PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Nabi Yaakub AS membenarkan Bunyamin pergi akhirnya (12: 64-66)
- Wasiat Nabi Yaakub kepada anak-anaknya agar memasuki Mesir melalui pelbagai pintu (12:67-68)
- Nabi Yusuf AS mengenali Bunyamin dan membuat perancangan agar beliau tetap bersamanya (12:69)
Mukadimah
Alhamdulillah, hari ini kita akan melihat bagaimana Nabi Yaakub AS ditanya oleh abang-abang Nabi Yusuf AS untuk membawa Bunyamin ke Mesir. Semoga Surah Yusuf ini memberi motivasi dan menguatkan hati kita.
Semoga Allah SWT menerima amal kita, diberi ketenangan memulakan 1 Zulhijjah, menuju Aidil Adzhar. Banyakkan doa dan zikir yang akan mencerah dan menghidupkan hati kita. Pada hari-hari yang dimaklumi (ayyamam maklumat - awal Zulhijjah) hendaklah kita tambah ilmu dan amal bagi mengingati Allah SWT menjelang raya haji. Walaupun tidak berpeluang pergi Mekah untuk mengerjakan haji, kita masih berpeluang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan digandakan pahala amalan kita.
Ayat 12:64
Bapa mereka berkata: "(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan".
Pengajaran
- Pada halaman lepas kita telah diceritakan tentang abang-abang Nabi Yusuf AS balik semula ke Sham tanpa barang-barang kerana Bunyamin tidak pergi bersama. Mereka meminta izin Nabi Yaakub AS untuk membawa Bunyamin bersama supaya mereka mendapat bekalan.
- Nabi Yaakub AS mengimbau kembali kisah kehilangan Yusuf. Baginda hilang kepercayaan kepada abang-abang Nabi Yusuf AS. Perkataan أَخِيهِ diguna secara jelas agar ia tidak menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anak-anaknya setelah berpuluh tahun berpisah dengan Nabi Yusuf AS.
- Perbincangan ulamak tentang ayat ini. Boleh ke kita berburuk sangka kerana Nabi Yaakub AS seolah-olah berburuk sangka dengan anak-anaknya? Menurut Imam As Saadi, dibenarkan apabila ia diasaskan kepada perkara yang benar. Apabila sudah berlaku kes, kita kena berjaga-jaga bukan buruk sangka.
- Nabi Yaakub AS mengeluarkan perkataan yang lemah lembut, dalam masa sama berjaga-jaga sebagai seorang ayah dengan bertanya soalan. Soalan adalah salah teknik keibu-bapaan atau ketika mendidik seseorang. Ini adalah kemahiran komunikasi yang ditunjukkan oleh Nabi Yaakub AS.
- Walaupun Nabi Yaakub AS curiga atau prasangka kepada anak-anaknya, tetapi Nabi Yaakub kembalikan kepada Allah SWT.
- Antara doa yang baik untuk dibaca apabila hendak menghantar anak-anak kemana-mana, ucapkan seperti yang dikatakan oleh Nabi Yaakub AS: فَٱللَّهُ خَيْرٌ حَٰفِظًا وَهُوَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ (Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan).
Ayat 12:65
Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya: "Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikannya".
Pengajaran
- Apabila pulang ke rumah, mereka terus pergi bertemu dengan ayah mereka dahulu. Mereka menunjukkan adab yang baik kepada ayah. Kemudian, barulah mereka membuka barang-barang mereka lalu mendapati barang-barang dikembalikan (رُدَّتْ).
- Mereka berunding untuk pergi semula ke Mesir dengan membawa Bunyamin pergi bersama. Lima perkara anak-anaknya membuat perundingan dengan Nabi Yaakub AS:
- Ada barang-barang pertukaran untuk mendapat bantuan yang lebih
- Boleh digunakan untuk makanan keluarga mereka
- Mereka boleh menjaga Bunyamin
- Mereka boleh mendapat bekalan tambahan
- Pemberian tambahan mudah ditunaikan Al-Azizi.
- Dalam hidup kita, perkara yang fizikal sampailah kepada apa yang hendak dicapai pada masa akan datang, perundingan perlu dilakukan. Kadang-kadang orang sudah hilang kepercayaan, atau tidak mahu beri sesuatu bantuan, tetapi dengan membawa hujjah-hujjah yang jelas itu mungkin boleh menukar kepada persetujuan sesuatu perkara.
Ayat 12:66
Bapa mereka berkata: "Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu.
Pengajaran
- Ayat ini menceritakan bagaimana Nabi Yaakub AS memberi kepercayaan semula kepada anak-anaknya, bukannya dia terus marah atau tidak percaya kerana itu akan menghancurkan potensi anak-anaknya untuk meneruskan legasi baginda.
- Nabi Yaakub AS meminta anak-anaknya bersumpah dengan sumpah yang berat (مَوْثِقًا) untuk membawa balik Bunyamin, kecuali jika mereka dirompak oleh musuh. Ini gejala yang berlaku bila berlaku masalah ekonomi. Ada yang akan merompak. Kita hendaklah memberikan kepada yang memerlukan dalam masa ekonomi gawat supaya tidak berlaku kejadian rompak merompak.
- Ketergantungan Nabi Yaakub AS ialah kepada Allah SWT semata-mata. Bukan bergantung kepada anak-anaknya. Janji tetap janji, tetapi tawakkal sebenar-benarnya adalah kepada Allah SWT.
