Monday, June 5, 2023

Halaman 144: Al-An'am, 6:125-131

 

PERKATAAN HARI INI:  



  شَرَحَ  Dilapangkan. 

5 kali disebut dalam al-Quran.



SINOPSIS 

 

  1. Sunnatullah terhadap orang yang inginkan keimanan dan orang yang inginkan kesesatan dan petunjuk yang lurus membawa ke syurga (125-127)
  2. Balasan yang diberikan Allah SWT kepada yang zalim dan tidak beriman dari golongan jin dan manusia (128-129)
  3. Teguran dan herdikan Allah SWT terhadap orang-orang yang zalim dan kafir kerana tidak mahu beriman (130-131)

 

Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita bersyukur pada hari Jumaat Mubarak ini kita diberi peluang untuk bersama di My #QuranTime Baca, Faham, Amal al-Quran.  Peristiwa kiamat berlaku pada hari Jumaat. Sebab itu kita kena ambil serius hari Jumaat dengan beramal. Semoga Allah memberi keberkatan kepada kita sepanjang minggu ini. Semoga kita terus dilimpahkan cahaya nur hidayah.

 

Ummul Quran mengingatkan diri kita yang kita selalu memohon hidayah setiap masa. Hidayah itulah yang akan kita fahami pada halaman 144 hari ini. Kita perlukan hidayah ini lantaran kita tidak mampu melihat masa depan, apatah lagi perkara yang ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi wujud. Allah turunkan al-Quran sebagai tanda kasih sayangNya untuk memberi pencerahan dalam kehidupan kita. Al-Quran memberi panduan jalan yang lurus, tidak langgar dinding, atau kalau kita tersilap pun kita tahu macam mana untuk kembali segera ke pangkal jalan kerana masa hidup kita tidak panjang.

 

Kita sudah berada di surah keenam, juzuk kelapan. Hargailah hidayah dan hadiah daripada Allah. Nabi berpesan, bacalah al-Quran walaupun susah untuk menyebut huruf-hurufnya. Mendapat dua pahala atas usaha membaca. Teruskan belajar.

 

Surah a-An'am untuk rejuvenate, untuk menghidupkan, menyegarkan balik iman dalam hati kita. Jika tidak kuat iman, maka hilanglah perjuangan. Undang-undang akan dianggap sebagai beban, maka timbul perasaan tidak ingin bertuhan. Pada halaman lepas, kita telah lihat cabaran orang-orang yang tidak percaya pada Nabi, mereka tidak puas hati Nabi Muhammad SAW dipilih sebagai rasul. Sebenarnya pemilihan rasul ini terpulang kepada al-Mustafa (Allah). Bila Allah memiliki hambaNya, Dia boleh memilih siapa sahaja. Yang penting kita melaksanakan tugas. 

 

Ayat [6:125]

 

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهْدِيَهُۥ يَشْرَحْ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ ۖ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُۥ يَجْعَلْ صَدْرَهُۥ ضَيِّقًا حَرَجًۭا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجْسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

 

“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. صَدْرَ ialah lapisan pertama dalam hati kita. Hati kita ada 4 lapisan. Kalau kita mahukan hidayah, Allah memberikan kita pilihan. Bila kita memilih, Allah lapangkan dada kita. Kita memerlukan hidayah daripada pencipta hidayah iaitu Allah SWT. Bila saluran di jantung kita sempit, kita memerlukan bantuan doktor. Begitulah umpama hidayah yang kita minta dariNya dan dilapangkan dada kita menerimanya. Tanda kita mendapat hidayah ialah kita mudah membuat kebaikan. Contohnya diberi ruang untuk menonton My#QuranTime ini. Kita kena mohon hidayah, kalau tidak, kita tetap tidak akan berbuat kebaikan walau telah dibukakan jalan.
  2. Kumpulan kedua ialah kumpulan yang sesat - golongan yang disempitkan ( ضَيِّقًا) dan diberatkan ( حَرَجًۭا) hatinya oleh Allah atas pilihan mereka. Maka hidayah susah nak masuk.
  3. Bila kita hendak mendaki bukit, kita rasa seperti dada kita tertekan. Bila Allah mahu menyeksa seseorang, Allah izinkan kotoran ( ٱلرِّجْسَ ) masuk ke dalam hatinya dan membuatnya rasa sempit dan tertekan.
  4. Bila rasa sempit, mohon pada Allah agar dilapangkan, mohon hidayah dari Allah agar kita dipandu kepada jalan yang lurus.

