Thursday, June 1, 2023

Halaman 98 Al-Nisa', 4:122-127

 Perkataan hari ini          

دَخَلَ  Masuk

126 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS   


  1. Pahala iman dan amal soleh [122]

  2. Berhak mendapat  syurga bukanlah hanya dengan angan-angan [123-126]

  3. Mengasuh dan merawat anak yatim [127]


Mukaddimah


Alhamdulillah kita dapat meneruskan pembelajaran dari surah al-Nisa'. Dengan membaca al-Fatihah berulang kali, kita memohon doa yang paling utama daripada Allah SWT iaitu untuk diberikan hidayah  ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ  (Tunjukilah kami jalan yang lurus). Kita mahu berkongsi dengan seramai mungkin supaya dunia ini dipenuhi dengan hidayah yang membawa kita menuju kepada Allah SWT.


Pada halaman lepas kita telah diingatkan berkali-kali oleh Allah SWT tentang musuh kita iaitu syaitan dan langkah-langkah yang dibuatnya. Dia menghantar jeneral kepada orang yang kuat iman hatta syaitan juga mengganggu para rasul. Syaitan hanya memberi angan-angan kosong dan disuruh untuk membuat perkara-perkara syirik. 


Ayat [4:122]


وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا وَعْدَ ٱللَّهِ حَقًّا وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ ٱللَّهِ قِيلًا


"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?"


Mesej:


  1. Allah menjanjikan balasan syurga kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. 

  2. Hendaklah kita berusaha meningkatkan iman dan melakukan pembaikan demi pembaikan dalam hidup kita agar berjaya mendapat ganjaran syurga dan kekal di sana ( خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ).

  3. Allah gambarkan syurga sebagai tempat yang tenang dengan sungai-sungai yang mengalir. Sungai adalah lambang ketenangan.

  4. Syaitan memberi janji palsu tetapi Allah memberi janji yang benar ( وَعْدَ ٱللَّهِ حَقًّا ).

  5. Setiap amalan yang hendak kita lakukan mestilah berpandukan al-Quran dan sunnah agar tidak termasuk perangkap syaitan.

  6. Allah memahami psikologi kita. Walaupun kita tak dapat segalanya di dunia, tapi di akhirat kita akan dapat syurga-syurga kalau kita kenal musuh kita dan fokus kepada Allah SWT.


Ayat [4:123]


لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَآ أَمَانِىِّ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ مَن يَعْمَلْ سُوٓءًا يُجْزَ بِهِۦ وَلَا يَجِدْ لَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا


"(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat - selain dari Allah - seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya."


Mesej:


  1. Janganlah kita berangan-angan untuk ditolong oleh Allah SWT kalau kita tidak beriman dan beramal soleh. 

  2. Orang yang melakukan kejahatan akan dibalas oleh Allah SWT dengan kejahatan juga. 

  3. Kalau kita buat baik, manfaatnya adalah kepada diri kita. Kalau buat tak baik, kesan buruknya juga akan kena pada diri kita.

  4. Allah tidak akan tolong orang yang mengikut syaitan.

  5. Hendaklah kita berpegang pada al-Quran supaya mendapat pertolongan Allah di dunia dan di akhirat.


Ayat [4:124]


وَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لَٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا


"Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun."


Mesej:


  1. Allah memberi penekanan dan menyuruh memberi perhatian bahawa sesiapa yang beriman dan beramal soleh   ( يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ)  tidak kira lelaki atau perempuan akan masuk syurga.  Istilah  يَعْمَلْ  dalam bentuk mufrad - bentuk individu seorang. Dalam al-Quran banyak menyebut tentang lelaki tetapi ia sebenarnya merangkumi perempuan juga.

  2. Lelaki atau perempuan ada fungsi masing-masing tetapi peluang ke syurga adalah sama. Contohnya ibu yang mengurus anak untuk solat dan menggerak suami untuk masjid dapat pahala seperti suami pergi ke masjid kerana isteri menyusun dan memastikan amal soleh itu dilaksanakan. Allah tidak zalim dan tidak mengurangkan balasan walaupun sedikit.

  3. Buat amal soleh mestilah kerana iman. Kalau buat amal besar manapun sekiranya tidak beriman, itu adalah sia-sia. Orang yang tidak ada iman, ada virus di hatinya. 

  4. Ketika di dunia, kita mestilah jaga iman dan amal masing-masing. Jangan kita outsource atau bergantung kepada orang lain. Kalau kita jaga betul-betul, di syurga kelak kita dapat berjemaah. Kita dikumpulkan semula dengan ibu ayah kita dan Nabi SAW di sana. 