- Inilah yang diamalkan oleh Nabi Yaakub untuk memimpin keluarganya. Inilah yang dibekalkan kepada anak-anaknya iaitu kebergantungan kepada Allah SWT.
Ayat 12:67
Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".
Pengajaran
- Nabi Yaakub AS membenarkan mereka membawa Bunyamin selepas mengambil perjanjian yang berat. Nabi Yaakub AS dengan penuh kasih sayang menasihatkan mereka untuk memasuki Mesir melalui pintu yang berbeza-beza.
- Kenapa pentingnya masuk pintu yang berbeza-beza?
- untuk mengelak diserang oleh perompak
- untuk menghindar diserang penyakit ain apabila menampakkan kepada orang mereka ada macam-macam
- pintu berlainan boleh juga bermakna merancang berbagai strategi
- Nabi Yaakub AS memberi nasihat kepada anak-anaknya tetapi membuat disclaimer tentang dirinya dan menyatakan tawakkalnya adalah pada Allah SWT sahaja. Nabi Yaakub AS tidak memaksa anak-anaknya tetapi memberikan nasihat dan tawakkalnya kepada Allah SWT.
- Ayat ini menunjukkan kejayaan Nabi Yaakub AS mendidik anak-anaknya dengan tawakkal dan menggantungkan harapan kepada Allah SWT.
Ayat 12:68
Dan ketika mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan).
Pengajaran
- Allah SWT mengajar kita konsep tawakkal yang sebenar-benarnya. Tawakkal Nabi Yaakub AS itulah yang dibekalkan kepada anak-anaknya, Nabi Yusuf AS dan juga Bunyamin yang dihantar bersama dengan abang-abangnya.
- Konsep tawakkal itu ialah; tiada apa pun yang akan dapat memberi manfaat kecuali dengan izin Allah SWT.
- Nabi Yaakub AS menginginkan anaknya selamat dan kembali semula. Naluri Nabi Yaakub AS itu tidak melangkau daripada ketetapan Allah SWT. Dia hendakkan anaknya bergantung kepada Allah SWT.
- Jika dibiarkan anak-anak hanya bergantung kepada ibu-bapa, kalau tidak jadi apa yang disusun, maka dia akan stres. Contoh: Apa yang berlaku sekarang pada zaman pendemik, ada orang yang sudah merancang sesuatu tetapi bila tidak berlaku seperti yang dirancang, dia stres, berputus asa sehingga membunuh diri.
- Nabi Yaakub AS ada ilmu yang Allah ajarkan kepadanya iaitu ilmu tentang keibu-bapaan, tetapi ramai manusia yang tidak mengetahui. Salah satu tanda orang berilmu, ia mengambil tindakan atas ilmunya. Nabi Yaakub AS berusaha, menasihati, menyanyangi, membina anak-anaknya sebagai tanda baginda diajarkan ilmu. Inilah ilmu yang kita hendak beramal sehinggakan kita mengambil tindakan atas apa yang kita tahu.
Ayat 11:69
Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya:" Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan".
Pengajaran
- Ini adalah salah satu babak-babak menarik. Kembali semula abang bertemu adik. Perjalanan mereka kelihatan lancar. Tetapi lancarnya itu ada sebab.
- Semasa mereka masuk untuk berjumpa Nabi Yusuf AS, abang-abangnya dan Bunyamin tidak kenal baginda.
- Nabi Yusuf AS menempatkan Bunyamin bersamanya semasa abang-abang mereka sibuk mengambil bekalan makanan. Nabi Yusuf AS dan Bunyamin memang selalu dibuli oleh abang-abang mereka. Nabi Yusuf AS memberitahu Bunyamin bahawa dia adalah Yusuf abangnya. Ini adalah detik-detik gembira tetapi tidak boleh dibongkarkan kepada abang-abang mereka. Nabi Yusuf AS menasihatkan Bunyamin supaya jangan bersedih dengan perbuatan abang-abang mereka.
- Nabi Yusuf AS dipimpin oleh Allah SWT untuk memastikan dia tidak melanggar peraturan iaitu tidak boleh tahan Bunyamin duduk bersamanya.
- Kisah seperti ini mungkin tidak berlaku lagi zaman sekarang, tetapi kita mesti mencari ciri-ciri Nabi Yusuf AS dan Nabi Yaakub AS di dalam diri kita sendiri. Cerita ini menjadi pujukan dan mententeramkan hati bila kita baca surah Yusuf.
RESOLUSI
Ingat!
- Berhati-hati dalam memberi kepercayaan terutama apabila pernah dikhianati namun bukan terus menghalang (12:64)
- Pelbagaikan strategi dalam melaksanakan kebaikan (12:67)
- Sentiasa sedar ketentuan Allah SWT lebih hebat dan penuh hikmah (12:68)
Saya berasa lega Surah Yusuf ini memberi motivasi dan menguatkan hati saya yang sedang dilanda berbagai ujian.
Saya jelas untuk berhati-hati dalam memberi kepercayaan terutama apabila pernah dikhianati namun bukan terus menghalang. Saya jelas untuk pelbagaikan strategi dalam melaksanakan kebaikan. Saya jelas saya mesti sentiasa sedar ketentuan Allah SWT lebih hebat dan penuh hikmah.
Ya Allah, pimpin kami untuk berhati-hati dalam memberi kepercayaan terutama apabila pernah dikhianati namun bukan terus menghalang. Ya Allah, tunjukkan kami berbagai strategi dalam melaksanakan kebaikan. Ya Allah, kurniakan kami kesedaran bahawa ketentuan Mu lebih hebat dan penuh hikmah.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 329