Sunday, June 4, 2023

Halaman 143: Al-An'am, 6:119-124

 

Perkataan hari ini

فَصَلَ Menjelaskan, pelajaran. 43 kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS  

1.     Berjaga-jaga dengan makanan (119)

2.     Tinggalkan dosa (120-121)

3.     Perumpamaan orang mukmin yang mendapatkan hidayah dan orang kafir yang      sesat (122-123)

4.     Keangkuhan orang musyrik dan tuntutan mereka atas kenabian (124)


CATATAN (BACA-FAHAM-AMAL)  

Tuan Fazrul Ismail,  Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali


Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ


"Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"

 

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"

 

Mukaddimah

 

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang memberi memberi izin untuk kita menyuntik vaksin syifa' pada setiap hari. Hari ini kita teruskan pembelajaran dalam surah al-An‘am pada halaman 143. Semoga kita semua diberikan kesihatan dan kelancaran untuk terus tilawah al-Quran sampai ke halaman 604 dan sentiasa dipimpin Allah di jalan yang lurus dengan cahaya al-Quran.

 

Ayat [6:119]

 

وَمَا لَكُمْ أَلَّا تَأْكُلُوا۟ مِمَّا ذُكِرَ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا ٱضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًۭا لَّيُضِلُّونَ بِأَهْوَآئِهِم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُعْتَدِينَ

 

Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.


Mesej dan Tindakan:
  1. Ayat ini sampai kepada kita ketika isu tentang daging import yang diragukan kehalalannya.
  2. Daging binatang (yang halal dimakan) yang disembelih bukan atas nama Allah adalah haram dimakan. Orang Quraish dahulu biasa memakan makanan bangkai samada mati atau yang disembelih bukan kerana Allah. Sejarah sembelihan bukan kerana Allah ini bermula di zaman Nabi Nuh a.s.  Bila orang soleh mereka meninggal, kaumnya membuat tugu untuk memperingati mereka. Lama-kelamaan, tugu-tugu telah menjadi tempat sembahan mereka. Mereka sembelih atas nama tugu, bukan atas nama Allah. Itulah liciknya syaitan memperdaya manusia sehingga tercalar akidah yang membawa kepada makan makan yang tidak halal.
  3. Orang yang tidak melihat perintah sembelih ini daripada Allah SWT, mereka akan rasa ragu-ragu. Isu Orang Farsi menimbulkan was-was kepada orang Musyrik Mekah dengan hujah mereka "Kalau haiwan itu mati itu dengan izin Allah dan menjadi bangkai, ia menjadi haram tidak boleh dimakan. Tetapi, macam mana pula kamu kata bila haiwan  itu kamu sembelih, ia boleh menjadi halal?"
  4. Dua kumpulan yang penting pasal makanan ialah orang bisnes dan orang baik-baik. Orang bisnes tidak kira daging apa pun, mereka jual semuanya kerana hendak buat duit. Mungkin dijual dengan harga murah. Bagi kita, hendaklah kita pilih tempat makan/beli daging yang pasti cara sembelihnya walaupun harga agak mahal.
  5. Allah SWT tahu orang yang melampau batas. Seperti apa yang berlaku dengan kemelut 'kartel daging import yang bercampur macam-macam daging haram', Allah SWT telah dedahkan perbuatan manusia yang menipu kerana hawa nafsu mereka.
  6. Jangan kita cepat terpengaruh dengan selebriti. Sekiranya mereka bercakap bukan atas nama kebenaran, jangan jadi followers mereka. Bila kagum sangat kepada seseorang, akidah kita mudah tercalar.
 


Ayat [6:120]

 

وَذَرُوا۟ ظَـٰهِرَ ٱلْإِثْمِ وَبَاطِنَهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْسِبُونَ ٱلْإِثْمَ سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا۟ يَقْتَرِفُونَ

 

Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.

 


Mesej dan Tindakan:


1.  Allah SWT perintahkan supaya tinggalkan mereka yang melakukan dosa nyata dan yang tersembunyi. Contoh: Tidak makan daging haram tetapi ambil rasuah atau riba.

2. Allah SWT memberi amaran kepada kita bahawa orang berdosa akan dibalas oleh Allah. Allah boleh bongkar bila-bila masa. Contoh: Orang yang menerima rasuah untuk membawa daging yang dicampur-campur itu akan menerima balasan dengan apa yang mereka telah lakukan.

3. Allah SWT betul-betul memberi pelajaran pasal makanan. Ini bukan perkara mudah dan boleh dimudah-mudahkan. Kalau kita ambil mudah, khuatir Allah akan membalas perbuatan tersebut.

4. Makanan begitu penting dalam kehidupan kita. Bahawa ia akan memberi kesan kepada jiwa kita. Malah tersebut di dalam hadis, doa lelaki yang tidak diterima kerana makannya, pakainya adalah haram. Ayam fizikalnya memang halal, tetapi caranya pula haram: cara sembelihnya, rasuahnya.

