Monday, June 5, 2023

Halaman 155: Al-A'raf, 7:38-43

 

PERKATAAN HARI INI: 


  دَخَلَ  Masuk. 

126 kali disebut dalam al-Quran.




SINOPSIS  


1.     Balasan kepada pendusta kebenaran (38-39)

2.     Balasan orang kafir (40-41)

3.     Ganjaran orang mukmin yang bertakwa (42-43)





Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita mulakan hari ini dengan penuh ceria penuh bersemangat untuk meneruskan pembelajaran pada hari ini di halaman 155. Hidayah daripada Allah akan memberikan ketenangan kepada hati ketika gundah. Kita doakan yang terbaik untuk negara dan dunia. Kita ikut SOP yang ditetapkan bila kita keluar.

 

2020 mencatat satu 'ayatillah' dengan terjadinya COVID19. Untuk memastikan hati kita terus kuat, kita perlu kembali kepada hidayah Allah SWT. Di halaman ini, ada pengumuman yang amat penting yang telah dibuat 1400 tahun yang lepas. Ia bukan tentang esok, lusa dan minggu depan. Pengumuman ini berkaitan dengan kehidupan kita yang abadi. Ayat-ayat ini amat menggetarkan jiwa kita.

 

Ayat [7:38]

 

قَالَ ادْخُلُواْ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُم مِّن الْجِنِّ وَالإِنسِ فِي النَّارِ كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَّعَنَتْ أُخْتَهَا حَتَّى إِذَا ادَّارَكُواْ فِيهَا جَمِيعًا قَالَتْ أُخْرَاهُمْ لأُولاَهُمْ رَبَّنَا هَؤُلاء أَضَلُّونَا فَآتِهِمْ عَذَابًا ضِعْفًا مِّنَ النَّارِ قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَكِن لاَّ تَعْلَمُونَ

 

Allah berfirman: "Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka". Allah berfirman: "Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui

 

Mesej dan Peringatan:

  1. Ini adalah kesinambungan ayat [7:37], umat demi umat dari jin dan manusia masuk ke neraka. Mereka melaknat sesama mereka. Orang yang masuk neraka kemudian menyalahkan orang yang masuk ke neraka awal kerana merekalah yang telah menyesatkan.
  2. Setiap orang yang masuk ke neraka memang digandakan balasan tetapi mereka tidak mengetahui, kecuali Allah. Menurut Ulama’ , ia disembunyikan dari pengetahuan ahli neraka itu supaya mereka rasa tidak puas hati atas apa yang berlaku pada mereka.
  3. Orang yang masuk ke neraka suka menyalahkan orang lain.
  4. Orang yang masuk ke syurga suka bertanggungjawab, mereka tidak minta kredit lebih-lebih dan mereka selalu berdoa kepada Allah.

 

Ayat [7:39]

 

وَقَالَتْ أُولاَهُمْ لأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ فَذُوقُواْ الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْسِبُونَ

 

Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Orang yang masuk dahulu itu, mereka umpama influencer/pemimpin. Mereka menyalahkan orang  yang masuk kemudian. Mereka tidak bertanggungjawab dan salahkan orang lain.
  2. Kita doakan agar kita menjadi orang yang bertanggungjawab. Makin kita dekat dengan al-Quran kita makin bertanggungjawab. Kita perlu ambil ibrah dari kisah Nabi Adam a.s. yang memohon taubat bila buat silap, bukan menyalahkan orang lain.
  3. Iblis mencari followers di dunia supaya ikut karakter dia. Mereka tidak akan bertanggungjawab di atas apa yang mereka buat.

Ayat [7:40]

 

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُواْ عَنْهَا لاَ تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاء وَلاَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

 

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

 

Mesej dan Tindakan:

  1. Sifat-sifat ahli neraka:
    • Mendustakan ayat-ayat Allah
    • Sombong - merasa dirinya lebih baik. Maka, jangan kita menghina kebaikan walaupun kecil.
  2. Langit pertama pun tidak akan terbuka untuk menerima roh mereka setelah mereka meninggal.
  3. Sangat mustahil bagi mereka untuk masuk ke syurga, umpama unta mahu masuk ke lubang jarum.
  4. Jangan biarkan dosa kita diwarisi oleh anak-anak.

