PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Nafsu yang mengajak kepada keburukan (12:53)
- Kisah Nabi Yusuf AS dalam pemerintahan sebagai Menteri Kewangan (12:54-57)
- Anak-anak Nabi Yaakub AS membeli gandum daripada Nabi Yusuf AS dan permintaan Nabi Yusuf AS (12:58-62)
- Rundingan anak Nabi Yaakub AS agar Bunyamin ikut serta mendapatkan bantuan makanan (12:63)
Mukadimah
Ayat 12:53
۞ وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٥٣
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Pengajaran
- Menurut As-Saadi, perkataan dalam ayat ini adalah daripada isteri Al-Aziz. Allah SWT tidak memberi hidayah kepada orang yang membuat perancangan atau strategi untuk berkhianat. Jika ada orang-orang yang merancang membuat khianat, Allah SWT tidak akan memberi bantuan kepadanya.
- Allah SWT membongkar keburukan yang dirancang oleh isteri Al-Aziz. Dia mengaku apa yang berlaku adalah kerana dorongan nafsu.
- Di dalam diri kita ada tiga jenis nafsu:
- Nafsu amarah - nafsu yang mengajak ke arah keburukan
- Lawwamah - nafsu yang bercampur-campur antara buruk dan baik
- Mutmainnah - nafsu yang sentiasa mengajak kepada kebaikan.
- Isteri Al-Aziz mengakui Nabi Yusuf AS mendapat rahmat Allah SWT yang besar dan dia juga mendapat rahmat Allah SWT dan terhindar daripada perkara yang tidak baik.
- Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Selepas meminta ampun, Allah SWT akan menyayangi hambaNya seperti sebelum ia berbuat dosa.
Ayat 12:54
وَقَالَ ٱلْمَلِكُ ٱئْتُونِى بِهِۦٓ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِى ۖ فَلَمَّا كَلَّمَهُۥ قَالَ إِنَّكَ ٱلْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌۭ ٥٤
Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: "Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami ".
Pengajaran
- Setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu, Al-Malek (raja) menyuruh Nabi Yusuf AS untuk mengadapnya dan dia mahu menjadikan Nabi Yusuf AS sebagai penasihatnya.
- Nabi Yusuf AS melalui proses ujian yang panjang (ٱلْيَوْمَ). Semuanya baginda hadapi dengan sabar. Menurut Imam al-Qurtubi, 4 sabar Nabi Yusuf AS:
- Sabar ketika di dalam telaga
- Sabar ketika menjadi hamba dan dijual
- Sabar menahan diri daripada perkara yang diharamkan ketika berada bersama isteri Al-Aziz
- Sabar ketika berada di penjara
- Dengan kesabaran itu baginda diberi anugerah oleh Allah SWT:
- dinaikkan pangkat di sisi raja Mesir.
- diberi kepercayaan menjadi penasihat raja.
Ayat 12:55
قَالَ ٱجْعَلْنِى عَلَىٰ خَزَآئِنِ ٱلْأَرْضِ ۖ إِنِّى حَفِيظٌ عَلِيمٌۭ ٥٥
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya".
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS memohon kepada raja untuk menjadi pengurus perbendaharaan kerana dia bersedia menjaga amanah dan mempunyai ilmu menguruskan kewangan bumi Mesir.
Ayat 12:56
وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلْأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَآءُ ۚ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَن نَّشَآءُ ۖ وَلَا نُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ ٥٦
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.
Pengajaran
- Allah SWT memberitahu begitulah Allah menetapkan kedudukan Nabi Yusuf AS memegang kuasa di bumi Mesir.
- Kronologi kisah Nabi Yusuf AS daripada Palestin ke Mesir:
- bermula daripada dibuang ke dalam perigi buta oleh abang-abangnya
- dijual sebagai hamba dengan harga murah oleh kafilah pedagang
- ditempatkan di rumah al-Aziz dan digoda oleh isteri al-Aziz
- kemudian berumah di penjara disebabkan komplot isteri-isteri kenamaan
- Dengan kesabaran, ilmu dan akhlak yang mulia, Allah SWT memberi Nabi Yusuf AS anugerah untuk duduk di mana sahaja (يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَآءُ) di negeri Mesir.
- Musibah yang dilalui oleh Nabi Yusuf AS adalah dengan rahmat Allah SWT seperti yang dikehendakiNya. Allah SWT yang mengatur proses yang berlaku kepada baginda.
- Musibah ada yang buruk, ada yang baik. Allah SWT tidak pernah salah alamat dalam memberi. Itulah cara Allah SWT menyusun kehidupan Nabi Yusuf AS.
- Untuk kita sekarang, pandemik COVID19 memberi kesan yang berbeza kepada setiap orang. Ada orang yang bisnes merudum, ada orang mendapat peluang baru, ada yang sakit. Semuanya berlaku kerana Allah SWT sedang menyusun untuk kita bagi mendapat rahmatNya.
- Nabi Yusuf AS seorang yang amat ihsan. Baginda amat baik kepada Allah SWT dan juga amat baik sesama manusia. Ihsan kepada Allah SWT menyebabkan baginda memohon jawatan itu.
- Jika dibiarkan pemerintahan kepada orang yang khianat, kehancuran besar akan berlaku kepada Mesir. Oleh kerana baginda ada ilmu untuk menguruskan ekonomi, maka Nabi Yusuf AS menawarkan dirinya untuk menjadi Menteri Kewangan yang menjaga perbendaharaan negara dengan bantuan daripada Allah SWT.
- Allah SWT limpahkan rahmat Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan Allah SWT tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan (ٱلْمُحْسِنِينَ).