5.  Hidayah boleh terganggu bila makanan tidak dijaga.

 

Ayat [6:121]

 

وَلَا تَأْكُلُوا۟ مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُۥ لَفِسْقٌۭ ۗ وَإِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِهِمْ لِيُجَـٰدِلُوكُمْ ۖ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ 

إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ



Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.

 

Mesej dan Tindakan:


1.  Allah ingatkan lagi pasal makanan yang tidak disembelih dengan nama Allah. Itu adalah perbuatan fasik/derhaka. Kita baca Quran, jaga solat tetapi tidak menjaga makanan, itu salah.

2. Pemimpin perlu bekerjasama memastikan tentang makanan halal ini kerana ia menjemput hidayah. Jika tidak, ia akan mengganggu akidah.

 

Ayat [6:122]

 

أَوَمَن كَانَ مَيْتًۭا فَأَحْيَيْنَـٰهُ وَجَعَلْنَا لَهُۥ نُورًۭا يَمْشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُۥ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ لَيْسَ بِخَارِجٍۢ مِّنْهَا ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَـٰفِرِينَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

 

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).


 

Mesej dan Tindakan:


1. Orang yang mendapat nur daripada al-Quran, akan sensitif pada makanan kerana ia ada kaitan dengan kita mengikut peraturan daripada tuhan yang satu. Jangan sampai kerana mahu murah, kita mengambil mudah bab memakan makanan yang halal.

2.  Orang yang tidak menjaga makanan, berada di dalam kegelapan. Kita kena terus mencari cahaya.

3.  Amalan-amalan orang yang memakan yang haram nampak cantik tetapi sebenarnya ia amat jijik. Contoh: Ambil rasuah nampak hidup senang tapi kehidupan mereka bergelumang dengan dosa yang menjijikkan.

 

Ayat [6:123]

 

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِى كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَـٰبِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا۟ فِيهَا ۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

 

Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.

 

Mesej dan Tindakan:


1. Pembesar yang sombong dan tidak kisah melakukan tipu daya, kesan dan bahayanya akan kembali kepada diri mereka juga tetapi mereka tidak sedar. 


2. Allah tahu dan Allah boleh bongkar tipu daya orang jahat pada bila-bila masa. 

3. Ini adalah realiti yang berlaku di Mekah dahulu. Mereka membuat komplot dan konspirasi untuk kepentingan  diri mereka sendiri. Akhirnya, kena kepada diri mereka sendiri. 

4. Kezaliman akan makin besar bila ada jawatan tinggi atau ramai followers. Jangan buat perkara yang dimurkai Allah SWT.

5. Allah jadikan orang jahat dan orang baik untuk menguji siapa yang akan ikut cahaya hidayahNya.  

6. Hendaklah kita maintain dan konsisten mencari cahaya. Buat apa yang kita mampu. Pastikan cahaya jangan dizalimi.



Ayat [6:124]

 

وَإِذَا جَآءَتْهُمْ ءَايَةٌۭ قَالُوا۟ لَن نُّؤْمِنَ حَتَّىٰ نُؤْتَىٰ مِثْلَ مَآ أُوتِىَ رُسُلُ ٱللَّهِ ۘ ٱللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُۥ ۗ سَيُصِيبُ ٱلَّذِينَ أَجْرَمُوا۟ صَغَارٌ عِندَ ٱللَّهِ وَعَذَابٌۭ شَدِيدٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَمْكُرُونَ

 

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: "Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah". Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu. Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya yang mereka lakukan.


Mesej dan Tindakan:

1. Allah SWT akan menimpakan kehinaan dan azab seksa yang amat berat kepada pemimpin yang melakukan tipu daya dan perancangan jahat

2. Allah SWT mengajar kita jangan apologetic, jangan kita rasa bahawa tauhid dan Allah itu kecil.


RESOLUSI MTQ199


Ingat !!


1. Jaga sumber makanan dan pastikan halal agar iman kita terjaga (119)

2. Meninggalkan pertikaian/berbantah kerana ia angkara syaitan (121)

3.   Jaga cahaya Islam dan al-Quran sebaik mungkin (122)

 

Lega kerana Allah berikan cahaya tentang kepentingan makanan halal.

 

Saya jelas untuk jaga  jaga sumber makanan dan pastikan halal agar iman kita terjaga. Saya mesti meninggalkan pertikaian/berbantah kerana ia angkara syaitan. Saya jelas untuk jaga cahaya Islam dan al-Quran sebaik mungkin agar terhindar dari perbuatan jahat.




















    Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami. Ya Allah, bantu kami untuk jaga sumber makanan yang halal agar iman kami terjaga. Ya Allah, jauhi kami dari perbalahan dan pertikaian yang disebabkan syaitan. Ya Allah, Ya Nur, terangi hidup kami dengan cahaya Islam dan al-Quran. Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. 


    Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


 
















Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...