Monday, July 3, 2023

Halaman 203 Al-Tawbah, 9:100-106


PERKATAAN HARI INI:

سَبَقَ 
Berlumba, mendahului. 37 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS

  1. Golongan manusia yang berada di Madinah dan daerah sekitarnya (100-102)
  2. Pengambilan sedekah dan penerimaan taubat serta perintah melakukan amal soleh (103-105)
  3. Tiga orang yang tidak mengikut Perang Tabuk dan taubat mereka (106)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita bertemu pada Syawal ketiga hari ini untuk kita mendalami al-Quran sebagai sumber hidayah. Semoga Allah SWT berkati dan mengangkat wabak ini agar kita dapat hidupi semula Ramadhan, Syawal seperti tahun-tahun lalu dan ditambah dengan Quran yang kita fahami. Untuk mendapat redha Allah, hendaklah kita terus bersama al-Quran yang merupakan petunjuk di dalam kehidupan kita.


Ayat 9:100

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍۢ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ ١٠٠

"Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

Pengajaran

  1. Allah SWT memuji golongan ٱلسَّٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ iaitu orang-orang Muhajirin dari Mekah dan orang-orang Ansar dari Madinah yang merupakan pemula yang berlumba-lumba berbuat kebaikan. Contohnya Saidina Abu Bakar, bila ada orang menderma, beliaulah yang dahulu pergi. Bila ada jenazah, beliaulah yang dahulu menguruskan. Bila ada perang, beliaulah dahulu pergi berperang.Golongan Ansar sanggup memberi perlindungan dan menolong orang Muhajirin
  2. Diharapkan kita juga menjadi pengikut mereka yang cemerlang dengan berbuat apa yang mereka tunjukkan
  3. Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah SWT. Bila Allah redha, Allah siapkan untuk mereka syurga yang di bawahnya terdapat sungai dan mereka kekal di dalamnya. Inilah tempat rehat mereka dan pengikut mereka yang sebenar-benarnya. Ini adalah kejayaan yang amat hebat
  4. Pada zaman sekarang, kalau kita orang yang awal bangunkan rumah ngaji atau ajak orang baca faham amal Quran, insya-Allah kita termasuk dalam golongan ٱلسَّٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ. Pahala dan ganjaran berbuat baik itu adalah sangat besar kerana kita buat yang terbaik berdasarkan kepada apa yang Allah SWT cadangkan kepada kita.


Ayat 9:101

وَمِمَّنْ حَوْلَكُم مِّنَ ٱلْأَعْرَابِ مُنَـٰفِقُونَ ۖ وَمِنْ أَهْلِ ٱلْمَدِينَةِ ۖ مَرَدُوا۟ عَلَى ٱلنِّفَاقِ لَا تَعْلَمُهُمْ ۖ نَحْنُ نَعْلَمُهُمْ ۚ سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيْنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَىٰ عَذَابٍ عَظِيمٍۢ ١٠١

"Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang "A'raab" ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar."

Pengajaran

  1. Di kawasan Madinah ada orang-orang munafik yang buat perangai. Mereka akan mendapat azab yang besar kerana bila Nabi SAW datang, mereka tetap tidak mengendahkan Nabi SAW.
  2. Nabi SAW tidak tahu perangai mereka tetapi Allah SWT yang beritahu kepada Nabi SAW.


Ayat 9:102

وَءَاخَرُونَ ٱعْتَرَفُوا۟ بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا۟ عَمَلًۭا صَـٰلِحًۭا وَءَاخَرَ سَيِّئًا عَسَى ٱللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ ١٠٢

"Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Pengajaran

  1. Allah menjelaskan kepada kita bahawa ada kumpulan lain yang mencampur adukkan di antara perkara baik dan tidak baik. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini. Sekiranya ada, hendaklah kita bertaubat.
  2. Allah menerima taubat orang yang bertaubat. Taubat kita adalah diantara dua taubat Allah. Ada yang tersedar berbuat kesilapan dan mereka kembali kepada Allah. Bila mereka mengaku maknanya mereka mengenal dengan dosa mereka. Bila mereka minta ampun, maka Allah akan terima taubat mereka. Taaba, maknanya kita bertaubat. Allah kembali balik kepada hamba tersebut itulah maknanya taubat manusia adalah di antara dua taubat Allah SWT. Allah sentiasa kembali kepada orang-orang yang berbuat silap.
  3. Sifat ego dan sombong dengan kesenangan yang Allah berikan adalah satu kesilapan. Kalau ada orang yang sedar dan dia kembali kepada Allah, maka Allah beritahu bahawa Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
  4. Allah Maha Pengampun maknanya Allah akan tutup dosa-dosa mereka, jadi habislah dosa-dosa itu dan Allah tetap sayang seperti sebelum dia buat dosa. Ar-Rahim maknanya Allah sayang sampai ke syurga.


Ayat 9:103

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ١٠٣

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." 

Pengajaran

  1. Allah SWT menyuruh mengambil zakat daripada harta orang yang lemah iman untuk membina lagi keimanan mereka. Ini adalah tanda kepada taubat yang sedang dibina.

Kalau kita sudah bayar fitrah, zakat harta, zakat pendapatan dan lebih daripada itu kita beri sedekah. Sedekah ada dua peranan iaitu: 

            a) Untuk membersihkan harta

            b) Membersihkan dalam diri manusia daripada sifat kedekut.

