PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Ciri orang yang kembali pada Allah SWT serta ganjarannya (13:29)
- Nabi Muhammad SAW adalah pembawa risalah dan seorang rasul, penjelasan tentang keagungan al-Quran dan kuasa Allah SWT yang luas (13:30-34)
Mukadimah
Alhamdulillah hari ini kita dapat teruskan pembelajaran untuk baca, faham, amal pada halaman 253. Allah menurunkan al-Quran kepada hambanya untuk meluruskan cara kita berfikir dan berperasaan.
Surah guruh ada amaran. Dalam ketegasan dan kasih sayangNya, Allah SWT terus memandu kita dengan al-Quran.
Pada halaman lepas kita telah belajar ciri orang yang 'anab', iaitu orang yang ingin kembali kepada Allah SWT. Dia buat silap, mungkin ada kekurangan tetapi dia hendak kembali kepada Allah, maka Allah beri hidayah. Dia mempunyai jiwa ulul albab. Dia bersabar, merapatkan silatulrahim, tidak sombong. Pada ayat 28 Allah mengatakan orang yang mengingati Allah akan tenang di dunia.
Ayat 13:29
“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.”
Pengajaran
- Orang-orang ingin kembali kepada Allah, mereka beriman dan beramal soleh. Walaupun amalnya sedikit, tetapi mereka cuba membuat kebaikan.
- Ada cabaran-cabaran bila mahu berbuat baik. Ada sahaja orang yang akan memasang perangkap untuk mereka bergaduh. Maka jangan terkesan dengan orang begini yang cuma mengapi-apikan keadaan. Kita kena damaikan.
- Kita kena majukan sistem yang ada agar kehidupan yang baik di dunia ini dapat diteruskan sehingga kembali ke tempat asal (مَـَٔابٍ) kita di syurga Allah.
- ‘Anab’ ialah hamba yang tidak sempurna, tetapi jiwanya tetap percaya dan ingin kembali dengan terus beramal walaupun sedikit.
Ayat 13:30
“Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain, supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Ar-Rahman Katakanlah: "Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya)".”
Pengajaran
- Nabi SAW tilawah al-Quran daripada Allah SWT melalui Jibril. Tilawah ialah membaca dan menyampaikan. Orang yang kufur menidakkan perkara ini.
- Allah SWT gunakan istilah بِٱلرَّحْمَٰنِ untuk menunjukkan bahawa Allah ar-Rahman sudah berbuat baik dengan semua orang, tetapi ada orang yang tidak berbuat baik kepada Allah SWT. Dia tidak menghargai kepada nikmat yang Allah SWT telah berikan. Tumpang langit Allah SWT, tumpang lantai Allah SWT dan oksigen Allah SWT tetapi tidak menghargai Tuhan Yang Maha Penyayang yang memberi macam-macam.
- Kita tidak mahu jadi orang yang begini. Kita mahu menjadi orang yang mendapat guruh dan menghargainya dan kita respon dengan cara penyayang juga.
- Semua rasul-rasul dan nabi-nabi membawa mesej; "KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku dan kamu semuanya".
- Bila kita bertawakkal kepada Allah SWT, kita akan jadi orang yang penyayang dan Allah SWT juga akan sayang. Kita tawakal kepada Allah SWT dan bukan kepada diri sendiri mahupun kumpulan kita. Kita ini lemah, tidak ada apa-apa pun. Tidak perlu sombong kerana semua Allah SWT yang beri.
- Hendaklah kita kuatkan kebergantungan kepada Allah SWT, bukan kebergantungan kepada diri sendiri atau kepada orang lain.
Ayat 13:31
“Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta benda mereka); atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.”
Pengajaran
- Al-Quran yang kita baca ini, kalau diletakkan di gunung, dia akan menggerakkan gunung, akan terpotong dan akhirnya terjadilah gempa bumi. Orang yang mati akan bercakap.
- Al-Quran boleh menggegar dan menghidupkan hati yang mati. Barakah al-Quran membawa segalanya ke bumi Mekah. Hendak apa-apa buah, semua ada di Mekah.
- Orang beriman, jangan putus asa. Allah SWT boleh memberi hidayah kepada semua orang.
- Orang kufur akan sentiasa diberi bencana, dekat dengan mereka. Dekat ini merujuk kepada Madinah dan peperangan-peperangan yang berlaku, seperti perang Badar dan perang Uhud.