 

Ayat [6:126]

 

وَهَـٰذَا صِرَٰطُ رَبِّكَ مُسْتَقِيمًۭا ۗ قَدْ فَصَّلْنَا ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍۢ يَذَّكَّرُونَ

 

“Dan inilah jalan Tuhanmu (ugama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, bagi kaum yang mahu beringat - insaf.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Kita mesti ada keinginan untuk mendapatkan hidayah dan jalan yang lurus. Oleh itu, jangan lengah-lengahkan solat kerana di dalam solat kita akan automatik memohon hidayah ke atas jalan yang lurus.  Solat adalah jalan untuk hidayah masuk, Allah akan pandu dan berikan ganjaran.

 

Ayat [6:127]

 

لَهُمْ دَارُ ٱلسَّلَـٰمِ عِندَ رَبِّهِمْ ۖ وَهُوَ وَلِيُّهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

 

“Bagi merekalah Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ayat ini penting bagi sahabat dan Nabi SAW kerana pada penghujung fasa dakwah di Mekah, umat Islam menghadapi keadaan yang amat sukar. Ubat bagi mereka ialah ganjaran Darus-Salaam, syurga. Mereka terus beramal dengan sehabis baik kerana meyakini pelindung mereka adalah Allah SWT.
  2. Jika kita menghadapi masalah, contohnya keluarga bermasalah, bisnes tidak naik ketika pandemik, dan merasa tidak bersemangat dengan apa yang diperjuangkan, contohilah para sahabat. Kalaupun tidak berjaya di sini, akan dapat di Darus-Salaam.
  3. Bila kita bercakap tentang keimanan kepada akhirat, ia akan menaikkan semangat. Bagi orang yang sudah berjaya, mereka akan merasakan berjaya di dunia sahaja tidak cukup. Di dunia kita mahu beli rumah yang cantik tetapi ingat bahawa rumah terbaik ialah di Darus-Saalam, selepas puas berjuang. Rumah yang kekal di sisi Allah.
  4. Orang yang tidak berjuang tidak akan merasakan kepayahan sehingga selesa dan tidak mahu berganjak dari dunia ini.

 

Ayat [6:128]

 

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًۭا يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ قَدِ ٱسْتَكْثَرْتُم مِّنَ ٱلْإِنسِ ۖ وَقَالَ أَوْلِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلْإِنسِ رَبَّنَا ٱسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍۢ وَبَلَغْنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلْتَ لَنَا ۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثْوَىٰكُمْ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌۭ

 

“Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Allah ingatkan kita bahawa Dia akan himpunkan manusia dan jin untuk dipersoalkan dan diberi balasan atas setiap perbuatan semasa hidup di dunia.
  2. Syaitan dan manusia saling berkawan untuk mensyirikkan Allah. Nerakalah tempat mereka dan mereka kekal di situ. Contoh: Kumpulan yang mengasap keris pada malam Jumaat memohon sesuatu,  bomoh yang merendam ayat al-Quran di dalam air dan diminum untuk kebal kononnya, memakai tangkal untuk perlindundan dll.
  3. Di dalam ayat ini ditekankan  حَكِيمٌ عَلِيمٌۭ kerana di akhirat nanti Allah al-Hakim sudah menjatuhkan hukuman (cerita masa depan), dan Allah Maha Tahu apa kita lakukan di dunia.
  4. Hendaklah kita hanya berdoa kepada Allah SWT untuk memohon apa sahaja. Jin dan manusia tidak berkuasa. Allahlah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui apa yang kita perlukan kerana Dia yang menjadikan kita dan jin.

