesat kebingungan. Mereka tidak rasa dengan belajar sains itu mereka sedang menguatkan tauhid yang akhirnya mereka ada integriti yang tinggi ketika bekerja dalam bidang masing-masing.
- Sebagai seorang Islam yang bertauhid kepada Allah SWT, hendaklah kita sentiasa ingin mengetahui (explore). Melihat segala perkara yang ada ini dengan mata hati, dan akhirnya membawa kita kepada 'basirah'. Membawa kita kepada jelas kehebatan Allah SWT dan kita tidak akan lakukan perkara-perkara yang bersalahan dengan apa yang Allah SWT harapkan kerana kita tahu Allah adalah segala-galanya dan kita boleh tentukan kebesaran itu dengan kita explore dan belajar dan menghargai 'ayatillah', kebesaran-kebesaran Allah SWT dalam kehidupan.
- Semoga kita menjadi orang-orang yang semakin tunduk kepada Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat !!
- Terus mencari ilmu keterangan tauhid (103)
- Perhatikan pelbagai sudut kebesaran Allah SWT agar menjadi pelajaran dan penjelasan (105)
- Berpegang teguh dengan wahyu dan jauhi perkara syirik (106)
Lega kerana Allah ajar saya untuk tingkatkan tauhid dengan melihat kebesarannya yang terpancar dalam alam sekitar.
Saya jelas untuk terus mencari ilmu keterangan tauhid. Saya mesti perhatikan pelbagai sudut kebesaran Allah SWT agar menjadi pelajaran dan penjelasan kepada saya. Saya jelas untuk berpegang teguh dengan wahyu dan jauhi perkara syirik.
Ya Allah, Ya Alim, Ya Rashid, bimbinglah kami untuk terus mencari ilmu keterangan tauhid. Ya Allah Ya Nur Ya Hadi, kurniakan kami cahaya petunjuk agar kami jelas untuk berpegang teguh dengan wahyu dan jauhi perkara syirik.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.