Monday, July 3, 2023

Halaman 204 Al-Tawbah, 9:107-111

PERKATAAN HARI INI: سَجَدَ 

Sujud, merendah diri. 92 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS

Masjid Dhiraar dan Masjid Takwa (Masjid Quba) (107-110)

Sifat orang mukmin yang benar dan sempurna adalah yang berjihad (111) 

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pengajian pada halaman 204 untuk menyambung kepada surah al-Tawbah. Surah ini memanggil kepada kita dan kepada seluruh manusia untuk bertaubat dan terus bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT terus mencucuri rahmat kepada kita semua.


Halaman ini membekalkan kepada kita panduan bagaimana menjadi orang yang beriman yang sebenar-benarnya dan jauh daripada sifat nifaq, sifat penyakit hati sebagai satu kanser yang amat-amat parah dalam kehidupan manusia yang Allah rakamkan di dalam surah ini.


Ayat 9:107


وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مَسْجِدًۭا ضِرَارًۭا وَكُفْرًۭا وَتَفْرِيقًۢا بَيْنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًۭا لِّمَنْ حَارَبَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَآ إِلَّا ٱلْحُسْنَىٰ ۖ وَٱللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ ١٠٧

"Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta."


Pengajaran


  1. Masjid dhiraar ialah masjid yang dibina sebagai markaz untuk menimbulkan bencana kepada orang-orang beriman dan untuk memecah-belahkan orang beriman serta untuk menunggu kedatangan orang yang telah memerangi Allah dan rasul sejak dahulu, iaitu pendeta nasrani yang bernama Abu Amir yang ditunggu-tunggu kedatangannya daripada Syria untuk mendirikan solat serta membawa tentera Rom yang akan memerangi kaum muslimin. Tetapi Abu Amir tidak jadi datang kerana dia mati di Syria.
  2. Agenda Abu Amir itu bertujuan untuk menghancurkan orang-orang beriman. Namun mereka berdalih mengatakan yang mereka buat masjid itu untuk kebaikan.
  3. Allah memberitahu bahawa Dia menyaksikan mereka itu penipu. Mereka sebenarnya ada agenda untuk menghancurkan umat Islam


Ayat 9:108

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًۭا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌۭ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ ١٠٨

"Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) diri mereka; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)."


Pengajaran


  1. Allah melarang Nabi SAW daripada solat di masjid dhiraar itu.
  2. Allah menyuruh Nabi SAW solat di Masjid Qubaa' yang dibina atas dasar taqwa.
  3. Di dalam Masjid Qubaa' ada orang-orang lelaki Ansar yang suka mengambil berat membersihkan diri mereka.
  4. Allah SWT suka kepada orang-orang yang membersihkan diri mereka dengan berwuduk.
  5. Ayat ini mengangkat kepada orang-orang yang selalu berwuduk dan solat kerana taqwa.
  6. Kalau ada program yang menaikkan taqwa, kita kena sokong dan perjuangkan.
  7. Kalau program yang membawa kepada kekufuran atau memecah-belahkan orang beriman, janganlah kita sokong.


Ayat 9:109

أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَـٰنَهُۥ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَـٰنَهُۥ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍۢ فَٱنْهَارَ بِهِۦ فِى نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٠٩

"Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim."


Pengajaran


  1. Allah memberikan satu penjelasan tentang perbezaan di antara taqwa dan orang yang membuat projek di atas jurang yang hampir runtuh ke dalam api neraka.
  2. Ini adalah panduan untuk hidup kita. Dalam hidup ini bukanlah tanah datar yang paling stabil. Projek yang paling stabil ialah yang berasaskan taqwa dan keredaan Allah.
  3. Kaum Muhajirin tidak ada banyak harta kerana kebanyakkannya ditinggalkan di Mekah. Kaum Ansar juga tidak banyak harta. Namun mereka tetap membantu satu sama lain.
  4. Bila Allah redha, Allah berikan macam-macam kepada orang-orang yang beriman. Allah Maha Kaya. Allah boleh bagi berbagai idea kepada orang bertaqwa kerana orang bertaqwa ada kekuatannya tersendiri. Syaratnya bina atas dasar taqwa.
  5. Janganlah kita menyokong kepada perkara-perkara dhiraar. 
  6. Perkataan يَتَطَهَّرُوا۟ ada kaitan dengan ayat 9:103. Allah hendak bersihkan diri seseorang dengan menyuruh mereka membayar zakat. Tidak cukup bersih dengan solat dan puasa sekiranya tidak sedekah.
  7. Institusi masjid mestilah kita hidupkan. Jadikan masjid sebagai peluang membina generasi yang bersih di luar dan bersih di dalam sehinggakan penyakit-penyakit dalam hati dapat diubati dan diselesaikan.
  8. Orang munafik menggunakan sujud untuk berpura-pura tetapi bagi orang beriman, sujud itu adalah lambang untuk taqwa dan lambang untuk membersihkan diri. Tanda taubat untuk bersihkan diri ialah dengan banyak bersujud kepada Allah SWT. Itulah tanda taqwa yang perlu kita hidupkan terus melewati Ramadhan.
  9. Hendaklah kita konsisten memakmurkan masjid sebagai latihan harian penuh disiplin. Kalau dipanggil untuk berjuang, kita sudah ada disiplin tersebut.
  10. Kalau kita tahu sesuatu tempat itu boleh memusnah atau mengganggu kepada umat Islam, maka janganlah kita sokong.

