Tuesday, August 1, 2023

Halaman 246 : Yusuf, 12:87-95

PERKATAAN HARI INI


  حَسَّ / حَسَسَ  Merasa, mengetahui, menyelidik. 
6 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Nabi Yaakub AS membenarkan anak-anaknya ke Mesir (12:87)
  2. Anak-anak Nabi Yaakub AS baru mengenali Nabi Yusuf AS dan mereka mengaku bersalah lalu Nabi Yusuf AS memaafkannya (12:88-93)
  3. Informasi Nabi Yaakub AS tentang bau Nabi Yusuf AS dan respons anak Nabi Yaakub AS (12:94-95)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita menyambung halaman 246 Surah Yusuf. Pada halaman lepas kisah ini amat menggamit perasaan kita apabila Nabi Yaakub AS mengadukan kepada Allah SWT kesusahan dan kesedihan baginda. Diharapkan kisah ini memberi impak yang besar kepada kita. 


Ayat 12:87


يَـٰبَنِىَّ ٱذْهَبُوا۟ فَتَحَسَّسُوا۟ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَا۟يْـَٔسُوا۟ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ لَا يَا۟يْـَٔسُ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ ٨٧

Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".


Pengajaran

  1. Nabi Yaakub AS merasa amat sedih tetapi kesedihan itu tidak menghalangnya untuk terus membimbing anak-anaknya. 
  2. Baginda menggunakan bahasa yang sangat baik terhadap anak-anaknya (يَٰبَنِىَّ  wahai anak-anakku). Baginda menyuruh mereka untuk pergi mencari Yusuf dan Bunyamin. Perkataan فَتَحَسَّسُوا۟ bermakna baginda menyuruh mereka mencari dengan bersungguh-sungguh menggunakan segala potensi yang ada. Sebelum ini baginda tidak suruh cari kerana tahu mereka menipu. 
  3. Yang ada di Mesir waktu itu ialah 3 orang, iaitu Nabi Yusuf AS, Bunyamin dan abang yang sulung yang memilih untuk tinggal di sana kerana malu untuk balik kerana tidak dapat menunaikan janji kepada ayahnya. 
  4. Nabi Yaakub AS menasihatkan anak-anaknya untuk jangan berputus asa daripada rahmat Allah SWT (وَلَا تَا۟يْـَٔسُوا۟ مِن رَّوْحِ ٱللَّهِ). Bila kita sentiasa mengharapkan rahmat Allah, hati kita akan berasa sejuk. Anak-anaknya sudah rasa panas, gelisah akibat perbuatan mereka kepada Nabi Yusuf AS dan Bunyamin pula tidak dapat diselamatkan. Mereka rasa amat bersalah. 
  5. Menurut As-Sa'di, baik sangka dengan Allah kesannya kita akan rajin dan bersungguh-sungguh dengan apa yang diharapkan. Kalau putus asa mereka akan melambat-lambatkan dan melewatkan untuk melakukan kebaikan. Orang yang tidak berputus asa akan ambil tindakan untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah yang dihadapi.
  6. Hanya orang yang kufur dan tidak bersyukur akan  berputus asa dengan rahmat Allah SWT.  
  7. Allah SWT akan bantu orang yang mengharapkan pertolonganNya sebagaimana Allah SWT pernah bantu orang-orang terdahulu yang menghadapi cabaran.


Ayat 12:88


فَلَمَّا دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ قَالُوا۟ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهْلَنَا ٱلضُّرُّ وَجِئْنَا بِبِضَـٰعَةٍۢ مُّزْجَىٰةٍۢ فَأَوْفِ لَنَا ٱلْكَيْلَ وَتَصَدَّقْ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَجْزِى ٱلْمُتَصَدِّقِينَ ٨٨

Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: "Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma".


Pengajaran

  1. Mereka pergi semula ke Mesir. Semasa mengadap Nabi Yusuf AS, mereka panggil dengan panggilan yang mulia memberitahu keadaan mereka yang menderita kesusahan dan membawa barang-barang yang tidak bernilai (مُّزْجَىٰةٍ) untuk ditukar dengan makanan. 
  2. Ayat ini mengajar kita untuk pastikan orang yang hendak diberi bantuan ada sesuatu barang tukaran. Ini adalah cara untuk mengwujudkan masyarakat yang bertanggung jawab. Jika tidak, mereka akan merasakan pemberian itu duit percuma tanpa perlu menggunakan potensi yang ada. 
  3. Manis perkataan abang-abang Nabi Yusuf AS. Ibnu Juzair mengatakan kalau kita menggunakan perkataan yang bagus, orang yang garang pun akan mengasihani seseorang. 


Ayat 12:89


قَالَ هَلْ عَلِمْتُم مَّا فَعَلْتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذْ أَنتُمْ جَـٰهِلُونَ ٨٩

Yusuf berkata: "Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?"


Pengajaran

  1. Nabi Yusuf AS bertanya kepada mereka apa yang telah mereka lakukan kepada Yusuf dan saudaranya?
  2. Pada masa itu mereka jahil kerana tidak dapat mengawal perasaan. 


