Tuesday, August 1, 2023

Halaman 257 : Ibrahim, 14:11-18

PERKATAAN HARI INI


مَنَّ /  مَنَنَ  Menganugerahkan, mengurniakan, memuliakan. 
27 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS  

 
  1. Kisah rasul dan kaum terdahulu agar bertawakal (14:11-12)
  2. Ancaman orang kafir terhadap para rasul dengan pengusiran atau murtad, dan wahyu bahawa kesudahan yang baik adalah milik para nabi (14:13-18)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung Surah Ibrahim pada halaman 257 untuk melihat, menguatkan iman dan melonjakkan motivasi diri berteraskan risalah daripada Allah SWT, Tuhan sekelian alam. Semoga kita terus diberkati dengan cahaya al-Quran yang mengeluarkan daripada kegelapan-kegelapan kepada cahaya. Kita ingin sihatkan hati kita dengan kalam daripada Allah SWT. 

Surah Ibrahim bercerita tentang peranan Nabi Muhammad SAW mengeluarkan manusia daripada kegelapan-kegelapan kepada cahaya. Nabi-nabi terdahulu juga membawa manusia daripada kegelapan-kegelapan kepada cahaya. Itulah mesej konsisten di dalam surah Ibrahim. 

Pada ayat 10 orang-orang yang kufur mencabar bila mereka ada ragu-ragu kepada risalah nabi dan rasul yang bermakna mereka juga ragu-ragu kepada risalah daripada Allah SWT. Mereka mencabar kepada rasul-rasul untuk membawakan mukjizat lain berbanding dengan al-Quran. 


Ayat 14:11


قَالَتْ لَهُمْ رُسُلُهُمْ إِن نَّحْنُ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَمُنُّ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَمَا كَانَ لَنَآ أَن نَّأْتِيَكُم بِسُلْطَٰنٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

“Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.”


Pengajaran


  1. Para rasul menjawab bahawa mereka adalah manusia (بَشَرٌ) seperti orang lain secara fizikalnya.
  2. بَشَرٌ menandakan fizikalnya kita ada kulit. Perkataan insan pula, ada kaitan dengan psikologi manusia. Perkataan Adam juga ada kaitan dengan manusia iaitu permulaan sejarah manusia daripada manusia pertama yang bermusuh dengan iblis. 
  3. Menurut Imam Qurtubi, Allah menganugerahkan (يَمُنُّ) kepada sesiapa yang dikehendaki dalam kalangan hamba-hambanya sebagai rasul-rasul untuk mendapat taufik, hikmah, ilmu pengetahuan, dan hidayah. Mereka diberi tugas untuk menyampaikan anugerah-anugerah itu kepada orang-orang di sekeliling mereka. Rasul-rasul membawa mukjizat hanya dengan izin Allah SWT. Mereka adalah manusia biasa yang menjadi utusan daripada Allah SWT dan mereka bertawakal hanya kepada Allah SWT.
  4. Orang beriman kepada Allah SWT hanya bergantung kepada Allah SWT untuk membantunya menyampaikan risalah. 

Ayat 14:12


وَمَا لَنَآ أَلَّا نَتَوَكَّلَ عَلَى ٱللَّهِ وَقَدْ هَدَىٰنَا سُبُلَنَا وَلَنَصْبِرَنَّ عَلَىٰ مَآ ءَاذَيْتُمُونَا وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُتَوَكِّلُونَ

"Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah".


Pengajaran

  1. Mesej utama dalam surah Ibrahim ialah rasul-rasul membawa manusia daripada kegelapan-kegelapan kepada cahaya. Kita juga kena mengajak orang kepada cahaya. Kita ajak orang baca al-Quran.  
  2. Para Rasul bertawakal kepada Allah SWT kerana nikmat yang paling besar ialah hidayah yang diberikan oleh Allah SWT. Kita juga sudah mendapat hidayah, hadiah daripada Allah SWT iaitu al-Quran. Jangan kita tangguhkan untuk mendapat hadiah daripada Allah SWT.
  3. Dalam Surah al-Zukhruf disebut, al-Quran ini  tidak ternilai, jauh lebih baik daripada segala material yang manusia kumpulkan. Dengan hidayah, kita mendapat keimanan, keislaman yang akan memandu kita ke syurga Allah SWT.
  4. Para rasul bertawakal dan bersabar kerana mereka sudah mendapat hidayah. Menurut as-Sa'adi, tawakal paling tinggi ialah tawakal ketika memperjuangkan agama. 
  5. Hendaklah kita jaga keluarga, staf, dan terus bina bisnes dengan sabar sebagai tanda kita bertawakal kepada Allah SWT. 

Ayat 14:13


وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِرُسُلِهِمْ لَنُخْرِجَنَّكُم مِّنْ أَرْضِنَآ أَوْ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَا فَأَوْحَىٰٓ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمْ لَنُهْلِكَنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ

“Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seugama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.”


Pengajaran

  1. Ini adalah respon orang yang kufur kepada mesej daripada Allah SWT yang disampaikan oleh rasul. Mereka mahu menghalau keluar rasul dan orang-orang yang mengikutnya. Mereka hanya mahu mengikut cara hidup mereka yang biasa.
  2. Mereka tidak mahu ikut risalah daripada Allah SWT kerana bisnes dan kuasa mereka tergugat. 


Ayat 14:14


وَلَنُسْكِنَنَّكُمُ ٱلْأَرْضَ مِنۢ بَعْدِهِمْ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَافَ مَقَامِى وَخَافَ وَعِيدِ

"Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu".


