Thursday, June 1, 2023

Halaman 94 Al-Nisa', 4:95-101

 Perkataan hari ini          

قَعَدَ  Duduk, rehat

31 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Keutamaan orang yang pergi berjihad atas orang yang tidak ikut berjihad [4:95-96]

  2. Hijrahnya orang-orang yang tertindas [4:97-100]

  3. Qasar solat ketika bermusafir [4:101]


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita bersyukur diberi inayah untuk terus bersama al-Quran. Kita menyambut dan meraikan apa yang dibaca dalam Surah An Nisa'. Kita memohon agar Allah tambahkan ilmu kita supaya dapat memperbaiki amal. Allah ar-Rahman yang mengajarkan kita al-Quran.


Dengan membaca al-Fatihah, kita meminta daripada Allah jalan yang lurus, jalan yang dilalui oleh orang-orang yang diberi nikmat dalam kalangan nabi-nabi, siddiqin, syuhadak dan solihin. 


Pada ayat 94, Allah mengingatkan kita supaya 'tabayyun' iaitu semak dengan teliti sebelum mengambil sesuatu tindakan terutamanya dalam keadaan yang melibatkan perjuangan di jalan Allah. Tafsir Hamka menyebut ketika sesuatu negara terlibat di dalam sesuatu peperangan, kena ada badan perisik untuk mengetahui situasi, sama ada perlu berperang, mempertahankan diri atau tidak. Pasukan perang perlu mendapatkan maklumat yang tepat untuk mengelakkan wanita, orang tua dan kanak-kanak menjadi mangsa. 


Ayat [4:95]


لَّا يَسْتَوِى ٱلْقَٰعِدُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُو۟لِى ٱلضَّرَرِ وَٱلْمُجَٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَٰهِدِينَ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى ٱلْقَٰعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْحُسْنَىٰ وَفَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلْمُجَٰهِدِينَ عَلَى ٱلْقَٰعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا


"Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar;"


Mesej:


  1. Allah memuji kepada orang-orang beriman yang berjuang/pergi berperang (jihad fi sabilillah). Allah mengatakan tidak sama orang yang berjuang dengan orang-orang yang duduk di rumah, sengaja tidak mahu pergi, kecuali orang yang ada halangan yang munasabah seperti sakit, tua, dan lain-lain.

  2. Berperang ‘fi sabilillah’ (pada jalan Allah) dengan dua perkara:

    1. harta

    2. diri

  3. Allah mengulang فَضَّلَ ٱللَّهُ dan أَجْرًا عَظِيمًا beberapa kali untuk menegaskan bahawa Allah memberi kurniaan kepada orang-orang yang berjihad. Orang pergi berjuang dijanjikan ganjaran yang besar. Orang yang tidak pergi atas sebab tertentu juga ada ganjarannya. Masing-masing dijanjikan balasan yang baik. 

  4. Ayat ini adalah untuk menaikkan semangat orang beriman supaya berjuang. Perjuangan paling tinggi ialah di medan perang. Selain daripada itu, ibu-ibu di rumah, orang yang bekerja di pejabat  juga berjuang di medan masing-masing. 

  5. Allah murka kepada orang yang sengaja tidak mahu pergi berjuang, nak duduk 'nyenggeng' (goyang kaki) sahaja, sehingga keluarga, negeri dan negara sendiri tergadai. 


Hanzalah bin Abu Amir ialah seorang anak muda yang syahid di Peperangan Uhud. Hanzalah baru bernikah ketika  tentera Islam diseru berperang. Hanzalah memohon kebenaran dari Nabi SAW untuk bersama isterinya Jamilah binti Abdullah, dan selepas itu beliau keluar untuk sama berperang. Beliau berjaya menebas kaki kuda Abu Sufyan. Abu Sufyan menjerit meminta pertolongan dan orang Musyrik datang lalu menyerang Hanzalah sehingga syahid. Selepas perang, Nabi dan sahabat-sahabat melihat tubuhnya seperti ada air. Bila ditanyakan kepada isterinya, Hanzalah tidak sempat untuk mandi sebelum meninggalkan rumah. Nabi menerangkan bahawa Hanzalah dimandikan oleh malaikat. Inilah keampunan dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang berjuang dan syahid di atas jalanNya. Subhanallah. 


Ayat [4:96]


دَرَجَٰتٍ مِّنْهُ وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا


"Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Mesej:


  1. Allah amat sayang kepada orang yang berjuang dalam peperangan atau yang berperang di medan masing-masing.

  2. Setiap orang yang beriman ada peluang untuk berjuang dalam kapasiti masing-masing. 

  3. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.



Ayat [4:97]


إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةً فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا فَأُو۟لَٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَسَآءَتْ مَصِيرًا


"Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."


Mesej:


  1. Orang yang tidak mahu berjuang di jalan Allah adalah orang yang menzalimi diri sendiri. Balasannya ialah neraka jahanam.

  2. Orang yang mencari alasan untuk tidak berhijrah dan tidak berjuang di jalan Allah ditempelak oleh malaikat. Malaikat memberitahu mereka bahawa bumi Allah ini luas dan banyak tempat boleh pergi berjuang untuk agama. 

  3. Jika berada di negara/tempat yang kita tidak boleh berbuat kebaikan, maka berhijrahlah ke negara/tempat lain yang membolehkan kita melaksanakan ibadah dan kebaikan.

  4. Janganlah kita sanggup menggadaikan iman tanpa mahu berhijrah, demi harta benda yang dimiliki dan tidak mahu tinggalkan.


Ayat [4:98]


إِلَّا ٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا


"Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah)."


