Thursday, June 1, 2023

Halaman 91 Al-Nisa', 4:80-86

 Perkataan hari ini          

حَفِظَ   Menjaga, memelihara

44 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Taat kepada rasul bererti taat kepada Allah SWT dan perintah mentadabburi al-Quran yang merupakan wahyu Allah SWT [4:80-82]

  2. Menyebarkan berita dengan bersandarkan sumber yang tidak sahih [4:83]

  3. Anjuran untuk berjihad [4:84]

  4. Syafaat yang baik, membalas salam dan menegaskan kejadian hari kebangkitan dan juga mempertegas ajaran tauhid [4:85-86]


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 91 yang ada kaitannya dengan kehidupan kita pada hari ini. Kita memohon hidayah daripada Allah agar hati kita disatukan dengan sama-sama berpegang kepada tali Allah iaitu al-Quran.


Pada halaman lepas, Allah mengingatkan perkara yang baik adalah datangnya daripada Allah. Bila kita buat baik, kita akan mendapat kesan yang baik. Jika kita buat tidak baik, kita akan mendapat kesan yang tidak baik. Allah sahaja yang boleh membawa kepada kebaikan. Kita insan yang lemah untuk mengadakan kebaikan. Contoh: Kita mahu menyelesaikan isu Covid, juga mahu menyelesaikan isu virus dalam hati. Orang sedang sakit, ada pula yang masih pentingkan kuasa dan diri sendiri. Kita cuba buat yang terbaik tetapi Allah lah yang Maha baik menguruskannya.


Ayat [4:80]

مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ ٱللَّهَ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا


"Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan."


Mesej:


  1. Allah ingatkan kita bahawa sesiapa yang taat kepada Rasul, bermakna dia telah taat kepada Allah. Inilah formula yang Allah ulang-ulang dalam Surah al-Nisa' dari ayat 59, 64 dan 65. Apa yang berlaku dalam negara kita sekarang nampaknya sekadar plot yang dikatakan untuk kebaikan tetapi yang sebenarnya lebih merosakkan kestabilan negara dan menyusahkan rakyat. 

  2. Hendaklah kita berpaling daripada orang-orang yang tidak mahu taat kepada Rasul. 

  3. Allah melegakan hati Nabi SAW dengan mengatakan yang Baginda SAW bukan diutuskan untuk menjaga orang daripada melakukan kesalahan. Begitulah juga dengan kita. Tugas kita adalah menyampaikan kebenaran dan terus buat yang terbaik berpandukan sunnah Rasul.


Ayat [4:81]


وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ فَإِذَا بَرَزُوا۟ مِنْ عِندِكَ بَيَّتَ طَآئِفَةٌ مِّنْهُمْ غَيْرَ ٱلَّذِى تَقُولُ وَٱللَّهُ يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا


"Dan mereka (golongan munafik) berkata: "(Kami) taat", kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka)."


Mesej:


  1. Janganlah kita jadi seperti orang Munafik yang mulut manis di depan tetapi menikam dari belakang. Mereka menyatakan taat di depan Baginda SAW. Bila keluar, mereka adakan perjumpaan lain sesama mereka untuk merosakkan perancangan yang telah dipersetujui bersama Nabi SAW.

  2. Perangai begitu tidak akan terlepas daripada kemurkaan Allah kerana Allah mencatat apa yang mereka rancangkan. Hendaklah kita berpaling/menjauhkan diri daripada golongan yang berperangai begitu.  

  3. Kita tidak perlu stres bila mengetahui ada plot begitu. Serah kepada Allah kerana hanya Allah yang dapat menolong kita.  

  4. Walau apa pun kemelut yang dihadapi, jangan tinggalkan al-Quran dan Rasul.


Ayat [4:82]

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِيهِ ٱخْتِلَٰفًا كَثِيرًا


"Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya."


Mesej:


  1. Allah menempelak orang-orang Munafik kerana tidak mahu tadabbur al-Quran sedangkan mereka solat dengan Rasul yang membaca ayat-ayat Quran. Mereka tidak mengambil peringatan dan pelajaran daripada ayat-ayat yang didengar dan dibaca. Kita berdoa agar tidak menjadi seperti mereka.  

  2. Hendaklah kita ambil al-Quran sebagai penasihat dalam semua urusan. Orang yang ada kuasa, jika tidak faham kuasa Allah, Allah tidak akan membantunya. 

  3. Sekiranya kita tidak menjadikan al-Quran sebagai agenda dalam keluarga, organisasi dan negara, kita akan banyak bertelagah. Kembalilah kepada al-Quran yang sempurna dan tidak bercanggah kerana ia datang dari sisi Allah Yang Maha Sempurna.

  4. Jika kita membaca al-Quran tetapi tidak tadabbur, kita tidak akan faham peringatan Allah. Di samping berusaha menghadapi COVID19, hendaklah kita ambil al-Quran sebagai penawar untuk merawat virus dalam hati. 

  5. Dengan tadabbur al-Quran kita akan dapati al-Quran melangkaui kehebatan buku-buku lain yang cuba memberi penyelesaian kepada masalah manusia. Contoh: Dalam tafsir Hamka ada menyebut tentang kisah Hasan b Tsabit seorang pakar syair yang jatuh cinta dengan al-Quran setelah dia tadabbur sehingga merasakan syair tidak lagi bererti baginya. 


