Tuesday, August 1, 2023

Halaman 248 : Yusuf, 12:104-111

PERKATAAN HARI INI


مَرَّ   Melintas, lalu, pergi. 
35 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Tidak minta ganjaran daripada manusia tetap memberi peringatan (12:104)
  2. Informasi hal-hal ghaib, berpaling merenungi ayat-ayat dan seruan nabi kepada tauhid (12:105-108)
  3. Pelajaran daripada kisah-kisah dalam al-Quran (12:109-111)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat menyambung kisah Surah Yusuf untuk mendapat ibrah. Surah ini amat istimewa untuk kita baca, faham dan amalkan. Semoga kita menjadi umat al-Quran kerana Allah SWT mengangkat darjat orang yang bersama al-Quran. 


Ayat 12:104


وَمَا تَسْـَٔلُهُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ ١٠٤

Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.


Pengajaran

  1. Inilah penekanan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang mendapat kisah Nabi Yusuf AS. Nabi Yusuf AS tidak meminta ganjaran daripada sesiapa pun selain Allah SWT.  Nabi Yusuf AS menunggu lama untuk mendapat ganjaran demi ganjaran daripada Allah SWT. Ini mengingatkan kita bahawa menunggu ganjaran di akhirat adalah lebih lama lagi.
  2. Nabi Muhammad SAW diperingatkan bahawa baginda bukan memohon ganjaran daripada orang-orang musyrik Mekah, tetapi baginda akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT dengan melaksanakan tugas memberi peringatan kepada seluruh alam (ذِكْرٌ لِّلْعَٰلَمِينَ). 
  3. Kita juga perlu melaksanakan tugas menyampaikan al-Quran. Ganjarannya lebih berbaloi berbanding ganjaran daripada manusia. 


Ayat 12:105


وَكَأَيِّن مِّنْ ءَايَةٍۢ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ يَمُرُّونَ عَلَيْهَا وَهُمْ عَنْهَا مُعْرِضُونَ ١٠٥

Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.


Pengajaran

  1. Ayat ini menggunakan perkataan ءَايَة (tanda-tanda kekuasaan Allah SWT) yang merujuk kepada fenomena-fenomena manusia yang berlaku di bumi ini. Ia ada kaitan dengan mimpi Nabi Yusuf AS tentang matahari, bulan, bintang yang bersujud kepadanya. Alam ini adalah tanda kebesaran Allah SWT. 
  2. Pandemik COVID juga adalah tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Kita tidak boleh rasa selamat daripada pandemik ini kerana kita tidak nampak. Lebih daripada itu, kita tidak boleh rasa selamat daripada Allah SWT kalau kita terlibat dengan perkara dosa. Kita kena bertaubat.
  3. Kita tidak mahu jadi orang menyaksikann tanda-tanda kekuasaan Allah SWT berulang kali tetapi tidak menghiraukan dan memikirkannya. Contoh: Kita tahu bahawa pandemik COVID19 ini adalah tanda supaya kita kembali kepada Allah SWT tetapi kita tidak ambil pelajaran. 
  4. Bila belajar tentang kisah Nabi Yusuf AS, hendaklah meletakkan diri kita sebagai Nabi Yusuf AS dan ayahnya agar kisah ini dapat memberi peringatan, penawar, petunjuk dan rahmat untuk kita.


Ayat 12:106


وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِٱللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ ١٠٦

Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.


Pengajaran

  1. Salah satu perkara penting di dalam surah ini ialah cerita tawakkal Nabi Yaakub AS. Baginda yakin bahawa Tuhan masih hidupkan Nabi Yusuf AS dan masih tawakkal kepada Allah SWT ketika mengizinkan anak-anaknya pergi ke Mesir.
  2. Isu tawakkal kepada Allah SWT amat penting. Kalau kita tidak bertawakal kepada Allah SWT, kita akan kecewa. Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS bertawakal berpuluh tahun, akhirnya mereka dipertemukan dengan gembiranya. 
  3. Dalam masa pandemik setahun dua tahun ini, hendaklah kita kuatkan keimanan dan bertawakal kepada  Allah SWT. Jika ada yang merasa bahawa kita tidak akan mendapat semula kehidupan dahulu, itu adalah pendapat manusia sahaja. Allah SWT berkuasa kembalikan kehidupan kita.
  4. Hendaklah kita tawakkal sepenuhnya kepada Allah SWT dan jangan mempersekutukanNya dengan yang lain.