Ayat [4:99]


فَأُو۟لَٰٓئِكَ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَعْفُوَ عَنْهُمْ وَكَانَ ٱللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا


"Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun."


Mesej ayat 98-99:


  1. Orang yang lemah (lelaki dan wanita), kanak-kanak, orang yang uzur, yang tidak berupaya dan tidak tahu jalan adalah golongan yang mendapat pengecualian daripada berjuang/berhijrah. Allah memaafkan mereka.

  2. Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.


Ayat [4:100]


وَمَن يُهَاجِرْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدْ فِى ٱلْأَرْضِ مُرَٰغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَن يَخْرُجْ مِنۢ بَيْتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدْرِكْهُ ٱلْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا


"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Mesej:


  1. Jangan takut untuk berhijrah atas dasar kebaikan kerana Allah menjanjikan rezeki dan peluang yang banyak di mana-mana sahaja di muka bumi ini. 

  2. Dalam konteks hari ini, kita berhijrah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain, meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT, berhijrah dari yang tidak baik kepada yang baik, dari mazmumah kepada mahmudah.

  3. Hijrah juga adalah satu pembuktian keimanan. 

  4. Ada 3 perkara penting untuk kejayaan seseorang atau sesebuah negara/negeri:

    1. Iman kepada Allah dan Rasul

    2. Berhijrah kerana Allah

    3. Berjihad bersungguh-sungguh

  5. Sekiranya mati dalam perjalanan hijrah, Allah tetap akan memberi ganjaran yang besar.

  6. Berhijrahlah di jalan Allah kerana bumi Allah luas dan pasti ada kebaikan yang banyak.  Allah telah janjikan مُرَٰغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً (kebaikan yang banyak dan luas). Orang yang bekerja di tempat yang ada arak atau riba', berhijrahlah. 

  7. Teruslah bersemangat membuat perubahan ke arah kebaikan. Allah akan memberi ganjaran pahala walaupun kita melakukannya sedikit demi sedikit.

  8. Allah memberitahu ada ganjaran yang istimewa dari-Nya (أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ) yang tidak disebut secara spesifik. Untuk orang lelaki disebut ada bidadari dan sungai bagi mereka di syurga. Orang perempuan tidak tersebut sangat selain ada piala emas, katil empuk. Bila disembunyikan tidak bermaksud tiada. Allah sembunyikan ganjaran yang istimewa bagi perempuan.  

  9. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Contoh kelebihan hijrah dari sirah Nabi dan sahabat:


  1. Abdul Rahman bin Auf yang sanggup meninggalkan harta bendanya untuk berhijrah. Awalnya beliau berhijrah ke Habsyah terlebih dulu. Bila kembali, hartanya  telah habis diambil orang. Beliau bina kembali. Bila disarankan untuk berhijrah ke Madinah, beliau berhijrah dan meninggalkan segalanya. Membina kembali kekayaan di Madinah dengan memulakan perniagaaan di pasar. Beliau mengutamakan keimanan di atas harta dunia. 

  2. Zumrah bin Jundup, seorang tua yang ingin berhijrah ke arah kebaikan, dari Mekah ke Madinah. Tetapi, beliau meninggal dalam perjalanan. Pahalanya tetap dicatat oleh Allah. 


Ayat [4:101]


وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنَّ ٱلْكَٰفِرِينَ كَانُوا۟ لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِينًا


"Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu."


Mesej:


  1. Perumpamaan bermusafir bagi orang Arab dahulu adalah ‘memukul bumi’ (ضَرَبْتُمْ). Seperti kita katakan dalam bahasa kita ‘ukur jalan.’

  2. Orang yang sedang bermusafir, boleh menqasarkan solat. Allah mahu mengingatkan bahawa berjuang macam mana pun, tiang agama (solat) jangan diambil mudah. 

  3. Tengah ayat perang tiba-tiba sebut pasal solat. Allah mahu  mengingatkan tentang pentingnya solat. Tiada sebarang alasan untuk meninggalkan solat. Tanda orang itu beriman dan berjuang, dia solat. Jika seseorang berhijrah kerana Allah, dia pasti tidak akan meninggalkan solat.

  4. Solat ialah ‘dinamo’ (penjana) pancaran IIahi. Begitulah Buya Hamka menerangkan tentang pentingnya solat subuh. Solat sangat bermakna untuk mendapat cahaya, keberkatan dan jikalau pergi, pergi dalam iman. 

  5. Allah ingatkan bahawa dalam peperangan pun diperintahkan untuk solat, apatah lagi dalam kehidupan seharian yang aman. Semasa bekerja, kalau masuk waktu solat, berhenti dan solat dahulu.

  6. Solat tanda kita rindu bertemu Allah pada setiap masa sehingga kita kembali bertemu-Nya di syurga.


RESOLUSI MTQ130


Ingat !!

  1. Terus berjuang dan jangan duduk diam. Puncak perjuangan ialah perang [4:95]

  2. Jangan pasrah, tetapi hendaklah berjuang [4: 97]

  3. Hargai anugerah solat qasar ketika musafir [4:101]


Lega kerana Allah SWT iktiraf perjuangan setiap orang mengikut medan dan kapasiti masing-masing.


Saya jelas untuk terus berjuang dan tidak sekadar duduk diam. Saya mesti utamakan solat dalam kehidupan seharian.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.


Ya Allah, bantulah kami untuk terus berjuang fi sabilillah dan berhijrah kepada kebaikan. Terimalah amal kebaikan kami walaupun kami tidak pergi berperang. Ampun dan maaf segala kelemahan dan kekurangan kami dalam memperjuangkan agama Tauhid ini. Jadikan kami dan keturunan kami orang yang taat mengerjakan solat.


Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.




Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...