Tuesday, August 1, 2023

Halaman 256 : Ibrahim, 14:6-10

PERKATAAN HARI INI


نَجَا / نَجَوَ Selamat. 
84  kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Nasihat Nabi Musa AS kepada kaumnya (14:6-8)
  2. Beberapa kisah para rasul terdahulu dengan umat-umat mereka (14:9-10)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung Surah Ibrahim pada halaman 256, Juz ke-13. Pada halaman lepas Allah SWT ingatkan kita bahawa dalam sabar ada syukur, dalam syukur ada sabar.


Ayat 14:6


وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنجَىٰكُم مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَآءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَآءَكُمْ وَفِى ذَٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ


Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu".


Pengajaran

  1. Nabi Musa AS menyuruh Bani Israel untuk mengimbas kembali nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka.  
  2. Nabi Musa AS diutus untuk menyelamatkan mereka  daripada Firaun dan kuncu-kuncunya yang membunuh anak-anak lelaki mereka sebagai ethnic cleansing. Di zaman Firaun, Bani Israel ditindas dan itu adalah satu ujian yang besar daripada Allah SWT untuk melihat kesabaran dan keimanan mereka. 


Ayat 14:7


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ


Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".


Pengajaran

  1. Allah memberitahu kepada Bani Israel dan kepada kita yang mengikut Nabi Muhammad SAW untuk bersyukur. 
  2. Jika bersyukur, walaupun sedikit (شَكَرْتُمْ) Allah SWT akan menambah nikmatNya. Jika kufur, azab Allah amatlah pedih. 
  3. Bani Israel yang telah diselamatkan daripada Firaun. Waktu berada di padang pasir, mereka banyak komen dan tidak berpuas hati, sedangkan mereka selamat daripada Firaun itu adalah satu nikmat yang amat besar. 
  4. Dengan keadaan pandemik sekarang, bagaimana cara kita  menghadapi ujian ini? Ujian tidak semestinya negatif, bergantung kepada respon kita kepada ujian tersebut. Kita bersyukur yang kita masih lagi boleh sembahyang, walaupun hanya di rumah. 
  5. Mereka yang selamat dari Firaun dahulu, ada rasul, ada anak-anak yang hidup. Itu yang sepatutnya mereka syukuri. 
  6. Di zaman pandemik ini, kita fokus pada yang baik dan bersyukur atas apa yang ada, Allah SWT akan tambah nikmatNya. Fokus pada Alhamdulillah. Salah satunya, kita boleh tilawah al-Quran. Semoga Allah tambah lagi kebahagiaan dan hidayah untuk kita.
  7. Orang kufur iaitu orang yang tidak bersyukur, azab Allah amat berat. Bahasa kita mesti dipenuhi dengan bahasa syukur, bukan bahasa kufur. Contoh bahasa kufur "Dah dapat 2 dos pun tak boleh rentas-rentas lagi." Kita sepatutnya bersyukur, menunggu dengan sabar untuk dapat sijil dan berdoa dikurniakan pemimpin yang telus. 


Ayat 14:8


وَقَالَ مُوسَىٰٓ إِن تَكْفُرُوٓا۟ أَنتُمْ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِىٌّ حَمِيدٌ

Dan Nabi Musa berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.


Pengajaran

  1. Nabi Musa AS mengulang balik apa yang sampaikan oleh Allah SWT dalam ayat 7 iaitu jangan kufur.
  2. Allah SWT Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Allah tidak perlukan apa-apa pun daripada kita. Kita yang perlukan Allah dan perlu bersyukur atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita.
  3. Kita juga mesti mengulang-ulang peringatan ini supaya kita menjadi umat yang bersyukur.


Ayat 14:9


أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَبَؤُا۟ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَٱلَّذِينَ مِنۢ بَعْدِهِمْ لَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا ٱللَّهُ جَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَٰتِ فَرَدُّوٓا۟ أَيْدِيَهُمْ فِىٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَقَالُوٓا۟ إِنَّا كَفَرْنَا بِمَآ أُرْسِلْتُم بِهِۦ وَإِنَّا لَفِى شَكٍّ مِّمَّا تَدْعُونَنَآ إِلَيْهِ مُرِيبٍ


(Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang yang kemudian daripada mereka ? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: "Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang - mengikut dakwaan kamu - kamu diutus membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya".


Pengajaran


  1. Nabi Musa AS mengingatkan kaumnya tentang kedegilan kaum yang terdahulu.
  2. Ayat ini mengajar kita untuk bersabar ketika diuji. 
  3. Kaum terdahulu tidak mahu diingatkan oleh para nabi dan rasul. Mereka menutup mulut para nabi dan rasul menandakan mereka tidak mahu mendengar. 
  4. Rasul-rasul tidak berputus asa. Mereka terus berdakwah mengajak kaum mereka beriman dan tauhid kepada Allah. Tugas mereka ialah mengajak orang lain supaya sama-sama beriman, bukan beriman sendirian.


Ayat 14:10


قَالَتْ رُسُلُهُمْ أَفِى ٱللَّهِ شَكٌّ فَاطِرِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ يَدْعُوكُمْ لِيَغْفِرَ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُؤَخِّرَكُمْ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى قَالُوٓا۟ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا تُرِيدُونَ أَن تَصُدُّونَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَا فَأْتُونَا بِسُلْطَٰنٍ مُّبِينٍ


Rasul-rasul mereka bertanya: "Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu. Mereka menjawab: "Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata".


Pengajaran

  1. Rasul-rasul memberitahu kaum mereka bahawa rasul-rasul diutus oleh Allah SWT yang mencipta langit dan bumi. Allah lah yang menyeru mereka supaya beriman kerana hendak membersih dan melepaskan mereka daripada dosa-dosa, dan memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu.
  2. Mereka menyatakan para rasul itu manusia biasa. Rasul hanya mahu menghalang mereka dari mengikuti nenek moyang mereka dan mereka meminta satu bukti yang nyata.
  3. Kita yang sudah mendapat sedikit ilmu sabar dan syukur serta beriman kepada Allah, kita kena sama-sama sampaikan kepada orang lain. 
  4. Semoga diri kita, keluarga dan masyarakat kita menjadi orang yang bersyukur dengan perkataan dan hati.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Bersyukur dengan mengenang nikmat yang diperoleh daripada Allah SWT (14:6)
  2. Terus bersyukur agar Allah SWT tambah nikmat lagi (14:7)
  3. Jangan degil dengan suruhan Allah SWT dan mesej rasul (14:10)

Saya berasa lega, kalau saya bersyukur Allah akan tambah nikmatNya.

Saya jelas untuk bersyukur dengan mengenang nikmat yang diperoleh daripada Allah SWT. Saya jelas saya mesti terus bersyukur agar Allah SWT tambah nikmat lagi. Saya jelas supaya jangan degil dengan suruhan Allah SWT dan mesej rasul.

Ya Allah, jadikan kami orang yang bersyukur dengan mengenang nikmat yang Engkau kurniakan. Ya Allah, bimbing kami untuk terus bersyukur dan kami memohon agar Engkau tambahkan nikmat kepada kami. Ya Allah, jauhi kami daripada menjadi orang yang degil dengan suruhan Mu dan mesej rasul.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 345 

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...