Ayat 12:57
وَلَأَجْرُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌۭ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ يَتَّقُونَ ٥٧
Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan kita bahawa pahala di akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta sentiasa bertaqwa.
- Dengan ilmu Nabi Yusuf AS diangkat. Bukan seperti abang-abangnya dan isteri-isteri al-Aziz yang hanya mengikut perasaan yang menghancurkan kehidupan seseorang.
- Allah SWT mengangkat Nabi Yusuf AS dengan diberiNya pangkat yang tinggi dan kepercayaan serta rasa aman dalam hidupnya. Pada mulanya dia dimusuhi abang-abangnya dan isteri-isteri al-Aziz sampai masuk ke dalam penjara.
Ayat 12:58
Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalnya.
Pengajaran
- Semasa menjadi Menteri yang menjaga perbendaharaan Mesir, abang-abang Nabi Yusuf AS datang daripada Palestin untuk mendapatkan bantuan makanan kerana mereka menghadapi musim kemarau.
- Lebih 20 tahun Nabi Yusuf AS berpisah dengan abang-abangnya. Nabi Yusuf AS kenal mereka tetapi mereka tidak mengenali baginda.
Ayat 12:59
Dan ketika Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia:" (Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS menyediakan bekalan untuk abang-abangnya. Mereka meminta bekalan lebih untuk ayah dan adik mereka yang menjaga ayah mereka.
- Nabi Yusuf AS memberi bekalan yang lebih tetapi meminta mereka membawa adik mereka bila mereka datang lagi untuk mendapatkan bantuan.
- Nabi Yusuf AS memberitahu mereka bahawa baginda menyempurnakan bekalan makanan mereka dan baginda seorang yang baik kepada tetamu. Ini menunjukkan Nabi Yusuf AS seorang bendahara yang baik untuk kita ambil pengajaran.
Ayat 12:60
Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi".
Pengajaran
- Jika mereka tidak membawa adiknya datang, tiada lagi bekalan untuk mereka.
- Ini adalah sistem pengesahan untuk memastikan mereka berkata benar. Pengajaran untuk kita, bila hendak memberi bantuan, kita kena pastikan orang itu wujud. Contoh: Semasa pandemik ramai yang memberi bantuan makanan tetapi ada yang ambil kesempatan mengambil bantuan yang berlebihan. Kena pastikan urusan pemberian bantuan lebih efisien dan berstrategi.
Ayat 12:61
Mereka menjawab: "Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya".
Pengajaran
- Abang-abang Nabi Yusuf AS berjanji kepadanya untuk membawa adiknya.
Ayat 12:62
Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya. "Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)".
Pengajaran
- Apabila mereka datang meminta bantuan makanan, syaratnya mereka mesti membawa barang tukaran.
- Pengajaran kepada kita: bila kita memberi bantuan kepada orang, kita kena sahkan yang orang itu wujud dan layak mendapatkan bantuan. Orang yang meminta bantuan perlu beri sesuatu sebagai pertukaran seperti kemahiran, ilmu dsbnya.
Ayat 12:63
Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: "Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".
Pengajaran
- Apabila mereka kembali kepada ayah mereka, mereka memberitahu syarat Nabi Yusuf AS untuk membolehkan mereka mendapat bekalan makanan lagi.
- Sekali lagi abang-abang Nabi Yusuf AS berjanji kepada ayah mereka bahawa mereka akan menjaga adik mereka (Bunyamin).
- Allah SWT membawa kisah extreme yang berlaku kepada Nabi Yusuf AS untuk memujuk Nabi Muhamaad SAW yang menghadapi cabaran sebagai motivasi kepada Nabi SAW.
- Peringatan untuk kita: Kalau kita ada konflik dengan adik beradik, tidak sampai seperti Nabi Yusuf AS. Jika kita diberi gaji yang rendah, tidak pernah sampai dijual. Kalau kita pernah dikhianati, tidak sampai kena penjara seperti Nabi Yusuf AS. Maka hendaklah kita bersyukur dan terus bersabar dengan kesabaran yang baik.
RESOLUSI
Ingat!
- Selalu mohon rahmat Allah SWT untuk dijauhkan daripada mengikut hawa nafsu (12:53)
- Tonjolkan diri untuk memegang jawatan jika ada merit atau kelayakan berdasarkan keperluan (12:54)
- Laksanakan strategi baik untuk menuju kebaikan (60)
Saya berasa lega kerana Allah SWT memberi banyak rahmatNya sehingga dapat menghadapi konflik dan ujian dengan kesabaran yang baik.
Saya jelas untuk selalu mohon rahmat Allah SWT untuk dijauhkan daripada mengikut hawa nafsu. Saya jelas untuk tonjolkan diri untuk memegang jawatan jika ada merit atau kelayakan berdasarkan keperluan. Saya jelas saya mesti laksanakan strategi baik untuk menuju kebaikan.
Ya Allah, kurniakan kepada kami rahmat Mu, jauhkan kami daripada mengikut hawa nafsu. Ya Allah, bimbing kami untuk menjalankan tanggungjawab atas jawatan yang diamanahkan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami kebijaksanaan untuk menyempurnakan amanah yang diberi mengikut kelayakan kami. Ya Allah, bimbing kami untuk laksanakan strategi baik untuk menuju kebaikan dan permudahkan segala urusan kami. Terimalah segala jawatan yang kami lakukan sebagai amal-amal soleh. Ya Allah, kurniakan kami kesabaran yang baik sebagaimana Engkau kurniakan kepada Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQurantime Episod 327