- Taubat boleh melayakkan kita untuk kembali ke kampung di syurga bersama keluarga.
- Hendak kembali kepada Allah SWT selalulah berzikir. Hebatnyanya al-Quran ini, ia boleh melembutkan hati seperti yang berlaku kepada Saidina Umar RA yang bengis dan Abu Sufyan yang amat degil.
- Jangan lemah semangat bila ada orang tidak mahu beriman. Teruskan usaha kerana jika kita lemah semangat, kita dan usaha kita pun akan tenggelam.
- Al-Quran adalah mukjizat yang kekal sampai sekarang. Kita menjadi saksi bagaimana al-Quran ini menggegarkan jiwa, mentransformasi manusia apabila ditilawahkan al-Quran kepada mereka.
Ayat 13:32
“Dan sesungguhnya telah pun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu (wahai Muhammad), lalu aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu masa yang tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab; maka tidaklah terperi seksanya azabKu itu.”
Pengajaran
- Nabi-nabi dan rasul-rasul dahulu diperolok-olokkan. Ini memberi motivasi kepada Nabi SAW dan kepada kita untuk terus menyampaikan al-Quran.
- Jangan suka menyindir-nyindir orang. Allah SWT bagi tangguh, tetapi kita jangan balas. Bawakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka dengan penuh kasih sayang. Nabi SAW kasihan kepada orang yang berada di dalam kegelapan.
- Allah SWT boleh menghapuskan mereka bila-bila sahaja. Azab Allah SWT itu pedih. Ia pernah berlaku dan boleh berlaku.
Ayat 13:33
“Setelah diketahui demikian maka tidaklah patut disamakan Allah Tuhan yang berkuasa mengawas, tiap-tiap diri dan mengetahui akan apa yang telah diusahakan oleh diri-diri itu, (dengan makhluk yang tidak bersifat demikian). Dalam pada itu, mereka yang kafir telah menjadikan beberapa makhluk sebagai sekutu bagi Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): "Namakanlah kamu akan mereka (yang kamu sembah itu). Atau adakah kamu hendak memberi tahu kepada Allah akan apa yang tidak diketahuiNya di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan kata-kata yang lahir (sedang pada hakikatnya tidak demikian)?" Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.”
Pengajaran
- Tidak sama Tuhan yang boleh menjaga segalanya dengan berhala yang mereka anggap tuhan. Allah SWT mencabar mereka untuk memberi nama tuhan-tuhan itu.
- Ini adalah hujah bahawa Allah SWT lah Tuhan yang sebenar-benarnya. Menurut al-Biqa’i, walau apapun nama berhala mereka, asalnya ia adalah batu dan tidak ada kuasa pun.
- Siapa yang disesatkan oleh Allah SWT, tiada siapa yang boleh memberinya petunjuk. Kita semua kena melihat kepada hidayah ini sebagai satu perjuangan. Al-Quran bukan sekadar baca berseorangan tetapi kita baca, faham, amal dan sebarkan.
Ayat 13:34
“Mereka beroleh azab dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih menyeksakan lagi; dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat melindungi mereka dari azab Allah itu.”
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan hambaNya berkali-kali kerana kasih sayangNya. Inilah perjuangan kita dengan al-Quran untuk menggerakkan kita. Kita tidak boleh sekadar baca al-Quran tetapi tidak buat apa-apa.
- Kalau kita hendak jadi baik, kena membaiki keadaan yang ada.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa tawakal dan taubat pada Allah SWT (13:30)
- Sering baca dan fahami al-Quran yang akan memberi kesan positif pada kekurangan diri (13:31)
- Jangan memperolok-olokkan mesej kebenaran (13:32)
Saya berasa lega al-Quran membangkitkan jiwa saya yang lemah bila berdepan ujian.
Saya jelas untuk sentiasa tawakal dan taubat pada Allah SWT. Saya jelas saya mesti sering baca dan fahami al-Quran yang akan memberi kesan positif pada kekurangan diri. Saya jelas untuk tidak memperolok-olokkan mesej kebenaran.
Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa tawakal dan taubat pada-Mu. Ya Allah, bantu kami supaya sering baca dan fahami al-Quran, semoga al-Quran memberi kesan positif pada kekurangan diri kami. Ya Allah, jauhi kami daripada menjadi orang-orang yang memperolok-olokkan mesej kebenaran.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 341