Perkataan hari ini
ضَعُف Lemah, ditekan
52 kali diulang di dalam al-Quran
SINOPSIS
Etika perang dalam Islam [4:75-76]
Sikap manusia ketika diwajibkan berperang [4:77-79]
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah, kita sama-sama diberi peluang untuk mengorek dan mendapatkan hidayah, peringatan (mauizah), penawar dan rahmat daripada Allah seperti yang tersebut dalam Surah Yunus, 10:57.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."
Dengan membaca ayat-ayat al-Quran kita mohon agar Allah berikan kita kebaikan (hasanah) demi kebaikan yang akan menghapuskan keburukan-keburukan dan dosa-dosa kecil kita.
Daripada ayat 74, Allah menyeru supaya berperang di jalan Allah. Samada terbunuh atau menang, akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Allah memberi semangat kepada orang-orang Islam yang berada di Madinah untuk berperang mempertahankan agama. Semasa 13 tahun di Mekah, orang Islam dilarang berperang walaupun ditindas oleh kaum Musyrikin.
Ayat [4:75]
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا مِنْ هَٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهْلُهَا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا
"Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)".
Mesej:
Allah menemplak orang-orang yang tidak mahu berperang di jalan Allah.
Peperangan di dalam Islam adalah dengan izin Allah untuk menegakkan agama dan untuk menyelamatkan orang-orang yang dizalimi. Tidak boleh berperang sewenang-wenangnya.
Ayat [4:76]
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يُقَٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُقَٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱلطَّٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓا۟ أَوْلِيَآءَ ٱلشَّيْطَٰنِ إِنَّ كَيْدَ ٱلشَّيْطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا
"Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah."
Mesej:
Sebagai orang yang beriman, hendaklah kita bersedia untuk berperang pada jalan Allah.
Janganlah kita membiarkan orang Islam lain dizalimi.
Orang-orang kafir pula berperang pada jalan taghut. Mereka adalah kawan syaitan.
Jika kita mudah terpengaruh kepada harta secara keterlaluan, kita akan mudah ikut syaitan yang akan mempengaruhi kepada taghut. Jangan jadikan harta sebagai Tuhan.
Gunakan harta yang Allah beri untuk memperjuangkan orang-orang yang lemah dan dizalimi.
Ayat [4:77]
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوٓا۟ أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ ٱلْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ ٱلنَّاسَ كَخَشْيَةِ ٱللَّهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً وَقَالُوا۟ رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا ٱلْقِتَالَ لَوْلَآ أَخَّرْتَنَآ إِلَىٰٓ أَجَلٍ قَرِيبٍ قُلْ مَتَٰعُ ٱلدُّنْيَا قَلِيلٌ وَٱلْءَاخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ ٱتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا
"Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun."
Mesej:
Allah menyuruh kita perhati betul-betul ( أَلَمْ تَرَ ) situasi yang berlaku kepada orang-orang yang enggan pergi berperang. Sebelum Allah perintah untuk berperang, sebahagian mereka meminta untuk berperang. Apabila Allah perintah untuk berperang mereka tidak mahu pula, kerana takut mati.
Orang yang percaya kepada akhirat akan sentiasa ikut perintah Allah. Kalau Allah larang berperang, jangan berperang. Kalau Allah suruh perang maka lakukan. Jangan banyak komen dan kondem.
Allah ingatkan bahawa harta benda/kesenangan di dunia adalah sedikit sahaja dan akan lenyap.
Orang-orang yang sanggup berperang kerana mengikut arahan Allah SWT akan mendapat balasan yang lebih banyak dan kekal selama-lamanya.
Allah tidak zalim. Setiap larangan dan perintah-Nya adalah untuk kebaikan kita.
Ayat [4:78]
أَيْنَمَا تَكُونُوا۟ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا۟ هَٰذِهِۦ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا۟ هَٰذِهِۦ مِنْ عِندِكَ قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ فَمَالِ هَٰٓؤُلَآءِ ٱلْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?"
Mesej:
Allah ingatkan kita, walau di mana kita berada, maut pasti akan mendatangi kita. Maut adalah seperti anak panah yang telah dilepas dan akan sampai kepada kita bertahap-tahap ( درك ).
Allah ingatkan kita, semua kebaikan dan keburukan adalah berpunca dari sisi-Nya. Orang Munafik, jika mereka mendapat sesuatu yang baik, mereka menyebut itu adalah dari sisi Allah. Jika mendapat yang buruk, mereka menyalahkan Nabi SAW.
Allah templak di hujung ayat ini atas sikap orang Munafik supaya kita tidak ikut perangai mereka yang suka salahkan orang lain. Ini adalah teknologi Iblis yang tak puas hati kepada Nabi Adam dan keturunan Adam.
Ayat [4:79]
مَّآ أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ وَأَرْسَلْنَٰكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًا
"Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)."
Mesej:
Qada' qadar dan semua ilmu diketahui oleh Allah SWT ( عِندِ ٱللَّهِ ).
Jangan menyalahkan orang bila terjadi sesuatu yang tidak baik. Apa jua kebaikan adalah daripada Allah ( مِنْ حَسَنَةٍ). Apa jua keburukan ( مِن سَيِّئَةٍ ) adalah daripada kesalahan diri kita sendiri. Contoh: "Pasal engkau kerja di sinilah bisnes aku begini." Zaman sekarang pula, salahkan Covid sahaja untuk segalanya. Kita kena ada perancangan untuk hadapi ujian-ujian daripada Allah. Minta doa supaya Allah beri jalan keluar kepada keburukan yang berlaku.
Jangan jadi seperti orang munafik yang tidak mahu meninggalkan rumah untuk pergi berjuang kerana takut meninggalkan keselesaan.
Kalau ada sesuatu yang baik dalam diri kita, hakikatnya, itu adalah daripada Allah. Kalau ada masalah, seperti Covid 19 ini, Allah mahu lihat 'response' kita. Kalau kita baca Quran, pakai pelitup muka tetapi masih kena, itu adalah ketentuan Allah.
Ingatlah bahawa segalanya adalah daripada Allah. Kalau kita amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan oleh Allah SWT, tentulah itu lebih baik dan lebih meneguhkan iman kita.
RESOLUSI MTQ126
Ingat !!
Sedia berjuang untuk menjaga hak orang yang lemah [4:75]
Sentiasa menggondol ganjaran besar di sisi Allah SWT [4:77]
Jangan suka menyalahkan orang lain seperti golongan munafik [4:78]
Lega kerana Allah SWT akan berikan ganjaran yang besar sekiranya saya berjuang untuk menjaga hak orang yang lemah.
Saya jelas untuk berjuang menjaga hak orang yang lemah dan saya mesti jauhkan perangai suka menyalahkan orang lain.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.
Ya Allah, bantukah kami untuk berjuang menjaga hak orang yang lemah. Jauhi kami daripada sifat yang suka menyalahkan orang lain. Ya Allah, jauhkan kami daripada sifat lemah, penakut dan malas. Kurniakan kami ganjaran besar walaupun usaha kami amat sedikit.
Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.