  5. Allah menilai segala kebaikan kita, walau sekecil/senipis serat di atas kurma ( نَقِيرًا ). 


Ayat [4:125]


وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًا وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبْرَٰهِيمَ خَلِيلًا


"Dan tidak ada yang lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya."


Mesej:


  1. Wajah kita ( وَجْهَ ) adalah lambang kemuliaan. Apabila kita menyerahkan wajah kita dengan menghadap kepada Allah SWT dalam solat, itu tandanya kita merendahkan diri betul-betul pada Allah. Itu tandanya kita menjejak kepada agama Nabi Ibrahim secara fokus/lurus ( حَنِيفًا ).

  2. Jika kita berusaha untuk mendekatkan diri pada Allah, Allah akan lebih dekat pada kita. Syaratnya kita berusaha buat yang terbaik ( مُحْسِنٌ ). 

  3. Kalau kita buat yang terbaik pada kalam Allah, Allah akan dekat kepada kita.


Ayat [4:126]


وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ مُّحِيطًا


"Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Allah sentiasa Meliputi (pengetahuanNya dan kekuasaanNya) akan tiap-tiap sesuatu."


Mesej:


  1. Allah menguasai dan mengetahui segala-galanya. Allah sudah kepung segala-galanya. Jangan bimbang. Yang pentingnya buatlah amal baik dan beriman dengan cemerlang.

  2. Cabaran di dalam dan di luar rumah akan dapat kita tangani sekiranya kita fokus kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim a.s. adalah contoh terbaik dalam menghadapi berbagai cabaran. 

  3. Kalau kita hendak disayangi Allah, fahamilah yang Allah mengepung segalanya. Jangan cemburu lihat orang lain. Hanya orang yang tidak mahu kepada kebaikan yang tidak akan selamat. 


Ayat [4:127]


وَيَسْتَفْتُونَكَ فِى ٱلنِّسَآءِ قُلِ ٱللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ وَمَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فِى ٱلْكِتَٰبِ فِى يَتَٰمَى ٱلنِّسَآءِ ٱلَّٰتِى لَا تُؤْتُونَهُنَّ مَا كُتِبَ لَهُنَّ وَتَرْغَبُونَ أَن تَنكِحُوهُنَّ وَٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلْوِلْدَٰنِ وَأَن تَقُومُوا۟ لِلْيَتَٰمَىٰ بِٱلْقِسْطِ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِهِۦ عَلِيمًا


"Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: "Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Quran) ini mengenai perempuan-perempuan yatim yang kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, dan yang kamu suka berkahwin dengan mereka; dan juga mengenai anak-anak yang lemah (yang masih kecil lagi). Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak yatim dengan adil. Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya."


Mesej:


  1. Allah memberi fatwa tentang hak kaum perempuan (Rujuk ayat al-Nisa', 4:2-3). Anak yatim perempuan dalam jagaan seorang lelaki yang hendak dikahwininya mestilah diberikan hak mereka.

  2. Allah juga menyuruh kita menguruskan dengan adil hak anak yatim dan anak-anak yang lemah.

  3. Hendaklah kita berlaku adil dalam setiap perkara dalam kehidupan kita.

  4. Surah al-Nisa' bercakap tentang  ٱلْقِسْطِ. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. ٱلْقِسْطِ  bukan sekadar adil, tetapi juga mengelakkan perkara yang tidak adil.

  5. Allah tahu siapa yang buat kebaikan. Allah tahu siapa yang  قِسْطِ atau tidak.  Sesiapa yang membuat kebaikan, maka ia mendapat hasil dari kebaikan itu.



RESOLUSI MTQ136


Ingat !!

  1. Menguatkan iman dan amal soleh untuk masuk syurga [122]

  2. Sentiasa sedar Allah Maha Berkuasa bila rasa letih [126]

  3. Bersikap adil pada wanita, anak kecil dan anak yatim [127]


Lega kerana Allah SWT akan berikan syurga-syurga kalau saya beriman dan beramal soleh. Kalau letih, ingat bahawa Allah Maha Berkuasa, Allah boleh pulihkan keletihan saya kalau saya fokus kepada-Nya.


Saya jelas untuk menguatkan iman dan amal soleh agar dapat masuk syurga. Saya juga mesti fokus kepada Allah dalam semua kerja buat saya agar tidak letih untuk buat kebaikan dan amal soleh. Saya juga mesti perjuangkan keadilan untuk wanita, anak kecil dan anak yatim.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam hidup kami. 


Ya Allah, kuatkan iman kami agar kami dapat lakukan kebaikan dan amal soleh. Kurniakan kami semangat dan kekuatan untuk memberbaiki amalan kami. Bantu kami untuk memperjuangkan keadilan kepada wanita, anak kecil dan anak yatim.


 Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...