Thursday, June 1, 2023

Halaman 92 Al-Nisa', 4:87-91

 Perkataan hari ini          

جَمَعَ  Mengumpulkan

129 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS   

  1. Pasti akan dikumpulkan pada hari kiamat [4:87]

  2. Sifat-sifat orang munafik, tipu daya  dan usaha mereka untuk mengkafirkan umat Islam dan cara berinteraksi dengan mereka [4:88-91]


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita memanjatkan kesyukuran kerana telah diberi innayah untuk meneruskan pengajian baca, faham dan amal al-Quran. Hari ini kita meneruskan Surah al-Nisa' di mana semalam kita telah melihat panduan-panduan berkaitan jihad serta ketaatan kepada Allah dan Rasul. Allah memberi amaran jangan sampai kita menyebarkan berita yang tidak pasti kecuali sesudah merujuk kepada rasul (di zaman itu) dan pemimpin. Pada halaman 92 ini, Allah membongkar  konsep yang benar berkaitan pengurusan masyarakat dan bagaimana mahu menghadapi berbagai jenis manusia. 


Bacaan al-Fatihah mengingatkan diri kita setiap hari untuk memohon hidayah daripada Allah SWT. Salah satu cara untuk mendapat hidayah ialah dengan berpegang kepada tali Allah iaitu al-Quran. Kita akan bertemu dengan ayat tentang tadabbur yang muncul ketika ayat tentang perang. Ini adalah kerana tadabbur al-Quran adalah satu disiplin untuk memastikan kita umat Islam sentiasa berpijak pada kebenaran daripada sumber dan bukan kita teka-teka pada satu maklumat yang rupa-rupanya satu halusinasi. 


Ayat sebelum ini bercerita tentang apabila ada orang memberi ucapan, kita balas dengan ucapan yang lebih baik atau sama. Kalau diberi ucapan "Assalamualaikum", kita jawab "Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh". 'Tahiyyah' ialah ucapan umum. Kalau ada orang beri ucapan "Good Morning" kita jawab "Good Morning" juga, bukan "Good" sahaja. Kita balas dengan lebih baik bukan hanya dengan orang Islam tetapi kita juga tunjukkan akhlak yang mulia dengan yang bukan Islam kerana perjuangan Islam (daripada perkataan salama) adalah untuk menyebarkan kesejahteraan di mana jua kita berada. 


Di hujung ayat 86 itu Allah menyebut "Sesungguhnya Allah ini amat menghitung." Salam yang kita balas itu Allah hitung. Niat kita memberi salam itu Allah hitung. Allah amat berjaga-jaga, amat menghitung itu adalah sebagai tanda kita ini amat serious untuk menjaga keamanan memperjuangkan keselamatan dalam hidup kita sehingga Allah memberikan salam kepada kita di akhirat nanti sebagaimana yang disebut dalam surah Yasin, سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ (ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.)


Ayat [4:87]


ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَٰمَةِ لَا رَيْبَ فِيهِ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ ٱللَّهِ حَدِيثًا


"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?"


Mesej:


  1. Hanya Allahlah yang paling layak disembah kerana Allahlah yang menguruskan segala-galanya dimuka bumi ini seperti yang disebut dalam surah ar-Rahman ayat 5,  الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ بِحُسْبَانٍ ( Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;).

  2. Kita ini hanyalah hamba.

  3. Allah akan kumpulkan semua manusia di hadapan-Nya di hari kiamat nanti untuk tanya apa yang kita sudah buat.

  4. Bila Allah yang memberitahu kita akan dikumpulkan, sepatutnya kita rasa gementar dan mesti bersedia untuk menghadapi hari berkenaan.


Ayat [4:88]


فَمَا لَكُمْ فِى ٱلْمُنَٰفِقِينَ فِئَتَيْنِ وَٱللَّهُ أَرْكَسَهُم بِمَا كَسَبُوٓا۟ أَتُرِيدُونَ أَن تَهْدُوا۟ مَنْ أَضَلَّ ٱللَّهُ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ سَبِيلًا


"Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya."


Ayat ini turun semasa Perang Uhud ketika orang Islam bertelagah mengenai kumpulan Zaid b Thabit dan 300 orang tentera berpatah balik dari peperangan. Ada yang menyuruh Baginda SAW membunuh sahaja mereka itu. Ada yang kata jangan bunuh. 


Mesej:


  1. Allah mengajar bagaimana kita patut mensikapi orang munafik. Jangan kecoh-kecoh kerana ia akan hanya membuat Islam lemah. 

  2. Allah ingatkan kita, manusia tidak boleh memberi hidayah kepada orang yang telah disesatkan oleh Nya. 

  3. Fokus kepada kelemahan kita dan jangan melihat kelemahan orang lain.


Ayat [4:89]


وَدُّوا۟ لَوْ تَكْفُرُونَ كَمَا كَفَرُوا۟ فَتَكُونُونَ سَوَآءً فَلَا تَتَّخِذُوا۟ مِنْهُمْ أَوْلِيَآءَ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَخُذُوهُمْ وَٱقْتُلُوهُمْ حَيْثُ وَجَدتُّمُوهُمْ وَلَا تَتَّخِذُوا۟ مِنْهُمْ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا


"Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong;"


Mesej:


  1. Allah membongkar ciri-ciri orang Munafik iaitu mereka amat-amat suka (وَدُّوا۟) orang beriman menjadi kufur seperti mereka. Jangan biarkan diri kita tertipu dengan mereka.