  1. Orang-orang munafik tidak berjuang di medan perang atau mereka masuk Islam sebab hendak dapat sesuatu, bukan hendak beri sesuatu.
  2. Kesan zakat ialah membersihkan dalaman, jadi kedekut hilang. Ini menyebabkan kita akan memberi servis yang terbaik. Tidak lagi kedekut senyum atau kedekut masa.
  3. Kalau orang itu kedekut dalam membayar zakat, kesannya dalam hati mereka penuh dengan penyakit yang akan diterjemahkan dengan tak nak tolong kawan, kedekut untuk membantu dalam keluarga. Kalau kedekut di peringkat pemimpin amat bahaya kerana ia menyebabkan dia tak nak tolong orang bawah. Malah kadang-kadang mereka ambil rasuah kerana mereka rasa mereka jadi pemimpin adalah untuk ambil kesempatan daripada kekayaan yang ada pada orang bawah.
  4. Ini adalah pembongkaran Allah dalam surah al-Tawbah untuk orang-orang ini bertaubat. Para sahabat yang lemah iman seperti Kaab bin Malik, Nabi doakan untuk mereka menyebabkan mereka bersih.
  5. Orang yang kedekut sebenarnya tidak tenang hidup mereka. Mereka suka dapat komisen tetapi tidak suka tolong orang lain dan suka berkira-kira.
  6. Allah SWT beritahu ubat untuk tenangkan hati ialah dengan zakat dan sedekah.
  7. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui


Ayat 9:104

أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ يَقْبَلُ ٱلتَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِۦ وَيَأْخُذُ ٱلصَّدَقَـٰتِ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٠٤

"Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani?"

Pengajaran

  1. Allah menerima taubat dan mengambil sedekah daripada hamba-hambaNya. Taubat dan sedekah ini adalah dua perkara yang beriringan. Makin kita hendak bertaubat, kita kena banyak sedekah.
  2. Tanda seseorang itu sedang kembali kepada Allah, hatinya jadi lembut. Dia bersedekah, akhirnya Allah terima taubat mereka dan Allah menjadi amat sayang kepada orang yang bermurah hati sesama manusia
  3. Allah punca segala rahmat. Bila sifat Allah yang Maha Penyayang sampai kepada orang yang tersilap, dia bertaubat. Dia juga akan jadi penyayang kepada orang lain dengan sedekah, tolong orang di tempat kerja, di rumah dan sebagainya. Ini lambang kasih sayang Allah yang dijelmakan oleh seorang yang bertaubat. Inilah contoh yang kita lihat pada Nabi SAW yang sentiasa tolong orang, tidak berkira, malah daripada seorang kaya akhirnya hartanya habis kerana bantu orang. 


Ayat 9:105

وَقُلِ ٱعْمَلُوا۟ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ١٠٥

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Pengajaran

  1. Allah SWT menyuruh kita beramal dengan segala perintah-Nya. Allah dan rasul serta orang-orang beriman akan melihat apa yang kita kerjakan.
  2. Kita akan dikembalikan kepada Allah SWT yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Allah akan menerangkan apa yang telah kita lakukan.
  3. Hendaklah kita bekerja kuat dan buat yang terbaik walaupun mungkin tak ada bos yang melihatnya kerana kita tahu bahawa Allah, rasul serta orang beriman perhatikan dengan hasil yang terbaik. Inilah ayat yang memberi motivasi untuk kita buat kerja betul-betul. 


Ayat 9:106

وَءَاخَرُونَ مُرْجَوْنَ لِأَمْرِ ٱللَّهِ إِمَّا يُعَذِّبُهُمْ وَإِمَّا يَتُوبُ عَلَيْهِمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ١٠٦

"Dan segolongan yang lain (dari orang-orang yang tidak turut berperang); ditempohkan keputusan mengenai mereka kerana menunggu perintah Allah; sama ada dia mengazabkan mereka ataupun Ia menerima taubat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Pengajaran

  1. Orang bertaubat selalu ingin mengharapkan kembali kepada Allah.
  2. Allah yang menentukan penerimaan taubat seseorang. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

RESOLUSI

Ingat!

  1. Sentiasa ingin berjuang untuk mendapatkan redha Allah SWT (9:100)
  2. Akui dosa yang pernah dibuat dan sentiasa beristighfar dalam kehidupan (9:102)
  3. Bersihkan harta dengan zakat (9:103)

Saya berasa lega kerana Allah SWT akan redha kepada saya sekiranya saya sentiasa ingin berjuang dan kembali kepada-Nya. Saya akan berasa tenang sekiranya saya keluarkan zakat dan bersedekah.

Saya jelas untuk sentiasa ingin berjuang untuk mendapatkan reda Allah SWT. Saya jelas saya mesti akui dosa yang pernah dibuat dan sentiasa beristighfar dalam kehidupan. Saya jelas untuk bersihkan harta dengan zakat dan bersedekah.

Ya Allah, bantu kami untuk berjuang bagi mendapatkan redha-Mu. Ya Allah, ampuni kami, terimalah taubat kami. Ya Allah, bimbing kami untuk bersihkan harta dengan zakat dan sedekah. Ya Allah, jauhkan kami daripada sifat kedekut.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQurantime Episod 281 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...