Monday, July 3, 2023

Halaman 202 Al-Tawbah, 9:94-99

PERKATAAN HARI INI

عَذَرَ 

12 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS

  1. Uzur orang yang tidak mengikuti perang (94-96)
  2. Kekafiran, kemunafikan dan keimanan orang Badwi (97-99)
Mukadimah

Alhamdullillah, kita besryukur kepada Allah SWT kita berada pada Syawal yang kedua pada hari ini dan kita terus ingin mendalami baca, faham, amal al-Quran pada Juz 11, halaman 202. Pada halaman lepas kita sudah belajar tentang kewajipan untuk pergi berperang.

Seruan dalam surah al-Tawbah ialah tentang perjuangan ke arah kebaikan. Salah satu daripada cabaran perjuangan ini adalah dua perkara iaitu harta dan anak-pinak atau keluarga. Inilah yang menghalang seseorang itu daripada terlibat dengan perjuangan kebaikan, apatah lagi bila sampai ke medan perang.

Perang adalah suatu usaha perjuangan yang penuh dengan disiplin. Pada hari ini mungkin kita tidak dipanggil untuk pergi berperang tetapi kita perlu mendisiplinkan diri kita. Aktiviti harian untuk disiplin ialah memakmurkan masjid. Kalau solat tidak dijaga, maka orang ini kalau pergi ke medan perang mungkin dia akan tertinggal sebab tidak berdisiplin dalam kehidupan. Contoh: Pada musim PKP masjid tutup awal semasa solat, jadi mesti disiplin pergi awal supaya dapat solat berjemaah.

Ayat 9:94

يَعْتَذِرُونَ إِلَيْكُمْ إِذَا رَجَعْتُمْ إِلَيْهِمْ ۚ قُل لَّا تَعْتَذِرُوا۟ لَن نُّؤْمِنَ لَكُمْ قَدْ نَبَّأَنَا ٱللَّهُ مِنْ أَخْبَارِكُمْ ۚ وَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ٩٤

"Mereka akan menyatakan uzur kepada kamu, apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah (wahai Muhammad): "Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak sekali-kali akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kami akan berita-berita perihal kamu; dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur); kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata (untuk menerima balasan), lalu Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan"

Pengajaran

  1. Salah satu yang dibuat oleh orang-orang Madinah dalam Perang Tabuk adalah mereka meminta keuzuran (excuse). Orang-orang Munafik yang tidak ikut berperang mengemukakan berbagai alasan.
  2. Allah SWT mengajarkan kepada Nabi SAW, "Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak sekali-kali akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kami akan berita-berita perihal kamu".
  3. Selama ini orang-orang munafik mengejek dan menghina Nabi SAW dengan perkataan " هُوَ أُذُنٌ - Dia percaya semua yang didengarnya". Allah yang memberitahu rahsia ini kepada Nabi SAW.
  4. Ini ada satu daripada seruan bahawa Allah SWT tengok kepada apa yang kamu buat. Kamu beri alasan macam mana pun, sebenarnya Allah nampak apa yang kamu buat dan rasul nampak.
  5. Ada pendapat mengatakan bahawa Nabi SAW nampak apa yang umatnya buat walaupun Nabi SAW sudah wafat. Pada waktu itu Nabi menyaksikan apa sebenarnya yang berlaku kepada orang-orang munafik, kenapa mereka tak datang. Ada juga orang yang beriman seperti Kaab bin Malik yang tak datang. 

Ayat 9:95

سَيَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ لَكُمْ إِذَا ٱنقَلَبْتُمْ إِلَيْهِمْ لِتُعْرِضُوا۟ عَنْهُمْ ۖ فَأَعْرِضُوا۟ عَنْهُمْ ۖ إِنَّهُمْ رِجْسٌۭ ۖ وَمَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ ٩٥

"Mereka akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang), supaya kamu berpaling dari mereka (tidak menempelak mereka); oleh itu berpalinglah dari mereka kerana sesungguhnya mereka itu kotor (disebabkan mereka telah sebati dengan kufur); dan tempat kembali mereka pula ialah neraka Jahannam, sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan."

Pengajaran

  1. Kalau seseorang itu tak buat sesuatu perkara, tak payahlah bersumpah. Minta maaf sajalah seperti Kaab bin Malik. Dia memohon maaf daripada Nabi SAW dan mengaku bahawa dia lambat untuk pergi berperang. Allah SWT mengampunkan Kaab. Ada sahabat lain yang dah tua juga mengaku kesilapannya. Itu beza di antara orang munafik dengan orang lemah imannya. Lemah iman menyebabkan kita tak perform dalam sesuatu perkara.
  2. Munafik akan minta excuse dan bersumpah dengan nama Allah, supaya baginda SAW percaya. Bila baginda SAW tidak menerima alasan orang munafik itu, mereka melakukan propaganda kepada orang beriman yang lain supaya percaya kepada mereka.
  3. Allah SWT ajarkan supaya abaikan orang munafik kerana mereka itu berjiwa kotor ( رِجْسٌ). Mereka menipu, mereka bermalas-malasan ketika perlu pergi berjuang dan mereka suka bersumpah.
  4. Walaupun musim perayaan atau suasana pandemik, janganlah kita suka bermalas-malasan dan putus asa. Hendaklah kita hidupkan roh yang ada dalam al-Quran untuk sentiasa bersemangat dan berjuang membuat kebaikan.
  5. Orang yang mengikut perangai munafik akan mendapat balasan neraka jahannam. 
Semoga Allah bimbing kita untuk menjauhkan perangai munafik.