Ayat 12:107


أَفَأَمِنُوٓا۟ أَن تَأْتِيَهُمْ غَـٰشِيَةٌۭ مِّنْ عَذَابِ ٱللَّهِ أَوْ تَأْتِيَهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغْتَةًۭ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ ١٠٧

(Mengapa mereka bersikap demikian?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah yang meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya?


Pengajaran

  1. Orang-orang yang tidak kisah ayat Allah SWT dan tidak bertawakal kepada Allah SWT, kesannya mereka akan meninggal dalam keadaan terkejut tanpa membuat persediaan.
  2. Ayat seterusnya memberitahu tentang persediaan yang perlu dibuat agar kita sentiasa berasa aman.


Ayat 12:108


قُلْ هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى ۖ وَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ١٠٨

Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."


Pengajaran

  1. Ini adalah perkataan yang diajarkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengajak manusia  kepada Allah SWT bukan mengajak kepada dirinya. Ini adalah seruan untuk berdakwah.
  2. Jika kita ajak keluarga dan masyarakat kepada Allah SWT, Allah SWT akan bantu seperti Nabi Yusuf AS.
  3. Seruan kepada Allah SWT mestilah atas bukti yang jelas (بَصِيرَةٍ) iaitu berdasarkan al-Quran. Agama ini dibina atas بَصِيرَةٍ, atas kejelasan dan fikiran terbuka, bukannya kita tutup pemikiran atau tidak boleh bertanya. Ini adalah cara dakwah yang diajarkan oleh  Nabi SAW dan orang-orang yang bersama baginda SAW. 
  4. Yakin macam manapun, jika pergantungan kita kepada Allah SWT tidak tinggi, kita mungkin mudah syirik.
  5. Allah SWT menemplak orang yang bertemu bukti-bukti tetapi tidak ambil kisah. Kisah Nabi Yusuf AS bukan sekadar cerita. Ia adalah fenomena kebesaran Allah SWT. Allah SWT telah membantu Nabi Yusuf AS dan Allah SWT yang sama boleh bantu kita keluar daripada segala kemelut ujian dalam hidup. 
  6. Semoga kita menjadi orang yang mengajak orang kepada Allah SWT. 
  7. Allah SWT menceritakan kisah Nabi Yusuf AS sekaligus dalam satu surah menunjukkan bahawa kecantikan itu datang sebagai pakej lengkap dengan ciri-ciri muhsinin seperti Nabi Yusuf AS yang tampan, berilmu, berakhlak mulia serta baginda berdakwah kepada Allah SWT. Baginda tidak pernah menyalahkan Allah SWT.


Ayat 12:109


وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًۭا نُّوحِىٓ إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰٓ ۗ أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۗ وَلَدَارُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌۭ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ١٠٩

Dan tiadalah Kami mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya.


Pengajaran

  1. Inilah kesimpulan yang hendak kita bawa dalam kehidupan. 
  2. Nabi-nabi diutuskan kepada kaum mereka sendiri. Mereka menggunakan bahasa yang sama dan memahami budaya yang sama. 
  3. Allah SWT menyuruh kita berjalan melihat kesan-kesan orang terdahulu yang dihancurkan oleh Allah SWT. Allah SWT menyuruh kita menggunakan akal yang dianugerakannya.
  4. Apabila kita belajar al-Quran dengan kefahaman yang betul, kita akan dapat mengambil pelajaran. 
  5. Orang yang berdakwah akan menggunakan akal yang betul. Dia perlu lebih kreatif membawa mesej Allah SWT kepada keluarga dan masyarakat.


