PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Tujuan penurunan al-Quran, celaan terhadap orang kafir, dan penjelasan bahwa rasul datang dengan bahasa kaumnya (14:1-4)
- Tugas Nabi Musa A.S dan nasihatnya kepada kaumnya (14:5)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita bersyukur dapat meneruskan pembelajaran pada surah ke-14 surah Ibrahim. Dalam kesibukan di rumah atau di tempat kerja, kita berhenti sebentar untuk kita mengingatkan, menyegarkan iman kita bersama dengan al-Quran.
Pengenalan Surah Ibrahim
- Surah ini penuh dengan panduan untuk kita memaknai kepentingan al-Quran, bagaimana memperjuangkan al-Quran dalam diri kita dan dalam masyarakat.
- Surah ini surah Makkiyyah, mengandungi 52 ayat, yang menceritakan tentang keimanan, memberi motivasi kepada Nabi SAW dan para sahabat yang berjuang di Mekah dan juga untuk kita. Surah ini akan melonjak keimanan dalam diri kita.
- Nama Nabi Ibrahim diangkat bermula daripada surah al-Baqarah. Nabi Ibrahim AS berdoa untuk diutuskan rasul yang akan tilawah, tazkiyah dan ta'lim al-Kitab. Tilawah iaitu untuk membacakan al-Quran. Tazkiyah untuk membersihkan pencemaran atau sesuatu yang kotor dalam diri dan masyarakat. Ta'lim iaitu untuk mengajarkan peraturan-peraturan al-Kitab dan juga al-Hikmah.
- Nabi Ibrahim AS diangkat namanya dalam surah ini kerana ia bercerita tentang transformasi iaitu perubahan yang kita hendak bina dalam masyarakat. Nabi Ibrahim melakukan transformasi yang diteruskan oleh rasul-rasul dan nabi-nabi sampailah kepada Nabi Muhammad SAW dan kita.
- Jika kita ingin melakukan transformasi dalam diri dan masyarakat, rujuk surah Ibrahim dan surah al-Jumuah. Surah-surah ini ada jawapan kepada doa Nabi Ibrahim AS.
- Dalam surah al-Ra'd ayat 41, kita telah melihat bagaimana bumi Mekah disucikan dari tepi-tepi daripada kezaliman sehingga berlaku Fathul Mekah.
- Seperti Surah al-Baqarah, surah ini mengeluarkan dari gelap kepada cahaya. Allah SWT menolong orang beriman dengan mengeluarkannya dari kegelapan kepada cahaya.
- Dosa-dosa menyebabkan kegelapan. Apa sahaja dosa kepada Allah SWT, itu adalah kezaliman.
- Allah SWT menurunkan kitab untuk selalu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Banyak permata-permata di dalam surah ini untuk memberi solusi kepada masalah dalam kehidupan kita.
Ayat 14:1
Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
Pengajaran
- Surah ini bermula dengan huruf muqoto'ah. Allah menyeru kepada kita. Kita tidak tahu maksudnya, hanya Allah SWT yang tahu. Dengan kita tidak tahu, sikap kita merendah diri. Kita mengaku kita tidak tahu walaupun sudah baca banyak kali surah ini. Itu akan membuka pintu hidayah daripada Allah SWT.
- Apa sahaja dosa kepada Allah SWT, itu adalah kegelapan atau kezaliman. Contoh: Tulis di Fb untuk memecah belahkan orang atau kutuk orang, itu adalah kezaliman.
- Allah SWT turunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada kita, untuk selalu mengeluarkan manusia daripada kegelapan-kegelapan kepada satu cahaya dengan izin Allah SWT kepada jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ).
- Kalau kita ada zulumat, maknanya kita ada banyak masalah. Nur daripada al-Quran adalah solusi. Satu ayat al-Quran boleh menjadi jawapan kepada banyak soalan. Contoh: Bila kita buntu, tidak tahu siapa yang betul. Kita serahkan kepada Allah untuk menentukan kebenaran. Itulah sikap orang yang baca ayat-ayat muqoto'ah.
- Apakah yang diselesaikan oleh ayat ini? Setiap manusia mudah untuk terjatuh ke dalam kezaliman, tetapi kalau dia berpandukan kepada kitab, selalu baca dan jadikan al-Quran sebagai perlembagaan, ia akan membawa kita kepada jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
- Kita berada di atas jalan yang benar hanya dengan izin Al-Aziz. Al-Aziz ada kaitan dengan Penguatkuasa di dunia ini. Jika kita ikut peraturan, Penguatkuasa tidak akan kacau kita. Jika kita ikut kitab, bukan sahaja Al-Aziz tidak kacau, malah Dia akan menolong kita berada di atas jalan yang lurus.
- Kalau kita jaga perlembagaan al-Quran, maka Al-Aziz akan jaga kita, pimpin kita di atas jalan yang lurus sampai ke syurga. Pada masa yang sama, kita tidak akan dihina.
- Jika kita pegang kepada al-Quran, kita akan dipuji. Allah Al-Hamid yang akan mengangkat nama kita di sisi para malaikat. Bila nama kita diingati maka itulah yang menyebabkan kita mampu untuk dipuji, dan tidak dikecam. Orang yang meninggalkan al-Quran akan dikecam. Contoh: Nabi Yusuf dipuji kerana baginda memegang wahyu Allah SWT.
