Tuesday, August 1, 2023

Halaman 258 : Ibrahim, 14:19-24

PERKATAAN HARI INI


جَدَّ / جَدَدَ Baru. 
10 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS

   

  1. Bukti keesaan Allah SWT, wujud dan kuasa-Nya untuk membangkitkan kembali (14:19-20)
  2. Dialog antara orang yang celaka pada hari azab, perdebatan antara syaitan dengan para pengikutnya, dan keberuntungan mendapatkan syurga bagi orang yang bahagia (14:21-23)
  3. Perumpamaan kalimah yang baik (14:24)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat menyambung Surah Ibrahim pada halaman 258 untuk sama-sama kita memaknai, menjejak tokoh-tokoh yang berbuat kebaikan bersama dengan kalimah-kalimah yang baik. 

Kita duduk sebentar bersama al-Quran untuk menguatkan iman bagi meningkatkan motivasi dalam hidup kita. Ketika dalam kesusahan atau kesenangan, orang beriman tetap mempunyai halatuju yang jelas menuju kepada misi yang besar menuju kepada Allah SWT.

Pada ayat 18, Allah menemplak orang-orang kufur dengan menyatakan bahawa amal mereka seperti debu yang berterbangan kerana mereka buat bukan kerana Allah SWT. Mereka buat kerana manusia. Mereka buat kerana berhala-berhala ataupun mengikut kepada diri mereka, bukan perkataan daripada Allah SWT.


Ayat 14:19


أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَأْتِ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ

Tidakkah engkau telah nampak dan mengetahui bahawa Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat? Jika Ia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu.


Pengajaran

  1. Allah SWT menyuruh kita perhatikan penciptaan langit dan bumi dengan hak.
  2. Istilah بِٱلْحَقِّ diterjemahkan 'dengan benar'. Ia juga membawa kepada tujuan. 
  3. Allah suruh kita perhatikan betul-betul langit, bumi, pokok, mikro organism, bintang yang banyak, sistem bima sakti, kerana Allah SWT menjadikan semua ini dengan kebenaran, dengan tujuan. 
  4. Allah boleh binasakan kita dan mendatangkan makhluk yang baru untuk menggantikan kita. Allah suruh kita perhatikan perkara ini agar kita jangan sombong atau mengikut orang yang sombong.


Ayat 14:20


وَمَا ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ بِعَزِيزٍ

Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.


Pengajaran

  1. Tidak sukar bagi Allah SWT untuk melaksanakan perkara tersebut kerana bagi orang kufur dan degil mereka merasakan mereka ada kekuatan (izzah). 
  2. Allah SWT suruh kita melihat  alam ini apakah teori yang kita ada itu lebih hebat daripada Allah ataupun kita kena tunduk kepada Allah agar kita jangan sombong.


Ayat 14:21


وَبَرَزُوا۟ لِلَّهِ جَمِيعًا فَقَالَ ٱلضُّعَفَٰٓؤُا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوٓا۟ إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا مِنْ عَذَابِ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ قَالُوا۟ لَوْ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ لَهَدَيْنَٰكُمْ سَوَآءٌ عَلَيْنَآ أَجَزِعْنَآ أَمْ صَبَرْنَا مَا لَنَا مِن مَّحِيصٍ

Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): "Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? " Mereka menjawab: "Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)".


Pengajaran

  1. Ini adalah templak Allah SWT kepada orang yang mengikut membuta tuli kepada orang yang sombong. Di akhirat nanti, bila diminta pertolongan mereka, mereka akan mengelak. Orang sombong tidak dapat hidayah. Hidayah lebih tinggi daripada orang yang kita ikut. 
  2. Mereka berkata kita semua sama sahaja. Tidak ada perlindungan bagi orang begini kerana ini adalah satu kesilapan.


Ayat 14:22


وَقَالَ ٱلشَّيْطَٰنُ لَمَّا قُضِىَ ٱلْأَمْرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ ٱلْحَقِّ وَوَعَدتُّكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِىَ عَلَيْكُم مِّن سُلْطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوْتُكُمْ فَٱسْتَجَبْتُمْ لِى فَلَا تَلُومُونِى وَلُومُوٓا۟ أَنفُسَكُم مَّآ أَنَا۠ بِمُصْرِخِكُمْ وَمَآ أَنتُم بِمُصْرِخِىَّ إِنِّى كَفَرْتُ بِمَآ أَشْرَكْتُمُونِ مِن قَبْلُ إِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ


Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.