  2. Jangan berkawan rapat dengan mereka dan menjadikan mereka sebagai pelindung. Boleh berinteraksi, tetapi jangan biarkan mereka mengganggu keimanan kita. 

  3. Jika mereka mengajak kita kembali kufur dan berpaling daripada keimanan, Allah menyuruh kita perangi mereka. Tawan mereka dan bunuh mereka. 

  4. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya bunuh orang kafir. Kita mesti hidup dalam keadaan harmoni dan jika berlaku ketidak amanan, institusi kepimpinan perlulah mengambil tindakan yang sepatutnya, seperti memenjara orang yang mengganggu ketenteraman mengikut undang-undang.

  5. Jangan faham ayat-ayat al-Quran dengan cara kita sendiri. Bertanya kepada ustaz-ustaz yang pakar di bidang ini.


Ayat [4:90]


إِلَّا ٱلَّذِينَ يَصِلُونَ إِلَىٰ قَوْمٍۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَٰقٌ أَوْ جَآءُوكُمْ حَصِرَتْ صُدُورُهُمْ أَن يُقَٰتِلُوكُمْ أَوْ يُقَٰتِلُوا۟ قَوْمَهُمْ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَسَلَّطَهُمْ عَلَيْكُمْ فَلَقَٰتَلُوكُمْ فَإِنِ ٱعْتَزَلُوكُمْ فَلَمْ يُقَٰتِلُوكُمْ وَأَلْقَوْا۟ إِلَيْكُمُ ٱلسَّلَمَ فَمَا جَعَلَ ٱللَّهُ لَكُمْ عَلَيْهِمْ سَبِيلًا


"Kecuali orang-orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka."


Mesej:


  1. Kalau kita berjumpa dengan orang yang membawa kepada  kekufuran, ia perlu diperangi oleh institusi. Jangan buat penilaian sendiri. Serahkan kepada pemimpin untuk mengambil tindakan. 

  2. Jika orang yang tidak beriman ada perjanjian setia dengan orang Islam atau mereka tidak memerangi orang Islam, jangan ganggu dan biarkan mereka hidup aman. Kita juga kena melindungi mereka.


Ayat [4:91]


سَتَجِدُونَ ءَاخَرِينَ يُرِيدُونَ أَن يَأْمَنُوكُمْ وَيَأْمَنُوا۟ قَوْمَهُمْ كُلَّ مَا رُدُّوٓا۟ إِلَى ٱلْفِتْنَةِ أُرْكِسُوا۟ فِيهَا فَإِن لَّمْ يَعْتَزِلُوكُمْ وَيُلْقُوٓا۟ إِلَيْكُمُ ٱلسَّلَمَ وَيَكُفُّوٓا۟ أَيْدِيَهُمْ فَخُذُوهُمْ وَٱقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأُو۟لَٰٓئِكُمْ جَعَلْنَا لَكُمْ عَلَيْهِمْ سُلْطَٰنًا مُّبِينًا


"Kamu juga akan dapati golongan-golongan yang lain (yang pura-pura Islam) supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu, dan (sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya) supaya mereka beroleh aman dari pihak kaumnya (yang masih kafir). Tiap-tiap kali mereka diajak kepada fitnah (pencerobohan), mereka segera terjerumus ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu (dan terus mengganggu atau berpihak kepada musuh), dan (tidak pula) menawarkan perdamaian kepada kamu dan juga (tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu), maka hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya."


Mesej:


  1. Institusi Islam boleh bertindak menawan dan membunuh orang kafir yang tidak membenarkan kita beribadah, tidak membawa kedamaian, berpura-pura  dan mereka memerangi orang Islam. Contoh: Seperti orang di China yang memerangi Uighur. Ada bukti jelas yang mereka membuat kekacauan. Maka umat Islam lain boleh menawan mereka di atas kezaliman mereka.  

  2. Allah balikkan hati orang Munafik kepada kekufuran kerana perbuatan buruk mereka sendiri.

  3. Jangan main-main dengan iman dan jangan kacau iman orang lain. Kalau orang baca Quran, jangan pula kita menghalang. Jangan menjadi batu api kerana ini adalah penyangak di dalam keharmonian satu-satu negara. 


RESOLUSI MTQ128


Ingat !!

  1. Jangan berpecah dan jangan menyokong golongan munafik [4:88]

  2. Jika ada pihak yang tidak beriman ingin berdamai, kita berdamai [4:90]

  3. Jangan beri peluang kepada orang yang memusuhi dan ingin menghancurkan kita secara jelas [4:91]


Lega kerana Allah SWT bongkar ciri-ciri Munafik agar saya tidak jadi seperti mereka. 


Saya jelas untuk galakkan perdamaian dan elak daripada perpecahan sesama Islam. Saya mesti bela Islam apabila dimusuhi.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.


Ya Allah, jauhi keluarga kami dan umat Islam daripada perpecahan. Ya Allah, hantarkan kepada kami pemimpin berwibawa yang dapat memimpin negara kami kepada perdamaian dan kesejahteraan. Jauhi kami daripada permusuhan yang merugikan umat Islam.  Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...