Ayat 14:2
Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak).
Pengajaran
- Allah SWT menjelaskan kepada kita realiti Allah Al-Aziz Al-Hamid. Allah dipuji kerana Dialah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Bila kita nampak Allah menguruskan matahari, bulan, dan segala-galanya kita tahu bahawa Allah lah yang layak dipuji. Setiap hari kita puji Alhamdulillahi rabbil alamin. Inilah keadaannya bagi orang yang nampak nur.
- Bagi orang yang dalam kegelapan, mereka tidak nampak kekuasaan Al-Aziz. Mereka tidak kisah dan tidak mahu menyembah kepada Allah SWT.
- Di dunia ini, sumber kuasa dan pujian, datangnya daripada ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ
- Kecelakaan besar bagi orang-orang yang dalam kegelapan atau yang kufur terhadap Al-Quran. Orang kufur, mereka tidak bersyukur dengan apa yang Allah SWT beri. Azab yang amat berat akan menimpa mereka kelak.
Ayat 14:3
Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.
Pengajaran
- Ciri-ciri orang kufur:
- Mereka lebih suka dunia daripada akhirat. Dunia adalah sesuatu yang rendah. Kehidupan dunia adalah kehidupan yang tahap rendah. Kita hendak menuju ke tahap yang lebih tinggi dengan mengamalkan nur daripada Allah SWT.
- Mereka menghalang orang dari jalan Allah SWT. Mereka lebih suka bergaduh daripada didamaikan.
- Mereka cuba membengkokkan atau memadamkan fakta-fakta. Mereka cuba memesongkan kebenaran yang ada dalam kehidupan kita.
- Allah SWT ingatkan kita jangan ikut perangai orang-orang kufur kerana kita dibekalkan dengan cahaya untuk berada di jalan yang lurus.
- Semakin kita dekat dengan al-Quran, kita akan nampak jalan dan hati kita tidak akan kosong.
Ayat 14:4
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran
- Di dalam al-Quran, bila kita melihat sifat orang kafir, jangan pula kita abaikan ayat itu kerana merasakan ayat itu bukan untuk kita. Allah bawakan cerita orang yang paling baik dan ada cerita orang yang paling tidak baik. Bila kita baca cerita orang yang baik, kita doakan supaya jadi orang yang terbaik. Bila kita baca tentang orang yang tidak baik, kita berdoa agar kita dapat menjauhi sifat-sifat mereka. Bukan label itu yang utama tetapi cirinya yang kita kena ambil pelajaran. Jika tidak, bermakna kita tidak mengambil nur dari setiap ayat yang Allah berikan.
- Nabi Muhammad SAW diutuskan dengan Bahasa Arab. Kita kena faham risalah baginda dengan bahasa kita. Penyampaian kita juga mestilah guna bahasa yang mudah difahami oleh semua orang.
- Bahasa Arab amat tepat, tetapi peranan orang yang hendak menyampaikan mesej daripada rasul ini juga perlu menguasai bahasa kaum. Contoh: Kita guna Bahasa Melayu di sini. Kita kena kuasai bahasa. Belajarlah bahasa betul-betul. Kita tidak mahu ditipu dalam beragama. Kita mahu faham betul-betul supaya kita tidak terpesong.
- Allah SWT yang berkuasa. Kita cuba fahamkan mesej dengan jelas, sampaikan dengan jelas supaya kita dapat hidayah daripada Allah SWT.
- Allah berkuasa menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya menurut undang-undang peraturanNya, juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya menurut undang-undang peraturanNya.
- Allah SWT memberi penekanan kepada Al-Aziz Al-Hakim. Allah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Allah SWT bijaksana dan tepat, penuh dengan hikmah. Kita akan dapat buat keputusan dengan tepat bila kita bersama risalah Nabi SAW.
Ayat 14:5
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.
Pengajaran
- Ayat ini menjelaskan kepada kita bagaimana modus operandi, perlaksanaan dakwah Nabi Musa AS dan nabi-nabi lain:
- Bawakan mukjizat-mukjizat kerana mukjizat ini mengeluarkan daripada kegelapan kepada cahaya. Mukjizat yang masih ada sampai sekarang ialah al-Quran
- Ingat balik kepada hari-hari susah yang Allah SWT tolong kita
- Sabar dan syukur kerana Allah SWT masih memberi kita hidayah
RESOLUSI
Ingat!
- Manfaatkan al-Quran untuk menyelesaikan pelbagai masalah (14:1)
- Utamakan akhirat agar dipandu Allah SWT (14:3)
- Sabar dan syukur perlu dibina menghadapi ujian dan nikmat (14:5)
Saya berasa lega al-Quran dapat bantu saya menyelesaikan pelbagai masalah.
Saya jelas untuk manfaatkan al-Quran bagi menyelesaikan pelbagai masalah. Saya jelas saya mesti utamakan akhirat agar dipandu Allah SWT. Saya jelas saya mesti bina sabar dan syukur untuk menghadapi ujian dan nikmat.
Ya Allah, pimpin kami untuk manfaatkan al-Quran bagi menyelesaikan pelbagai masalah. Ya Allah, bimbing kami untuk utamakan akhirat, pandu kami di jalan yang lurus. Ya Allah, bantu kami untuk bina sabar dan syukur untuk menghadapi ujian dan nikmat.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 344