 

Ayat [6:129]

 

وَكَذَٰلِكَ نُوَلِّى بَعْضَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بَعْضًۢا بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

 

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menyediakan neraka bagi orang yang berani mensyirikkan Allah SWT. Contoh: Di zaman ini, ada orang yang masih minta pertolongan jin untuk pecah tanah atau merasmikan rumah. Ada juga yang masih menggunakan susuk untuk cantik dan mendapat ramai followers.
  2. Kita kena kuat semangat dan bertegas menolak perbuatan syirik kerana mungkin ada orang yang akan menyarankan untuk berbuat syirik sebagai alasan berikhtiar.
  3. Kita mohon Allah jauhkan kita dan keturunan kita dari perbuatan syirik ini. Rugi sangat orang yang melakukan syirik ini kerana mereka main buat sahaja يَكْسِبُونَ, dan akhirnya akan masuk ke neraka.  Semoga kita tidak berkawan dengan orang yang terlibat dengan syirik.

 

Ayat [6:130]

 

يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌۭ مِّنكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِى وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَآءَ يَوْمِكُمْ هَـٰذَا ۚ قَالُوا۟ شَهِدْنَا عَلَىٰٓ أَنفُسِنَا ۖ وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَشَهِدُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا۟ كَـٰفِرِينَ

 

“Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: "Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)". Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. 'Minkum' (مِّنكُمْ) bermaksud samada dari kalangan jin atau keluar nabi dari kalangan manusia yang mengingatkan kepada jin. Jin juga mendengar Nabi SAW membaca al-Quran.
  2. Di dunia ini memang ada ilmu yang tidak menambahkan iman. Sekadar untuk tahu, tidak mengapa.
  3. Beriman kepada Allah dan hari akhirat adalah saling berkait. Ia membuat kita rasa bertanggungjawab.
  4. Dunia menipu. Ada manusia yang suka mengikut hawa nafsu, memilih dunia, lebih mengikut bisikan qarin, sehingga kufur dan tidak mengikut perintah Allah. Walaupun ada kebenaran, tetapi mereka menutupnya.

 







































































































Ayat [6:131]

 

ذَٰلِكَ أَن لَّمْ يَكُن رَّبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ بِظُلْمٍۢ وَأَهْلُهَا غَـٰفِلُونَ

 

“Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.”

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Rasul datang membawa risalah yang ada sehingga sekarang ini, iaitu al-Quran.
  2. Allah SWT tidak menzalimi kita. Jika lalai kerana tidak tahu apa yang ada di dalam risalah, maka dihantarkan risalah itu. Di zaman Covid-19, Allah hadirkan My #QuranTime untuk memberi kita lebih kefahaman tentang perintahnya.
  3. Semoga kita menjalankan tanggungjawab menyampaikan risalah al-Quran kepada ramai orang.











RESOLUSI 

 

Ingat !!


  1. Selalu bersemangat dalam kerja Islam agar Allah SWT lapangkan dan beri hidayah (125)
  2. Elakkan mengikut jin, tetapi ikutlah Allah SWT (128)
  3. Jaga kawan sekeliling agar tidak menjadi orang zalim (129)

 

Lega kerana Allah SWT akan lapangkan dan beri hidayah sekiranya saya selalu bersemangat dalam kerja Islam.

 

Saya jelas untuk  selalu bersemangat dalam kerja Islam (amalan kebaikan)  agar Allah SWT lapangkan dan beri hidayah. Saya jelas, saya mesti elak dari mengikut jin, tetapi saya mesti ikut Allah SWT. Saya juga jelas untuk jaga kawan sekeliling agar tidak menjadi orang zalim.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, bantu kami untuk selalu bersemangat dalam kerja Islam. Ya Allah, lapangkan hidup kami dan berilah kami hidayah. Ya Allah, jauhi kami dari mengikut jin, pimpin kami untuk menjadi pengikut Mu. Ya Allah, hadirkan dalam hidup kami kawan-kawan dan orang sekeliling yang soleh, jauhi kami daripada menjadi orang zalim.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...