Ayat 12:90


قَالُوٓا۟ أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ ۖ قَالَ أَنَا۠ يُوسُفُ وَهَـٰذَآ أَخِى ۖ قَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّهُۥ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ ٩٠

Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan


Pengajaran

  1. Mereka terkejut dan bertanya sama ada Al-Aziz itu Yusuf? Nabi Yusuf AS mengaku baginda adalah Yusuf dan Bunyamin adiknya. 
  2. Baginda berkata sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada mereka. Ini melambangkan akhlaknya yang amat tinggi.  
  3. Barangsiapa yang bertaqwa dan bersabar, Allah SWT tidak akan mengurangkan ganjaranNya kepada orang-orang yang berbuat kebaikan. Allah SWT tidak sia-siakan kesabaran Nabi Yusuf yang telah melalui berbagai-bagai ujian.
  4. Ada tiga jenis sabar: a) sabar pada Tuhan - solat dsbnya, b) sabar pada ujian yang datang, c) sabar pada manusia yang kita boleh balas.
  5. Nabi Yusuf AS ada kuasa tetapi tidak membalas balik kepada abang-abangnya dan inilah tahap sabar yang paling tinggi.


Ayat 12:91


قَالُوا۟ تَٱللَّهِ لَقَدْ ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَيْنَا وَإِن كُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ ٩١

Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".


Pengajaran

  1. Abang-abang Nabi Yusuf AS mengaku yang Allah SWT telah memberi kelebihan dan kemuliaan  kepada Nabi Yusuf AS berbanding mereka. 
  2. Nabi Yusuf AS mengeluarkan perkataan yang menyejukkan hati mereka. Mereka juga mengaku kesilapan mereka. 


Ayat 12:92


قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ ٱلْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ ٩٢

Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.


Pengajaran

  1. Nabi Yusuf AS mengatakan mereka tidak dicela dan disalahkan pada hari itu. Baginda tidak mengungkit cerita lama, tidak memberitahu perkara yang telah berlaku dahulu, tidak diperiksa dan juga tidak disebut dosa-dosa mereka. Baginda memaafkan semua kesalahan abang-abangnya.
  2. Nabi Yusuf AS juga memohon Allah SWT mengampunkan abang-abangnya dan mengatakan bahawa Allah lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
  3. Ini melambangkan betapa indahnya seorang Yusuf itu, membalas dengan cara terbaik kepada abang-abangnya yang pernah mengkhianatinya.


Ayat 12:93


ٱذْهَبُوا۟ بِقَمِيصِى هَـٰذَا فَأَلْقُوهُ عَلَىٰ وَجْهِ أَبِى يَأْتِ بَصِيرًۭا وَأْتُونِى بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ ٩٣

Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya".


Pengajaran

  1. Nabi Yusuf AS menyuruh abang-abangnya membawa bajunya dan letakkan di wajah ayahnya supaya penglihatan ayahnya  pulih dan ayahnya boleh melihat Yusuf semula. 
  2. Nabi Yusuf AS menyuruh mereka membawa ibu ayah dan semua ahli keluarga mereka ke Mesir. 
  3. Sekali lagi ini melambangkan  betapa indahnya akhlak Nabi Yusuf AS yang tidak membalas dendam.


Ayat 12:94


وَلَمَّا فَصَلَتِ ٱلْعِيرُ قَالَ أَبُوهُمْ إِنِّى لَأَجِدُ رِيحَ يُوسُفَ ۖ لَوْلَآ أَن تُفَنِّدُونِ ٩٤

Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)".


Pengajaran

  1. Semasa mereka baru bertolak dari Mesir, Nabi Yaakub AS telah terbau akan bau Nabi Yusuf AS sedangkan jarak antara mereka terlalu jauh. Itulah perasaan penuh kasih sayang dengan keimanan yang Allah SWT titipkan kepada nabi Yaakub AS bersama anaknya yang berada di Mesir. Perkara itu mudah bagi Allah.
  2. Kalau kita jaga hubungan dengan Allah SWT, kita juga akan dapat kelebihan seperti yang diberikan kepada Nabi Yaakub AS.
  3. Dalam Surah Yusuf ini ada 3 jenis baju disebutkan: a) Baju yang diletakkan darah, b) baju yang terkoyak  dan c) baju yang diberi. Kali ini baju yang diberi ialah baju kegembiraan. 


Ayat 12:95


قَالُوا۟ تَٱللَّهِ إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلْقَدِيمِ ٩٥

Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama".


Pengajaran

  1. Ahli keluarga yang berada di Syam menyatakan bahawa ayahnya masih tidak siuman, masih rindu kepada Nabi Yusuf AS. 


RESOLUSI

Ingat!

  1. Berusaha dengan tanpa putus asa agar tidak menjadi orang kufur (12:87)
  2. Jangan mudah ikut emosi kerana ia akan menatijahkan kerosakan (12:89)
  3. Bina takwa dan sabar untuk mendapat ganjaran besar di dunia dan akhirat daripada Allah SWT (12:90)

Saya berasa lega Surah Yusuf ini memberi motivasi dan menguatkan hati saya untuk terus bersabar, tidak putus asa dan tidak ikut emosi dalam menghadapi ujian.

Saya jelas untuk berusaha dengan tanpa putus asa agar tidak menjadi orang kufur. Saya jelas untuk jangan mudah ikut emosi kerana ia akan menatijahkan kerosakan. Saya jelas saya mesti bina takwa dan sabar untuk mendapat ganjaran besar di dunia dan akhirat daripada Allah SWT.

Ya Allah, bimbing kami untuk berusaha dengan tanpa putus asa agar tidak menjadi orang kufur. Ya Allah, pimpin kami agar jangan mudah ikut emosi kerana ia akan menatijahkan kerosakan. Ya Allah, bantu kami bina takwa dan sabar, kurnaiakn kepada kami ganjaran besar di dunia dan akhirat.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 332

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...