PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Dialog antara Nabi Yusuf AS dengan saudara-saudarannya (12:79-82)
- Nabi Yaakub AS menghadapi karenah anak-anaknya lagi (12: 83-84)
- Anak-anak Nabi Yaakub AS berkasar dengan ayahnya (12:85-86)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat menyambung Surah Yusuf untuk melihat bagaimana seorang insan yang hidupnya di lambung ombak badai tetapi tetap berpegang kepada Allah SWT. Kisah Nabi Yusuf AS amat dekat di hati kita terutama dalam zaman pandemik ini untuk kita ambil pelajaran.
Ayat 12:79
Yusuf berkata: "Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim"
Pengajaran
- Pada halaman lepas kita telah melihat abang-abang Nabi Yusuf AS merayu kepada Al-Aziz dengan kata-kata yang lembut untuk membenarkan Bunyamin pulang bersama mereka.
- Nabi Yusuf AS memberitahu bahawa baginda hanya akan menghukum orang yang didapati bersalah mencuri teko raja. Jika orang lain yang diambil, bermakna mereka orang-orang yang zalim kerana tidak mengikut peraturan.
- Ini adalah perancangan baik yang dibuat oleh Nabi Yusuf AS untuk menemukan semula keluarganya.
- Nabi Yusuf AS dikurniakan Allah SWT kelebihan bercakap yang tersusun dan berstrategi. Semoga kita juga dikurniakan kebolehan seperti Nabi Yusuf AS. Syaratnya kita kena jadi orang yang muhsinin (orang-orang yang berbuat baik)
Ayat 12:80
Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): "Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya.
Pengajaran
- Abang-abang Nabi Yusuf AS berputus asa lalu mereka berbisik-bisik berbincang (نَجِيًّا) dan abang sulung mereka berkata dia akan tinggal di Mesir kerana mereka telah mensia-siakan harapan ayah mereka.
- Dia berkata tidak sekali-kali akan meninggalkan Mesir sehingga bapanya izinkan beliau kembali atau sehingga Allah menghukumnya untuk meninggalkan Mesir. Dia serahkan hukuman kepada Allah SWT, Hakim yang Maha Adil.
Ayat 12:81
Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.
Pengajaran
- Ayat ini menjelaskan bahawa abang sulung memberikan cadangan apa perkataan yang perlu disampaikan kepada ayah mereka. Dia sudah merasa rendah diri dan takut. Inilah fitrah setiap manusia.
- Abang sulung itu menyuruh mereka kembali kepada ayah mereka untuk memberitahu yang Bunyamin telah mencuri dan mereka tidak menjadi saksi atas perbuatan mencuri itu. Mereka telah menjaga Bunyamin dan mereka juga tidak melihat kejadian itu. Mereka sendiri yang membuat polisi bahawa orang yang mencuri kena tahan. Mereka kena ambil tanggung jawab. Ini sebagai tanda abang-abangnya mula hendak bertaubat.
- Ini juga menunjukkan mereka masih memberi perhatian kepada ayah mereka. Walaupun berperangai buruk tetapi mereka masih menghargai ayah. Inilah panduan untuk kita bahawa dalam keluarga kita mungkin ada yang degil tetapi fitrahnya itu perlu disikapi dengan cara terbaik.
Ayat 12:82
Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar".
Pengajaran
- Mereka menyuruh ayah mereka bertanya kepada orang Mesir dan kafilah yang pergi bersama mereka untuk membuktikan mereka benar.
- Kali ini memang mereka cakap benar. Dahulu mereka berbohong tentang Nabi Yusuf AS.
Ayat 12:83
(Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: "(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran
- Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada ayah mereka, Nabi Yaakub AS sangat sedih. Baginda mengucapkan perkataan yang sama seperti yang diucapkannya semasa kehilangan Nabi Yusuf AS.
- Nabi Yaakub AS ucapkan فَصَبْرٌ جَمِيلٌ (maka sabar aku adalah kesabaran yang baik), redha dengan apa yang telah berlaku.
- Baginda berdoa mudah-mudahan Allah mengembalikan anak-anaknya semua kerana yakin sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
- Nabi Yaakub AS amat positif mendengar berita tentang apa yang berlaku kepada anak-anaknya.
Ayat 12:84
Dan (bapa mereka - Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.
Pengajaran
- Nabi Yaakub AS berpaling daripada anak-anaknya seraya berkata yang baginda merasa sangat sedih (يَٰٓأَسَفَىٰ) mengenangkan apa yang berlaku kepada Nabi Yusuf AS.
- Mata Nabi Yaakub AS menjadi buta kerana sedih dan menahan marah.
- Ini adalah ayat perubatan. Kalau emosi tidak stabil, ia memberi kesan kepada fizikal. Cara untuk mengatasinya ialah dengan ingat kepada Allah SWT.
Ayat 12:85
Mereka berkata: "Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".
Pengajaran
- Anak-anak Nabi Yaakub AS terkejut dengan jawapan ayah mereka.
- Dengan kasar mereka berkata yang ayahnya itu asyik teringatkan Yusuf sehingga menjadi sakit merana atau menjadi binasa.
Ayat 12:86
(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Pengajaran
- Nabi Yaakub AS menjawab yang baginda hanya mengadu kesusahan dan dukacita kepada Allah SWT. Baginda mengetahui daripada Allah SWT apa yang mereka tidak ketahui.
- Ini adalah pengaduan Nabi Yaakub AS kepada Allah SWT. Walaupun baginda mengalami kesusahan dan kedukaan dalam jangka panjang itu (بَثِّى وَحُزْنِىٓ), Nabi Yaakub AS yakin Allah SWT tahu macam-macam. Allah akan bantu untuk selesaikan masalah itu.
RESOLUSI
Ingat!
- Bina strategi agar kebaikan berjaya dan tidak melakukan kezaliman (12:79)
- Terus bersabar dan positif dengan apa yang akan berlaku (12:83)
- Apabila marah, berpaling dan berubah agar tidak bertambah rosak keadaan (12:84)
Saya berasa lega Surah Yusuf ini memberi motivasi dan menguatkan hati saya untuk terus bersabar dan positif dengan apa yang berlaku.
Saya jelas untuk bina strategi agar kebaikan berjaya dan tidak melakukan kezaliman. Saya jelas untuk terus bersabar dan positif dengan apa yang akan berlaku. Saya jelas apabila marah, berpaling dan berubah agar tidak bertambah rosak keadaan.
Ya Allah, bimbing kami untuk bina strategi agar kebaikan berjaya dan tidak melakukan kezaliman. Ya Allah, bantu kami untuk terus bersabar dan positif dengan apa yang akan berlaku. Ya Allah, pimpin kami untuk uruskan marah dengan cara yang terbaik agar tidak merosakkan keadaan.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 331