PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Nabi Yusuf AS membuat perancangan agar Bunyamin tetap bersamanya (12:70-76)
- Permohonan digantikan Bunyamin dengan salah seorang abangnya (12:77-78)
Mukadimah
Alhamdulillah, dalam zaman pandemik ini dengan kemarau ekonomi di negara ini dan dunia, rupa-rupanya Allah SWT hadiahkan kepada kita Surah Yusuf. Mesir semasa zaman Nabi Yusuf AS menggunakan teknik 771 dalam menguruskan ekonomi. 7 tahun bekerja dan simpan, 7 tahun menggunakan dan 1 tahun yang amat bagus ekonominya.
Orang yang menyimpan boleh membantu orang yang tidak sempat simpan. Orang yang perlukan bantuan, tidak boleh segan untuk meminta bantuan. Inilah yang kita pelajari daripada halaman lepas; abang-abang Nabi Yusuf AS dari Palestin berkelana sampai ke Mesir untuk mendapatkan bantuan. Tidak salah mendapatkan bantuan. Sapa yang lebih bersedia hendaklah memberi bantuan seperti yang dilakukan oleh Nabi Yusuf AS.
Ayat 12:70
Maka ketika ia membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru: "Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri".
Ayat 12:71
قَالُوا۟ وَأَقْبَلُوا۟ عَلَيْهِم مَّاذَا تَفْقِدُونَ
Mereka bertanya sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: "Apa benda kamu yang kehilangan?"
Ayat 12:72
قَالُوا۟ نَفْقِدُ صُوَاعَ ٱلْمَلِكِ وَلِمَن جَآءَ بِهِۦ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَا۠ بِهِۦ زَعِيمٌ
Orang-orang menteri menjawab: "Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu".
Ayat 12:73
قَالُوا۟ تَٱللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُم مَّا جِئْنَا لِنُفْسِدَ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا كُنَّا سَٰرِقِينَ
Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri"
Ayat 12:74
قَالُوا۟ فَمَا جَزَٰٓؤُهُۥٓ إِن كُنتُمْ كَٰذِبِينَ
(Orang-orang menteri) bertanya: "Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?"
Ayat 12:75
قَالُوا۟ جَزَٰٓؤُهُۥ مَن وُجِدَ فِى رَحْلِهِۦ فَهُوَ جَزَٰٓؤُهُۥ كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلظَّٰلِمِينَ
Mereka menjawab: "Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim".
Pengajaran Ayat 70-75
- Pada halaman lepas kita telah lihat bagaimana abang-abang Nabi Yusuf AS dan Bunyamin masuk ke Mesir. Bunyamin diletakkan di satu tempat yang selamat. Nabi Yusuf AS memperkenalkan dirinya kepada Bunyamin.
- Ketika Nabi Yusuf AS menyiapkan bekalan makanan kepada abang-abangnya, baginda memasukkan teko ( ٱلسِّقَايَةَ) raja ke dalam karung Bunyamin. Kemudian penjaga menuduh mereka mencuri.
- Abang-abang Nabi Yusuf AS bertanya apa barang yang hilang? Mereka yakin mereka tidak mencuri.
- Penjaga memberitahu teko raja yang hilang. Sesiapa yang dapat mengembalikannya dijamin akan mendapat bahan makanan sebanyak muatan seekor unta.
- Abang-abang Nabi Yusuf AS bersumpah dengan nada yang terkejut (تَٱللَّهِ) bahawa kedatangan mereka bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi Mesir dan mereka pula bukanlah pencuri.
- Orang-orang menteri berkata akan ada balasan jika mereka itu berdusta.
- Mereka menjawab bahawa sesiapa yang di dalam karungnya ada barang yang hilang itu, dialah sendiri akan menerima hukuman. Itu adalah hukuman bagi orang yang zalim.