Ayat 9:110

لَا يَزَالُ بُنْيَـٰنُهُمُ ٱلَّذِى بَنَوْا۟ رِيبَةًۭ فِى قُلُوبِهِمْ إِلَّآ أَن تَقَطَّعَ قُلُوبُهُمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ١١٠

"(Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."


Pengajaran

  1. Masjid dhiraar yang mereka bina itu sentiasa menimbulkan keraguan di dalam hati mereka. Semakin lama hati mereka semakin rosak dan mereka semakin ragu serta bermasalah dalam hati.
  2. Hati mereka yang penuh sakit itu seperti kanser yang semakin lama semakin merebak sehingga menghancurkan seluruh badan. Inilah perumpamaan kepada kaum munafik. Bila mereka tak puas hati dengan Nabi, mereka berpura-pura tetapi mereka terjemahkan dalam bentuk projek masjid. Tetapi kerana bukan untuk menyokong keimanan, maka Allah hancurkan hati mereka sehingga mereka mati dalam keadaan yang hina. Contoh: Abdullah bin Ubai bin Salul dihina oleh Allah SWT di Madinah.
  3. Allah tahu segala tindakan kaum munafik. Allah beritahu perancangan buruk mereka kepada Nabi SAW semasa dalam perjalanan ke Perang Tabuk.
  4. Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana mengatur segala-galanya. Tentera Islam menang Perang Tabuk dan Nabi SAW dapat maklumat perancangan buruk munafik. Lepas itu Nabi hantar wakil untuk menghancurkan masjid yang dibina oleh kaum munafik agar tidak terus menjadi markaz untuk kekufuran.


Ayat 9:111

۞ إِنَّ ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّۭا فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ وَٱلْقُرْءَانِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ ۚ فَٱسْتَبْشِرُوا۟ بِبَيْعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعْتُم بِهِۦ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ ١١١

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan)mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."


Pengajaran


  1. Allah ingatkan kepada kita bagaimana transaksi seorang beriman dengan Allah. Ayat ini memberi semangat kepada kita bahawa Allah membeli daripada orang beriman diri mereka. Ada orang yang tidak ada harta. Tetapi Allah tetap hendak beli dan Allah gantikan dengan jannah.

  2. Allah tak bayar cash tetapi Allah bayar kredit. Ramai yang tak berminat dengan transaksi ini. Allah hendak beli harta orang beriman sekarang, bayarannya adalah syurga. Orang beriman percaya dengan janji Allah SWT dan percaya dengan Nabi SAW yang membawa mesej daripada Allah SWT. Saidina Abu Bakar bila dapat ayat ini, beliau beri semua harta untuk fi sabilillah.
  3. Janji ini ada dalam taurat, injil dan al-Quran. Allah amat dekat dan amat sayang kepada kita kerana dengan diri, masa, ilmu dan harta yang ada, kita sanggup beri pada Allah kerana kita nak dapatkan hartanah yang amat luas amat cantik namanya syurga. Inilah kemenangan yang besar.


RESOLUSI


Ingat!

  1. Jangan sokong golongan yang ingin gagalkan usaha baik umat beriman (107)
  2. Sentiasa peka dakyah atau ajakan keburukan untuk dihindari (109)
  3. Sedia mengorbankan diri untuk kebaikan Islam (111)


Saya berasa lega kerana Allah janji akan bayar dengan syurga kalau saya beri diri, masa, ilmu dan harta kepada Allah.


Saya jelas untuk tidak sokong golongan yang ingin gagalkan usaha baik umat beriman. Saya jelas saya mesti sentiasa peka untuk hindari dakyah atau ajakan keburukan. Saya jelas untuk sedia mengorbankan diri untuk kebaikan Islam.


Ya Allah, pimpin kami untuk tidak sokong golongan yang ingin gagalkan usaha baik umat beriman. Ya Allah, jauhkan kami daripada dakyah atau ajakan keburukan. Ya Allah, kuatkan semangat kami supaya sedia mengorbankan diri untuk kebaikan Islam. Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan diakhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...