Pengajaran

  1. Orang yang memimpin dengan sombong digelar syaitan. Syaitan mengaku mungkiri janji.
  2. Ada dua jenis janji: Janji daripada Allah SWT dan janji daripada makhluk. Syaitan ialah makhluk yang membuat janji ke arah keburukan ataupun yang akan dikhianati. 
  3. Bila kita banyak membaca al-Quran, kita akan dapat janji Allah SWT dan itu adalah janji yang benar. 
  4. Syaitan di kalangan manusia menyatakan mereka tidak ada hujjah pun. Mereka hanya mengajak tetapi orang yang mengikut. Syaitan boleh jadi jin dan manusia. Syaitan menyuruh pengikutnya mencela diri sendiri kerana terburu-buru mengikutnya. 
  5. Tempat mereka dan pengikut ialah di neraka dan ini adalah puncak azab di akhirat. Pilihlah janji daripada Allah SWT untuk diperjuangkan, bukan memilih janji palsu syaitan.
  6. Allah SWT membawa kita ke akhirat dengan peristiwa ini supaya kita beringat. Inilah hidayah yang diperlukan oleh pemimpin-pemimpin yang diazab di akhirat. 
  7. Semoga kita tidak terperosok sekali dengan pemimpin yang tidak mengikut hidayah daripada al-Quran. 


Ayat 14:23


وَأُدْخِلَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ تَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَٰمٌ

Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari malaikat) di dalam Syurga-syurga itu.


Pengajaran

  1. Allah SWT menerangkan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. 
  2. Mereka dimasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dengan ditemankan oleh malaikat yang memberi layanan yang baik dan mereka kekal di dalamnya dengan izin Allah SWT.
  3. Kalau kita ajak orang keluar daripada kegelapan kepada cahaya dengan izin Allah, nanti sampai di akhirat, dengan izin Allah juga kita akan masuk syurga. 
  4. Kita ada al-Quran, ada cahaya, bila kita cuba mengeluarkan kegelapan-kegelapan dalam keluarga dan masyarakat kepada cahaya, itulah perjuangan Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS yang kita teruskan dengan izin Allah.
  5. Izin Allah SWT diberikan kepada pejuang al-Quran. Orang beginilah yang akan di teman oleh malaikat masuk ke syurga. 
  6. Orang di syurga saling mengucapkan salam. Di syurga, perasaan sejahtera dan indah belaka. Syurga adalah tempat seluas-luasnya. Kita dapat bertemu mengucapkan kesejahteraan. Ayah dan anak yang beramal soleh akan dapat bertemu di syurga. 


Ayat 14:24


أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.


Pengajaran

  1. Menurut ulamak tafsir, kalimah yang baik ini ialah 'Lailahaillallah Muhammadarasullullah'. dan ia diterangkan oleh al-Quran dan sunnah. Ia seperti satu pohon yang baik dan akarnya amat kukuh. Ia melambangkan iman dan tauhid yang amat kukuh di dalam hati seseorang insan.
  2. Apabila kita membaca al-Quran dan menguatkan iman dan tauhid, lama-lama ia akan semakin kuat. Bila orang yang kita sayang pergi, kita tidak bersedih sampai tidak beramal. Sebaliknya, sedih kita menguatkan lagi amal kerana kita ada iman yang kukuh.
  3. Cabang pokok itu menjulang ke langit dan menghasilkan banyak manfaat. Bila kita ada kalimah yang baik, orang yang datang kepada kita akan rasa tenang, teduh, tidak rasa panas atau rasa tidak selamat bila berada dekat kita. 
  4. Kalau pokok ini meneduhkan, harapnya kita juga meneduhkan dan menyejukkan orang di sekitar kita. Kita tidak mudah terunggah dengan cabaran kerana kita tahu iman yang kuat itu kita bina dengan kita selalu bersama al-Quran.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Sentiasa yakini janji benar  hanya daripada Allah SWT (14:22)
  2. Berhati-hati dengan godaan dan seruan syaitan (14:22)
  3. Rapatkan diri dengan kalimah yang baik iaitu al-Quran dan zikir (14:24)

Saya berasa lega, Allah akan berikan ganjaran syurga kalau saya beriman dan beramal soleh.

Saya jelas untuk sentiasa yakini janji benar hanya daripada Allah SWT. Saya jelas saya mesti berhati-hati dengan godaan dan seruan syaitan. Saya jelas untuk rapatkan diri dengan kalimah yang baik iaitu al-Quran dan zikir.

Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa yakini janji benar hanya daripada Mu. Ya Allah, lindungi kami daripada godaan dan seruan syaitan. Ya Allah, bimbing kami untuk rapatkan diri dengan kalimah yang baik iaitu al-Quran dan zikir.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 347 

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...