Tuesday, August 1, 2023

Halaman 252 : Al-Ra'd, 13:19-28

PERKATAAN HARI INI


لَبَّ / لَبَبَ   Berakal, cerdik, memahami intisari. 
16 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS

   

  1. Perumpamaan orang yang benar dan yang batil (13:19)
  2. Sifat-sifat Ulul Albab (Orang-orang yang memiliki akal) yang bahagia dan balasan untuk mereka (13:20-24)
  3. Sifat-sifat orang yang celaka dan sengsara serta balasannya (13:25)
  4. Rezeki adalah tanggungan Allah SWT, ayat-ayat berada dalam kuasa-Nya, hidayah adalah dari-Nya untuk orang yang beriman kepada-Nya (13:26-28)


Mukadimah

Alhamdulillah hari ini kita bertemu lagi untuk baca, faham, amal pada halaman 252. Surah Al-Ra'd ialah surah guruh. Amaran daripada guruh menandakan akan ada hujan yang memberi harapan kepada petani. Allah memberi peringatan demi peringatan kepada manusia bukanlah kerana Allah hendak menakutkan, tetapi kerana Allah hendak memberi lebih banyak nikmat. 

Kita telah belajar pada halaman lepas, apabila hujan turun, air yang mengalir membawa buih. Begitu juga logam yang dididihkan akan ada buih yang keluar. Bila datang al-Quran, ia sebenarnya menyejukkan, membuang buih-buih dalam kehidupan kita. Maksudnya perasaan-perasaan rosak, dan yang buruk dalam diri kita akan dikeluarkan oleh al-Quran. 

Bagi orang yang tidak baca al-Quran, Allah beri dia ujian hidup untuk dia dibakar, lalu keluar buih-buih kotoran sehingga terhasil emas 999 yang tulin. Kadang-kadang cara sejuk tidak cukup mengeluarkan buih, Allah bagi panas sedikit. Ujian dan al-Quran adalah dua bahasa yang sentiasa berlaku. Paling hebat ia berlaku kepada rasul agar bersih segala-galanya kerana mereka memang tidak berdosa tetapi sebagai satu keadaan realiti di atas muka bumi ini. 


Ayat 13:19


۞ أَفَمَن يَعْلَمُ أَنَّمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَىٰٓ ۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ١٩

Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.


Pengajaran

  1. Pada ayat ini Allah SWT bertanya untuk menarik perhatian kita. Mesejnya, Allah SWT memberitahu kita bahawa tidak sama orang yang nampak dengan orang yang tidak nampak. Orang yang buta mata hati tidak akan nampak manfaat dari al-Quran. 
  2. Allah SWT turunkan al-Quran daripada langit untuk menghilangkan kebatilan-kebatilan dalam manusia. Hanya orang yang nampak dapat menghargai al-Quran. Baca al-Quran dia rasa macam berat. Tidak nampak anugerah wahyu daripada Allah SWT. 
  3. Orang yang bersama al-Quran, dapat merasai kesejukan daripada al-Quran bagaimana ia membuang buih-buih. Contoh: Sebelum bersama al-Quran mungkin ada dengki, sombong dll. Al-Quran mengubat hati, membuang segala sifat dengki dll. 
  4. Yang boleh menerima kebenaran daripada al-Quran adalah ulul albab. Menurut Hamka, ulul albab adalah orang yang mempunyai hati nurani dan fikiran yang berisi. Bukannya fikiran lompong. 


Ayat 13:20


ٱلَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ ٱللَّهِ وَلَا يَنقُضُونَ ٱلْمِيثَـٰقَ ٢٠

Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; -


Pengajaran

  1. Ayat ini menceritakan dua ciri ulul albab:
    • menyempurnakan janjinya kepada Allah SWT. Contohnya: Solat on-time. Walaupun belajar bijak tetapi kalau tidak menyempurnakan janji kepada Allah SWT untuk menunaikan tanggungjawab sebagai anak, sebagai ibu, sebagai ayah, itu bukan ulul albab.
    • tidak melanggar perjanjian yang berat (ٱلْمِيثَٰقَ). Contoh: perjanjian pernikahan/kerja


Ayat 13:21


وَٱلَّذِينَ يَصِلُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦٓ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوٓءَ ٱلْحِسَابِ ٢١

Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soal jawab dan hitungan amal (pada hari kiamat); -


Pengajaran

  1. Lagi tiga ciri-ciri ulul albab:
    • Menghubungkan apa yang diperintah oleh Allah SWT. Contoh: Mereka menghubungkan segala aspek kehidupan dunia dengan akhirat. Menghubungkan kehidupan berkeluarga dengan kehidupan bekerja. Rapatkan silaturrahim, tidak bergaduh adik-beradik. 
    • bimbang akan kemurkaan Allah SWT
    • takut kepada hisab yang buruk di akhirat


