Perkataan hari ini
صَدَقَ Membenarkan
155 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Balasan atas pembunuhan tidak sengaja dan pembunuhan sengaja [4:92-93]
Menjaga perdamaian dan hati-hati menghukumi keimanan orang lain [4:94]
Mukaddimah
Alhamdulillah kita memanjatkan kesyukuran dapat sambung pengajian baca, faham, amal al-Quran agar kita terus mendapat hidayah Allah. Topik hari ini agak berat sebagai panduan penting mengenai undang-undang yang diperlukan bila sesuatu masalah berlaku. Jika tiada masalah, ini adalah sebagai panduan. Al-Quran tidak meninggalkan sedikit pun panduan untuk menyusun kehidupan kita insan yang penuh dengan kelemahan.
Membaca al-Fatihah mengingatkan kita untuk memuji Allah pada setiap masa. Pujian ini juga terdapat di dalam Surah al-Kahfi, (18:1) kerana Allah menurunkan al-Quran yang tidak ada kebengkokan. Manusia ini ada kalanya bengkok dari segi perasaan seperti rasa tidak puas, hasad dan tidak bersyukur. Ada masa bengkok dari segi pemikiran seperti lupa, tidak tahu apa yang berlaku pada masa lepas, pada masa yang akan datang . Al-Quran memberi panduan dalam segala aspek agar kita dapat meneruskan kehidupan di jalan yang lurus.
Ayat [4:92]
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَـًٔا وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَـًٔا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَصَّدَّقُوا۟ فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَٰقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ ٱللَّهِ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
"Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar "diah" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar "diah" (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
Asbabun Nuzul: Pada zaman Nabi SAW, Iyash dianiaya oleh Al-Harith bin Yazid. Al-Harith pergi ke Madinah dan Iyash membunuh Al-Harith dengan pedang sedangkan Al-Harith sudah Islam. Dalam kisah ini, Iyash tersalah membunuh. Iyash diarahkan memerdekakan seorang hamba.
Mesej:
Allah memberi panduan kepada kita apa yang mesti dilakukan jika berlaku pembunuhan. Tidak boleh membunuh orang beriman dengan sengaja.
Jika terbunuh secara tidak sengaja, mesti melakukan 2 perkara:
Hak Allah : Merdekakan seorang hamba beriman.
Hak keluarga yang dibunuh : Membayar diyat (دِيَةٌ denda). Menurut tafsir Ibnu Kathir, ada 5 bahagian diyat dari riwayat dan para penyusun kitab sunan, dari Ibnu Mas'ud seperti di bawah:
Membayar 20 ekor unta betina berumur setahun
Membayar 20 ekor unta jantan berumur setahun
Membayar 20 ekor unta betina berumur 2 tahun
Membayar 20 ekor unta berumur 4 tahun
Membayar 20 ekor unta berumur 3 tahun
Jika terbunuh dalam kalangan musuh yang tidak beriman, mesti bayar hak Allah iaitu memerdekakan hamba yang beriman tetapi tidak perlu bayar diyat.
Jika terbunuh dalam kalangan kafir yang ada perjanjian ( مِّيثَٰقٌ ) dengan orang beriman, mesti lakukan 2 perkara:
Diyat
Membebaskan hamba beriman. Jika tidak mampu memerdekakan hamba yang beriman, kena berpuasa dua bulan berturut-turut tanpa putus sebagai tanda taubat.
Jika keluarga yang dibunuh memaafkan, tidak perlu bayar diyat.
Allah Maha Mengetahui dan Amat Bijaksana. Allah tahu sesiapa yang membunuh secara tersilap atau sengaja. Allah mahu meramaikan orang yang beriman. Allah tahu keperluan keluarga yang terbunuh. Itulah fungsi diyat.
Kalau kita lihat di negara ini, perkara ini tidak berlaku lagi. Dalam tafsir Hamka, jika tidak ada lagi sistem ini, beliau menyarankan untuk berusaha melaksanakan undang-undang berteraskan al-Quran. Islam amat menitik beratkan tentang nyawa. Jangan ikut undang-undang British atau lain-lain. Jika tidak, ia boleh membawa huru hara kepada komuniti.
Ayat [4:93]
وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَآؤُهُۥ جَهَنَّمُ خَٰلِدًا فِيهَا وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُۥ وَأَعَدَّ لَهُۥ عَذَابًا عَظِيمًا
"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar."
