Perkataan hari ini:
قَبَلَ Menerima, berjumpa.
294 kali kali disebut dalam al-Quran.
SINOPSIS
Fenomena keangkuhan orang musyrik dan tiada harapan untuk mereka beriman (111-113)
Al-Quranul Karim adalah dalil akan kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW (114-115)
Jangan ikut kebanyakan orang untuk jalan hidayah (116-117)
Makan makanan yang disembelih dengan nama Allah SWT (118)
Alhamdulillah, kita bersyukur di hari berbahagia ini kita dapat bertemu dan meneruskan pelajaran di halaman 142 ini. Semoga kita ceria gembira mendengar perkataan-perkataan Allah setiap hari secara konsisten. Hari ini sudah masuk Juz 8.
Ayat [6:111]
وَلَوْ أَنَّنَا نَزَّلْنَآ إِلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ وَكَلَّمَهُمُ ٱلْمَوْتَىٰ وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَىْءٍۢ قُبُلًۭا مَّا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوٓا۟ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ
Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).
Mesej dan Tindakan:
Allah menyambung tentang orang musyrik yang degil. Mereka telah diingatkan berkali-kali. Mereka diberi penglihatan tetapi mereka seolah-olah buta dan mereka tidak dapat melihat sehingga masuk ke hati. Roh mereka tidak dilatih untuk melihat kebesaran Allah. Malah, mereka mencabar Nabi SAW untuk menukarkan gunung menjadi emas untuk mereka yakin padanya.
Allah menyuruh Nabi SAW meninggalkan golongan itu. Jika mereka dikumpulkan dengan nabi-nabi/malaikat-malaikat pun, mereka tidak akan yakin dan beriman.
Intelek yang tidak digunakan untuk Allah membawa hatinya tertutup. Mereka mengikut perasaan tanpa menggunakan ilmu ( يَجْهَلُونَ ). Abu Hakam (Abu Jahal) seorang yang tinggi pelajarannya tetapi ilmunya tidak digunakan untuk mengenal Allah SWT.
Ayat [6:112]
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّۭا شَيَـٰطِينَ ٱلْإِنسِ وَٱلْجِنِّ يُوحِى بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍۢ زُخْرُفَ ٱلْقَوْلِ غُرُورًۭا ۚ وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Mesej dan Tindakan:
Setiap nabi, Allah jadikan ada musuh dalam kalangan syaitan dalam bentuk manusia dan jin.
Hendaklah kita berjaga-jaga dengan syaitan yang kerjanya membisikkan perkataan-perkataan yang berhias cantik ( زُخْرُفَ ) kepada kita tetapi sebenarnya mereka menyesatkan.
Allah SWT boleh sahaja menyekatkan mereka daripada membisikkan kejahatan, tetapi Allah biarkan sebagai ujian untuk kita.
Tugas kita adalah untuk menjalankan tugas menyampaikan kebenaran daripada Allah SWT dan tidak terkesan dengan syaitan.
Ayat [6:113]
وَلِتَصْغَىٰٓ إِلَيْهِ أَفْـِٔدَةُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُوا۟ مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ
Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.
Mesej dan Tindakan:
Ayat ini mengingatkan kita sebagai follower orang-orang yang bercakap cantik bunyinya sehingga kita tergila-gila. Cakap mereka itu terkesan sehingga ke hati (أَفْـِٔدَةُ). Itulah cara syaitan menyebarkan propaganda retoriknya kepada manusia.
Mereka mengajak melakukan ( يَقْتَرِفُوا۟ ) yang tidak halal dan tidak diredhai oleh Allah SWT. Contoh: Scam, merompak, tipu dll. Inilah aktiviti orang-orang yang digelar syaitan.
Ayat [6:114]
أَفَغَيْرَ ٱللَّهِ أَبْتَغِى حَكَمًۭا وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ إِلَيْكُمُ ٱلْكِتَـٰبَ مُفَصَّلًۭا ۚ وَٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَعْلَمُونَ أَنَّهُۥ مُنَزَّلٌۭ مِّن رَّبِّكَ بِٱلْحَقِّ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُمْتَرِينَ
(Katakanlah wahai Muhammad): "Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?" Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.
Mesej dan Tindakan:
Allah SWT sudah turunkan al-Quran sebagai vaksin untuk hati yang perlu dibaca setiap hari. Bacaan yang paling mantap kepada sahabat Nabi SAW adalah pada waktu solat, seperti mereka mendengar khutbah atau ceramah. Itulah program motivasi mereka. Dengar bacaan terbaik pada ibadah terbaik iaitu solat.
Kita yang tidak begitu faham al-Quran hendaklah ambil kesempatan untuk tadabbur dahulu. Bila imam baca, atau kita baca sendirian, kita tahu ini sedang menyuntik syifa' kepada hati kita yang bersifat مُفَصَّلًا (terperinci). Al-Quran dapat menyelesaikan isu secara terperinci, kena pada waktunya dan zamannya. Contoh: Pada hari ini kita baca ayat ini pada masa kita sedang hangat bincangkan tentang vaksin.
