Tuesday, August 1, 2023

Halaman 254-255 : Al-Ra'd, 13:35-43

PERKATAAN HARI INI


مَثَلَ Misal, perumpamaan.
169 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Perihal syurga, sikap ahli kitab terhadap kenabian Nabi Muhammad SAW dan beberapa pendapat sesat (13:35-39)
  2. Tugas rasul adalah menyampaikan syariat, Allah SWT menjadi saksi untuknya, yang melakukan hisab, dan pemberi putusan antara para hamba serta menggagalkan rencana jahat orang kafir (13:40-43)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita bersyukur dapat bertemu di hari yang berbahagia ini untuk baca, faham. amal bahagian terakhir surah Al-Ra'd. Surah ini memberi semangat kepada Nabi Muhammad SAW dan juga memberi semangat kepada kita untuk beriman dan memperjuangkan iman.

Pada halaman lepas, Allah SWT ingatkan kita  supaya tidak ikut perangai orang-orang yang kufur. Dalam hidup kita, kalau kita tidak buat baik, jangan kita merancang jahat. Semoga kita menjadi orang yang menyokong perkara yang baik. Jangan kita pula menyebar-nyebarkan perkara permusuhan dan perkara dosa.  


Ayat 13:35


۞ مَّثَلُ ٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلْمُتَّقُونَ ۖ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ أُكُلُهَا دَآئِمٌۭ وَظِلُّهَا ۚ تِلْكَ عُقْبَى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ ۖ وَّعُقْبَى ٱلْكَـٰفِرِينَ ٱلنَّارُ ٣٥

Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertakwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.


Pengajaran

  1. Orang-orang yang bertakwa iaitu mereka yang bersama al-Quran, bersama dengan risalah daripada rasul, Allah SWT janjikan ganjaran syurga. 
  2. Dalam ayat ini Allah SWT memberikan ciri-ciri syurga untuk kita bayangkan. Apa yang kita bayangkan itu terhad. Ciri-cirinya:
    1. Ada sungai yang mengalir di bawahnya 
    2. Makanannya sentiasa ada. Semuanya sedap belaka. 
    3. Sentiasa teduh
  3. Perumpamaan ini adalah nikmat besar kepada orang di Tanah Arab kerana di sana tidak banyak pokok untuk berteduh, tidak ada sungai dan tiada pokok buah-buahan. Kalau dapat semua nikmat itu amat menggembirakan mereka.  Semua nikmat ini ditawarkan kepada orang yang banyak takwa. 
  4. Bagi orang yang kafir, tempat mereka di neraka. 

Semoga kita menjadi orang yang memperjuangkan takwa dalam kehidupan kita seharian.


Ayat 13:36


وَٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَفْرَحُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ ۖ وَمِنَ ٱلْأَحْزَابِ مَن يُنكِرُ بَعْضَهُۥ ۚ قُلْ إِنَّمَآ أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ ٱللَّهَ وَلَآ أُشْرِكَ بِهِۦٓ ۚ إِلَيْهِ أَدْعُوا۟ وَإِلَيْهِ مَـَٔابِ ٣٦

Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain: kepadaNyalah aku menyeru (manusia semuanya untuk menyembahNya), dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya untuk menerima balasan)".


Pengajaran

  1. Allah SWT memberitahu realiti orang yang diberikan kitab iaitu orang Yahudi dan Nasrani.
  2. Orang beriman bergembira menerima kitab. Ada sebahagian daripada mereka ingkar pada sebahagian kitab terutama bab risalah. Mereka tidak menerima Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa risalah terakhir kerana Nabi SAW bukan daripada kalangan Bani Israel. 
  3. Pada kita sekarang, jika bertemu dengan orang yang membawa kebenaran, kita sukakan kebenaran itu, bukan orang yang menyampaikan. Orang Nasrani sangat taksub kepada Nabi Isa AS sampai mengangkat Nabi Isa AS menjadi tuhan dan menidakkan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Jangan kita terjatuh ke dalam lembah ketaksuban dalam kehidupan. 
  4. Islam dan al-Quran sangat tinggi. Manusia yang membawanya tertakluk kepada kesilapan. Jangan kita samakan kedudukan manusia dengan Islam dan al-Quran. 
  5. Kita mengajak manusia kepada Allah SWT sahaja dan kepadaNyalah kita akan kembali. Hanya Allah SWT yang dapat menolong kita. Kita tidak akan beri ketaatan dan ibadah kita kepada selain daripada Allah SWT.


Ayat 13:37


وَكَذَٰلِكَ أَنزَلْنَـٰهُ حُكْمًا عَرَبِيًّۭا ۚ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا وَاقٍۢ ٣٧

Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).