Ayat 13:22


وَٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِٱلْحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ عُقْبَى ٱلدَّارِ

Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -


Pengajaran

  1. Ciri-ciri ulul albab yang seterusnya: 
    • Sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata
    • Tetap mendirikan solat. Orang yang tidak sabar, lambat solat, mudah marah
    • Mereka selalu berinfaq secara sembunyi dan secara terbuka
    • Menolak kejahatan dengan kebaikan. Contoh: Mereka damaikan orang yang bersengketa. Tidak menjadi batu api.
  2. Allah SWT sediakan balasan yang terbaik pada hari akhirat untuk ulul albab.


Ayat 13:23


جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ ءَابَآئِهِمْ وَأَزْوَٰجِهِمْ وَذُرِّيَّـٰتِهِمْ ۖ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍۢ ٢٣

Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -


Ayat 13:24


سَلَـٰمٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى ٱلدَّارِ ٢٤

(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.


Pengajaran ayat 23-24

  1. Ulul albab akan mendapat balasan syurga yang kekal bersama keluarga yang soleh.
  2. Di dalam syurga mereka akan mendapat ucapan kesejahteraan daripada malaikat dari tiap-tiap pintu syurga.
  3. Ulul albab dan sabar saling berkait.


Ayat 13:25


وَٱلَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مِيثَـٰقِهِۦ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦٓ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوٓءُ ٱلدَّارِ ٢٥

Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, - mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.


Pengajaran

  1. Sifat-sifat lawan kepada ulul albab:
    • melanggar perjanjian dengan Allah SWT dan manusia
    • memutuskan apa yang diperintah oleh Allah SWT agar disambung
    • membuat kerosakan di muka bumi ini 
  2. Mereka dilaknat oleh Allah SWT dan diberi balasan yang buruk di akhirat. 


Ayat 13:26


ٱللَّهُ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ ۚ وَفَرِحُوا۟ بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِلَّا مَتَـٰعٌۭ ٢٦

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.


Pengajaran

  1. Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang bataskannya. Allah SWT memberi mengikut kadar yang patut. 
  2. Bila Allah SWT lapangkan rezeki, itu tidak semestinya mulia. Ia mungkin istidraj untuk mengujinya. Jika Allah SWT beri sekadarnya sahaja, mungkin Allah SWT mahu mengujinya untuk mendapat sedikit demi sedikit ganjaran sehingga ke syurga. 
  3. Jika kita mendapat banyak rezeki, hendaklah banyakkan infaq dan tolong orang kerana Allah SWT. Sabar mencari redha Allah SWT, bukan mencari redha manusia.
  4. Dunia ini hanyalah kenikmatan yang sementara (مَتَٰعٌ). Kesenangan di akhirat adalah yang kekal. 


Ayat 13:27


وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ ءَايَةٌۭ مِّن رَّبِّهِۦ ۗ قُلْ إِنَّ ٱللَّهَ يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِىٓ إِلَيْهِ مَنْ أَنَابَ ٢٧

Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, -


Pengajaran

  1. Orang yang kufur tidak dapat menghargai ayat-ayat Allah SWT. Ayat-ayat al-Quran dan apa-apa yang berlaku dalam kehidupan kita seharian adalah sama. Tidak perlu ditunjukkan bukti-bukti lain. Apa yang dibaca dalam al-Quran menceritakan apa yang sedang berlaku. 
  2. Ada orang yang disesatkan, ada orang yang Allah SWT beri hidayah kepadanya. 


Ayat 13:28


ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ ٢٨

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.


Pengajaran

  1. Allah SWT beri hidayah kepada orang yang ingin kembali kepada Nya. Mereka mendapat ketenangan dengan membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah.
  2. Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram


RESOLUSI

Ingat!

  1. Laksanakan ciri keluarga Ulul Albab dengan menyempurnakan janji (13:20)
  2. Sabar, solat dan infak dilaksanakan dengan penuh komited (13:21)
  3. Jadilah orang yang amat menghargai mukjizat al-Quran (13:27)

Saya berasa lega hati akan menjadi tenang dengan mengingati Allah SWT.

Saya jelas untuk laksanakan ciri keluarga Ulul Albab dengan menyempurnakan janji, sabar, solat dan infak dengan penuh komited. Saya jelas untuk jadi orang yang amat menghargai mukjizat al-Quran.

Ya Allah, bimbing kami untuk laksanakan ciri keluarga ulul albab dengan menyempurnakan janji, sabar, solat dan infak dengan penuh komited. Ya Allah, jadikan kami orang yang amat menghargai mukjizat al-Quran.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 340

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...