Orang yang diberikan kitab, mereka tahu ia daripada Allah yang membawa kebenaran dan tujuan hidup yang membawa kepada tauhid kepada Allah SWT. Al-Quran adalah untuk menguatkan keimanan kita.
Janganlah kita menjadi orang yang ragu-ragu bahawa alam ini dijadikan oleh Allah SWT. Tidak mungkin alam ini terjadi secara rawak. Pasti ada pencipta yang menjadikannya untuk kita sama-sama beriman.
Ayat [6:115]
وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًۭا وَعَدْلًۭا ۚ لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.
Mesej dan Tindakan:
Allah SWT menerangkan kepada kita, al-Quran telah sempurna (تَمَّتْ) diturunkan. Perkataan 'atmamtu' pernah muncul dalam surah al-Maidah yang turun di Madinah dan surah ini turun di Mekah. Apa bezanya 'atmamtu' di sini 'watammat'. Kedua-duanya bermaksud sempurna. Dalam ayat ini yang turun di Mekah, Allah sudah menyiapkan dari segi ideologi dan ilmu bahawa ajaran Islam ini sudah pun sempurna. Tidak ada lagi tokok tambahnya. Ia adalah untuk membersihkan akidah dan ilmu penduduk Mekah pada waktu itu. Perlaksanaannya itu disempurnakan di Madinah seperti yang diceritakan dalam surah al-Maidah.
Siapa yang kembali kepada Allah, ia akan menjadi benar dan adil. Al-Quran mesti dibaca setiap hari bukan hanya pada Ramadhan sahaja.
Vaksin yang paling berkesan untuk hati kita ialah al-Quran. Tidak ada ubat lain untuk mengelakkan permusuhan di antara manusia kecuali ayat-ayat Allah.
Ayat ini turun ketika Nabi SAW dihujani dengan cabaran-cabaran dan berbagai ancaman. Bukan macam kita sekarang, selesa dalam aircond. Ada sahabat-sahabat yang sudah dibunuh, dipukul dan dihalau ketika itu. Allah memujuk Nabi SAW, juga memujuk kita. Allah tahu, Allah dengar.
Ayat [6:116]
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
Mesej dan Tindakan:
Allah SWT ingatkan bahawa, pendapat majoriti tidak semesti semuanya betul.
Jika kita berpegang kepada ramai orang, mereka mungkin tersesat, banyak bersangka-sangka ( ٱلظَّنَّ ) dan berbohong. Contoh: Ada yang kata tak pandai baca al-Quran pun tidak apa, kita tetap Islam. Khatam al-Quran tidak faham pun tak apa. Sedangkan kita kena baca, faham dan amal.
Ayat [6:117]
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.
Mesej dan Tindakan:
Allah SWT lebih mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat hidayah.
ٱلْمُهْتَدِينَ ialah orang-orang yang betul-betul mendapat hidayah. Dia baca al-Quran, faham dan beramal seperti yang Allah SWT kehendaki. Mereka mendapat hidayah yang stabil.
Semoga Allah SWT menjadikan kita orang al-Muhtadin iaitu orang yang stabil hidayahnya dan tidak menjadi orang yang disesatkan oleh Allah SWT. Semoga al-Quran menjadi vaksin penawar hati kita agar sentiasa istiqamah dalam hidayah Allah SWT dan dijauhkan daripada kesesatan.
Ayat [6:118]
فَكُلُوا۟ مِمَّا ذُكِرَ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِـَٔايَـٰتِهِۦ مُؤْمِنِينَ
Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.
Mesej dan Tindakan:
Tiba-tiba muncul pasal makanan pula. Kenapa? Tanda seorang itu mendapat hidayah ialah ia memilih pemakanan yang halal. Jika tidak mendapat hidayah, makan binatang yang tidak disembelih/bangkai lah jadinya.
Sebagai orang yang beriman, hendaklah kita jaga makanan. Pastikan ia halal.
Semoga Allah SWT beri kekuatan kepada kita untuk menjaga makanan kita.
Ingat !!
Cari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan menyombong diri (111)
Berjaga-jaga dengan tipu daya syaitan setiap masa (112)
Jaga perasaan agar tidak mudah tergoda dan reda dengan dosa (113)
Lega kerana Allah tunjuk jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya agar saya terhindar dari sifat sombong.
Saya jelas untuk terus mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan menyombong diri. Saya mesti berjaga-jaga dengan tipu daya syaitan setiap masa. Saya jelas untuk jaga perasaan agar tidak mudah tergoda dan reda dengan dosa. Saya juga jelas untuk pastikan saya makan makanan yang halal sebagai tanda saya betul-betul beriman kepada ayat-ayat Allah SWT.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, Ya Hadi, bimbing kami untuk mencari jalan bagi mendekatkan diri kepada Mu. Ya Allah jauhi kami daripada sifat sombong. Ya Allah, Ya Muhaimin, lindungi kami daripada tipu daya syaitan setiap masa. Ya Allah, Ya Hafiz, bantu kami untuk jaga perasaan agar tidak mudah tergoda dan reda dengan dosa. Ya Allah, Ya Razzaq, rezekikan kami dengan makanan yang halal agar kami dapat menjaga iman kami.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib