Monday, June 5, 2023

Halaman 161: Al-A'raf, 7:82-87

 

PERKATAAN HARI INI: 


 طَهَرَ Bersih, suci.

 31 kali disebut dalam al-Quran.



SINOPSIS  


1.     Kisah Nabi Lut A.S (Bahagian 2) (82-84)

2.     Kisah Nabi Syuaib A.S (85-87)









Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat setia bersama My #QuranTime.  Semoga setianya kita akan disaksikan oleh para malaikat, akan terus dicatat sebagai amal ibadah kita menuju kepada Allah SWT. Terus ceria gembira bersama al-Quran walaupun banyak cabaran melanda negara kita tetapi kita jangan lupa bahawa kita masih banyak nikmat-nikmat besar. Nikmat paling besar apabila kita diajarkan al-Quran oleh Allah SWT.

 

Ummul Quran terus kita baca untuk memohon hidayah daripada Allah SWT. Hidayah ini sebagai hadiah yang kita terima dengan penuh gembira. Diharapkan ia menjadi waze kita ke akhirat untuk berada di jalan yang lurus.

 

Ayat [7:82]

 

وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌۭ يَتَطَهَّرُونَ

 

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah sambungan kisah Nabi Lut. Nabi Lut mengingatkan kaumnya dengan tegas tetapi masih dengan kasih sayang bahawa mereka telah melampau batas dengan mengamalkan hubungan sejenis.
  2. Mereka bukan sekadar berbuat jenayah, tetapi mereka juga menghalau orang yang berbuat kebaikan.
  3. Pengajaran buat kita, jika kita tidak dapat berbuat kebaikan, kita diam sahaja dan tidak menghalang orang lain berbuat kebaikan. Jangan ikut perangai kaum Nabi Lut yang tidak suka menerima teguran.

 

Ayat [7:83]

 

فَأَنجَيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ كَانَتْ مِنَ ٱلْغَـٰبِرِينَ

 

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Nabi Lut dan pengikutnya diselamatkan sementara isteri Nabi Lut antara yang dibinasakan. Yang datang memberitahu tentang azab tersebut ialah malaikat.  Allah tinggalkan isteri Nabi Lut kerana dia tidak kisahkan perintah Allah.
  2. Malah menurut kisahnya, dia memberitahu kedatangan malaikat yang menyerupai lelaki tampan kepada orang-orang yg menyukai lelaki.
  3. Zaman sekarang banyak berita-berita di media sosial. Jika ada perkara keburukan, jangan forward. Khuatir nanti, kita tidak mendapat rahmat atau tidak diselamatkan oleh Allah.
  4. Allah akan tinggalkan kita jika kita tidak kisah peringatan daripadaNya.

 

Ayat [7:84]

 

وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًۭا ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُجْرِمِينَ

 

Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. ٱلْمُجْرِمِينَ di sini ialah penjenayah iaitu orang yang melakukan kesalahan demi kesalahan hingga menjadi penjenayah kepada Allah SWT.
  2. Jika kita tahu ada sesiapa yang merasa sesuatu yang tidak normal, suka lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, cepat-cepat suruh berjumpa pakar kerana itu adalah satu penyakit.
  3. Kita jangan membenci tetapi kita mesti menangani dengan tegas perkara ini. Jangan sampai ia menjadi jenayah. Bila dia kata itu hak kemanusiaan, itu adalah  jenayah.
  4. Kisah Nabi Lut melibatkan jenayah sosial masyarakat. Jangan kita biarkan perkara keji ini berleluasa kerana itu akan merosakkan sistem sosial masyarakat.
  5. Kita kena banteras LGBTQ. Kita tidak mahu anak-anak kita kawin sejenis.

 

Ayat [7:85] Kisah Nabi Syuaib - Panduan Mencegah Penipuan Ekonomi

 

وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًۭا ۗ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ قَدْ جَآءَتْكُم بَيِّنَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ فَأَوْفُوا۟ ٱلْكَيْلَ وَٱلْمِيزَانَ وَلَا تَبْخَسُوا۟ ٱلنَّاسَ أَشْيَآءَهُمْ وَلَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَـٰحِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

 

Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah permulaan kisah Nabi Shuaib dengan kaumnya. Mesej yang diberikan tetap sama. Ukuran dan mizan mestilah adil. Contohnya, jika beli mangga satu kilo, jangan dicampurkan dengan yang tidak elok untuk memberatkan timbang atau adjust timbang untuk menipu. Mereka yang bekerja, jika masuk pukul 9 pagi, masuk waktu itu kecuali jika ada kebenaran dari bos. Jika kita lambat, ganti semula masa yang kita lambat tadi selepas habis waktu kerja. Perbuatan ini boleh menimbulkan ripple effect, iaitu jenayah kecil akan tersebar mencetuskan jenayah lain yang semakin besar dan memberi kesan besar kepada ekonomi.
  2. Rasuah adalah satu perkara yang diberi perhatian di dalam ayat ini. Jangan membuat kerosakan. Perangi rasuah habis-habisan. Perlu ada jati diri dan kekuatan iman untuk memerangi rasuah. Contohnya, bila orang mahu jual sesuatu, kita  diberi pilihan mahu ada resit (mahal sikit) atau tidak ada resit (lebih murah). Tidak ada resit bermakna duit masuk ke dalam poket penjual, tidak kepada yang empunya barang yang dijual. Memang perit menghadapi orang yang nak kena hulur baru nak buat kerja. Biarlah perit kerana kita tidak mahu menyokong orang yang membuat kerosakan.
  3. Transaksi ekonomi adalah satu perkara yang menjadi panduan penting untuk kita uruskan dengan adil dalam kehidupan kita.

 

Ayat [7:86]

 

وَلَا تَقْعُدُوا۟ بِكُلِّ صِرَٰطٍۢ تُوعِدُونَ وَتَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِهِۦ وَتَبْغُونَهَا عِوَجًۭا ۚ وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ كُنتُمْ قَلِيلًۭا فَكَثَّرَكُمْ ۖ وَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ

 

"Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah tentang perjuangan ekonomi. Kita boleh menjejak Nabi Shuaib jika kita jujur, tidak menipu, contohnya, mengambil pen di pejabat, tidak 'mengular' (ponteng) dari kerja dan tidak rasuah.
  2. Kaum Nabi Shuaib suka duduk di tepi-tepi jalan dan ini ditegur oleh Nabi Shuaib. Mereka ini kerjanya cuba menakut-nakutkan orang, menghalang orang berbuat baik dan cuba memesongkan orang ramai.
  3. Ini adalah gangster-gangster yang wujud untuk menindas orang. Allah mengingatkan yang dahulu sedikit dan kemudian berkembang.
  4. Jangan sokong orang yang buat jenayah ekonomi. Allah suruh perhatikan akibat orang yang berbuat kerosakan.

 
















































































Ayat [7:87]

 

وَإِن كَانَ طَآئِفَةٌۭ مِّنكُمْ ءَامَنُوا۟ بِٱلَّذِىٓ أُرْسِلْتُ بِهِۦ وَطَآئِفَةٌۭ لَّمْ يُؤْمِنُوا۟ فَٱصْبِرُوا۟ حَتَّىٰ يَحْكُمَ ٱللَّهُ بَيْنَنَا ۚ وَهُوَ خَيْرُ ٱلْحَـٰكِمِينَ

 

"Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita semua, dan Dia lah jua sebaik-baik hakim".

 

Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah nasihat kepada kita. Jika kita hendak membanteras rasuah dan penipuan dalam ekonomi, bersabarlah menghadapi mereka sehingga bantuan Allah datang kepada kita.
  2. Dialah sebaik-baik hakim dan amat bijaksana. Allah sedang menyediakan kemenangan dalam kehidupan kalau kita bersabar menghadapi jenayah ini. Penjenayah ekonomi akan menerima hukumannya daripada Allah SWT.











RESOLUSI 

 

Ingat !!


1.     Jaga diri dan keluarga daripada menjadi penjenayah dalam agama - LGBTQ (84)

2.     Penuhi ukuran/sukatan dan timbangan dalam urusan muamalat sesama manusia (85)

3.     Jangan mengganggu kehidupan sosial orang lain (86)

 

Lega kerana Allah ingatkan saya supaya jaga diri dan keluarga daripada menjadi penjenayah dalam agama.

 

Saya jelas untuk jaga diri dan keluarga daripada menjadi penjenayah dalam agama - LGBTQ. Saya mesti penuhi ukuran/sukatan dan timbangan dalam urusan muamalat sesama manusia. Saya jelas untuk tidak mengganggu kehidupan sosial orang lain.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

 

Ya Allah, pelihara dan jaga kami daripada menjadi penjenayah dalam agama. Ya Allah bantu kami untuk penuhi ukuran/sukatan dan timbangan dalam urusan muamalat sesama manusia. Ya Allah jauhi kami daripada mengganggu kehidupan sosial orang lain.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...