Mesej:
Sesiapa yang sengaja membunuh seorang mukmin akan mendapat balasan:
Neraka jahanam, kekal didalamnya (جَهَنَّمُ خَٰلِدًا فِيهَا)
Mendapat kemurkaan Allah (وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ)
Allah melaknat (وَلَعَنَهُ)
Disediakan azab yang besar ( عَذَابًا عَظِيمًا)
Dalam maqasid syariat, salah satu syariatnya ialah menjaga nyawa. Kita sedih di dalam negara Islam ada yang memberi ruang kepada orang tertentu untuk tidak menjalankan keadilan bila berlaku pembunuhan yang tidak wajar.
Kita mesti berjuang agar keadilan dilaksanakan.
Azab yang kekal akan diberi kepada pembunuh kerana Allah murka. Bila Allah laknat, habislah keberkatan.
Jangan bersekongkol dengan pemimpin yang membunuh tanpa sebab.
Ayat [4:94]
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا ضَرَبْتُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَتَبَيَّنُوا۟ وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَنْ أَلْقَىٰٓ إِلَيْكُمُ ٱلسَّلَٰمَ لَسْتَ مُؤْمِنًا تَبْتَغُونَ عَرَضَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فَعِندَ ٱللَّهِ مَغَانِمُ كَثِيرَةٌ كَذَٰلِكَ كُنتُم مِّن قَبْلُ فَمَنَّ ٱللَّهُ عَلَيْكُمْ فَتَبَيَّنُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan."
Mesej:
Allah menyatakan apabila telah berada di jalan Allah untuk berperang (إِذَا ضَرَبْتُمْ), kena tabayyun (selidik) dahulu. Dalam Islam, perang bukanlah solusi paling awal.
Jika bertemu dengan orang yang memberi salam atau menawarkan perdamaian, janganlah menyatakan mereka tidak beriman (لَسْتَ مُؤْمِنًا). Jangan mudah melabel orang lain dengan tujuan mendapatkan harta benda.
Pada zaman ini, membunuh di medan perang mungkin tidak berlaku lagi. Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah membunuh karakter seseorang dengan menyatakan kumpulan orang lain kurang beriman sehingga segala usaha mereka ke arah kebaikan dicantas atau dilabel tidak Islamik.
Janganlah kita gelap mata dengan harta dunia sehingga sanggup melabel orang lain sebagai tidak beriman. Jika inginkan sokongan orang dan harta benda, sebenarnya harta benda di sisi Allah lebih banyak.
Allah mengingatkan kita agar jangan suka bergaduh, jangan suka melabel orang lain, jangan suka membunuh, jangan menghalalkan darah orang mukmin lain dan jangan cari harta melampau-lampau. Jangan tiru/ulang perangai yang dibuat oleh orang yang tidak mendapat iman.
Bersyukurlah kerana Allah menganugerahkan nikmat terbesar iaitu keimanan. Iman sepatutnya menjadikan kita lebih berjaga-jaga dan tidak melabel orang lain, lebih tabayyun, dan tidak mudah mengaut dunia untuk pangkat dan nama. Kita mestilah kejar iman bukan kejar keuntungan dunia.
Allah tahu siapa yang Islam atau tidak. Siapa yang salah dan siapa yang tidak. Jangan kita labelkan orang mualaf masuk Islam hanya kerana untuk mendapat derma atau duit dari jabatan agama sahaja atau untuk berkahwin sahaja. Mungkin mula-mula kerana hendak kahwin tetapi akhirnya ada yang menjadi orang Islam yang baik bila dapat hidayah.
RESOLUSI MTQ129
Ingat !!
Laksanakan hukuman apabila tersilap bunuh [4:92]
Teliti dulu sebelum berperang [4:94]
Jangan berperang kerana mengharapkan harta dunia sahaja [4:94]
Lega kerana Allah SWT amat prihatin terhadap hak semua manusia.
Saya jelas tentang hukuman berkaitan pembunuhan. Saya mesti tabayyun sebelum mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja. Saya mesti berusaha mengejar keimanan bukan mengejar harta dunia sahaja.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.
Ya Allah, bantulah kami untuk melaksanakan undang-undang yang telah Engkau tetapkan dalam urusan kehidupan kami bermasyarakat. Jauhi kami daripada sikap terburu-buru. Jadikan kami orang yang tabayyun dan tidak melabel orang lain. Jauhi kami dari menjadi orang yang mengejar harta dunia secara melampau.
Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.