Ayat 12:110


حَتَّىٰٓ إِذَا ٱسْتَيْـَٔسَ ٱلرُّسُلُ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا۟ جَآءَهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ ٱلْقَوْمِ ٱلْمُجْرِمِينَ ١١٠

(Orang-orang yang mendustakan ugama Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab) hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.


Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kita supaya terus gigih berdakwah walaupun ada cabaran. Allah SWT akan tolong orang yang berdakwah.  
  2. Gunakan cabaran pandemik COVID19 ini untuk berdakwah. Ini adalah kebenaran yang sebenarnya (بَصِيرَةٍ). Kita ada cabaran, orang lain juga ada cabaran. Ambillah peluang ini untuk berdakwah, mengajak orang lain kepada Allah SWT. Ajak keluarga baca, faham, amal al-Quran. 
  3. Apabila kita berdakwah, Allah SWT akan tolong kita untuk berjaya menghadapi cabaran, berjaya di dunia sampai akhirat. Jangan jadikan cabaran keluarga sebagai alasan untuk tidak berdakwah.
  4. Surah Yusuf AS mempunyai ibrah yang menggamit perasaan kita. Surah Yusuf AS meneguhkan hati Nabi SAW dan para sahabat di kala menghadapi cabaran. Untuk menjadi pendakwah, kita mesti kuat untuk menghadapi cabaran-cabaran seperti yang Nabi Yusuf AS lalui.


Ayat 12:111


لَقَدْ كَانَ فِى قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌۭ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًۭا يُفْتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصْدِيقَ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَىْءٍۢ وَهُدًۭى وَرَحْمَةًۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ ١١١

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.


Pengajaran

  1. Kisah nabi-nabi mengandungi pelajaran (عِبْرَةٌ) yang menggamit perasaan. Ia bukan sekadar fakta, tetapi ia adalah pelajaran. Kita belajar berulang kali pun ia tidak membosankan. Ia memberi iktibar bagi orang-orang yang berakal (لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ). 
  2. Ulil Albab ialah orang yang mendapat isi daripada sesuatu. Ia mampu melihat Nabi Yusuf AS dalam dirinya.
  3. Kisah Nabi Yusuf AS berkahwin tidak disebut di dalam al-Quran. Tidak penting seseorang itu bujang, berkahwin atau berpisah, yang pentingnya dia beramal dengan kitab-kitab, mendapat pelajaran, mendapat hidayah dan mendapat rahmah daripada Allah SWT atas dasar iman. Yang pentingnya Allah menilai iman kita dalam perjuangan mengajak orang kepada Allah SWT. Insya-Allah kita akan bersama dengan Nabi Yusuf AS di syurga sekiranya kita lakukan semuanya atas dasar iman.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Sentiasa berinteraksi dengan petunjuk Allah SWT (12:105)
  2. Ajak manusia ke arah Allah, bukan diri atau kumpulan sendiri (12: 108)
  3. Jelajahilah alam untuk menghargai kebesaran Allah SWT (12:109)

Saya berasa lega Allah SWT akan tolong saya menghadapi cabaran sekiranya saya berdakwah kepadaNya.  

Saya jelas untuk sentiasa berinteraksi dengan petunjuk Allah SWT. Saya jelas untuk ajak manusia ke arah Allah, bukan diri atau kumpulan sendiri. Saya jelas untuk jelajah alam untuk menghargai kebesaran Allah SWT.

Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa berinteraksi dengan petunjuk Mu. Ya Allah, pimpin. kami untuk ajak manusia ke arah Mu, bukan diri atau kumpulan sendiri. Ya Allah, berikan kami peluang untuk jelajah alam agar kami dapat menghargai kebesaran Mu Ya Allah.

Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindung kami di dunia dan di akhirat; matikanlah kami dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah kami dengan orang-orang yang soleh. 

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 334

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...