Pengajaran

  1. Ayat ini menjelaskan tentang al-Quran yang amat suci. Ia melangkau daripada manusia. Allah SWT menghadiahkannya kepada kita.
  2. Al-Quran ialah sumber hukum dalam Bahasa Arab (عَرَبِيًّا حُكْمًا) yang penuh dengan hikmah, kebijaksanaan dan tepat. Kita akan melihat dengan lebih tepat dan bijaksana jika kita mengikut panduan al-Quran. Kita akan dapat membuat penilaian dengan bijaksana, bukan seperti orang Yahudi. Orang yang bijaksana boleh membuat penilaian berdasarkan kepada kebijaksanaan al-Quran, anugerah daripada Allah SWT.
  3. Bahasa Arab menjana cara fikir, cara kita menyusun sesuatu perkara. Kalau kita dalam keadaan berbuat dosa, lepas itu baca al-Quran, mungkin kita baca tunggang langgang, hilang fokus hingga silap bacaan kita.
  4. Penting sangat kita menghargai hak-hak al-Quran supaya kita ada pelindung yang menjauhkan daripada bahaya di dunia dan akhirat. Tidak mengikut nafsu, perasaan dan tidak menjadi orang yang taksub. 
  5. Lawan kepada nafsu ialah ilmu. Bila kita ada ilmu, kalau ada masalah kita akan sokong kebenaran bukan ikut perasaan taksub. Orang Yahudi dan Nasrani pada mulanya mereka dapat hidayah.Tetapi kerana mereka tidak jaga perasaan mereka, tidak berteraskan ilmu daripada wahyu Allah SWT menjadikan mereka orang-orang yang dimurkai oleh Allah dan sesat.
  6. Bila kita banyak baca al-Quran dan tadabbur, Allah SWT akan memberi barakah sehinggakan kita akan dipimpin oleh Nya. Semoga kita sentiasa dipimpin oleh Allah SWT pada setiap masa.  
  7. Sesiapa yang tidak kembali kepada al-Quran, tidak ada perlindung (وَلِىٍّ) daripada Allah SWT dan tidak ada penolong (وَاقٍ) di dunia dan akhirat. 


Ayat 13:38


وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًۭا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَٰجًۭا وَذُرِّيَّةًۭ ۚ وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَن يَأْتِىَ بِـَٔايَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ لِكُلِّ أَجَلٍۢ كِتَابٌۭ ٣٨

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh "Suratan Azali".


Pengajaran

  1. Mesej penting di dalam ayat ini: 
    • rasul adalah manusia biasa, ada keluarga dan zuriat
    • rasul diberikan mukjizat dengan izin Allah SWT
    • pada setiap masa ada ketentuan di Luh Mahfuz iaitu daripada Allah SWT berkaitan dengan al-Quran dan Islam yang melangkau daripada rasul itu sendiri dan kehidupan peribadi mereka. 
  2. Zaman sekarang, manusia ada keluarga, mereka diberi ilmu daripada al-Quran untuk berdakwah. Pendakwah tidak boleh berkata dia lebih suci daripada orang lain.
  3. Dalam beragama, Islam dan al-Quran itu paling tinggi tempatnya.  Di bawahnya ada manusia yang menjadi pendakwah. Di bawahnya ada kehidupan peribadi pendakwah bersama keluarga, yang ada masanya tersilap. Contoh: Sebagai pendakwah, jika ada masa ia tersilap, jangan pula kita kecewa, menyamakannya dengan kitab sehingga membuat kita tidak mahu membaca al-Quran lagi. 
  4. Kitab tetap betul dan tidak tercemar. Kitab al-Quran suci, manusia tidak suci. Jangan sampai kita mencampur adukkan sehingga merosakkan cara kita beragama. 
  5. Kita doakan Allah SWT pimpin kita, menjauhkan kita daripada kerosakan dan menjadi penolong kita di dunia dan akhirat.


Ayat 13:39


يَمْحُوا۟ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثْبِتُ ۖ وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلْكِتَـٰبِ ٣٩

Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".


Pengajaran

  1. Allah SWT menghancurkan apa jua yang Dia kehendaki dan Allah juga menetapkan apa jua yang Dia kehendaki berdasarkan apa yang tertulis di Luh Mahfuz.
  2. Allah SWT ingatkan kita bahawa pada sisiNya terdapat Ummul Kitab (Luh Mahfuz). 
  3. Kita kena balas dengan takwa berteraskan panduan daripada al-Quran yang Allah SWT turunkan sebagai mukjizat.


Ayat 13:40


وَإِن مَّا نُرِيَنَّكَ بَعْضَ ٱلَّذِى نَعِدُهُمْ أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ ٱلْبَلَـٰغُ وَعَلَيْنَا ٱلْحِسَابُ ٤٠

Sama ada Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang Kami janjikan untuk mereka (yang ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.


Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada kita, apa sahaja hukuman/ketentuan adalah datang daripada Allah SWT. 
  2. Tugas Nabi SAW adalah menyampaikan sehingga masuk ke hati manusia.
  3. Ini juga tugas kita, sampaikan kepada anak-anak dan keluarga apa yang kita belajar tetapi jangan kita menghukum jika mereka tidak mahu mengikut. Kita hanya menyampaikan sahaja dengan sebaik mungkin.


Ayat 13:41


أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا نَأْتِى ٱلْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا ۚ وَٱللَّهُ يَحْكُمُ لَا مُعَقِّبَ لِحُكْمِهِۦ ۚ وَهُوَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ ٤١

Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya? Dan (ingatlah) Allah menghukum menurut apa yang dikehendakiNya; tiada sesiapapun yang dapat menghalang hukumNya, dan dia lah juga yang amat cepat hitungan hisabNya.


Pengajaran

  1. Ini adalah satu ancaman kepada orang yang melawan kebenaran. 
  2. Allah SWT memberi ancaman kepada orang kafir Mekah bahawa kezaliman yang mereka lakukan akan dihancurkan daripada tepi-tepi Mekah iaitu daripada Habsyah dan Madinah. Apabila kebenaran dapat masuk sedikit demi sedikit, akhirnya Mekah ditakluk oleh kebenaran yang dibawa oleh Nabi SAW. Inilah cara Allah SWT menyusun kemenangan. Orang-orang yang bersama kebenaran ini akan meruntuhkan kezaliman. 
  3. Surah ini turun di Mekah, ia memberi pujukan kepada Nabi SAW untuk tidak menghukum orang, teruskan menyampai dan tidak berputus asa.


Ayat 13:42


وَقَدْ مَكَرَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلِلَّهِ ٱلْمَكْرُ جَمِيعًۭا ۖ يَعْلَمُ مَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍۢ ۗ وَسَيَعْلَمُ ٱلْكُفَّـٰرُ لِمَنْ عُقْبَى ٱلدَّارِ ٤٢

Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak.


Pengajaran

  1. Allah SWT memberitahu bahawa orang-orang kafir sebelum Nabi SAW telah melancarkan berbagai rancangan jahat terhadap nabi-nabi mereka. 
  2. Allah SWT memberi pujukan kepada Nabi SAW agar tidak bimbang kerana bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala rancangan jahat orang kafir. 
  3. Allah SWT mengetahui apa yang dilakukan oleh setiap orang. 
  4. Pada hari akhirat nanti, orang-orang kafir akan mengetahui untuk siapa balasan yang baik dan yang buruk.
  5. Hendaklah kita terus menyampaikan, jangan menghukum dan jangan merancang benda tidak baik. Allah SWT tahu segalanya.


Ayat 13:43


وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَسْتَ مُرْسَلًۭا ۚ قُلْ كَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًۢا بَيْنِى وَبَيْنَكُمْ وَمَنْ عِندَهُۥ عِلْمُ ٱلْكِتَـٰبِ ٤٣

Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah".


Pengajaran

  1. Orang-orang kafir menafikan Nabi SAW sebagai rasul daripada Allah SWT.
  2. Allah SWT mengajar Nabi SAW untuk katakan kepada orang kafir; "Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah".
  3. Sebagai orang yang hendak mengikut Nabi SAW untuk sampaikan, kita jangan sekadar mengikut cakap orang. Ikutlah panduan al-Quran. Cukuplah Allah SWT dan juga orang-orang yang tahu tentang ilmu kitab sebagai saksi kerana hanya mereka yang boleh menilai. 
  4. Kembalikan tawakal kepada Allah agar kita sentiasa berada di atas jalan kebenaran.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Tingkatkan dan kukuhkan takwa untuk mendapatkan rahmat Allah SWT ke syurga (13:35)
  2. Komited dengan al-Quran sebagai persediaan 'balik kampung' ke syurga (13:36)
  3. Ikuti rasul yang amat praktikal dalam mentaati Allah SWT (13:38)

Saya berasa lega Allah SWT memberikan panduan untuk berdakwah mengikut rasul agar saya tidak berasa kecewa dan putus asa.

Saya jelas untuk tingkatkan dan kukuhkan takwa untuk mendapatkan rahmat Allah SWT ke syurga. Saya jelas saya mesti komited dengan al-Quran sebagai persediaan 'balik kampung' ke syurga. Saya jelas untuk ikuti rasul yang amat praktikal dalam mentaati Allah SWT.

Ya Allah, tingkatkan dan kukuhkan takwa kami. Ya Allah kurniakan kami rahmat ke syurga. Ya Allah, pimpin kami untuk komited dengan al-Quran sebagai persediaan 'balik kampung' ke syurga. Ya Allah, bimbing kami untuk ikuti rasul yang amat praktikal dalam mentaati Mu.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 343

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...