 

Ayat [7:41]

 

لَهُم مِّن جَهَنَّمَ مِهَادٌ وَمِن فَوْقِهِمْ غَوَاشٍ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الظَّالِمِينَ

 

Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Orang yang sombong dan degil akan disediakan hamparan atau selimut dan lapisan penutup  dari api neraka.
  2. Kita tidak mahu mendapat balasan neraka, jadi jangan ikut syaitan. 

Ayat [7:42]

 

وَالَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ لاَ نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

 

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh - (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

 

Mesej dan Tindakan:


1.     Orang yang beriman dan beramal soleh tidak merasa berat untuk membuat kebaikan.

2.     Allah tidak pernah memberatkan sesiapa di luar kemampuannya. Apa yang Allah berikan memang layak untuk kita. Ujian Covid hari ini adalah sesuai untuk masa ini. Allah tahu kita mampu menghadapi.

3.     Semua yang berbuat amal soleh, walaupun masa ini kita rasa penat kerananya, tetapi di syurga akan hilang semua kepenatan itu. Nikmat di syurga kekal selamanya. Happy ever after

 


































































































































Ayat [7:43]

 

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمُ الأَنْهَارُ وَقَالُواْ الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا اللّهُ لَقَدْ جَاءتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ وَنُودُواْ أَن تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

 

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".

 


Mesej dan Tindakan:

  1. Orang berjaya masuk syurga, Allah akan cabut rasa permusuhan dan kebencian dalam hati mereka.
  2. Mereka memuji Allah yang telah memberi hidayah untuk membolehkan mereka mendapat nikmat syurga. Ada sungai mengalir di dalam syurga yang memberi rasa tenang dan damai.
  3. Orang yang masuk ke syurga, bahasanya tidak seperti mereka yang masuk neraka. Akan rasa gembira dan syukur atas nikmat yang Allah berikan dalam syurga dengan perasaan yang tenang ( لِهَٰذَا).
  4. Bila kita solat dan membaca al-Quran, bertambah lagi hidayah. Makin kita dekat dengan Allah, rasa tidak puas hati itu hilang. Jika banyak rasa tidak puas hati ( غِلٍّ), bermakna kita belum cukup dekat dengan Allah.
  5. Ahli syurga merasa memang betul apa yang nabi bawakan dahulu. Itulah syurga yang telah mereka  warisi kerana kebaikan yang telah mereka kerjakan.






























RESOLUSI 

 

Ingat !!

  1. Elakkan mengajak orang lain melakukan sesuatu perkara tanpa berpandukan ilmu (38)
  2. Bertanggungjawab atas apa yang dibuat - jangan salahkan orang lain (39)
  3. Jangan mendustakan kebenaran dan sombong kerana ia menutup pintu langit (40)

 

Lega kerana Allah akan berikan syurga sekiranya saya buat kebaikan.

 

Saya jelas,  untuk elakkan mengajak orang lain melakukan sesuatu perkara tanpa berpandukan ilmu. Saya mesti bertanggungjawab atas apa yang dibuat dan tidak boleh salahkan orang lain. Saya jelas untuk tidak mendustakan kebenaran dan sombong kerana ia menutup pintu langit.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, elakkan kami daripada mengajak orang lain melakukan sesuatu perkara tanpa berpandukan ilmu. Ya Allah, jadikan kami orang yang bertanggungjawab atas apa yang kami buat dan tidak salahkan orang lain. Ya Allah, jauhi kami dari mendustakan kebenaran dan sombong. Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmatMu untuk kami. Ya Allah, semoga anak cucu kami dapat mewarisi kebaikan yang kami lakukan.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...