Ayat [4:83]

وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلْأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُوا۟ بِهِۦ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنۢبِطُونَهُۥ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ لَٱتَّبَعْتُمُ ٱلشَّيْطَٰنَ إِلَّا قَلِيلًا


"Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)"


Mesej:


  1. Allah mengingatkan kita jangan sebarkan berita yang belum sahih. Ini adalah ciri Munafik yang bila mendapat berita yang belum pasti, sama ada melibatkan keamanan atau ketakutan, mereka jadi radio dan menyebarkannya ( أَذَاعُوا۟ ).  Serahkan kepada pemerintah yang mengikut Rasul untuk selidik kesahihan ( يَسْتَنۢبِطُونَهُۥ ) sesuatu berita.

  2. Orang Munafik menggunakan perang psikologi untuk melemahkan Rasul SAW dan orang-orang beriman. Mereka suka memecah-belahkan masyarakat, suka bergaduh dan mahu mendapat kuasa. 

  3. Jangan forward berita yang tidak pasti, jangan main-main kerana menyebarkan yang tidak benar itu adalah kuncu-kuncu syaitan.


Ayat [4:84]


فَقَٰتِلْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَ وَحَرِّضِ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَكُفَّ بَأْسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَٱللَّهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنكِيلًا


"Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya."


Mesej:


  1. Allah memerintah Nabi SAW untuk berperang membela Islam dari pencerobohan musuh. 

  2. Allah memberi semangat kepada Nabi supaya mengobarkan semangat (حَرِّضِ) orang lain walaupun mereka tidak mahu berperang. Kita yang membaca ayat ini juga perlu bersemangat dan memberi semangat kepada orang lain untuk berjuang ke hadapan. Jangan merancang untuk manfaat diri kita sahaja.

  3. Umat Islam mesti bersemangat. Allah mengawal angin, Allah mengawal segalanya. Allah boleh sahaja menukar hati, menukar 'landscape' negara ini dan Allah boleh bantu kita menahan bahaya serangan orang kafir kerana Allah Amat Besar Kekuatan-Nya.


Ayat [4:85]


مَّن يَشْفَعْ شَفَٰعَةً حَسَنَةً يَكُن لَّهُۥ نَصِيبٌ مِّنْهَا وَمَن يَشْفَعْ شَفَٰعَةً سَيِّئَةً يَكُن لَّهُۥ كِفْلٌ مِّنْهَا وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ مُّقِيتًا


"Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."


Mesej:


  1. Apabila Nabi SAW disuruh berperang, Nabi dalam keadaan ganjil. Baginda diberi pertolongan ( شَفَٰعَةً ) oleh para sahabat. 

  2. Kalau kita beri pertolongan yang baik ( شَفَٰعَةً حَسَنَةً ), Allah akan beri pahala.

  3. Jika kita beri pertolongan yang buruk ( شَفَٰعَةً سَيِّئَةً ), Allah akan bagi dosa. Jika seseorang 'recommend' yang buruk, jangan kita terima dan ikut saranan itu. Jika kita buat, akan mendapat dosa yang masuk dalam akaun kita. Malah, dosa orang yang 'recommend' pun kita dapat.

  4. Dalam kita berjuang, ingatlah Allah memerhati. Allah Maha Berkuasa di atas segalanya. 


Ayat [4:86]


وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا۟ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَسِيبًا


"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu."


Mesej:


  1. Ayat ini menceritakan tentang nilai universal. Orang beriman kena berjuang. Jika tidak berjuang, kita akan berantakan kerana orang yang ada penyakit hati akan cuba  membuat onar dan perpecahan. 

  2. Apabila orang memberi penghormatan ( بِتَحِيَّةٍ ) seperti mengucap salam, hendaklah kita balas dengan lebih baik. Ini termasuk membalas ucapan dari orang bukan Islam. 

  3. Semakin kita taat kepada Allah dan Rasul, semakin kita mahukan kesejahteraan. Kita tidak mahu berpecah. Iktiraf kebaikan orang lain. 

  4. Berikan salam ikhlas dari hati yang sejahtera. Bukan sekadar manis di bibir. Bincang sama-sama untuk mencari penyelesaian atas masalah yang dihadapi. 

  5. Teruslah bersemangat dan berjuang dengan hati yang sejahtera kerana kita mahu sejahtera hingga ke syurga.


RESOLUSI MTQ127


Ingat !!

  1. Taat kepada Rasul untuk membuktikan ketaatan kepada Allah SWT [4:80]

  2. Elakkan merancang plot keburukan [4:81]

  3. Tadabbur al-Quran untuk nampak kesamaan mesej Allah SWT [4:82]

  4. Jangan cepat sebarkan berita yang belum pasti dari sumber autoriti [4:83]


Lega kerana Allah SWT berikan ayat al-Quran untuk ditadabbur sebagai penawar hati yang berpenyakit.


Saya jelas untuk taat kepada Rasul untuk membuktikan ketaatan kepada Allah SWT. Saya mesti elakkan merancang plot keburukan. Saya kelas untuk tadabbur al-Quran supaya nampak mesej Allah SWT. Saya juga jelas untuk tidak cepat sebarkan berita sebelum saya semak kesahihannya.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.


Ya Allah, bantukah kami untuk taat kepada Rasul sebagai bukti ketaatan kami kepada-Mu. Pelihara kami daripada merancang kepada keburukan. Ajar kami untuk tadabbur al-Quran agar kami faham mesej daripada-Mu. Jauhi kami daripada menjadi penyebar berita yang tidak sahih. Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.




Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...