Ayat 9:96

يَحْلِفُونَ لَكُمْ لِتَرْضَوْا۟ عَنْهُمْ ۖ فَإِن تَرْضَوْا۟ عَنْهُمْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يَرْضَىٰ عَنِ ٱلْقَوْمِ ٱلْفَـٰسِقِينَ ٩٦

"Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu reda akan mereka; oleh itu jika kamu reda akan mereka, maka sesungguhnya Allah tidak reda akan kaum yang fasik."

Pengajaran

  1. Mereka sanggup bersumpah kerana mahu membina kepercayaan orang beriman kepada mereka. Allah SWT tidak redha dengan orang yang derhaka seperti mereka.
  2. Adalah sangat penting kita komited dalam perjuangan membuat kebaikan. Kalau tersilap, jangan beri alasan, jangan bersumpah dan jangan membuat propaganda. Itu tanda kerosakan yang makin rosak lagi dalam diri seseorang tetapi ia memerlukan kepada keimanan yang sebenar. Kalau kita buat silap, mohonlah ampun daripada Allah SWT.
  3. Semoga Ramadhan yang dilalui baru ini menyedarkan kita tentang maksud iman dan takwa. Takwa ada sifatnya pada QS al-Baqarah; 2:177

Ayat 9:97

ٱلْأَعْرَابُ أَشَدُّ كُفْرًۭا وَنِفَاقًۭا وَأَجْدَرُ أَلَّا يَعْلَمُوا۟ حُدُودَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ٩٧

"Orang-orang A'raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Pengajaran

  1. Al-A'raab ialah orang Badwi di kampung-kampung yang tidak biasa dengan teknologi di bandar. Mereka dengar daripada Nabi SAW sekali sekala sahaja. Mereka kurang dapat berdialog dengan Nabi SAW yang menyebabkan mereka tidak mengetahui hukum hakam sehingga mereka tidak mahu pergi berperang.

Ayat 9:98

وَمِنَ ٱلْأَعْرَابِ مَن يَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ مَغْرَمًۭا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ ٱلدَّوَآئِرَ ۚ عَلَيْهِمْ دَآئِرَةُ ٱلسَّوْءِ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌۭ ٩٨

"Dan sebahagian dari orang-orang A'raab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Pengajaran

  1. Sebahagian daripada orang A'raab merasakan infaq mereka adalah suatu kerugian atau kepayahan atau sebagai satu hukuman kepada mereka ( مَغْرَمًا ).
  2. Sebagai orang yang beriman, kita percaya bahawa apabila kita beri kepada perjuangan fi sabillah, sebenarnya Allah SWT akan gantikan dengan yang lebih baik dan Allah SWT berikan ganjaran berlipat kali ganda dalam kehidupan kita di dunia sampai ke akhirat.
  3. Hakikatnya, orang yang tidak berjuang dan tidak belanja fi sabillah, mereka akan ditimpa bahaya dan mereka dalam kerugian.
  4. Allah Maha Mendengar dan tahu siapa yang sebenarnya orang munafik yang tidak betul-betul berjuang bersama Nabi SAW.

Ayat 9:99

وَمِنَ ٱلْأَعْرَابِ مَن يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَيَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ قُرُبَـٰتٍ عِندَ ٱللَّهِ وَصَلَوَٰتِ ٱلرَّسُولِ ۚ أَلَآ إِنَّهَا قُرْبَةٌۭ لَّهُمْ ۚ سَيُدْخِلُهُمُ ٱللَّهُ فِى رَحْمَتِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٩٩

"Dan sebahagian dari orang-orang A'raab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Pengajaran

  1. Ada juga orang Badwi yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Mereka menginfakkan harta mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  2. Hendaklah kita terus berinfak kerana ini adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kita berdoa agar Allah SWT menerima segala amal kita. Semoga kita juga menerima doa daripada Rasullullah SAW.
  3. Kita memerlukan kasih sayang ibu ayah untuk kerahmatan di dalam kehidupan, apatah lagi kasih sayang daripada Allah SWT.
  4. Semoga Allah SWT bimbing kita untuk terus berjuang fi sabillah dan semoga Allah SWT kurniakan kita keampunan dan kasih sayang-Nya sehingga ke syurga. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

RESOLUSI

Ingat!

  1. Jangan suka beri alasan ketika tidak menunaikan tanggungjawab (9:94)
  2. Sentiasa ikhlas ketika memberi infaq (9:98)
  3. Terus berjuang dengan infak kerana Allah SWT dan ingin mengikut jejak Rasul (9:99)

Saya berasa lega kerana Allah SWT akan beri keampunan dan kasih sayang-Nya sehingga ke syurga sekiranya saya komited berjuang fi sabilillah.

Saya jelas untuk mendalami ilmu agar faham hal agama dan sanggup berjuang. Saya jelas saya mesti gunakan harta dan anak pinak untuk mendapatkan kebaikan dan kejayaan di dunia sampai ke akhirat. Saya jelas saya mesti bersemangat untuk terlibat dalamperjuangan fi sabilillah. Saya jelas untuk tidak suka beri alasan ketika tidak menunaikan tanggungjawab. Saya jelas untuk sentiasa ikhlas ketika memberi infaq. Saya jelas saya mesti terus berjuang dengan infak kerana Allah SWT dan ingin mengikut jejak Rasul.

Ya Allah, bimbing kami untuk mendalami ilmu agar faham hal agama dan sanggup berjuang. Ya Allah, bantu kami supaya dapat gunakan harta dan anak pinak untuk mendapatkan kebaikan dan kejayaan di dunia sampai ke akhirat. Ya Allah, anugerahkan kami semangat yang kental untuk terlibat dalam perjuangan fi sabilillah. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami tertinggal daripada terlibat dengan projek-projek kebaikan. Ya Allah, kami berlindung kepada Mu daripada sifat bakhil, pengecut dan malas. Ya Allah, kurniakan kami keampunan dan rahmat-Mu sehingga ke syurga.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...