- Abang-abang Nabi Yusuf AS tidak kenal lagi Nabi Yusuf AS waktu itu. Nabi Yusuf AS boleh sahaja terus memenjara abang-abangnya di atas apa yang mereka buat dahulu kerana baginda telah ada kuasa waktu itu. Namun Nabi Yusuf AS adalah orang yang muhsinin dan berilmu.
- Bolehkah membuat helah seperti yang dibuat oleh Nabi Yusuf AS? Menurut Imam As-Saadi di dalam tafsirnya, dibolehkan menggunakan perancangan berkaitan untuk perkara kebenaran dan taqwa, dan bukan untuk melakukan perkara haram atau membuat perkara penipuan dan permusuhan.
Ayat 12:76
Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS memeriksa karung-karung abang-abangnya sebelum memeriksa karung Bunyamin. Ini adalah strategi Nabi Yusuf AS. Kemudian perlahan-lahan baginda keluarkan benda yang hilang (ٱسْتَخْرَجَهَا) dari karung Bunyamin.
- Perancangan Nabi Yusuf AS adalah strategi yang diilhamkan oleh Allah SWT (كِدْنَا).
- Allah SWT menaikkan darjat Nabi Yusuf AS dengan diberiNya ilmu. Dengan ilmu, baginda diangkat menjadi menteri.
- Allah SWT memberi ilham kepada orang yang dekat denganNya. Kalau kita dekat dengan Allah, Allah akan susun strategi untuk membantu kita menjayakan perancangan.
- Kejayaan yang dicapai bukan kerana bijaknya orang itu tetapi adalah kerana kehebatan Allah SWT yang memberi ilmu dan ilham kepada orang itu.
Ayat 12:77
Mereka berkata: "Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu".
Pengajaran
- Abang-abang Nabi Yusuf AS mengatakan bahawa tidak pelik jika Bunyamin mencuri kerana abangnya dahulu pernah mencuri.
- Nabi Yusuf AS sembunyikan perasaanya apabila mendengar kata-kata mereka sambil berkata di dalam hati bahawa abang-abangnya lebih buruk perangai mereka dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka katakan.
Ayat 12:78
Merekapun merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi ".
Pengajaran
- Abang-abang Nabi Yusuf AS memberitahu bahawa ayah Bunyamin sangat tua. Mereka meminta supaya salah seorang daripada mereka menggantikan Bunyamin kerana mereka telah berjanji dengan ayahnya untuk membawa Bunyamin balik dengan selamat.
- Tanpa mengenali Nabi Yusuf AS, mereka merayu kepada baginda dengan mengatakan dia adalah seorang yang berbuat baik (ٱلْمُحْسِنِينَ).
RESOLUSI
Ingat!
- Tanya pendapat ramai tentang balasan setimpal kepada sesuatu kesilapan agar lebih bertanggungjawab (12:74-75)
- Terus berbuat baik agar Allah SWT bantu strategi kita untuk berjaya (12:76)
- Jaga hati dan akhlak seperti Nabi Yusuf AS walaupun dikutuk (12:77)
Saya berasa lega Surah Yusuf ini memberi motivasi dan menguatkan hati saya semasa dilanda ujian.
Saya jelas untuk tanya pendapat ramai tentang balasan setimpal kepada sesuatu kesilapan agar lebih bertanggungjawab. Saya jelas untuk terus berbuat baik agar Allah SWT bantu strategi kita untuk berjaya. Saya jelas saya mesti jaga hati dan akhlak seperti Nabi Yusuf AS walaupun dikutuk.
Ya Allah, bimbing kami untuk tanya pendapat ramai tentang balasan setimpal kepada sesuatu kesilapan agar kami lebih bertanggungjawab. Ya Allah, pimpin kami untuk terus berbuat baik, kurniakan kami strategi untuk berjaya. Ya Allah, bimbing kami untuk jaga hati dan akhlak seperti Nabi Yusuf AS walaupun dikutuk.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 330