Pengajaran

  1. Kafir ialah istilah untuk mereka yang bukan Islam. Orang Islam ada yang kufur, iaitu mereka mempunyai sifat-sifat orang kafir.
  2. Orang yang degil:
    • menghalau orang yang mengajak kepada hidayah. 
    • kalau tidak mahu keluar, kena mengikut cara mereka.
  3. Allah SWT janji Dia akan menghancurkan orang yang zalim.
  4. Allah akan beri balasan baik kepada orang-orang beriman iaitu mereka yang:
    • Takut bila berdepan dengan Allah SWT samada dapat melaksanakan amanah yang diberi oleh Allah SWT.
    • Takut kepada janji-janji ancaman (وَعِيدِ) Allah SWT yang akan berikan azab neraka sekiranya tidak menunaikan janji.
  5. Allah SWT akan memberi kemenangan kepada orang-orang yang beriman. 


Ayat 14:15


وَٱسْتَفْتَحُوا۟ وَخَابَ كُلُّ جَبَّارٍ عَنِيدٍ

“Dan (Rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon pertolongan (kepada Allah, untuk mendapat kemenangan); dan terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bersikap degil (dalam keingkarannya).”


Pengajaran

  1. Ayat ini menyatakan perbezaan di antara orang beriman dengan orang yang kufur. Perbezaan antara orang yang mengambil cahaya dengan yang memilih kegelapan.
  2. Allah SWT memberi kemenangan kepada orang-orang yang memilih cahaya. Ini adalah mesej kepada Nabi Muhammad SAW yang menghadapi banyak cabaran di Mekah.
  3. Ini adalah motivasi kepada Nabi SAW untuk terus menyampaikan mesej kepada orang musyrik Mekah. Tanggungjawab kita juga mestilah menyampaikan risalah kepada yang bukan Islam. 
  4. Makin kita bertawakal, makin kita mengikut rasul iaitu kita mengajak orang ke jalan hidayah. Hidayah ialah hadiah paling besar dan kita akan dapat banyak saham akhirat kalau kita mengajak orang lain kepada Islam.
  5. Hendaklah kita teruskan perjuangkan al-Quran seperti orang terdahulu. 
  6. Orang-orang yang sombong dan degil (عَنِيدٍ) rugi di dunia dan di akhirat. 

Ayat 14:16


مِّن وَرَآئِهِۦ جَهَنَّمُ وَيُسْقَىٰ مِن مَّآءٍ صَدِيدٍ

“Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka).”


Pengajaran

  1. Orang kufur disediakan tempat di neraka Jahannam di mana mereka diberikan minuman daripada nanah (صَدِيدٍ مَّآءٍ).

Ayat 14:17


يَتَجَرَّعُهُۥ وَلَا يَكَادُ يُسِيغُهُۥ وَيَأْتِيهِ ٱلْمَوْتُ مِن كُلِّ مَكَانٍ وَمَا هُوَ بِمَيِّتٍ وَمِن وَرَآئِهِۦ عَذَابٌ غَلِيظٌ

“Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.”


Pengajaran

  1. Bagi mereka disediakan air nanah di neraka jahannam. Minum seteguk, seteguk dalam keadaan terpaksa.
  2. Mereka diazab begitu kerana di dunia mereka minum minuman yang tidak halal atau minum dengan beli menggunakan duit dari sumber yang tidak halal, walaupun ia air zamzam. 
  3. Di akhirat nanti, maut datang kepada mereka dari segenap penjuru tetapi mereka tidak mati. Inilah akibat kerana mereka memandang enteng kepada semua perintah Allah SWT dan azabNya.
  4. Pengajarannya, ikut perintah Allah SWT dan ikut SOP yang telah ditetapkanNya. Kita semak kembali apa yang telah kita laksanakan di tempat kerja, bisnes dan sebagainya.
  5. Orang yang degil tidak boleh ditinggalkan, kita tetap kena berdakwah mengajak mereka kembali kepada Allah SWT.

Ayat 14:18


مَّثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ أَعْمَٰلُهُمْ كَرَمَادٍ ٱشْتَدَّتْ بِهِ ٱلرِّيحُ فِى يَوْمٍ عَاصِفٍ لَّا يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا۟ عَلَىٰ شَىْءٍ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلضَّلَٰلُ ٱلْبَعِيدُ

“Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran.”


Pengajaran

  1. Perumpamaan orang yang kufur kepada Allah SWT, ibadah mereka tertolak umpama debu yang berterbangan, mereka tidak dapat mengawalnya walaupun sedikit dan tiada faedah langsung.
  2. Walaupun mereka banyak beribadah tetapi kerana asasnya bukan cahaya Allah, ianya tertolak.


RESOLUSI

Ingat!
  1. Tidak mudah reaktif pada cabaran manusia tetapi berkomunikasi dengan baik (14:11)
  2. Hargai hidayah Allah SWT dan elakkan ikut perasaan atau provokasi (14:12)
  3. Buat persediaan kematian dengan amal kebaikan (14:17)
Saya berasa lega, kalau ikut cahaya Allah dan tawakal kepada Nya, saya akan berjaya di dunia sampai ke akhirat.

Saya jelas untuk tidak mudah reaktif pada cabaran manusia tetapi berkomunikasi dengan baik. Saya jelas saya mesti hargai hidayah Allah SWT dan elakkan ikut perasaan atau provokasi. Saya jelas untuk buat persediaan kematian dengan amal kebaikan.

Ya Allah,  pimpin kami untuk tidak mudah reaktif pada cabaran manusia tetapi berkomunikasi dengan baik. Ya Allah, bimbing kami untuk hargai hidayah Mu dan elakkan ikut perasaan atau provokasi. Ya Allah, tolong kami untuk buat persediaan kematian dengan amal kebaikan.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 346 

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...